Gambar penulis di EDSA (Epifanio de los Santos Avenue), tempat yang dinisbahkan sebagai permulaan kepada Revolusi Kuasa Rakyat. © Amin Ahmad

Beberapa waktu ini dunia mula bercakap tentang revolusi. Saya tidak pasti adakah ini perasaan yang sama ketika kehangatan revolusi dirasakan dunia pada dekad 1950-an dan 1960-an serta 1980-an. Ternampak semacam ada satu desakan baru kepada apa yang disebut pertanggungjawaban kerajaan. Ya, sudah tentu revolusi tidak muncul tiba-tiba tanpa naratifnya yang selalu tidak sunyi daripada kezaliman, kawalan berlebihan, rasuah dan penyelewengan dan rasuah oleh penguasa.

Mungkin kebetulan, saluran Sejarah di Astro memaparkan sejumlah dokumentari berkaitan kepimpinan diktator. Tiga dokumentari yang telah saya tonton melalui saluran itu berkisah tentang kejatuhan Presiden Ferdinand Marcos (the Downfall of a Dictator), Pembunuhan Benigno ‘Ninoy’ Aquino (the Assassination of Benigno ‘Ninoy’ Aquino Jr.) dan kenaikan isteri Ninoy, Corazon Aquino ke kerusi Presiden (Cory Aquino: the Housewife Who Led a Revolution).

Ini mengingatkan saya akan kunjungan ke negara Filipina, sekitar setahun lalu. Waktu itu seminar the Asian Renaissance yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dengan tajaan Sasakawa Peace Foundation (SPF) di Manila. Saya dan rakan, Najwan Halimi yang pernah mengikuti program ini di Indonesia sebelumnya telah membuat keputusan untuk melawat negara itu di samping hadir ke beberapa sesi seminar berkenaan. Satu daripada sesi seminar berkenaan diisi oleh mantan Mejar Jeneral tentera Filipina, Jose T. Almonte. Beliau menghadiahkan kami buku My Part in the 1986 People Power Revolution (Peranan saya dalam Revolusi Kuasa Rakyat 1986).

Sehingga kini, kematian Ninoy tidak pernah diketahui daripada arahan siapa. Tentu saja kematiannya selepas ditembak sebaik turun daripada kapal terbangnya adalah satu tragedi yang tidak diharapkan, meski Ninoy sering membayangkannya dalam beberapa perbualan terakhirnya. Tentu saja tuntutan pertanggungjawaban paling mudah dihadapkan kepada Marcos, diktator yang menjadi seteru politik Ninoy.

Daripada dokumentari yang dihasilkan, ternyata usaha mengenal-pasti sumber arahan untuk menembak Ninoy terhenti setakat pengakuan Pedro Martinez, tentera yang pernah dihukum penjara seumur hidup bersama belasan yang lain kerana didakwa gagal melindungi Ninoy. Beliau dikesan menangis dan bercakap sendirian semasa berada dalam tahanan oleh paderi Monsignor Oleguer yang ditugaskan pihak gereja untuk cuba mendapatkan maklumat ini melalui sesi-sesi kerohanian di penjara. “Tangisan Martinez adalah ‘suara hati’ yang inginkan pendengar bagi meredakan beban ‘dosa’ tertanggung olehnya” kata Oleguer. Jelas, memang Ninoy telah dibunuh melalui satu arahan khas pihak tertentu.

Sebagaimana yang berlaku kini, Revolusi Kuasa Rakyat di Filipina telah merebak ke beberapa negara lain seperti China, Korea, Burma, Hungary, Bulgaria, Romania, Chile dan Afrika. Juga dikatakan, gelombang kuasa rakyat yang tersebar ini jugalah yang turut mendorong keruntuhan Tembok Berlin dan kejatuhan Kesatuan Soviet tidak lama selepas itu.

Apa yang menarik dan terus membuatkan saya tertanya ialah hakikat bahawa dalam revolusi kuasa rakyat sejak dulu hingga kini, sentiasa hadir sokongan berterusan terhadap pemimpin menyeleweng dan zalim ini (Ya, tentulah jika hanya mereka yang tinggal, bagaimanakah kezaliman itu dapat dilaksanakan?).

Mereka ini hadir dalam banyak bentuk. Sebahagiannya memang orang kanan bagi pemimpin termasuk mereka yang mendapat keuntungan perniagaan melalui jalan naungan sebegini. Sebahagiannya mungkin rakyat biasa yang mendapat tempias daripada bantuan pemimpin. Mungkin, jika wang negara itu nilainya sampai ratusan billion, mereka terhutang budi dengan bantuan RM100 setahun yang disampaikan oleh jentera yang mengukuhkan pimpinan ini.

Tugas para penyokong ini pula mungkin pelbagai. Dari satu sisi, mereka berdepan secara langsung dengan kelompok yang menolak kepimpinan menyeleweng dan zalim ini. Dari satu sisi lain, mereka ini tampil lebih sederhana. Tugas mereka ialah untuk menunjukkan bahawa belum tentu yang akan menggantikan pemimpin sedia ada ini lebih baik, atau mungkin diberatkan lagi dengan pertimbangan kaum dan agama. Strategi lain yang boleh dipakai ialah untuk mengasingkan terus rakyat daripada kesedaran politik. Politik digambarkan kotor dan sepak terajangnya perit untuk dilalui oleh rakyat, khususnya mereka yang hidupnya sederhana atau sukar.

Bagi yang kaya dan tidak bimbangkan persoalan kewangan, ketakutan ditanam melalui kehilangan atau gangguan terhadap perniagaan atau pekerjaan. Tidak cukup dengan itu, perhatian rakyat dialihkan kepada persoalan lain misalnya penekanan masalah yang lebih kecil tetapi penting seperti jenayah setempat; atau kepada masalah yang nampak besar dan sukar difahami misalnya keganasan antarabangsa, perseteruan dengan pemimpin asing atau berita-berita gembira melalui media yang sentiasa menggambarkan satu sisi – tentunya baik – untuk kerajaan berkuasa.

Ringkasnya, ia memimpin dengan asas ketakutan dan ketaatan tanpa soal. Namun, jalan kediktatoran sentiasa sedar akan elemen yang tidak mengenal, atau sedia untuk melawan persekitaran tersebut. Jalan menanganinya tentulah sikap keras dan anti-demokrasi. Ini juga adalah bahagian penting untuk dilihat sepanjang proses yang membawa kepada protes massa di jalanan.

Revolusi kuasa rakyat (atau mungkin reformasi di Malaysia) tidak sunyi daripada dihakimi sejarah. Sama ada ia gagal atau belum berjaya adalah persoalan yang sentiasa dibincang. Namun, Almonte menjelaskan dengan cukup indah buat saya. Katanya revolusi tidak pernah gagal kerana tidak ada revolusi yang menghancurkan negara. Negara hancur hanya apabila rakyat hilang kesanggupan untuk memastikan ia ditadbir dengan baik melalui prinsip kebebasan dan keadilan.

Beliau meneruskan: “Sebuah revolusi dilancarkan bukan daripada perhitungan prospek kejayaan sebelumnya atau pertanggungjawaban terhadap kegagalannya. Revolusi dilancarkan sebagai maklum balas kepada keharusan moral. Ia dilancar kerana rakyat menilainya sebagai tindakan terakhir yang betul untuk dilakukan. Dalam kata lain, revolusi dilancarkan sebagai pilihan moral. Sama ada ia berjaya atau gagal, ia membenarkan sebuah negara mendapatkan kembali penghormatan diri untuk memperbaharui ‘kehidupannya’. Bagaimana sebuah negara melalui ‘hidup barunya’ bergantung kepada pelajaran yang diambil daripada revolusi dan kesediaan negara mempelajarinya.”

Tidak terhad kepada pengalaman Filipina, banyak revolusi kuasa rakyat yang telah berlaku di seluruh dunia boleh dipelahari. Banyak pengalaman telah menunjukkan kerajaan zalim dan menyeleweng hanya diganti oleh sebuah kuasa kerajaan lain yang mengulangi kesilapan sama. Ia bermula dengan harapan besar akan sebuah kuasa kerajaan untuk mengubah nasib rakyat. Sambil ia benar pada tahap tertentu, pesan ahli ekonomi Perancis, Frederic Bastiat yang menyaksikan naik turun banyak kerajaan pasca Revolusi Perancis wajar difikirkan. Kata beliau: “Hampir semua orang mahu hidup dengan biaya kerajaan. Mereka lupa bahawa kerajaan mahu hidup dengan biaya semua orang”.

Untuk saya, revolusi kuasa rakyat hanya benar dapat berlaku melalui kebebasan dan keadilan. Ini berlaku apabila setiap rakyat sebagai individu membebaskan diri mereka daripada penggantungan besar kepada kerajaan dengan penegasan bahawa mereka boleh menguruskan diri mereka sendiri dalam banyak keadaan, sebagai individu atau kumpulan masyarakat sivil – sama ada berkaitan politik, ekonomi atau sosial. Kesanggupan rakyat ini dengan sendirinya menuntut peralihan peranan kerajaan dan ini adalah pilihan moral terbaik dengan prinsip yang jelas.

Amin Ahmad, 29 ialah Zamil di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).

Benigno ‘Ninoy’ Aquino Ferdinand Marcos Frederic Bastiat Institut Kajian Dasar Jose T. Almonte Moden My Part in the 1986 People Power Revolution politik Revolusi Sasakawa Peace Foundation

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan