Dua tahun lepas, di tangan aku sebuah buku dengan tajuk ‘Under The Roof of Paris‘. Buku yang dikatakan oleh para ulat buku ditulis oleh seorang penulis erotik. Senang cakap, penulis yang mengangkat kelucahan sebagai tema. Persepsi awal yang aku dapat dari ulat-ulat buku itu adalah erotisisme ala Delta of Venus. Sejauh mana persepsi ini tersasar, satu hal. Satu hal lagi, apa yang buat kepala mereka berkarat sangat sampai boleh memberi tafsiran dangkal terhadap penulis yang kemudiannya ‘remain a stained‘ dalam korpus bacaan aku. Sama seperti meletakkan Robbie William dan Noel Gallagher di level yang sama, atau mengatakan Manchester United lebih bagus daripada Liverpool – Ini tidak boleh diterima.

Sebelum tu, simpan dalam kepala, aku bukan kaki buku. Simpan juga dalam kepala, erotisisme bukan selera aku. Aku suka seks. Sangat. Siapa tidak? Seks adalah satu daripada 9 sebab untuk reinkarnasi. Selebihnya lapan, tak penting. Tapi bukan novel yang eksploitasi tema seks terhadap standard (mutu) sastera. Penulis bagus, kalau tulis novel pasal seekor gajah pun jadi bagus. Tidak hanya bercerita pasal haiwan kulit menggerutu, bertelinga lebar dengan belalai bodoh yang cuma berfungsi untuk suap pisang yang dihulurkan pelancong di zoo, tapi juga menuliskan gajah sebagai seekor haiwan dari sudut pandang haiwan (sosial) lain yang menghuni planet sama, dikeliling dan dipengaruhi, mempengaruhi, segala macam binatang-binatang lain. Menuliskan pengalaman dari pemerhatian intens, melanggar ‘mitos’ penulisan sebelumnya, metafor-metafor yang cetuskan imaji lebih luas, analisis yang memungkinkan pengetahuan sudut baru (bukan ‘new knowledge’) ke atas pemahaman kehidupan manusia.

Percubaan membaca Under The Roof Of Paris malangnya berakhir di muka surat 20 ke 30 kerana tuntutan hidup yang memerlukan aku melakonkan watak lain – watak seorang penganggur yang pemalas. Kemudian, Tuhan tahu di mana buku itu berada selepas itu.

Beberapa bulan kemudian, aku mencari-cari buku biografi seorang penyajak Perancis, yang merupakan bahan bacaan aku ketika itu. Seorang kawan menyarankan sebuah judul buku yang khabarnya merupakan buku biografi terbaik pernah ditulis tentang penyajak Perancis tahap avant garde itu. Times of the Assasin, tajuknya. Ditulis oleh seorang penulis Amerika yang pada mulanya tak ambik pot pun pasal Rimbaud. Gila berlagak. Letak dalam kepala, Rimbaud adalah C4 yang telah meletupkan, merevolusikan penulisan prosa. Untuk seorang penulis terlepas pandang, tak ambik pot, bukan suatu yang mudah. Kalau bukan bodoh, he may be one hell of a madmen who had pushed his pen without give a damn care about the so-called literature. The one who owe nothing to the history, tradition, or any writers before him. Dan penulis itu adalah penulis sama yang menulis buku Under The Roof Of Paris; Henry Miller.

Tak jauh lari tanggapan aku. Henry Miller bukan saja menghidap penyakit ‘kurang ajar’, tapi lebih parah – neurotic. Bukan di bawah mana-mana konstitusi, organisasi, gerakan, federasi, atau negara – I was more like God, if anything, katanya. Amerika baginya adalah malapetaka yang sedang merebak, sumpahan terhadap dunia. Macam biasa, penulis kurang ajar macam ni akan dibanned. Kalau di Malaysia dah jadi penghuni rumah Ikut Suka Aku (ISA). Di Amerika, bukunya kekal menjadi bacaan ‘non-halal’, dan pengharamannya sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Dari golongan konservatif dan moralis, kepada golongan liberal dan budayawan. Tapi kita bukan budak-budak lagi yang harus terperangkap dalam politik sebegini, menjadi ‘bull-in-the-pit’ yang sibuk dengan isu-isu permukaan. Kau tak tahu sastra Amerika kalau kau tak baca Henry Miller. Apa yang ada pada sastera Amerika hari ini, bermula dan berakhir dengan Henry Miller, kata Lawrence Durrel.

Yang menjadikan buku-buku Henry Miller dianggap kebanyakan orang sebagai bahan fatal yang tidak harus didedahkan adalah jelas: Henry Miller menulis dari sudut (gelap) lain yang melangkaui idealogi, mencampak semua tahi-tahi ego yang dipalit oleh penulis-penulis kontemporari. Henry Miller tidak ‘menepati’ model penulis pada zamannya, zaman sebelumnya, dan mungkin memang tak ada lagi zaman yang betul-betul sesuai untuk selesai membaca penulisan Henry Miller. Masa lampau, masa kini, masa depan, adalah puzzle yang telah dipijak-pijak Henry Miller dalam buku-bukunya sampaikan kritikus harus menggaru kepalanya untuk memastikan kronologi cerita. Henry Miller tak pernah bagi kau senang. Henry Miller sentiasa buat kau kerja keras setiap kali baca bukunya. Aku perlukan tiga kali khatam untuk percaya yang aku sudah membaca Tropic Of Cancer. Yang sebenarnya, aku masih ragu jika aku betul-betul telah ‘membaca’ magnum opus penulis ini – satu sebab yang buat aku fikir aku akan baca semula buku-bukunya di masa akan datang. Aku faham, Henry Miller akan maki aku jika dia tahu ada orang dekat Malaysia tulis macam ini pasal dia. Selain untuk membeli buku, hanya 10 peratus daripada kalangan pembacanya yang dia percaya betul-betul membaca tulisannya. Selebihnya dianggap tak mendapat apa-apa, atau memberi apa-apa manfaat kepadanya. Aku ragu aku jatuh dalam 10 peratus itu sebab hakikatnya aku tak beli buku dia. Yang ini lain cerita.

Kemudian aku menjumpai teks novel Colossus of Maroussi. Versi cetak dan jahit sendiri. Teks yang nantinya memberi gambaran lebih jelas kepada aku terhadap sang utopis yang membayangkan utopianya sebagai sebuah tempat di mana seseorang tak perlu berkeringat untuk teruskan hidup. Colossus of Maroussi, macam orang cakap, travelog tentang Greece terbaik yang pernah dituliskan. Tapi sudah tentu, Henry Miller tak cuma tulis tentang taman haiwan, zoo, muzium, kedai bunga, atau cuaca atau benda-benda mengarut lain yang seorang traveler biasa tulis. Ia adalah ‘surat cinta’. Surat cinta yang ditujukan kepada Greece. Selepas tinggal beberapa tahun di Paris, tidak berkeinginan pulang ke negara yang paling dibenci, Henry Miller menjelajah Greece dari Knossos, ke Delphi, Athens ke Thebes, bertemu watak-watak lunatik seperti Katsimbalis, ‘the poet’ Sefriades, dan sahabatnya, Lawrence Durrell. Setiap pertemuan, persinggahan, perpisahan, adalah pengalaman spiritual yang dialami, dibedah, digambarkan dengan perkataan. Setiap watak yang ditemuinya memberi inspirasi, mendedahkannya kepada kejadian manusia, sikap, integriti, dan setiap satunya adalah perjalanan menemukan diri si penulis sendiri. Berbeza dengan Rosy Crucifixion – Sexus, Plexus, dan Nexus yang berpusar kehidupannya dengan hubungan-hubangan sosialnya yang seringkali dilatari aksi ranjang yang digambarkan secara kasual (bukan sensasional), The Colossus of Maroussi adalah buku yang tak bagi kau kerja keras sangat. Buku tepat bagi orang yang masih menganggap Henry Miller cuma seorang yang mengagungkan ‘kelucahan’, abaikan kesimpulan sebegitu sebenarnya cuma membuktikan rigid pemikirannya.

Tapi ingat, ini bukan travelog nenek kau. Membaca Henry Miller adalah membaca pengalaman. Keindahan yang digambarkan Henry Miller adalah perkataan-perkataan yang dipadatkan dalam picagari, disuntik terus ke dalam pembulur darah si pembaca. Begitu intens sampaikan kau dapat rasa matahari Greece ada kat belakang kau, dan kau dapat menghidu wangi wain setiap bar yang melatari babak-babak dalam novel ini.

Dalam catatan diari Anais Nin, ada disebutkan tentang seorang pembaca/pengumpul/penerbit yang mengumpul semua tulisan Henry Miller, membeli manuskrip, dan juga menawarkan Henry Miller menulis buku untuknya. Dengan bayaran 1 dolar untuk setiap muka surat, dia meminta Henry Miller menulis sebuah buku yang bertemakan kelucahan. Kelucahan dalam naratif, meminta Henry Miller mengurangkan unsur ‘poetic’ di dalamnya. ‘Leave out the poetry and description of anything but sex’, pinta si pengumpul karya Henry Miller. Henry Miller yang lebih menganggapnya sebagai sebuah jenaka, memenuhkan muka surat demi muka surat dengan cerita-cerita percubaan (eksperimental) ‘liar’ sehinggalah dia bosan dan membiarkan tulisan-tulisan itu tanpa keinginan untuk menyentuhnya semula. Kumpulan tulisan ini dipercayai diterbitkan di bawah judul Opus Pistorum, atau Under The Roof Of Paris – buku perkenalan aku kepada Henry Miller yang aku tidak habis baca dua tahun lalu. Buku yang ditulis tanpa kesungguhan, di bawah tekanan dan kehendak orang lain, yang memberi persepsi sasar terhadap penulisnya. Bagaimanapun, dalam Novel of The Future, Anais Nin, penulis yang juga dikenali mempunyai hubungan intim dengan Henry Miller menuliskan bahawa Henry Miller tidak gemar tulisannya disunting. Dia menerima baik buruk setiap tulisannya dan enggan mengubah apa-apa bahagian daripada mana-mana bukunya.

Beberapa bulan lepas, aku bertemu semula dengan kawan-kawan lama. Kawan-kawan yang merupakan ‘hantu’ buku. Yang duduk di kedai kopi dengan jari mengepit rokok, kumat-kamit mulut berfalsafah tentang buku-buku yang telah dibaca. Anak-anak muda pseudo-intelektual yang memperuntukkan beberapa ratus duit poket membeli buku-buku tebal di Kinokuniya, memenuhkan rak-rak buku bertingkat di rumah. Aku sebagai pendengar yang baik, perlu diam. Memerhati riak muka di hadapan yang kelihatan seperti seseorang yang telah menggilis anak kucing. Berhamburanlah petikan-petikan ayat baik dari si penulis, mahupun ahli falsafah. Tajuk-tajuk buku dengan nama-nama yang susah sebutannya, komen-komen yang diselang-selikan dengan anggukan sesama. Tak ada nama yang akrab dengan pelat lidah. Tak ada Pak Sako, Latiff Mohidin, atau Muhammad Haji Salleh. Di sini, aku turut mengangguk, sebagai meraikan pesta muda-mudi melancap pandangan-pandangan sinis terhadap persekitaran, terhadap sosio-budaya, dan betapa malangnya tinggal di Kuala Lumpur. Kesinisan yang datang dari kemualan masing-masing. Kemualan terhadap diri sendiri, dalam kes ini.

Ketika aku cuba menghabiskan tulisan ini, beberapa naskah Henry Miller masih bersepah di atas meja. Dua daripadanya adalah judul yang diambil sempena payu dara June, isteri kedua Henry Miller – yang juga merupakan karakter yang paling banyak disebutkan dalam buku-buku Henry Miller. Aku membayangkan June (alter ego ‘Mona’ dalam Tropic of Cancer) sebagai salah satu ‘buku’ yang banyak memberi insiprasi kepada Henry Miller. Lupakan si penyair gergasi Whitman yang beberapa kali disebutkan Henry Miller sebagai penulis terbaik pernah dimiliki Amerika, Henry Miller sebenarnya menterjemah ‘buku’ yang dibacanya: Buku Kehidupan. Life is the source of every book, kata Henry. Kehidupan yang disedut, dihadam, dibedah, dimuntah dengan perkataan, kemudian dibaca pada waktu yang lain, Kehidupan yang lain.

Montaparnesse jauh sekali untuk dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Tak ada perempuan seperti Mona pernah baring di sebelah aku. Begitu juga hakikat aku belum pernah menjejak kaki ke Greece – tak akan pernah. Tapi ada sesuatu yang ‘colossus’ pada setiap individu, setiap kehidupan. Sesuatu yang hidup di luar ‘Sang Waktu’. Selesai membaca Colossus of Maroussi, aku seperti sedang melihat seluruh tamadun Greece sedang berlangsung di depan mata. Melihat Tuhan-tuhan yang telah mati dan cuba dihidupkan dalam mitos-mitos sebuah kotaraya. Hanya dengan duduk dan perhati (bukan fikir!) sekeliling, kehidupan menjadi sumber pengetahuan yang tak pernah habis dibaca. Sudah 69 tahun kali terakhir The Colossus of Maroussi diterbitkan. Tapi membacanya, aku seperti sedang duduk di kedai kopi dan mendengar seorang teman membebel hal-ehwal politik Malaysia. Ketika teman ini bercerita bagaimana dia menghalau seorang lelaki bernama George Orwell dari rumahnya, aku geli hati mengenang idealis-idealis lain yang wujud dalam lokus sosial aku. Realitinya aku sedang membaca pengalaman manusia lain, yang dulu hidup di kotaraya lain, di zaman yang lain. Dan benar, tak ada sesiapa yang akan menikmati pengalaman yang diinginkan kecuali dia benar-benar telah bersedia. Kehidupan digegerkan oleh hal-hal rambang, tapi seakan ada sesuatu yang begitu vital mencantum-padukan setiap satunya. Sesuatu yang aku mula rindu saat cuba menjadi manusia.

Anais Nin Colossus of Maroussi Henry Miller Katsimbalis Lawrence Durrel Lawrence Durrell Noel Gallagher Robbie William Sastera Amerika Under The Roof Of Paris Walt Whitman

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan