Datuk M. Nasir ketika menyampaikan lagu di Konsert Untukmu Loloq © Ismail M Shariff

 

Bak kata M. Nasir pada malam ketiga—malam akhir—Konsert Tribute Untuk Mu Loloq (22-24 April lalu di Istana Budaya)—julung-julung kali sebuah konsert tribute diadakan untuk seorang penulis lirik. “Inilah kali pertama di Malaysia, barangkali juga di dunia.”

Rosli Khamis (1958 – 2008)

Sesebuah tribute selalunya untuk mengenal dua perkara; satu, menjurus kepada tokoh; dan kedua, jasa-jasanya. Dalam kasus Loloq, keduanya sangat mustahak. Loloq sebagai peribadi yang ramah dan senang mesra, dan karya yang mencakup pelbagai isu dan tema.

Namun, lirik adalah lirik. Lirik bukan “puisi”. Walaupun kekadang, lirik mampu mencecah tahap puisi. Itu kata Loloq, di suatu waktu apabila kami bercakap pasal lirik; di waktu segelintir orang memasang kepercayaan, lirik yang bagus selalunya berparas ala-ala puisi.

Sedangkan, tidak semestinya begitu—sementara banyak sekali lirik di pasaran, ditulis dengan angan-angan sebagai sebuah puisi.

Puisi: puisi, Lirik: lirik

Belum tentu sahaja lirik yang bagus, adalah daripada sebuah puisi. Barangkali, sebab itu jugalah, dua puisi oleh dua mantan Perdana Menteri, iaitu “Melayu Mudah Lupa” dan “Damai Abadi” ‘gagal’ sebagai sebuah lirik.

Salah tanggapan semacam ini agaknya samalah seperti di suatu waktu, ramai juga orang bertanggapan bahawa pelakon layar perak atau drama yang baik selalunya datang daripada pentas teater. Tentunya tidak begitu, sebab, teater punya hukum-hakam permainan yang berbeza dengan filem mahupun drama TV.

Oleh itu, lirik ada ‘identiti’ dan struktur tersendiri; dikepong irama dan melodi, misalnya. Sedangkan puisi, tidak. Puisi lebih bebas untuk mengatur perkataan dan ayat. Lirik selalu terbatas oleh panjangnya (“duration”) lagu. Bentuk lirik dibentuk kuat oleh lagu itu sendiri. Karena, lirik ‘menumpang’ pada lagu. Sedangkan, puisi tidak. Puisi tak ‘menumpang’ selain pada penulisnya semata-mata.

Tidak dimengertikan, entah sejak bila selalunya dikatakan “lirik yang baik” itu semestinya berbahasa puisi. Kalau begitulah hukumnya, banyak sekali lirik-lirik oleh Loloq, boleh dianggap ‘tak bagus’ sebab tidak berbentuk puisi.

“Ngam Ho” sebagai contoh. Lagu yang dinyanyikan band Spider. “Ngam Ho” hanya sebagai cerita dan “bahasa kutu”. Ia bukan bahasa ‘sasterawi’ dengan liuk-lentuk “sastera tinggi”.

Aaa-ooo
Biskut rendam kopi O
Aaa-ooo
Jangan kecoh
Naik bukit kasi pelan-pelan kayuh
Baru ngam ho
Orang panggil lu hero

Bahkan, dalam lirik itu, ada guna perkataan ganti nama diri yang ke-‘kutu’-an sifatnya. Iaitu “lu”: sebuah istilah yang selalu dipakai bukan sahaja kalangan orang Tiong Hua, tetapi juga kalangan mamat rocker mahupun orang bawahan. Itu bahasa “cakap jalanan”.

Lu hebat ada hebat lagi
Lu ligat ada ligat lagi
Boleh untung mesti boleh rugi
Takut kalah jangan main judi

Tak habis di sana, karena tetap sahaja sebagai penulis lirik yang pernah melintas dekad 1990-an, barangkali boleh disebut sebagai “dekad rock”, lirik yang puitis juga pernah dan ada dicoba ditulis Loloq. Lihat sahaja di dalam lagu “Layar Impian”, daripada album “Ella USA”, yang dinyanyikan Ratu Rock Malaya, Ella.

Jika mimpi masa silam
Bisa ku simpan dalam kaca
Jadi perhiasan

Imaginasi untuk menyimpan “mimpi” di dalam “kaca” sebagai sesuatu yang tak mungkin berlaku di alam nyanyi, tak lain adalah imaginasi dan bahasa yang agak puitis. Begitu, menyedari latar masa lagu Layar Impian ini adalah di zaman di mana penulis-penulis lirik begitu terkasima dengan bahasa yang puisi. Banyak contoh yang boleh dipetik, misalnya dalam lirik-lirik nyanyian Search, seperti “Layar Bahtera”:

Mata mu bagaikan
Mata angin mencari arah
Senyum mu yang memukau
Menyelubungi
Melayarkan bahtera

Boleh terkesan, walaubagaimana pun puitisnya bait-bait lirik itu, ia menceritakan perihal yang sangat seksual: pengamatan melihat perilaku dan wajah seseorang yang sedang di ranjang. Ditambah sah dengan tajuknya, “Layar Bahtera”, yang di dalam Melayu, istilah sedemikian juga terkait perihal aktiviti ranjangan.

Timbul juga di dalam lirik yang puitis dan yang tidak, kata ganti nama diri “mu”: konon ia “Mu” dengan huruf besar bagi merujuk Tuhan, atau “mu” dengan huruf “m” kecil bagi merujuk manusia. Cempang-peranang dan kecelaruan’ ini timbul bila mana ada penulis lirik yang coba-coba mengangkat derajat karya mereka ke harakat tasauf dan berbau ugamawi. Coba nyanyikan lagu “Kekasih Awal dan Akhir” itu, yang liriknya ditulis S Amin Shahab:

Kau kekasih awal dan akhir
Kau kekasih zahir dan batin
Setelah ku sedari
Cintamu yang abadi

“Mu” di dalam rangkap itu, terbuka termasuk boleh ditafsir sebagai merujuk Tuhan. Lebih-lebih lagi apabila didukung dengan rangkap-rangkap sebelumnya:

Sekian lama terpisah
Akhirnya bertemu
Mengenang dosa
Mengenang rindu
Dan ternyatalah
Cintaku yang satu

Untuk zaman-nya, mungkin lirik sedemikian sesuatu yang maha hebat kesedarannya. Sampaikan puluhan lirik lain, termasuk yang ditulis Loloq, untuk seolah-olah ‘menjawab’ tulisan Amin. Maka lahirlah, “Ghazal Untuk Rabiah” (duet M Nasir dengan Jamal Abdillah—lagu ini pernah dijulang sebagai Juara Lagu TV3) sehinggalah “Laila Namamu Teratas” (Search) dan bla-bla-bla.

Ia terasa bukan persoalan Loloq, atau Amin semata. Perihal lirik dengan nuansa ketuhanan barangkali tak lain kesan daripada tuduhan bahawa seni (termasuk musik) adalah sesuatu yang meleka-lalaikan: sepertimana selalu dihantu-hantukan oleh segelintir orang ugama dan politisi.

Kedua, mungkin ia juga lirik kesan daripada era “penyerapan nilai Islam” yang menjadi agenda pemerintah sekitar dekad 90-an dahulu. Kala mana Dr Mahathir Mohammad menggunakan suara dan sosok ugama-nya Anwar Ibrahim sebagai “perisai ugama”.

Hanya barangkali selepas alaf baru, faham dan “kaedah tasauf” dan kesufian sedemikian lekang dan semakin lerai. Isu di “bawah” dan persoalan manusia dan kemanusiaan kembali diangkat sebagai tema dan persoalan di dalam karya Loloq, sehingga misalnya lahirlah “Kerana Percayakan Siti”. Nyanyian band Exists.

Kerana percayakan Siti
Tercetus revolusi ini
Tapi ironinya
Cinta kami tak jadi

Arakian ikon popular yang dipetik Loloq, ialah tanda nama “Siti”. Tentu ramai orang menduga, “Siti” yang dimaksudkan ialah Siti Nurhaliza. Tapi boleh sahaja ya. Boleh sahaja tidak.

Loloq membuka ruang tafsiran dan “perasan” di situ. Dan lirik sedemikian berbeda sekali dengan lirik-lirik lain yang bergayut kepada populariti seseorang. Misalnya, terbaru lagu “Sofea Jane”—sementara tak ada sepatah haram pun nama Sofea Jane disebutkan di dalam bait lirik. Tajuk itu tak lebih hanya sebagai tajuk. Begitulah beza besar penulis lirik yang berfikir dengan yang sembarangan sembarang.

Melambak-lambak lagi “bahasa kutu” yang diangkat Loloq menjadi judul, bait lirik bahkan ikon di dalam tulisannya. “Tak Nak Jadi So-Chai”, “Kita Peng-Yu” (band XPDC), “Sup Selipar” (Salleh Yaakub), “Kacap Terlabik” [“Cakap Terbalik”] (Spider) dan bla-bla-bla…

Sebab Loloq itu bukan penulis dengan satu nama. Banyak lagi yang umum tak sedar; yang umum tak tahu bahawa yang didengar oleh kita, termasuk golongan ugamawan dan politisi itu, adalah air tangan Rosli Khamis.

Bukan orang yang lain. Tetap individu, yang sama.

 

Buddhi Hekayat, penulis lirik.