Dewangga Sakti

Aku hanya akan mendengar satu-satu muzik jika ada tujuan atau bersebab. Tanpa sebab, tujuan atau pun saranan dari teman-teman, maka kerja mendengar itu aku anggap hanya – bila perlu. Apabila kita berbicara tentang evolusi muzik tradisional Melayu kontemporari, jumlah anak muda yang menggemarinya belum cukup ramai dan penggiatnya dari kalangan orang muda masih bertahan sekadarnya. Atas sebab itu, aku mendengar dan memilih EP dari kumpulan Dewangga Sakti (DS) ini untuk diulas.

EP ini kita fahami sebagai karya debut oleh karyawan baru. ‘Mencuba nasib’ adalah ungkapan yang paling cocok digunakan. DS mencuba nasib buat kali pertama (barangkali) dengan meletakkan tajuk ‘Mabok Kepayang’ pada EP-nya. Tajuk ini menggambarkan pemikiran yang tipikal Melayu dalam nuansa irama tradisi Melayu. Namun, gambaran awal ini tidak mempunyai apa-apa makna tanpa kita meluangkan masa untuk mendengar dan membaca ide dalam lagu-lagu mereka.

1. Prelude, seperti tercatat pada inlay album “ permulaan kepada satu perjalanan yang jauh. Mari bersama kami menerokai misteri bunyi-bunyian dan rentak tradisi Melayu yang mempunyai pelbagai pengaruh irama”. Ungkapan ‘misteri bunyi-bunyian’ ini agak misteri juga, kerana jika difahami bunyi dalam konteks yang lebih objektif seperti dalam sains, maka tiada apa yang menjadi misteri tentang bunyi ini. Atau mungkin, ungkapan ‘misteri’ yang dimaksudkan oleh DS adalah dalam konteks penjiwaan manusia pada muzik yang berasiosiasi dengan pelbagai budaya dalam malar masanya. Namun itu tidak juga misteri kerana semua ini telah dibincangkan dalam banyak discourse dan didokumentasi baik daripada aliran seni, falsafah, sains dan agama. Justru, tiada apa yang misteri selain dari sesuatu perkara yang tiada fakta – enigma.

Taksim instrumen Oud/Gambus kedengaran agak ‘kental’. Perkataan ‘kental’ ini dapat kita fahami sebagai ‘skema’ walaupun ada kedengaran gaya yang bersahaja dan ciri-ciri improvisasi pada petikkannya, tetapi taksim itu belum cukup bebas dengan cubaan menerusi skill dan teknik-teknik permainan yang baru, ia juga tidak begitu menyentap jiwa pendengar untuk “..meneroka misteri bunyi-bunyian….” yang cuba diungkap pada kenyataan tersebut.

Jika muzik prelude ini dapat difahami dalam gaya muzik yang berbeza seperti muzik Klasik, ia menyamai dengan bahagian overture. Overture ini adalah intro bagi sesebuah Opera dan concerto. Salah satu tujuannya adalah untuk merangsang minat dan menaikkan nafsu pendengar sebelum menikmati lakaran karya yang lengkap pada babak-babak seterusnya dalam sesebuah persembahan – concert. Dalam erti kata lain, prelude atau overture ini sama juga dengan konsep foreplay dalam hubungan teruna dan dara. Ia adalah istimta’. Maka untuk melakukan foreplay kepada pendengar, elemen-elemen yang diperlukan harus disadap dengan kemas dan teliti.

2. Selembar Kasih – berasaskan rentak Inang. Susunan muziknya secara Langgam. Liriknya puitis. Suara penyanyi enak dan kedengaran pada laras nadanya agak naïf, menarik sekali. Nyata dia bukan seorang penyanyi lagu-lagu asli yang konservatif. Bagi Sang Vokalis, itu adalah satu kelebihan.

Adunan bunyi terutama untuk instrumen percussion tidak begitu enak dan empuk. Bunyi kulit (skin) rebana dan ton bunyi ‘tang’ dari sedak rebana tidak diadun dengan cermat. Penggunaan Oud untuk bahagian adlib tidak begitu diperlukan dalam lagu ini, kerana bunyi dan permainan Oud itu asalnya dan dimensinya memang sudah datang dengan rentak yang telah digubah halus untuk Zapin, Ghazal dan rentak Masri. Dan, jika digunakan dalam irama seperti ini tanpa susunan yang rapi, maka akan kedengaran – menganggu. Tetapi di sini, ia tetap satu percubaan yang baik. Risiko untuk pendengar berasa mengantok menerusi rentak Inang yang 4/4 dengan moderate pace yang sebegini, amat tinggi. Maka teknik syncopation mungkin akan dapat membantu.

3. Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) – juga ada penyataan “ Rakyat Malaysia suka mencipta rekod! Membuat donat atau kek berbentuk Menara Kembar Petronas, bendera terpanjang dan bermacam-macam rekod lain. Bolehkah kegilaan ini membantu perkembangan minda dan intelek rakyat Malaysia”. Lagu ini bukan lagu instrumental, ia adalah sebuah komposisi muzik yakni tanpa lirik (bahasa). Ungkapan ‘Belayar ke Pulau Jauh’ ini tidak aku tahu rasionalnya untuk apa.

Namun, ada dua (2) senario yang aku alami dengan lagu ini. Pertama, setelah membaca ungkapan di atas, dan kemudian aku mendengar muziknya – aku merasa ganjil. Kedua, aku putarkan lagu ini kepada seorang teman dan kemudian dibacanya ungkapan di atas – teman itu merasa pelik. Mencari persamaan atau hubungan antara sebuah komposisi muzik (penyataan bunyi) dengan ungkapan kata (penyataan bahasa) sememangnya sukar dan sangat abstrak apatah lagi bahasa itu tidak melekat pada lagu sebagai lirik. Kata bahasa punya ranah-ranah yang berbeza dengan pola-pola bunyi.

Masalah di sini barangkali tidak begitu rumit, ia berpunca dari perkara paling asas. Barangkali Si Pengkarya ghairah ingin menyampaikan mesejnya kepada pendengar. Mesej itu tidaklah menjadi satu kesalahan pun, dan kita dengan mudah akan memahami rasional atau tujuan Si Pengkarya (DS), jika itu niatnya.

Namun, mendengar sesebuah komposisi muzik tidaklah memerlukan sebarang bentuk ungkapan bahasa lain yang ditulis untuk ‘membantu’ pendengar menikmati, menghayati dan memahami maknanya. Pendengar hanya memerlukan ruang kebebasan untuk mendengar, menghayati dan memahami karya, merekalah yang akan menilai, meletak dan menerima makna, mesej atau apa saja hal tersurat/tersirat dalam karya itu. Bukankah ia inti paling besar dalam sesebuah karya iaitu – kebebasan untuk menghayati dan memberi makna.

Dengan ungkapan-ungkapan yang belum tentu ada signifikan dan justifikasi untuk komposisi lagu itu, pendengar secara tidak langsung akan ‘dipaksa’ menerima mesej karya menurut rangka yang telah ditetapkan oleh Si Pengkarya seperti dalam ungkapan (catatan) di atas yang sangat rigid sekali sifatnya. Jika muziknya sudah cukup kuat, apa perlu lagi kata-kata lain?. Merangsang pendengar dengan cara yang artificial juga tidak akan “…membantu perkembangan minda dan intelek rakyat Malaysia”.

4. Kembali Menchari – yang beriramakan ala-ala Keroncong menerusi petikan gitar rithem (rhythm)- double pick. Namun hanya itu saja ciri-ciri keroncong yang wujud, skala (scale) pentatonik keroncong yang enak tidak ada pada gitar solo dan violin solo termasuk gubahan pada bass line. Mungkin DS sengaja untuk begitu. Adunan bunyi menerusi kesan reverb agak berlebihan, secara teorinya ia ada kaitan dengan teknik instrumentasi dan taktik untuk menutup kelemahan dalam aspek gubahan muzik. Ini adalah perkara biasa. Asas melodi lagu ini agak ringkas dan kedengaran dengan gaya lagu puisi seperti lagu-lagu dari kumpulan Kopratasa. Gubahan muzik dalam lagu ini amat sederhana. Bagi penggemar lagu-lagu gaya puisi, pasti akan menggemari dan menikmatinya dengan santai. Selain di kafe-kafe, lagu seperti ini akan lebih enak dinikmati di majlis kenduri-kendara di kampung.

5. Tertinggal Kapal Angkasa – sebuah lagi komposisi . Juga digambarkan dengan perkataan kepada kita (pendengar) untuk dihayati dan difahami seperti yang tertera “ Pak Abdul telah membelanjakan wang yang banyak untuk menempah tiket kapal angkasa untuk ke stesen angkasa lepas. Pada hari yang dijadualkan, dia telah tertidur dan tertinggal penerbangan tersebut. Pak Abdul telah pulang ke rumah dan terus tidur sepanjang hayatnya”.

Muziknya bertenaga dan langgam sekali sifatnya, sangat menghiburkan. Attacking part yang menarik. Melodi yang ringkas dan mudah disiulkan. Tetapi gubahan muzik dan adunan instrumentasi tidak begitu tersusun yang mana, instrumen seperti Oud, Violin dan Akordian bermain pada nada dan pada detik masa yang sama.

Mengurus bahagian, elemen dan instrumen perlu mengambil kira kelebihan dan kekuatan skill individu (pemuzik) untuk diketengahkan. Antara penyataan di atas dengan bentuk lagu ini, sekali lagi aku tidak menemui apa-apa elemen yang signifikan. Justru, tidakkah lebih menarik jika sekurang-kurangnya, proses penciptaan atau pengalaman DS pada sesi rakaman lagu ini dicatat dan dikongsi bersama peminatnya berbanding catatan (ungkapan) di atas?

Dari segi ide, kita mengalu-alukan karya-karya indipenden yang sedang diketengahkan seperti DS yang mana karyanya bernada kritis. Sama ada ia benar-benar kritis atau mahu dilihat kritis, tidak lagi penting. Malah, perlu kita sedari, tidak semua karya yang kita rasakan kritis itu kritikal sifatnya. Dan, tidak semua karya indipenden itu mampu menjadi alternatif kepada karya arus perdana. Karya-karya dengan dimensi baru, yang sinikal pop, enigmatik folk, politikal rock, baik yang bernada serius atau pun dengan gaya humor sekalipun, adalah vehicle yang bergerak dalam satu proses untuk melahirkan adikarya tempatan.

Masih tersisa beberapa not yang bermasalah dari segi pitching dan tempo yang off tempo dalam EP ini. Pitchy dalam falsafah muzik Melayu, bukanlah bermakna sumbang atau salah not, tetapi bunyi not itu flat. Gaya atau corak gentelan irama muzik Asli sememangnya begitu, ikut feel pemuzik, not itu menari-nari antara flat dengan shap, antara tepat dengan tidak. Kewujudan off tempo dan pitchy dalam irama Melayu ini, sememang disedari malah ia disengajakan, kerana itu ia dinamakan ‘Langgam’. Keadaan ini sudah menjadi semacam identiti pada pemuzik dan muziknya. Dan aku menerima semua ini dengan senang hati. Ia menjadi satu keunikan yang tersendiri yang tidak ada pada mana-mana muzik lain. Tokoh paling menarik dalam kes ini adalah Tan Sri SM Salim.

Kita mahu pendengar menikmati dan menghargai karya kita, kita juga mahu ide kita difahami oleh semua lapisan pendengar. Kesemua ini memerlukan pakej yang lengkap dalam karya kita.

Apa yang telah dirakam oleh kumpulan Dewangga Sakti, adalah sebahagian dari keinginan, pengalaman dan pengetahuannya. Aku mahu tujukan satu potongan lirik dari karya sebuah kumpulan muzik – Siul Murba buat Dewangga Sakti. Kumpulan ini pernah wujud dan telah mati sepuluh tahun dahulu, sebuah lagu berjudul Gambus Nuansa, dan potongan lirik di dalamnya tertulis “…namun jangan, ku tewas kau yang tertawan oh Tuhan”.

Buat Dewangga Sakti, teruskan berkarya dengan penuh keghairahan dan kalian jangan sesekali ditawan oleh angan-angan kosong.

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.

Dewangga Sakti–Prelude