Kita barangkali sering bercakap pasal Yusuf, sehingga terlupa pesan Ya’kub.

Pesan itu jarang buat kita bertanya: mengapa sesudah seorang anaknya itu menceritakan perihal mimpinya, sang bapa mengingatkan sampai sebegitu sekali (?)—seperti yang tercatat dalam Quran [12:4]: “Lataqsus ru’yaka-ala-ikhwatika fayakidu-laka-kai-da’.

Tidak lain kerana di sana ada kebimbangan betapa anak-anaknya yang lain (iaitu saudara sedarah Yusuf sendiri) bakal merencana konspirasi dan komplot melawan Yusuf.

Tidak lain, kebimbangan Ya’qub itu bilamana baginda tahu, yang Yusuf punya tanda-tanda jelas, terpilih di antara anak-anaknya yang lain apabila datang mimpi: sebelas bintang dan bulan dan matahari tunduk kepada Yusuf.

Muslim yang meneliti Quran, akan tahu, Yusuf sendiri awalnya tak mengerti, apa arti mimpi—yang di dalam kisah itu, baginda bukan sekedar menjadi Rasul, tetapi seorang pemimpin politik bagi masanya.

Kekuasaan, nampaknya zaman-berzaman sering undang cemburu. Yusuf tampan, tapi kecumburuan di kalangan adik-beradiknya—yang kemudiannya berhelah dengan bapanya untuk melarikan adeknya—bukan karena Yusuf tampan. Di mata mereka, jelas Yusuf telah mendapat layanan baik, dari kedua orang tuanya. Sementara suasana pilih kasih itu terjadi apabila Ya’qub serta isterinya, Rahil seakan tahu bahawa bagaimana jejak politik-kekuasaan Yusuf, kelak.

Tetap, kebimbangan Ya’qub terjadi.

Perancangan awal, termasuklah membunuh Yusuf. Hanya salah seorang daripada anggota komplotan itu yang juga adik-beradiknya menghalang, sambil berkata, “[…] janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buangkan dia ke dalam perigi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ)…” [12:10]

Komplot direncana. Komplot pun dilaksana.

Tentu bagi Muslim, kisah Yusuf diyakini tetap bisa berulang di mana zaman sekalipun. Lebih-lebih lagi apabila timbul isu rakaman CCTV seks yang sekaligus jadi senjata politik. Saya percaya, rakaman itu tak lain tak bukan, dengan diputar di media sedemikian besar, adalah atas tujuan politik-kekuasaan.

Komplot, selalu dengan rancangan yang rapi. Tetapi, komplot juga selalu dengan rancangan rapi yang tidak sempurna. Mangsanya, tetap tokoh yang sama—dan sekali lagi, untuk buat berapa kalinya, Anwar Ibrahim perlu disingkir dengan apa cara dan daya sekalipun.

Carta mendadak karier politik Anwar, dengan segenap dokongan media di suatu waktu ketika beliau di dalam pemerintahan, menjadikan tak ada rahsia lagi bagaimana Anwar dikatakan akan menggantikan Dr Mahathir Mohammad. Dr Mahathir, ketika itu, Perdana Menteri. Tak timbul nama lain yang lebih kuat, selain Anwar. Tidak juga Abdullah Badawi. Tidak juga Najib Razak.

Begitu rupa-rupanya, yang sesungguhnya berlaku tatkala itu, umpama memberitahu akan ‘mimpi’ kepada umum. Persis mimpi Yusuf kalaulah pecah kepada adek-beradeknya, tentu sahaja Yusuf akan dibunuh.

Memang, Anwar barangkali tak berniat untuk memberitahu akan hasratnya menjejak jawatan nombor satu dalam pemerintahan. Terutama ketika beliau di dalam parti pemerintah. Hanya selepas 8 Mac, selepas Pilihanraya Umum lepas, saya mendengar dari mulutnya di dalam pidatonya, dia terus-terang menyebutkan apa salahnya untuk menjadi Perdana Menteri.

‘Mimpi pecah’. Walaupun, jejak untuk ke Putrajaya yang dibuat Anwar, bukanlah sembunyi-sembunyi. Ia tak ubah sebagai rahasia umum.

Saya tak meragui upaya Anwar, bahkan sesiapa pun yang punya hasrat menjadi Perdana Menteri. Malahan, sudah timbul bisik-bisik sama ada di dalam parti mahupun di kalangan rakyat umumnya, “siapa selepas Anwar?” Meski, agak kurang orang bertanya, “siapa selepas Najib?”

Kes dan jejak Anwar cukup luar biasa. Takkan siapa akan peduli kalau seorang pemandu taksi, misalnya, bahkan seorang profesor sekalipun bercakap bahawa dia mahu menjadi Perdana Menteri. Kata-kata itu akan diabaikan orang sahaja. Tetapi, dengan keupayaan dan seluruh pakej yang dipunyai Anwar, serta penonjolan luar biasa oleh media di suatu ketika, rupa-rupanya hanya jerangkap yang melambatkan waktu.

Populariti, di ruang begini, ternyata bukan selamanya baik. Lebih-lebih lagi, takkan ada sesiapa pun orang politik yang tidak punya musuh.

Mungkin sebab itu, rencana untuk menjatuhkan Anwar bukan perkara baru. Sudah lebih sedekad diatur-susun satu persatu. Dan di dalam mana-mana konspirasi sekalipun, memang tak akan punya hukum di mana ahli keluarga si mangsa perlu dijaga. Sebab itu, mengaib dan memalukan Anwar tentulah dengan mengheret seluruh keluarga beliau.

Saya selalu teringat Dr Wan Azizah Ismail setiap kali berfikir akan hal ini. Saya membayangkan bagaimana beliau punya tahap sabar yang tinggi sekali—sehingga tak semena-mena, beliau juga terseret ke kancah politik yang berpusar luar biasa menggila.

Kita barangkali selalu melupakan pesan Ya’qub—pesan agar Yusuf merahasiakan akan mimpinya, meski, Yusuf tidak pernah meminta kepada dirinya sendiri untuk diangkat menjadi rasul. Tidak juga dia meminta untuk menjadi tokoh pemimpin ulung kepada umat dan masanya.

Dalam pada dan ketika itu juga, hanya berpunca daripada sebuah layanan yang istimewa kedua orang tuanya, adek-beradeknya yang lain, merencana dan bertindak. Betapa Yusuf harus segera dihapuskan. Betapa segala-galanya itu tidak punya apa-apa hujah rasional yang bisa diteliti sebagai teori politik moden.

Agaknya sebab itulah jualah Tuhan membuatkan hati kepada manusia. Sebab itu jualah Tuhan memberikan mimpi. Dan, sebab itu jualah, Tuhan menjadikan antara dua ruang sebagai pilihan kita, iaitu ada yang boleh diceritakan, dan ada pula yang perlu selamanya dirahasiakan.

Saya selalu mendengar, kebenaran sepotong ayat Quran tentang manusia merencana dan Tuhan juga merencana. Akhirnya perancangan Tuhan jualah yang akan terlaksana. Saya juga tahu, ada ayat itu agar kita tidak terus berputus asas.

Kita tak berputus asa, hanya barangkali selepas kita melupakan pesan Ya’kub tadi: […] aku khuatir mereaka akan menjalankan sesuatu komplot jahat terhadapmu.”

 

Hasmi Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

 

al-Quran Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Wan Azizah Hasmi bin Hashim Parti Keadilan Rakyat politik Ya'kub Yusuf

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan