Aku maju bersama ayah, mencengkam tangan kanannya, berlari-lari mengejar langkahnya yang luas.Pakaianku semuanya baru, kasut hitam, uniform hijau, dan tarbus merah. Walau bagaimanapun, aku tidaklah gembira dengan pakaian-pakaian baru, kerana hari ini bukanlah hari raya, tetapi hari pertama ayah menghantarku ke sekolah.

Ibu berdiri di belakang tingkap sambil memerhatikan pergerakan kami. Sambil berjalan, aku menoleh ke arah ibu berulang- kali, seolah-olah meminta tolong. Kami berjalan melintasi taman-taman, di sekitarnya terdapat ladang-ladang luas yang tertanam padanya tumbuhan hijau, buah tiin, pokok-pokok inai, dan beberapa pohon kurma.

” Kenapa sekolah?! Saya tak kan menyusahkan ayah lagi”

” Ayah bukan mendenda kamu,” jawab ayah, sambil tergelak. “Sekolah bukanlah denda. Ia adalah kilang yang menjadikan kanak-kanak manusia yang berguna. Adakah kamu mahu jadi seperti ayah dan abang-abang kamu?”

Aku tidak yakin. Aku tidak percaya terdapat kebaikan pada perpisahanku dengan rumahku syurgaku juga mencampakku ke bangunan besar ini yang terletak di hujung jalan bagaikan kubu besar yang menakutkan.

Apabila kami tiba di pagar utama,kami dapat lihat halaman luas yang dipenuhi kanak-kanak lelaki dan perempuan.” Masuklah sendiri,” kata ayah ,”sertai mereka. Ukirkan senyuman di wajahmu dan jadilah contoh terbaik pada yang lain.”

Aku ragu-ragu lalu mencengkam tangan ayah, tetapi dia menolakku dengan lembut. “Jadilah lelaki,” kata ayah.” Hari ni kehidupan sebenar bermula. Kamu akan nampak ayah tunggu kamu bila tiba waktu pulang”.

Aku maju beberapa langkah, berhenti sebentar,melihat tetapi tidak nampak. Kemudian wajah kanak-kanak lelaki dan perempuan mula muncul.Aku tidak kenal seorang pun, dan tiada seorang pun mengenaliku.Aku rasa aku bagaikan orang asing yang sesat.Tetapi jelingan ingin tahu tertumpu ke arahku. Seorang budak lelaki mendekatiku lalu bertanya,

” Siapa yang bawa kau?”

“Ayah,” bisikku.

“Ayahku dah mati,” dengan mudah dia berkata.

Aku tidak tahu apa patut kukatakan.Pagar utama telah ditutup,mengeluarkan bunyi bising. Sebahagian kami menangis. Loceng berdering. Seorang wanita datang, diikuti sekumpulan lelaki. Lelaki-lelaki tersebut mula menyusun kami mengikut barisan. Kami disusun secara berliku-liku di padang luas, dikelilingi tiga sudut bangunan tinggi bertingkat-tingkat,setiap tingkat terdapat anjung panjang beratap kayu memerhatikan kami.

” Inilah rumah baru kamu semua,” kata wanita itu. Di sini juga ada ayah dan ibu. Di sini terdapat segala-galanya yang menyeronokkan dan bermanfaaat kepada ilmu dan agama. Sapu air mata kamu semua, dan hayatilah hidup dengan berseronok.”

Kami menyerah pada keadaan dan penyerahan kami menbawa kepada semacam reda. Benda hidup tertarik pada benda hidup yang lain. Sejak awal lagi,hatiku sudah tertarik pada budak-budak lelaki untuk berkawan, dan budak-budak perempuan untuk dicintai,sehinggakan ku rasa sangkaanku tidak berasas. Tidak pernah aku sangka sebelum ini sekolah mempunyai kemewahan yang pelbagai . Kami bermain bermacam-macam permainan,buaian, lompat kuda, dan bola. Di bilik musik kami nyanyikan lagu pertama kami. Kami juga belajar pengenalan tentang bahasa.Kami lihat glob, berputar-putar menunjukkan pelbagai benua dan negara. Kami mengetuk pintu ilmu dan kami mula mengenal nombor-nombor. Kisah mengenai pencipta alam semesta diceritakan kepada kami,kami diberitahu tentang dunia akhirat-Nya, dan teladan dari firman-Nya. Kami makan santapan yang lazat, tidur sebentar, dan bangun semula untuk teruskan berkawan, berkasih sayang, bermain dan belajar.

Setelah kami lalui kehidupan sekolah dan segala pengalamannya, kami dapati ianya tidak sesempurna dan semanis yang disangkakan. Kemungkinan angin kecil dan musibah yang tak dijangka muncul, oleh itu kami mesti berjaga-jaga, bersedia, dan bersabar. Bukanlah hiburan atau permainan. Di sana berlaku persaingan berkemungkinan mendatangkan sengsara, benci dan membawa kepada perkelahian dan pergaduhan. Penjaga wanita yang kadang-kadang senyum itu, sering kali berkerut muka dan mengherdik. Selalu dia menggertak kami dengan pukulan dan hukuman.

Lebih-lebih lagi, bila waktu pulang telah tiba dan aku tidak dapat pulang ke syurgaku. Di hadapan kami hanyalah kegigihan dan kesabaran……..

Loceng berdering, menandakan tengahari dan waktu kerja telah tamat. Kumpulan kanak-kanak tersebut bergegas menuju pagar utama yang baru dibuka. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan dan kekasih lalu terus melintasi ambang pagar. Aku melihat sekeliling tetapi tidak melihat kelibat ayah, yang mana telah berjanji untuk menunggu. Aku bersandar di tepi untuk menunggu. Waktu menungguku berlalu dengan sia-sia, aku memutuskan untuk pulang sendirian. Selepas aku maju beberapa langkah, seorang lelaki separuh umur datang, dengan sekilas pandang aku tahu aku mengenalinya. Dia datang ke arahku, senyum, lalu berjabat tangan dengan ku sambil berkata,” Sudah lama tak jumpa sejak pertemuan lalu, kau sihat?”

Dengan mengangguk kepala dan membalas pertanyaan,” Kau pun sihat?”

“Seperti yang kau lihat, tak semuanya bagus”

Sekali lagi dia menjabat tanganku lalu pergi. Aku meneruskan langkah-langkahku, kemudian aku berhenti, bingung. Ya Tuhan, ke mana perginya jalan melintasi taman-taman? Ke mana ia hilang? Apa telah terjadi padanya? Bila pula kenderaan-kenderaan berat menghancurnya?Bila pula kelompok-kelompok manusia menghancurkan permukaannya? Bagaimana pula bukit-bukit sampah mempertahankan sudut tersebut? Mana perginya padang-padang sebagai sempadannya? Bangunan-bangunan tinggi telah menggantikan tempatnya, jalan raya penuh dengan kanak-kanak, bunyi-bunyi bingit menggegarkan atmosfera. Di tempat-tempat berbeza terdapat ahli-ahli silap mata membuat pertunjukan dan mengeluarkan ular dari bakul. Ada juga pancaragam mengumumkan pembukaan sarkis, di hadapan terdapat badut-badut dan pengangkat berat. Ada juga lori-lori tentera keamanan melalui secara perlahan-pelan dengan megahnya. Raungan siren lori bomba berbunyi, tidak pasti bagaimana lori tersebut membelah masuk jalan untuk memadamkan api.Ada pergaduhan di antara pemandu teksi dengan penumpang, sementara isteri penumpang menjerit minta tolong tetapi tiada jawapan. Oh Tuhan. Aku bingung. Kepalaku pusing. Aku hampir-hampir gila. Bagaimana semua ini boleh terjadi hanya dalam tempoh separuh hari, dari awal pagi dan matahari terbenam? Aku akan tahu jawapannya daripada ayah di rumah. Tetapi di mana rumahku? Aku cuma nampak bangunan-bangunan tinggi dan orang ramai. Aku bersegera melangkah sehingga aku tiba di simpang antara taman-taman dan Jalan Abu Khouda. Aku mesti melintasi Abu Khouda untuk sampai ke rumah, tetapi perjalanan kereta-kereta tidak mahu terputus. Raungan siren lori bomba masih lagi berbunyi maksimum membingitkan, sementara lori tersebut bergerak bagaikan kura-kura. ” Biarlah api tu puas dengan apa yang dia makan!” kataku. Betul-betul marah, aku tertanya-tanya bila agaknya aku dapat melintas jalan. Aku berterusan berdiri, sehingga datang ke arahku seorang pemuda yang berkerja di kedai gosok baju berhampiran. Dia menghulurkan tangannya sambil berkata dengan lembut,” Atuk, mari saya tolong lintaskan.”

Diterjemah dari bahasa Arab oleh Muhammad Zihni Khalid.