Wawancara santai dengan Nasir Jani tentang teater, filem dan musik

Bahagian Pertama

Pada tanggal tiga belas Mei, tahun duaribu sembilan, di pinggir ibukota dekat sebuah daerah lara yang maseh berbekas kesah dan luka. Lama tersimpan.

Dia tidak pernah berhenti. Namun, saat dia datang, ada yang mengatakan dia mahu comeback menyambung perjuangannya. Selalu dia membetulkan salah baca begini. Selama lima belas tahun, dia bukan menghilang. Dia meneruskan kegiatan seninya dengan menulis skrip dan menghasilkan karya dengan cara yang tersendiri. Seperti sekarang…

Di sebuah gudang (studio Pendita Pictures yang diusahakan oleh pelakon dan karyawan filem, Shoffi Jikan) yang jauh dari kesibukan kota, yang terhindar dari pencemaran akibat kurangnya oksigen di tengah kota batu yang sempit, kita dapat dengar suara dari percikan kata-kata ruhaninya yang sedang mengendalikan latihan pementasan teater “Menunggu Kata Dari Tuhan.” Padanya, malam adalah satu anugerah dan inspirasi. Ini, dunianya yang digaulinya cukup masak sejak berjinak dengan teater, filem dan musik lebih dua dekad yang lalu. Masih belum jauh suaranya hilang. Dan dia yang  dimaksudkan itu bernama Nasir Jani.

Di sela kesibukan latihan itulah, aku mewawancaranya dan kami berdiskusi sampai ke tengah malam buta sehinggalah ke waktu subuh, yang dinginnya sampai menggigit tulang dan mengecutkan hujung jari. Sesi yang turut disertai jurukamera video bernama Wadud, kami berbincang tentang seni dan hiburan yang berat-berat dalam suasana yang sangat bersahaja dan santai habis.

Pada mulanya, tujuan wawancara ini adalah untuk dihabisi menjadi sebuah filem dokumentari yang meskipun tidak epikologi, tetapi memadai untuk sebuah koleksi atau pun rakaman (dokumentasi) tentang zaman dan semangatnya yang maseh kuat. Disebabkan masalah pembuatan yang dikekang oleh kekurangan modal dan peralatan, setelah berbincang sekali lagi, aku mendapat persetujuan dia untuk menerbitkan diskusi kami dengan gaya penulisan wawancara sebegini. Jadi, santai-santai sahaja-lah membacanya, dan beginilah terciptanya sebuah cerita!

ABROR RIVAI: Lama saya menunggu saat macam ini. Seingat saya, inilah pertama kali kita dapat bertemu dalam ruang dan kadar waktu yang selesa untuk memulakan diskusi kita tentang banyak perkara yang maseh terbuku, atau yang maseh tersimpan. Pertamanya, saya berterima kaseh kepada abang sebab setuju bersama kami, yang membolehkan kita adakan sesi seperti ini bagi mencari kebaikan. Jadi, mulanya saya hendak tanya, mengapa abang mengambil masa begitu lama untuk mengarah balik dan kenapa karya ini (Menunggu Kata Dari Tuhan) dipilih. Macam hujan, yang turun, yang misteri tentang bilakah akan berhenti, atau apa sebenarnya yang berlaku?

NASIR JANI: Naskhah Menunggu Kata Dari Tuhan ini hasil tulisan Dinsman. Abang rasa kalau hendak cakap tentang niat karya ini, seharusnya Dinsman-lah yang lebih layak cakap. Dia menulis dan pernah mengarahkan drama ini, mula-mula di Kota Bharu. Masa itu dia ada audiens yang tertutup – untuk  kerabat Sultan – dan di Dewan Bahasa dan Pustaka Pantai Timur. Selepas itu yang betul-betul ada audiens, dari 29 April sampai 3 Mei yang lalu. Ia diadakan di Auditorium Negeri Selangor Shah Alam yang dilakonkan oleh Sabri Yunus dan musik oleh Sani Sudin. Ia sebuah pementasan selama lima  malam dengan penonton yang berbayar. Kali ini, ia berbeza dari pementasan terdahulu. Ia sebuah pementasan teater dari naskhah tulisan Dinsman dan dia juga bertindak sebagai penerbit tapi diarahkan oleh abang. Karya ini dilakonkan oleh Shoffi Jikan dan seorang bekas pemusik yang pernah terlibat dengan agensi kerajaan yang sudah pencen, yang sudah bebas, bernama Mah Bob akan menggantikan tempat Sani Sudin sebagai pemusik. Jadi saya ambil tenaga-tenaga ini kerana saya juga sudah lama tidak mengarah – baik teater, drama mahu pun filem.

ABROR RIVAI: Jadi lebih kurangnya seperti abang sudah dapat signal, macam judul naskhah ini jugalah kot. Cuma, saya hanya tahu abang seorang Pengarah Filem. Ini teater pertama yang diarahkan, dan mengapa (buat teater)?

NASIR JANI: Yang sebenarnya, abang bermula dengan teater. Masa itu di Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang Universiti Teknologi MARA) dalam tahun 1975. Saya terlibat dengan produksi Kelab Teater KL (KL Theatre Club) dengan pementasan yang bertajuk Tun Kudu. Fatimah Abu Bakar berlakon sebagai Tun Kudu. Tenaga penggerak kelab teater ini–penggerak maknanya bukan dalam konteks dia jadi pengarah sahaja tapi adalah orang-orang yang bergabung tidak kira sama ada menjadi pelakon, petukang atau apa sahaja–terdiri daripada arwah Mustapha Noor, Shuhaimi Baba, Normah Nordin, Abu Bakar Juah, Mior Hashim Manaf dan ramai lagi. Berdasarkan pengalaman sendiri pula, tahun 1977 abang tamat di ITM dan keluar, terus terlibat dengan pementasan. Abang mula mengarah teater adalah pada tahun 1978 dengan mengarah teater pendek. Naskhah pertama yang diarahkan adalah bertajuk Mayat hasil tulisan Hatta Azad Khan. Masa itu naskhah Mayat ini memang terkenal dan sudah banyak orang buat. Tapi abang membuatnya dengan cara yang lain iaitu menjadikan mayat itu zombie. Abang bermain dengan kostum dan entah macam mana mungkin ada elemen budaya pop (pop culture). Pasal itu semua (pop culture) abang masih belum tahu, segalanya adalah pengalaman bawah sedar abang sendiri sebagai pengkarya. Kemudian, ada satu lagi naskhah yang abang arahkan bertajuk Puan Oi yang ditulis oleh Mikio Mishima yang mencabar pengarahan kita. Cabarannya sehingga berfikir bagaimana hendak mencipta tasik dan rakit dalam sebuah ruang terhad yang dikelilingi penonton. Berdasarkan naskhahnya, dalam satu babak ulang tayang, dengan cabaran tersebut, kami dapat menjayakan pementasan itu dengan hasil yang dikira baik!

ABROR RIVAI: Berbalik kita kepada naskhah ini iaitu Menunggu Kata Dari Tuhan. Saya hendak selidik fasal apa istimewanya pementasan kali ini kerana seperti yang abang jelaskan pada awal perbualan kita, Dinsman sendiri yang mengarahkan teater ini sebelumnya dengan Sabri Yunus dan Sani Sudin sebagai pelakon dan pemusik. Mengapa terdapat perubahan dalam pementasan yang ini dan bagaimana peranan abang sebagai pengarah dengan mengambil Shoffi Jikan sebagai pelakon bermula?

NASIR JANI: Benda ini terjadi tanpa dirancang. Apa yang abang sendiri tahu memang Dinsman buat naskhah ini. Macam yang abang cakap tadi, abang mengetahui tentang naskhah ini dan ada dibuat pementasannya di Kelantan. Tapi kali ini jadi begini kerana abang ditawar untuk mengarahkan naskhah ini dari Dinsman. Ia bermula apabila Dinsman menyuruh abang berlakon dengan membawa watak Kaab iaitu peranan utama dalam Menunggu Kata Dari Tuhan. Tentang ceritanya abang belum tengok lagi sebab setiap masa abang berada di kampong. Jadi abang kata pada Dinsman, “nanti aku naik, aku tengok skrip dulu.” Sudah lihat baru boleh bagi keputusan! Minggu lepas kami jumpa dan abang baca skripnya. Lepas baca abang fikir dan rasa abang tidak akan berlaku adil kalau abang bertindak sebagai pelakon. Sebab abang melihat skrip ini mesti dimainkan oleh pelakon (iaitu orang yang memang mencari rezekinya dengan berlakon) – sedangkan abang pengarah! Sebab itu abang teringatkan Shoffi dan kebetulan dia ada masa senggang dan bila abang tawar pada dia sesuailah sebab dia pelakon! Jadi macam itulah dia bermula.

ABROR RIVAI: Di sini, saya dapat baca yang adanya satu sikap di mana ia merupakan sikap seorang pengarah (sutradara). Bercakap pasal sikap seorang pengarah pula, di sini kita maksudkan seorang pengarah filem yang ada pembawaan tersendiri seperti abang. Macam saya selalu dengar bila seorang pengarah filem itu menyebut, aku pengarah! Jadi kerana itu dia tidak mahu menjadi pelakon. Berdasarkan pengalaman abang, siapakah pengarah dan orang macam manakah dia?

NASIR JANI: Sebetulnya, kalau hendak dikira bila seseorang itu dipanggil sebagai pengarah ialah apabila dia mula mendapat upah kerana kerja pengarahannya. Jadi di situ akan lahir sikap dia sebagai seorang pengarah. Abang sendiri bermula sebagai pengarah semasa bekerja di Pro Film, buat iklan. Di sini abang dibayar dan kerana itulah kerjaya pengarahan abang bermula. Tak banyak karya pengarahan yang abang dapat buat semasa di Pro Film ini tapi adalah dalam lima buah iklan yang abang buat sendiri – yakni abang bertindak sebagai seorang pengarah atau yang kita sebut sutradara itu. Ia pengalaman pada tahun 1978 dan 1979 dan pada abang di sinilah permulaan kerjaya abang sebagai seorang pengarah yang ada prinsipal, dan sebab kerana dibayar. Bercakap pasal sikap sebagai seorang pengarah filem pula, kita bertanya balik bilakah mulanya karya yang kita buat dengan menggunakan kamera, kerana di situlah bermulanya seorang pengarah filem! Tapi dalam hal ini kita tidak semestinya mendapat bayaran dari kerja tersebut kerana kita bercakap tentang sikap atau attitude seorang pengarah filem. Pengarah Filem adalah orang yang komited dengan kerjanya (karya) – tidak kira sama ada dia mendapat upah atau sebaliknya. Kalau dari sudut ini, kerjaya abang sebagai seorang pengarah filem yang punya sikap bermula masa abang seorang mahasiswa dan masa itu abang sedang buat praktikal di Pro Film. Di situlah kita mencurahkan perasaan kita dan keluarlah (lahir) sikap yang juga didorong dari minat, atau banyaknya menonton filem!

ABROR RIVAI: Diskusi kita sudah berganjak kepada persoalan baharu iaitu filem, apa kata kita beralih dari teater dan teruskan bercakap tentang filem. Di sini saya hendak meneroka tentang pembuatan filem di tanahair kita pada tahun-tahun 1980an, sebab abang sendiri terlibat secara aktif pada dekad tersebut! Apa yang hendak saya teroka dahulu adalah berkenaan dengan sejarah yang membawa kepada bermulanya zaman baharu filem melayu apabila terjadinya peralihan tema, yang disebabkan oleh faktor apa sebenarnya, adakah kerana kemunculan angkatan pembikin filem baharu, yang rata-rata berpendidikan filem?

NASIR JANI: Kalau hendak jawab soalan ini, kita lihat dari nama-nama filem dan tahun. Kita mula dari zaman filem warna. Filem Melayu dari zaman filem warna bermula dengan Keluarga Si Comat yang dilakonkan oleh AR Badul. Kalau tak salah abang pengarah filem ini ialah Pak Aziz Sattar (sekarang Dato’), yang dihasilkan pada tahun 1975. Ia adalah kesinambungan dari filem melayu yang telah benar-benar lumpuh di Singapura, maka tradisi pembuatan filem yang bercorak komedi itu nampaknya berterusan! Kemudian, antara tahun 1975 ke tahun 1980 adalah bermulanya pengarahan filem bagi Jins Shamsuddin (sekarang Tan Sri) yang mengarah cerita-cerita melodrama dalam beberapa siri. Selepas itu, pada tahun 1980-an baharulah masuk Rahim Razali (sekarang Dato’) yang bermula dengan filem Abang. Masuk pula yang baharu, mungkin ini pengarah yang hanya sekali sahaja mengarah, tapi jadi petanda baharu sebab filem dia ada buat statement (pernyataan sikap) iaitu Kami yang dilakonkan oleh Sudirman Haji Arshad dan diarahkan oleh Patrick Teoh. Kemudian, ada pengarah filem bernama Yassin Salleh dengan filemnya yang bertajuk Potret Maria. Filem bercorak drama ini pertama kali kombinasi pelakon Indonesia dan Malaysia iaitu di antara Dicky Dzulkarnain dan Sarimah. Jadi, inilah antara contoh-contoh filem Melayu di mana sudah ada tanda-tanda peralihan tema dari persoalan tradisional kepada moden. Filem seperti Abang, Pemburu, Potret Maria dan Dia Ibuku merupakan nafas baharu filem melayu pada era tersebut. Tapi, secara keseluruhan filem Melayu masih belum keluar sepenuhnya dari nostalgia filem di zaman Jalan Ampas!

ABROR RIVAI: Filem-filem Melayu yang macam mana pula yang dapat buat anjakan yang lebih mendalam, yang keluar dari nostalgia filem di zaman Jalan Ampas dan bawa penonton kita kepada satu daerah yang lain, iaitu dengan masuknya pemikiran dan persoalan baharu seperti falsafah dan sebagainya?

NASIR JANI: Ia bolehkan dikatakan bermula pada awal tahun 1980. Ia bermula pada tahun 1984 iaitu selepas filem Abang, Pemburu, Matinya Seorang Patriot, Mekanik. Selepas itu kita ada filem Langit Petang yang diarahkan oleh Shahrom Mat Dom yang merupakan graduan dari Universiti Malaya. Othman Hafsham merupakan seorang pengarah filem yang pergi belajar di institusi pendidikan filem (film school), di mana dia (Hafsham) terkenal dengan komedinya. Tapi filem komedinya bukan seperti gaya filem-filem komedi yang dibuat sebelum tahun 1980-an. Dia bawa satu budaya baru dalam filem komedi di mana menunjukkan persoalan baharu seperti masyarakat majmuk yang merupakan realiti kehidupan sosial pada masa itu. Hafsham bermula dengan Adik Manja dan bila filem ini diterbitkan maka bermulalah era komedi baharu selepas beberapa tahun sejak bermulanya filem melayu di Jalan Ampas. Manakala Rahim Razali membuat filem bercorak drama di mana pada masa itu ia merupakan satu pembawaan baharu dengan cerita yang mendedahkan kenyataan dalam dunia korporat orang Melayu. Selanjutnya, antara tahun 1984 dengan terbitnya Mekanik, Kami, Langit Petang, kita juga jangan lupa tentang Pak Jamil (Jamil Sulong) yang mengarah Ranjau Sepanjang Jalan, yang mana filem ini diterbitkan oleh Tan Sri Kamarul Ariffin. Ada subjek yang besar yang dibawa oleh kebanyakan filem kita pada masa itu meskipun dari segi jumlah (volume), ia tidak sebanyak filem yang diterbitkan pada hari ini. Bayangkan, pada masa itu dalam masa sebulan belum tentu ada satu filem yang hendak ditayangkan. Di sinilah yang hendak saya tekankan sebab masuknya tahun 1985 ke tahun 1986, lahir-nya Kembara Seniman Jalanan! Sekali lagi terjadi pusingan baharu dalam sejarah filem di tanahair ini, sehinggalah terbitnya Rozanna Cinta 87 sebelum masuk pula pengarah baharu yang maseh muda pada masa itu iaitu Aziz M.Osman dengan filem pertamanya, Fenomena.

(bersambung ke Bahagian Kedua)