Bila membaca kenyataan bersama tentang kes Interlok oleh empat orang Sasterawan Negara (KBSN) kita, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan, sekali lagi saya berasa hampa, seperti hampanya bila saya membaca Memorandum PENA Mempertahankan Novel Interlok pada tanggal 5 Februari 2011 dahulu.

Pendekatan sastera vs pendekatan politik perkauman

KBSN menekankan prinsip “membaca sastera dari pendekatan sastera”, tetapi pendekatan yang sama tidak diambil untuk menangani kontroversi Interlok, sebaliknya diharapkan “partai politik yang menjadikan pembelaan nasib dan martabat kaum Melayu” supaya “tampil memberi sokongan moral kepada seorang pengarang Melayu bernama Abdullah Hussein”.

Memorandum PENA lebih awal lagi telah mendedahkan pendekatan politik perkaumannya yang amat ketara tanpa berselindung, antara lain:

  • Didakwa bahawa kredibiliti Kementerian Pelajaran Malaysia, Kerajaan Malaysia dan maruah orang Melayu telah dipermain- mainkan;
  • Kebimbangan kedudukan istimewa orang Melayu akan disamatarafkan;
  • Mendesak kerajaan agar bertegas memenuhi permintaan orang Melayu yang merupakan majoriti dan tuan di Negara ini; dan
  • PENA hanya menjaga kepentingan dan maruah orang Melayu sebagai pemilik ketuanan di negara dan tanah air mereka.

PENA mempertahankan ketuanan Melayu

Jika penggunaan novel Interlok sebagai buku teks adalah untuk mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai tuan negara ini, seperti yang ditegaskan oleh Memorandum PENA, maka terbuktilah kekhuatiran pihak-pihak terbabit memang berasas: penggunaan buku Interlok akan memperkukuhkan lagi dikotomi rakyat negeri kita menjadi dua kategori, iaitu tuan dan pendatang yang tidak sama taraf!

Sasterawan wajar berjiwa besar, mampu menghargai dan menghayati nilai-nilai sejagat yang merentasi batasan kaum, agama, budaya, negara malah ruang dan zamannya. Mereka hendaklah lebih mengambil berat tentang nilai-nilai rohaniah yang luhur serta bersifat rasional, intelek, bijak, dan berjinak dengan idealisme dan falsafah yang tahan diuji zaman.

Sasterawan kita perlu membuat kritik-diri

Mungkin sudah sampai masanya sasterawan/budayawan kita membuat refleksi atau kritik-diri: Kenapa skop atau ruang lingkup kita begitu sempit sekali, sehingga tidak mampu melampaui batasan kaum, meskipun kita padahal telah merupakan warga dunia dalam zaman globalisasi.

Kenapa keyakinan diri kita begitu rapuh sekali, sehingga penggunaan atau tidak sebuah novel sebagai buku teks perlu dikaitkan dengan maruah bangsa yang berdaulat, kedudukan istimewa sebagai tuan rumah, dan kebimbangan kaum lain akan mencapai taraf yang sama? Tidakkah sasterawan kita menyedari bahawa menafikan kedudukan taraf yang sama bagi mana-mana satu kaum padahal merupakan pencerobohan terhadap prinsip sama rata bagi semua bangsa?

Di samping itu, Kenyataan Bersama Sasterawan Negara (KBSN) kita juga mengemukakan beberapa pandangan yang rasanya boleh dibincangkan secara lebih lanjut.

Misalnya saran KBSN: Kita harus membaca sastera sebagai sastera, dan bukan buku sejarah atau politik. Ungkapan ini ada kebenarannya, tetapi tidak bermakna dalam sebuah novel sejarah seperti Interlok, kesalahan atau kekurangtepatan fakta sejarah bukan suatu kelemahan yang patut dielakkan atau dibetuli.

Tesis dan ideologi yang boleh dipertikaikan

Atau jika ada tesis kemasyarakatan yang dikemukakan secara simbolik, umpamanya kaum pekedai Cina (diwakili oleh keluarga Cing Huat) dianggap sebagai kapitalis yang merupakan kaum penindas utama terhadap kaum tani Melayu di desa (diwakili oleh keluarga Seman) pada zaman penjajahan British dan zaman pendudukan Jepun; atau ideologi politik, umpamanya fahaman anti-komunis yang berprasangka terhadap perjuangan pasukan anti-Jepun dan anti-British yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya, seperti tersurat atau tersirat dalam novel Interlok, tidak boleh dipertikaikan dari segi kemasyarakatan atau dari segi ideologi politik berasaskan fakta sejarah negara kita pada zaman berkaitan.

Mengenai seruan KBSN tentang keperluan memberi kebebasan kepada sasterawan untuk menulis, berfikir dan berpendirian, ia patut dikemukakan kepada pihak berkuasa yang sering menggunakan undang-undang tidak demokratis untuk menindas dan menyekat kebebasan bersuara dan penerbitan bahan-bahan bacaan.

Kebanyakan novel yang sedia ada padahal tidak berpeluang untuk dijadikan buku teks, ini tidak boleh dimengertikan sebagai kebebasan sasterawan-sasterawan terbabit untuk menulis, berfikir dan berpendirian telah dinafikan.

Pelajar dan guru tak mampu menangani kontroversi Interlok

Lebih penting tetapi kurang meyakinkan ialah KBSN anggap pada tahun 2011, dengan gunung maklumat di internet dan dunia cetakan, pelajar kita sudah lama dituntut dan dilatih untuk mempertimbangkan memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Maknanya penggunaan Interlok sebagai buku teks tidak akan menimbulkan apa-apa masalah.

Jika hingga kini, sarjana-sarjana pelbagai kaum masih gagal mendapat suatu penyelesaian yang boleh diterima oleh pihak-pihak yang terbabit, sehinggalah diakui isu Interlok sudah menjadi deadlock, maka di mana logiknya, guru besar, guru dan pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum itu sanggup menangani dan menyelesaikan kontroversi yang gagal ditangani oleh pihak-pihak yang lebih matang dan pakar?

Kes yang baru-baru berlaku di SMK Kuala Kubu Baru telah memberi suatu gambaran yang nyata, bahawa guru besar, guru disiplin, malah polis (apa kena-mengena dengan polis?) juga gagal menyelesaikan tindakan tujuh orang pelajar India yang ingin memulangkan buku Interlok kepada guru besar sekolah terbabit. Ini hanya kes pertama, dan sudah barang tentu bukan kes terakhir!

Buat apa membiarkan sebuah novel yang sudah menimbulkan kontroversi yang tidak dapat diselesaikan terus menjejaskan hubungan pelajar pelbagai kaum di sekolah? Demi kepentingan perpaduan kaum? Demi kepentingan pendidikan? Atau demi mempertahankan maruah dan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai tuan negeri ini, seperti yang ditegaskan dalam Memorandun PENA?

Lee Ban Chen ialah penulis bebas.

Tulisan diambil dari MerdekaReview.

Abdullah Hussein Anwar Ridhwan Gapena Interlok Lee Ban Chen Malaysia Muhammad Haji Salleh Noordin Hassan Novel Pena Sastera Shahnon Ahmad

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan