(sempena Hari Wanita Sedunia)

Raden Adjeng Kartini (1879-1904)

Apabila memperkatakan tentang tokoh wanita yang menjadi pelopor perjuangan hak wanita dan manusia sejagat saya sering mendengar nama-nama tokoh wanita dari Barat seperti Mary Wollstonecraft, Betty Friedan, Rosa Parks dan banyak lagi. Ini tidak sama sekali salah kerana sememangnya banyak yang boleh kita pelajari daripada wanita-wanita tersebut.

Saya sendiri banyak terdedah dengan tokoh-tokoh ‘Barat’ berbanding tokoh serantau. Ini kerana tidak banyak bahan bacaan boleh ditemukan dan mungkin kerana banyak masa awal usia muda saya dihabiskan di luar negara sebelum pulang berkhidmat sejak tiga tahun lalu.

Satu hari sekitar tahun 2009 ketika keluar makan malam bersama teman (kini suami saya), saya dikejutkan dengan pertanyaan oleh Encik Khalid Jaafar, atau biasanya dipanggil Pak Khalid yang mempertanyakan saya apakah benar tiada pelopor atau ketandusan tokoh tempatan atau serantau yang memperjuangkan hak wanita sehingga perjuangan wanita dianggap sebagai saduran idea-idea dari barat?

Saya tidak menjawab. Memang saya tidak punya jawapan pada waktu itu. Kemudian, Pak Khalid memberi saya pinjam buku yang berkisah tentang seorang tokoh wanita serantau bernama Raden Adjeng Kartini untuk dibaca dan dibentangkan dalam satu majlis ilmu di Bangsar.

Sempena Hari Wanita Sedunia 2011 yang jatuh pada hari (saya menulis artikel) ini iaitu 8 Mac 2011, saya ingin berkongsi semula cebisan kisah daripada bacaan tentang tokoh wanita tersohor dari Indonesia itu.

Raden Adjeng Kartini dilahirkan pada 21 April 1879 di Jepara, Jawa Tengah di tengah keluarga kelas bangsawan Indonesia. Ibu Kartini yang bernama Ngasirah adalah isteri ayahnya yang pertama, namun bagi anak kelima dari sebelas adik beradik bersaudara tiri ini, ibunya bukanlah isteri keutamaan ayahnya kerana dia bukan dari golongan bangsawan kelas atasan. Ayah Kartini, R.M. Sosroningrat sewaktu itu ialah seorang pegawai kecil tetapi bercita-cita tinggi di daerah Mayong.

Mengikut undang-undang Belanda ketika itu, untuk naik pangkat seseorang pegawai harus lahir dari kelas bangsawan atau beristerikan wanita dari kelas tersebut. Maka kerana itu, ayahnya berkahwin lagi dengan Raden Adjeng Moerjam yang berasal dari keturunan langsung Raja Madura. Setelah itulah ayah Kartini diangkat menjadi ketua daerah Jepara menggantikan ayah kandung Moerjam.

Kartini yang mendapat pendidikan Belanda sejak kecil adalah seorang pelajar yang pintar dan amat fasih berbahasa Belanda. Beliau mengimpikan untuk menjadi seorang doktor lulusan Belanda, ataupun paling kurang lulusan tanah Jawa. Namun begitu, beliau dipaksa menamatkan pembelajarannya sewaktu berusia 12 tahun untuk memberi ruang kepada saudara-saudara lelakinya menyambung pelajaran ke luar negara serta adat budaya sewaktu itu yang menganggap anak perempuan seumur itu wajar menumpukan perhatian ke arah ilmu penjagaan rumah tangga dan menunggu pinangan calon yang sesuai.

Namun oleh kerana Kartini fasih bertutur dan menulis bahasa Belanda, beliau menemukan satu ruang kebebasan dengan menulis kepada teman-teman di Belanda dan salah seorang daripadanya adalah Rosa Abendanon yang banyak memberikan semangat, bahan bacaan dan sokongan dari pelbagai segi. Surat-surat Kartini juga penuh dengan harapan untuk mendapat pertolongan dari luar. Persahabatannya dengan Estelle “Stella” Zeehandelaar, melihat Kartini menyatakan keinginan untuk mengecap kebebasan.

Dia juga berkongsi penderitaan perempuan Jawa akibat adat yang mengongkong, kurang peluang pendidikan dan akhirnya menunggu nasib di tangan lelaki bernama suami yang sering dikahwini tanpa kerelaan atau pengenalan dan juga harus bersedia berkongsi suami atau dimadu. Ada yang bernasib baik akan hidup senang, tetapi jika tidak hidup di dalam penderitaan atau deraan suami tanpa punya suara atau peluang membuat pilihan.

Kartini sewaktu zaman remajanya sering membaca akhbar Belanda De Locomotief, melanggan leestrommel (koleksi tulisan dan buku) dari toko-toko buku terbaik Jepara. Antara minatnya ialah majalah wanita Belanda De Hollandsche Lelie di mana Kartini telah mengirimkan hasil karyanya untuk dimuatkan di majalah tersebut.

Sebelum beliau berusia 20 tahun, dia sudah menghabiskan pembacaan buku-buku berat bahasa Belanda seperti Max Havelaar, Surat-surat Cinta karya Multatuli dan De Stille Kraacht (Kekuatan Gaib) karya Louis Coperus, Van Eeden, Augusta de Witt, karya feminis wanita Belanda Goekoop de-Jong Van Beek dan novel anti perang karangan Berta Von Suttner, Die Waffen Nieder (Letakkan Senjata).

Kesemua faktor ini banyak membuka minda Kartini tentang kebebasan dan kemajuan yang dinikmati oleh wanita barat sehingga membuatkan dia amat bersemangat untuk memajukan nasib wanita peribumi Indonesia yang baginya tertindas dan kurang mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju hidup dan peluang pendidikan.

Namun begitu, mengikut nota-nota yang ditinggalkan di dalam buku-buku bacaannya dan juga hasil tulisan, Kartini juga mencoretkan pengamatannya terhadap masyarakat dan corak perubahan yang diperlukan oleh masyarakat sejagat pada zaman itu untuk maju ke hadapan. Sesetengah idea dan pemikiran Kartini seperti wanita berkerjaya dan berpendidikan tinggi sehingga ke luar negara yang mungkin dipandang janggal di waktu itu adalah menjadi suatu kebiasaan di zaman ini. Tetapi apa yang dapat dilihat melalui surat-surat peribadinya kepada Rosa Abendanon di Belanda, beliau meluahkan perasaan betapa dia merasa hidup terseksa bagaikan di dalam penjara di dalam rumah bangsawannya yang indah dikelilingi tembok tinggi tanpa punya kebebasan untuk melangkah keluar, bersuara dan menabur bakti kepada masyarakat. Baginya sewaktu masyarakat mengagungkan kecantikan luaran wanita sehingga menjadikan wanita itu sebagai suatu simbol, kepandaian dan bakat seseorang wanita mungkin boleh menjadi suatu sumpahan sekiranya tidak dapat diluahkan dan cuma digunakan di dalam suatu struktur yang amat sempit.

Pandangan serong masyarakat terhadap wanita meningkat umur yang masih tidak punya suami akhirnya memaksa Kartini berkahwin sewaktu berusia 24 tahun pada 12 November 1903 dengan pemerintah daerah Rembang, K.R.M. Adipati Ario Singgih Djojo Adhiningrat, sebagai isteri yang keempat. Di sebalik perkahwinan tersebut ada sedikit sinar harapan apabila suami beliau memberikannya sedikit kebebasan dan ruang untuk menggunakan bakat serta berbakti kepada masyarakat. Suaminya yang amat memahami luahan Kartini mengizinkan beliau untuk mendirikan sebuah sekolah wanita di sebelah timur pintu gerbang kompleks pejabat pengurusan Rembang, atau di sebuah bangunan yang kini digunakan sebagai Gedung Pramuka.

Sekolah Raden Adjeng Kartini (Gambar di ambil tahun 1918)

Namun sudah ditakdirkan umur Kartini tidak panjang, beliau meninggal dunia sewaktu melahirkan anak pertama dan sekaligus anak terakhirnya, R.M. Soesalit, pada tanggal 13 September 1904 sewaktu berusia 25 tahun. Beliau dimakamkan di daerah Kecamatan Bulu, Rembang.

Berkat semangat dan kegigihan Kartini, sebuah Sekolah Wanita penuh yang dipanggil ‘Sekolah Kartini’ didirikan of Yayasan Kartini di Semarang pada tahun 1912 dan kemudian di Surabaya, Yogyakarta, Malang, Madiun, Cirebon dan kemudian meluas ke daerah lain di Indonesia. Segala surat-surat dan hasil tulisan beliau kemudiannya dikumpulkan di dalam satu buku bertajuk ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’ oleh Armijn Pane pada tahun 1938 dan kemudiannya diterbitkan di dalam pelbagai bahasa termasuk Belanda, Jawa dan Sunda.

Presiden Soekarno kemudian pada tarikh 2 mei 1964 menobatkan Kartini sebagai Pahlawan Kemerdekaan Nasional Indonesia sekaligus mengumumkan tarikh 21 April sebagai ‘Hari Kartini’.

Sehingga hari ini, sumbangan paling besar Kartini bukan sahaja di dalam pendidikan kaum hawa di Indonesia dan menjadi sumber inspirasi sehingga ke Asia Tengara, negara Barat dan serata dunia. Tetapi lebih besar lagi, Kartini mengimpikan hak sejagat manusia dan nilai-nilai universal seperti keadilan, kebebasan, keamanan dan martabat manusia supaya diamati dan terpelihara.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

Siti Kamariah adalah seorang pejuang kaum hawa yang percayakan bahawa pendidikan adalah jalan keluar yang terbaik bagi setiap insan dan pembangunan berterusan hanya dapat dicapai sekiranya lelaki dan wanita bekerjasama tanpa mengira batas gender serta memilih untuk melihat idea dan usaha yang disampai dan bukan dari sosok si penyampai.

Armijn Pane Betty Friedan Khalid Jaafar Mary Wollstonecraft Multatuli Raden Adjeng Kartini Rosa Abendanon Rosa Parks

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. R. A. Kartini tidak boleh dikatakan sbg pejuang emansipasi perempuan di Indonesia kerana ia hanya dlm bentuk surat-surat dgn teman-temannya. Tidak sedikitpun berhubung dengan masyarakatnya pada zamannya sendiri. Terdapat pejuang autonomi perempuan yang lebih awal lagi, dan autentik. Perjuangan di sini tidak dikaburi/ menyerupai apa yang ada di Eropah atau Amerika Syarikat atau Sri Lanka/ India itu. Jadi, tidak perlu dilanjutkan kekacauan yang sedia ada. Pemula ide di Barat oleh Sappho itu mungkin relatifnya sama, tetapi tidak serupa.