Bob Lokman © fadzir_abdullah

Tuan, selamat masuk Pas.

Di hari Tuan menyerahkan borang, apa kata Tuan; alasan masuk sebuah parti politik—kerabat Pakatan Rakyat—apabila anak-anak Tuan, “disuruh sembahyang tidak mahu”, “disuruh sembahyang, payah.”

Segala itu, dikatakan berpunca daripada Sistem Pendidikan pemerintah yang tak meletakkan tauhid sebagai hal tertinggi. Yang slogannya “Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan.”

Di dalam ceramah di sebuah mesjid, yang lain, Tuan juga menceritakan bagaimana sahabat baik Tuan, Jalil Ngah namanya. Dia orang baik—walau tak sembahyang. Dia berniat untuk memberi makanan kepada orang miskin di ceruk kampung mana. Dia tak sempat melakukan semua itu. Lalu meninggal dunia. Sewaktu jenazah di liang lahat, Tuan melihat diri Tuan sendiri di sana.

Saya juga gementar apabila di satu ketika, Tuan dengan seperti yakin menyebutkan bahawa Tuan rela mati, karena ugama. Iaitu, karena Islam.

Tiga belas tahun lalu—mungkin sahaja lebih—saya juga memikirkan hal sedemikian adanya. Sementara sejak 1998, saya terlibat dalam Gerakan Reformasi. Pada umur yang terlalu muda, kala itu. Sehingga di dalam Pilihanraya Kecil Ijok, 2007, saya melihat Tuan bersama bala tentara Barisan Nasional (BN).

Ada saya adukan apa yang saya nampak, kepada kawan-kawan seniman yang lain. Termasuk arwah Loloq. Dia senyum. Bahkan, Tuan juga tahu bagaimana ada sahaja kawan karyawan yang mendapat biaya jutaan ringgit untuk membawa turun penyanyi secara besar-besaran dalam Pilihanraya Negeri Sarawak yang lepas.

Betul-betul saya pasang telinga apabila di dalam banyak ceramah Tuan bercakap tentang rosaknya mata kita sebagai lelaki Muslim apabila melihat perempuan mendedahkan aurat. Seraya itu, kata Tuan, dunia hiburan (khususnya filem dan drama) adalah dunia yang hipokrit; iaitu, istilah lain kepada “munafik”.

Demikian nekadnya Tuan meninggalkan rancangan Maharaja Lawak yang disiarkan secara langsung.

Tuan Bob,

Kita tak pernah berjumpa.

Hanya, sedikit pengalaman saya bersama Gerakan Reformasi sejak 1998 sehingga kini, selain melihat kebejatan pemimpin dan pemerintah, dunia yang ideal adalah tak wujud. Kenyataan pedih yang wajar diterima Adam dan Hawa serta anak cucu-cicitnya ialah manusia sekarang berada di dunia. Sementara hakikat dunia ialah sebuah hidupan yang penuh cacat-cela.

Apa yang mungkin kita lakukan, tak lebih untuk memperbaiki segala kecacat-celaan dunia ini. Lalu, datang dan turunlah ugama. Menjadi petunjuk jelas—selain dalam banyak jejak keilmuan dan sarjana Muslim, jejak kebenaran juga tercapai dengan keupayaan akal manusia.

Apa yang menjadikan saya gementar, tentu sahaja sikap keterlaluan manusia. Baik keterlaluan mereka dalam tugas-tugas akhirat mahupun tugas-tugas duniawi. Ia tak pernah punya beda. Sementara jalan tengah yang diunjurkan Islam, ialah sederhana. Sejajar hadith Nabi yang selalu kita ingat untuk mengingati Tuhan seolah-olah kita akan mati esok hari, dan mengingati dunia seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi.

Masalah pemikiran Umat Islam ialah sikap melampau dan keterlaluan ini; terutama sejak empayar-empayar besar Muslim runtuh termasuk yang di Timur Tengah mahupun yang di Eropah seperti Andalusia.

Jiwa umat menjadi emosi. Tidak tenang. Harapan sebuah kebangkitan hanya berakhir dengan rasa sayu yang sia-sia. Mata umat terseliput untuk rasional dan melihat kenyataan dunia ini dengan jernih. Demikian kalau masalah akhlak anak-anak kita adalah perlambangan kepada masalah sistem pendidikan yang luluh-binasa, maka ada jalan lain yang masih dimiliki oleh ibu-bapa iaitu mempergiat pendidikan langsung kepada anak-anak. Termasuk dalam soal ugama.

Saya tak fikir, ia adalah masalah politik yang perlu dijadikan alasan besar mengapa seseorang yang dahulunya bukan di dalam jamaah Islam, kemudian masuk ke dalam jamaah. Menyertai jamaah tentu dengan alasan dan cita-cita yang jelas.

Politik menekan individu. Namun, individu yang mahu ke hadapan dan bersuara harus sahaja melihat peran politik yang lebih besar daripada hanya masalah dirinya. Orang lain yang tak mempunyai apa-apa, bahkan tak mampu mengirim anak mereka ke sekolah mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk menuntut hak mereka. Ya, kata dasar di sini ialah “hak”.

Apakah “hak” seseorang warganegara yang sudah dirampas pemerintah? Itulah persoalan yang wajar dijadikan hujah politik, lebih-lebih lagi untuk menyertai sesebuah jemaah politik.

Sebab itu sejak 1998, soal keadilan menjadi perkara pokok di dalam banyak diskusi politik. Dasar ketiga-tiga parti (Keadilan, Pas dan DAP) ialah untuk melihat bagaimana hak warganegara dirampas atau tak ditunaikan pemerintah. Sehingga apa pun yang mahu dilakukan rakyat sebagai hak rakyat, tak diberikan.

Termasuk di dalam soal seni-budaya. Apakah kita boleh meletakkan soal pelakon yang berpakaian menutup aurat atau tidak sebagai persoalan pemerintah? Lebih-lebih lagi dalam waktu kita bercakap soal “tasauf”…

Keputusan Tuan menyertai mana-mana jemaah politik sangat saya hormat. Kemudian, kehendak Tuan untuk turun berdakwah memang cukup mengagumkan. Begitulah makna dakwah juga tak pernah kecil dan sempit.

Generasi seperti saya adalah generasi yang membesar dengan irama rock Melayu. Antara lagu popular yang masuk dalam jantung kami tak lain ialah “Isabella”, yang liriknya Tuan tulis. Maka, andai wujud kebangkitan rakyat 1998 itu, tentu sahaja di kalangan anak-anak muda yang membesar dengan lagu Isabella dan di dalam kalbu mereka mempunyai ruh untuk kaseh sesama umat walaupun berlainan ugama.

Pada saya, jasa Tuan yang ini cukup besar. Moga dengan rahmat Tuhan yang Maha Pengasih, Tuan kelak di suatu waktu akan ditempatkan bersama orang-orang yang saleh dengan lirik yang menyampaikan kebaikan dan kebenaran yang sampai begitu adanya. Yang melebar sehingga hampir ke seluruh Nusantara.

Kalaulah, ada manusia yang ke jantung hatinya tersusuk lagu itu tetapi masih melakukan durjana, saya tak fikir Tuan perlu merasa berdosa. Ia samalah seperti dakwah langsung yang Tuan lakukan hari ini, apakah Tuan bisa jamin bahawa semua yang mendengar itu kelak seratus peratus akan berbuat baik? Saya tak fikir begitu…

Tuan Bob,

Kita tak pernah berjumpa, kala mana sekarang saya bertatih untuk belajar menulis lirik—selain hanya menulis satu-satu pekerjaan yang terupaya saya lakukan sejak belasan tahun lalu. Di tambah pula, saya sudah bersama Gerakan Reformasi kala Tuan masih bersama Umno-BN. Tak pernah pada bibir dan mulut saya untuk mencerca bidang seni-budaya dan menyebutkan bahawa bidang itu sebagai total hipokrit dan munafik sementara saya juga insafi, di dalam mana-mana parti dan jamaah sekalipun tetap ada orang yang hipokrit dan munafik.

Keperluan berada di dalam saf dan jamaah yang dikatakan Islam dan pembawa keadilan dan kebenaran tak lebih adalah untuk memperbaiki sistem—seperti yang Tuan keluhkan—dan bukannya untuk campur tangan merobek-robek hati sesiapa. Setiap individu dilahirkan bebas merdeka. Itu jaminan Tuhan.

Sehinggalah dia melakukan kejahatan dan kezaliman kepada orang lain, maka di situ kebebasannya pun tamat. Kemuliaannya pun habis.

 

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Barisan Nasional Bob Lokman DAP Hasmi bin Hashim Ijok Isabella KeADILan Lirik Loloq Musik PAS politik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan