Gambar seorang mangsa yang ditemui dalam salah satu bilik di S-21 semasa hari pengunduran rejim Khmer Rouge.

Lewat Februari hingga awal Mac lalu, saya memilih mengeluarkan belanja untuk hadir ke Program Pemimpin Muda Nahdah Asia siri ke-5 yang berlangsung di Kemboja. Sebagai alumni program tersebut, saya selalu cuba memahami beberapa isu setempat termasuk sejarahnya.

Intrik politik di Kemboja pasca kemerdekaan negara itu mungkin rumit disebabkan ia berlaku seiring dengan perkembangan Perang Vietnam. Pertembungan ideologi masih belum surut dan kekal bersemarak pasca Perang Dunia kedua.

Perlembagaan buatan kolonial Perancis membenarkan waris daripada dua keluarga – Sihanouk dan Sisowath. Dalam getir intrik yang berlaku, saya menemukan kenyataan kesal dalam kecaman Raja Sisowath Sirik Matak kepada Amerika lewat suratnya kepada duta rasmi negara itu di Kemboja. Waktu itu Amerika menawarkan perlindungan kepada beliau daripada terus ditahan lewat konfliknya dengan Sihanouk dan Perdana Menteri, Lon Nol. Katanya: “Saya memahami sikap Amerika untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman (Kemboja). Tetapi sekiranya Amerika terus memberi sokongan kepada rejim (Sihanouk) yang sedang memerintah, kami akan jatuh ke tangan Komunis. Anda memberi bantuan kepada seorang manusia (merujuk dirinya – penulis) yang mahu hidup secara bebas. Namun, apabila anda menyokong rejim yang tidak mendapat sokongan rakyat, anda sebenarnya sedang membantu Komunis.”

Persoalan berkaitan turut dibangkitkan dalam program tersebut. Dalam beberapa sesi  perbincangan, saya mengesan perasaan mendalam daripada pertanyaan seorang peserta dari Kemboja. Katanya: “Saya telah banyak kali mempertanyakan soalan ini kepada ramai orang tetapi saya tidak memperolehi jawapan yang memuaskan. Saya tertanya kenapakah masyarakat dunia tidak mengambil tindakan yang sepatutnya untuk campur tangan bagi mengelakkan tragedi ini?”. Soalan peserta ini merujuk kepada tragedi penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai di Padang Pembunuhan (the Killing Fields) dan Pusat Tahanan Tuol Sleng yang dikenali dengan panggilan S21. Daripada banyak sumber yang tercatat, jumlah kematian di era pemerintahan Khmer Rouge (1975-1979) pimpinan Pol Pot itu adalah seramai kira-kira 2 juta orang – satu perlima daripada jumlah penduduk di Kemboja pada waktu itu. Ini termasuk 35,000 warga asing dari pelbagai negara, khususnya Vietnam.

Saya tidak dapat menahan diri daripada mengunjungi kedua-dua tempat tersebut. Sukar untuk saya memahaminya. Untuk manusia normal, melihat kebenaran sejarah yang ditunjukkan di sana cukup mengganggu perasaan. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana mereka yang berdepan dengan realiti pahit tersebut. Fikiran menjadi keliru kerana sepanjang wisata saya ke negara itu, rakyatnya ternyata cukup berhemah. Namun, rakan dari Kemboja mengingatkan kecenderungan ekstrim rakyat di sana – yang baik boleh jadi sangat baik dan yang jahat boleh jadi sangat jahat.

Tidak banyak boleh saya dapatkan daripada cerita rakyat – atau lebih khusus pemandu Tuk Tuk yang saya ambil. Mereka sebolehnya tidak mahu mengingati peristiwa tersebut. Mereka sendiri tidak dapat memahami sepenuhnya kezaliman yang berlaku. Mereka percaya sebahagian pejuang revolusi Khmer Rouge itu baik tanpa menafikan penolakan terhadap kezaliman yang berlaku. Saya membeli beberapa bahan untuk ditonton dan dibaca bagi menambah kefahaman tentang apa yang berlaku.

Semuanya bermula pada April 1975. Waktu itu Perang Vietnam mulai berakhir dan Amerika Syarikat meninggalkan Saigon, ibu kota Selatan Vietnam sebelum diduduki oleh Tentera Rakyat Vietnam dan Barisan Pembebasan Kebangsaan, sekaligus memulakan era pemerintahan komunis di negara itu.

Kemboja tidak terlepas daripada menerima tempias pergolakan di Vietnam. Ketika negara jiran mereka bergolak, pertembungan dasar berlaku. Ramalan bahawa negara China tidak akan menguasai Indo-China telah menyebabkan Raja Norodom Sihanouk mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara tersebut termasuk Kesatuan Soviet Rusia. Pelabuhan di Sihanoukville telah dijadikan jalan pembekalan senjata kepada Vietnam. Tindakan itu telah menyebabkan Kemboja tidak lagi dilihat negara berkecuali. Sihanouk kehilangan kuasa melalui coup d’etat tentera yang dipimpin oleh Jeneral Lon Nol dengan bantuan Sirik Matak.

Sihanouk yang berada di luar negara ketika rampasan kuasa itu berlaku kemudiannya ‘bekerjasama’ –dari luar negara – dengan Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar, musuh politik lamanya untuk menentang pemerintahan baru tentera tersebut. Kehadiran ramai tentera dan tindakan pengeboman di kawasan Timur Cambodia yang menjadi tempat persinggahan rakyat dari Utara Vietnam telah membunuh ratusan ribu orang dan ketidakstabilan yang berlaku menjadikan populariti Pol Pot semakin meningkat. Dengan gerakan tersusun, Pol Pot merancang pengambil-alihan kuasa.

Tanggal 17 April 1975, Phnom Penh mula dikawal sepenuhnya oleh rejim komunis Khmer Rouge. Kebanyakan yang mengikutnya ialah remaja dan anak muda yang menyokong gerakan revolusi bersenjata. Kehadiran mereka disambut gembira oleh penduduk di Phnom Penh yang mula melihat masa depan lebih baik untuk negara mereka. Tidak ada lagi peperangan dan pemberontakan.

Namun, kegembiraan itu tidak lama. Hanya selepas beberapa jam, Phnom Penh mula dikosongkan dan penduduk dikerah bergerak ke pinggir bandar – berjalan kaki dan diiringi oleh gerila bersenjata. Rakyat asing mula meninggalkan negara tersebut. Bagi yang gagal berbuat demikian, nasib mereka tidak pernah diketahui dan kemudiannya dianggap mati, kecuali beberapa yang mayatnya dapat dikesan kemudian.

Pol Pot mula melancarkan apa yang disebut sebagai revolusi pertanian, meniru sebahagian Revolusi Budaya ala Mao Zedong di China di mana beliau pernah melihatnya sendiri dalam kunjungan ke negara itu. ‘Abang besar nombor 1’ itu mengatakan “sesiapa yang mempunyai beras mempunyai segala-galanya”. Ironinya, Parti Komunis Kemboja yang merupakan tulang belakang di sebalik rejim Khmer Rouge itu mengisytiharkan nama baru negara itu sebagai Republik Demokrasi Kemboja. Pol Pot  mengumumkan permulaan Tahun Kosong dengan agenda utamanya ialah penyucian pemikiran yang bercanggah dengan komunisme. Kesetiaan rakyat mesti ditumpahkan sepenuhnya kepada Angkar, nama lain bagi rejim Khmer Rouge – Parti Komunis Kemboja.

Rakyat Kemboja tidak dibenarkan ke luar negara – kecuali sebahagian yang sempat diselamatkan melalui penerbangan keluar duta dan rakyat asing. Mereka ini terdiri daripada rakyat Kemboja – dan ahli keluarga mereka – yang bekerja dengan kedutaan atau syarikat negara terbabit.

Bagi memastikan Tahun Kosong berlangsung sepenuhnya, generasi lama perlu dihapuskan kerana mereka dianggap sebagai kelompok yang telah tercemar pemikirannya. Waktu itu bergentayangan ungkapan ‘sesiapa yang merungut adalah pengkhianat, sesiapa yang melawan adalah mayat’.

Antara kelompok awal yang dibunuh ialah para profesional, bijak pandai, orang kaya dan bekas pegawai kerajaan terdahulu. Ia dibuat dengan pengumuman bahawa Angkar sangat memerlukan mereka untuk membantu usaha revolusi bagi memajukan negara. Tidak terhad kepada kelompok tersebut yang berada di dalam negara, mereka yang pulang dari luar negara juga dipanggil balik dengan alasan yang sama sebelum dibunuh. Mereka yang berlindung di kedutaan asing juga diseret keluar bersama keluarga masing-masing sebelum dibunuh. Kekuatan sosial yang lain seperti kelompok yang beragama Buddha dan selainnya juga menjadi mangsa pembunuhan kejam selain banyak tempat ibadat turut dimusnahkan. Etnik minoriti seperti Vietnam, Cina, Muslim Champa serta sejumlah etnik lain turut dikorbankan.

Tenaga rakyat yang diusir ke pinggir bandar dikerah sepenuhnya untuk pertanian. Ramai yang mati akibat beban kerja yang melampau di samping penyakit dan kelaparan akibat catuan makanan – hanya 180 gram nasi seorang untuk dua hari, berbeza dengan gerila yang dibenarkan menikmati makanan yang lebih baik. Dengan kawalan gerila, mereka – antara 10 hingga 15 keluarga – ditempatkan bersama dalam satu rumah. Mereka yang bermasalah akan diseksa dan lazimnya dibunuh. Untuk gerila ini, hidup atau mati mereka itu tidak signifikan. Menurut Dith Pran, rakyat Kemboja yang pernah menjadi hamba kepada rejim ini sebelum berjaya melarikan diri ke kem perlindungan pelarian di sempadan Thailand, sepanjang waktu itu “hanya mereka yang diam akan terus hidup” meskipun sebahagian yang diam juga boleh saja dibunuh sekiranya para gerila mahu berbuat demikian. Tidak ada sesiapa dibenarkan berhimpun lebih daripada dua orang tanpa pengawasan.

Selain daripada tapak Choeung Ek iaitu Padang Pembunuhan beramai-ramai yang masih ada (dan itu bukan satu-satunya), tempat yang masih dipelihara dan kekal dikunjungi ialah Tuol Sleng atau dikenali sebagai S-21. Sekolah yang ditukar menjadi pusat tahanan ini merupakan tempat di mana ‘penyiasatan’ dibuat.

Lakaran gambar yang dipamerkan di S-21 menunjukkan cara pembunuhan kanak-kanak kecil di Padang Pembunuhan.

Sebagaimana di tapak Padang Pembunuhan, masih ada bekas dan sisa terdahulu yang kekal. Jika di Padang Pembunuhan saya masih dapat melihat kesan darah kering pada pokok (yang digunakan untuk menghempas kanak-kanak dengan tujuan membunuhnya), gigi, tulang dan helaian baju yang terkambus di dalam tanah (selain yang dikumpul dan dipamerkan), di S-21 masih ada tinggalan katil, bekas makanan, alat-alat penyiksaan, besi yang diguna sebagai gari dan darah kering pada lantai. Melihat ‘pusat tahanan’ tersebut dengan segala gambar mangsa termasuk lukisan teknik penyiksaan yang berlaku membuatkan saya tertanya ‘apakah yang mendorong kesanggupan rejim Khmer Rouge ini berbuat begitu?’

Saya mungkin bertuah kerana dapat bertemu dengan Bou Meng, salah seorang mangsa tahanan di S-21 yang masih hidup. Saya membeli bukunya sebagai satu sumbangan kecil untuk perkongsian besar yang dibuatnya. Ditambah tontonan beberapa cakera padat yang dibeli, saya cuba mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran.

Bayangkan jika kita ditangkap tanpa mengetahui apa salah yang dibuat. Ketika ditanya, jawapan yang diterima cukup mengecewakan “Angkar tidak mungkin salah menangkap orang!”. Waktu itu, kita sentiasa berada di pihak yang salah kecuali mereka berpuas hati untuk mengatakan tidak – dan selalunya ini hampir tidak pernah berlaku.

Apakah kesalahan yang dimaksudkan? Mereka memberi pilihan “anda ini ejen siapa? CIA, KGB atau Vietnam?”. Cukup malang untuk orang yang hanya tahu Vietnam itu adalah negara jiran dan tidak sama sekali mengetahui apa itu CIA dan KGB. Namun, itulah pilihan jawapan yang dimahukan dan jawapan dengan mengatakan tidak terlibat dengan mana-mana daripada pilihan tersebut tidak tersenarai. Kesan daripadanya, anda mungkin ditampar, ditumbuk atau diterajang. Lebih buruk, anda akan dirotan dengan tali atau buluh, dihentak dengan kayu atau direjam dalam air. Ada juga yang kukunya dicabut, tubuh badan disiat dan ditaburkan garam serta yang dibaringkan sebelum dadanya dilompat-pijak berulang kali. Tidak hairanlah jika S-21 disebut sebagai konlaenh choul min dael chenh yang bermaksud ‘tempat di mana orang yang masuk ke sana tidak akan keluar’.

S-21 adalah neraka dunia. Sebaik sahaja masuk ke sana, ada 10 ‘peraturan keselamatan’ yang perlu diketahui oleh para tahanan.

  1. Anda mesti menjawab segala pertanyaan dan tidak boleh menolaknya.
  2. Jangan cuba melindungi fakta dengan membuat pre-teks itu dan ini. Anda tidak boleh sama sekali mencabar penyoal.
  3. Jangan jadi bodoh mengatakan anda adalah seorang pemberani yang mahu menggagalkan revolusi.
  4. Anda mesti terus menjawab soalan yang ditanya tanpa melengahkan masa untuk mengingat.
  5. Jangan beritahu penyoal bahawa anda tidak bersalah atau anda turut sama berjuang dalam revolusi.
  6. Sekiranya anda disebat atau dikenakan kejutan elektrik, anda tidak boleh meraung atau menangis sama sekali.
  7. Jangan melakukan apa-apa. Duduk tegak dan tunggu arahan. Jika tiada arahan, diam. Jika anda disuruh melakukan sesuatu, anda mesti terus melakukannya tanpa soal.
  8. Jangan membuat pre-teks tentang Krom Kemboja (orang Khmer yang tinggal di kawasan Sungai Mekong dan Selatan Vietnam – penulis) untuk menyembunyikan pengkhianatan anda.
  9. Jika anda tidak patuh kepada semua peraturan di atas, anda akan disebat berulang kali dengan wayar elektrik.
  10. Jika anda melanggar mana-mana peraturan, anda akan menerima sekurang-kurangnya 10 sebatan atau 5 kali kejutan elektrik.

Dengan penderaan yang dibuat, tahanan tidak punya banyak pilihan selain daripada mencipta kesalahan sendiri dan menyebut siapa saja nama yang dikenali mereka ketika ditanya tentang orang lain yang mempunyai jaringan perhubungan ini. Malangnya, nama-nama ini bukan sahaja tidak bersalah tetapi turut menjadi satu elemen pengesahan kepada dakwaan Angkar tentang kewujudan sejumlah besar pengkhianat di kalangan rakyat dalam negara.

Selain orang biasa, tahanan di S-21 juga terdiri daripada kader Angkar sendiri termasuk orang kanannya. Mereka dihukum kerana sikap paranoid Angkar terhadap elemen yang dianggap tidak cocok dengan mereka termasuk kerana mengatakan gerakan komunis di Kemboja wujud pada tahun 1951 di mana kenyataan itu secara tidak langsung mengiktiraf bantuan komunis Vietnam dalam menyusun gerakan komunisme di Kemboja dan bukan tahun 1960 iaitu ketika Pol Pot mula memimpin Jawatankuasa Pusat.

Ironi. Persaingan sesama negara komunis mempunyai dinamikanya sendiri. Vietnam yang lebih rapat dengan Kesatuan Soviet Rusia tidak mengambil mudah terhadap Kemboja yang dibantu oleh China.

Sasaran Angkar untuk menghasilkan beras sebanyak 3 tan satu hektar tidak tercapai. Mereka tidak mahu menggunakan teknologi dan mengerah semua rakyat yang dipindahkan ke pinggir bandar untuk mengusahakannya secara manual selama 12 jam sehari. Keadaan semakin buruk kerana jumlah besar daripada makanan yang dihasilkan dihabiskan oleh gerila dan kader Angkar.

Penulis di salah satu tapak penemuan tengkorak dan tulang mangsa pembunuhan beramai-ramai di Padang Pembunuhan.

Tentera Vietnam semakin mara dan menangkap sejumlah rakyat dan tentera Khmer Rouge di sempadan. Sebahagian tentera ini memilih untuk lari mendapatkan perlindungan Vietnam kerana mula merasakan situasi di Kemboja tidak lagi selamat, bahkan bertentangan dengan tujuan asal mereka menyertai revolusi. Salah seorang daripadanya ialah Leftenan Hun Sen, anak muda yang dilatih di kalangan mereka yang meninggalkan rejim Khmer Rouge untuk dijadikan pemimpin – dan beliau kini masih menjadi Perdana Menteri di Kemboja.

Krismas 1978 menyaksikan tentera Vietnam mara ke wilayah negara Kemboja untuk meluaskan sempadan selamatnya. 100,000 tentera yang masuk akhirnya menyedari bahawa rejim Khmer Rouge kian lemah dan Phnom Penh boleh ditawan dalam tempoh terdekat. Januari 1979, Pol Pot akhirnya berundur selepas menyedari bahawa rejim Khmer Rouge tidak lagi dapat bertahan.

Kini negara pasca pemerintahan kuku besi rejim Khmer Rouge diisytiharkan sebagai Republik Rakyat Kemboja. Namun, apa yang ditinggalkan oleh rejim Khmer Rouge ternyata lebih buruk daripada apa yang dapat dibayangkan oleh tentera Vietnam dan rakyat Kemboja yang bersama mereka. Vietnam hanya berundur dari Kemboja pada tahun 1989 dan Pol Pot yang tidak pernah mengaku kesalahannya kembali menggerakkan tentangan Khmer Rouge kepada kerajaan. Beliau sentiasa menyalahkan tentera Angkar yang didakwanya mendapat latihan tentera Vietnam. Beliau berdalih bahawa segala kezaliman bukanlah keinginannya tetapi tindakan sendiri tentera-tentera terbabit. Tentera-tentera ini, menurut Pol Pot, sentiasa memberikan khabar baik dalam laporan yang dibuat kepadanya.

Rundingan damai tidak berhasil. Pol Pot tidak pernah mengaku salah dan mengecam kerajaan yang ada sebagai bersekongkol dengan anasir luar. Kegagalan rundingan damai ini menyebabkan kerajaan Kemboja mengambil langkah mengumumkan pengampunan kepada mana-mana pengikut Khmer Rouge yang mahu menyerah dan kembali kepada kehidupan normal.

Pol Pot mengalami lumpuh pada pertengahan 1990-an. Namun, itu tidak menjadikan beliau lemah. Son Sen, orang kanan kepercayaannya telah diarah bunuh kerana cuba membuat rundingan damai dengan kerajaan. Pol Pot mati pada tahun 1998 sebelum sempat dibicarakan. Spekulasi mengatakan kematiannya mungkin disebabkan bunuh diri, berpunca daripada pengumuman di radio bahawa Khmer Rouge sedia untuk menghadapkan tokoh mereka itu kepada tribunal atas pertuduhan jenayah kemanusiaan.

Sukar untuk dipercayai namun itulah sebahagian sejarah pahit Kemboja. Mungkin kerana itu George Santayana menyebut kegagalan manusia mengingat sejarah akan menyebabkan mereka dikutuk kerana mengulanginya. Entah kenapa sejarah dikaitkan beliau dengan kutukan. Apakah memang sejarah buruk yang selalu berlaku justeru lebih banyak dikenang?

Kini ketua pusat tahanan S-21, Kaing Guek Eav (lebih dikenali sebagai Duch) berdepan tribunal. Beliau telah memeluk Kristian dan paderi yang membaptisnya mengatakan Duch pernah membuat pengakuan kesal akan dosa-dosa kepada rakyat. Dalam kenyataan lain, Duch menyatakan watak pelakon pembantu filem The Killing Field, Dr. Haing S. Ngor yang berjaya melepaskan diri ketika menjadi salah seorang tahanan rejim Khmer Rouge,  sebenarnya dibunuh melalui arahan Pol Pot. Sebagaimana pengakuan sebahagian gerila Khmer Rouge, Duch mengaku bahawa mereka hanyalah mata rantai yang sebenarnya berdepan dengan potensi dibunuh sekiranya tidak menjalankan tugas penyeksaan untuk mendapatkan maklumat atau membunuh tahanan di S-21. Sebagai ketua pusat tahanan, Duch  sedia mengambil tanggungjawab akibat kesalahan mereka sambil memohon hukuman diringankan.

Banyak buku, dokumentari dan filem didedikasikan kepada kisah pahit Kemboja. Saya berharap nanti akan dapat menambah koleksi sedia ada termasuk dua yang terbaru – Rain Falls from Earth (Surviving Cambodian’s Darkest Hour) dan Enemies of the People (A Personal Journey into the Heart of the Killing Fields). Saya fikir, mereka yang mahu memahami dekad gelap di Kemboja boleh memulakannya dengan filem The Killing Fields.

Dalam banyak keadaan, kita sememangnya cenderung untuk menolak campur tangan luar. Namun mungkin bukan pada setiap keadaan. Pengalaman Kemboja adalah kes yang mempunyai banyak sisi pelajaran dalam usaha kita memahami kompleksiti ideologi dan pembinaan negara.

Saya kian memahami mengapa Ikrar ASEAN (ASEAN Charter) menjadi satu usaha penting yang perlu diterjemah kepada komitmen tanpa berbelah bahagi. ASEAN telah melalui banyak sejarah pahit yang belum kunjung selesai. Anak mudalah yang harus menegaskan komitmen untuk mengembalikan maruah negara ASEAN sebagai wilayah aman, di mana maruah dan martabat insan dimuliakan melalui kedaulatan hukum, kebebasan, keadilan dan kejujuran integrasi. ASEAN harus belajar bahawa paksaan hanya boleh menyatukan kita pada satu tempoh masa tetapi idea boleh menyatukan manusia selamanya.

Jelasnya, kita hidup dalam sejarah yang penuh kisah baik buruk dan tidak ada utopia tahun kosong untuk mengusahakan masa depan yang lebih baik.

Amin Ahmad, 29 ialah seorang penggemar wisata. Ketika di Kemboja, beliau terpesona dengan Angkor Wat dan menghargai pengakuan sejarah pahit negara itu dengan menjadikan S-21 dan satu daripada Padang Pembunuhan yang ada sebagai kawasan muzium dan pusat ‘pelancongan sejarah’.

ASEAN Choeung Ek George Santayana Kaing Guek Eav Kemboja Khmer Rouge Nahdah Asia Norodom Sihanouk Parti Komunis Kemboja Phnom Penh Pol Pot S-21 Son Sen The Killing Fields Tuol Sleng Vietnam

Tinggalkan Balasan kepada CIKGU ISHAK Batal balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Menarik. teruskan usaha. Pastikan visi dan misi jelas ke arah pencerahan. SELAMAT TERUS BERKARYA .