“Pa, aku malas deh mau ke sekolah. Lebih enak di rumah.”

” Apa kau mau jadi tukang ojek?”

” Capek deh jadi tukang ojek.”

“Nah, kalau gitu kamu itu harus ke sekolah. Paling tidak kalau aku ini tukang ojek, kamu itu harus jadi dokter, minimal. Lagi bagus kalo jadi presiden”.

 

Begitu cerita tukang ojek yang menghantar aku suatu malam ke Kejaksaan Negeri Jakarta Selatan, minggu pertama aku di Jakarta. Tukang ojek ini asal daripada Tembilahan, Inderagiri Hilir. Katanya dia masih baru jadi tukang ojek di Jakarta. Baru 16 tahun.

Minggu pertama di sini aku kira masih minggu suai kenal. Namun seakan satu kejutan kerana dalam tempoh singkat ini, aku sudah mendengar dan melalui banyak hal yang tidak pernah aku fikirkan. Ternyata minggu ini bukan minggu suai kenal yang biasa-biasa.

Malaysia-Indonesia sememangnya suatu gandingan mantap jika dimaksimakan kerjasama dan hubungan antara negara. Walau ada bunyi-bunyi sengketa antara dua negara ini sebelum aku sampai di sini, namun masih belum aku dilayan buruk . Malah, sebagai rakyat Malaysia, aku dianggap saudara dan teman akrab biarpun baru pertama kali bertemu. Kerana itu, aku senang berada di sini.

Selama seminggu aku di sini, aku menjadi ramah dengan siapa sahaja. Kadang-kadang sering juga aku bergurau bahawa aku bukan asli Malaysia, tapi itu cuma satu cara untuk memastikan tiada penghalang dalam komunikasi yang berlangsung.

Suatu hal yang sangat aku kagum ialah masyarakat di sini sangat mementingkan pendidikan. Kata teman-teman, di Indonesia ini perniagaan yang paling bagus ialah membuka sekolah atau universiti. Biar susah mana hidup mereka, namun pendidikan adalah kepentingan nombor satu.

Mungkin kerana hal sedemikian, aku senang berbual dengan siapa sahaja di kota ini. Baik tukang ojek, supir taksi, dan satpam di mall, mereka mampu bicara secara kritis soal negara. Mereka boleh memberi kritik dan memberi cadangan terhadap dasar dan polisi negara. Biar tidak semestinya betul, tapi mereka mampu dan berani menyatakan pandangan dan sikap.

Minggu pertama di sini juga, kisah terorisme dimuat tiap hari di koran dan juga di televisyen. Ini kesan daripada perkhabaran bahawa Osama bin Laden mati dibunuh Amerika. Maka tiap hari diingatkan agar Indonesia bersiap sedia menghadapi teroris yang muncul daripada rakyatnya sendiri. Pemimpin juga dilihat setuju dengan hal itu. Termasuk juga presiden yang menyatakan bahawa Indonesia sedang menghadapi peningkatan radikalisme Islam.

Heran juga. Aku lihat masyarakat di Indonesia ini saling hormat dengan perbezaan yang wujud. Pluralisme bahkan memberi jaminan keharmonian masyarakat di sini. Pancasila memang berperanan penting sebagai kerangka asas pembentukan sebuah bangsa Indonesia. Maka kepentingan dan nilai setiap segmen masyarakat itu terakomodasi dalam kerangka yang dibentuk. Namun, aku baru seminggu di sini. Mungkin belum sampai ke wilayah yang lain. Maka aku tak mahu terus merumuskan hal itu.

Itu lah yang membezakan Malaysia dan Indonesia. Keterbukaan jelas dilihat dapat diamankan oleh nilai yang diterapkan dalam pancasila. Kerana itu matlamat bagi mereka berhasil ke suatu fokus yang sama iaitu membangunkan bangsa Indonesia.

Mungkin kerana itu juga politik di Indonesia ini sangat dinamik. Partai politik di sini cuma satu medium untuk memperbaiki dan merencana masa depan bangsa. Tiap hari ada sahaja yang keluar partai, tukar partai, dan bina partai.

Begitu juga dengan hal perbicaraan tentang agama. Perbincangan tentang agama sangat terbuka. Malah perdebatan dan perbincangan tentangnya itu digaris bawahi oleh nilai etika dan adab menghormati perbezaan. Hasilnya, aku sangat tertarik dengan pidato khatib semasa khutbah Jumaat lalu. Ternyata bicaranya lebih hidup dan segar kerana tidak mengguna pakai teks yang ditulis dan diselia oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Sungguh, aku kagum dengan masyarakat di sini. Tapi tak bermakna semuanya mantap.

Sememangnya daya pemikiran dan perkembangan ilmu di sini lebih baik berbanding Malaysia. Penulisan, penterjemahan, dan bahan bacaan semuanya mewah. Cuma masyarakat di sini masih berjiwa dan bercita-cita kecil. Rata-rata masih seperti ‘kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang’. Mereka cuma bekerja untuk hidup esok. Tidak lebih daripada itu.

Bingung juga memikirkannya. Perkembangan ilmu yang meluas di negara ini tidak membangun jiwa dan cita-cita masyarakatnya. Jurang kaya-miskin juga sangat luas dan jelas kelihatan. Aku sendiri mengalaminya semasa menghadiri perasmian kantor baru DPP Partai Demokrat, di Kramat 7.

Majlis itu memang acara untuk elit partai. Gedung baru setinggi lapan tingkat itu memang sebuah gedung yang kemas bagi sebuah partai pemerintah. Setengah jam sebelum majlis berlangsung, jalan di hadapannya sudah penuh dengan kenderaan mewah yang parkir di tepi jalan sambil diawasi satpam. Ternyata yang hadir semua elit partai yang punya supir dan ajudan.

Kemudian aku berjumpa dengan empat orang anak muda di hadapan kantor itu. Mereka ini adalah kader-kader demokrat daripada sulawesi. Ternyata salah seorang mereka adalah mantan pimpinan mahasiswa yang sering di akhbar kerana mengambil sikap kritikal kepada pemerintah. Namun bila aku ajak keempat mereka masuk ke majlis berkenaan, mereka tidak mahu.

Bingung lagi kenapa mereka tidak mahu menyertai yang lain. Jawapan mereka kerana mereka tidak berpakaian yang sepatutnya. Mereka dengan jeans lusuh, t-shirt yang warnanya kian pudar dan juga selipar. Ya ternyata mereka segan untuk bergaul dengan yang lain. Maka biarpun mereka kader demokrat, jurang yang terlalu luas membezakan mereka.

Beza jurang kaya-miskin itu juga mungkin diperlihatkan melalui kawasan kediaman. Mungkin kerana itu aku sering ditahan ketika pulang ke rumah kerana berjalan kaki atau dengan ojek sedang aku tinggal di kawasan elit di Jakarta di mana kediamannya Megawati, Tommy Suharto, Suharto sendiri. Cuma bezanya, mereka di Jl Cendana dan aku di Jl Kemiri. Tapi keduanya tetap dianggap elit, kerana masih sama di tempat yang namanya Menteng!

 

Hilman Idham, aktivis dan mantan mahasiswa Sains Politik UKM yang kini sedang menimba pengalaman di Indonesia sebagai Staff Khusus Sekretari-Jeneral Partai, Anggota Komisi I dan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR-RI).

 

 

 

 

Anak Muda Hilman Idham Indonesia Malaysia politik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan