Barat bimbang bahawa gerakan Islamis, Ikhwanul Muslimin akan mendapat peranan utama dalam pemerintahan Mesir pasca-Mubarak. SPIEGEL bercakap dengan timbalan ketuanya, Rashad al-Bayoumi tentang apa yang dimahukan oleh Ikhwanul Muslimin, keenganan Barat untuk mendengar dan tindak non-keganasan.

SPIEGEL: Adakah kita melihat satu pemulaan kepada era yang baru di Mesir?

Bayoumi: Selepas 30 tahun penindasan, korupsi dan kediktatoran, kita sebenarnya berada di persimpangan jalan. Persoalannya adakah kita mahu untuk membuka jalan kepada demokrasi dan hak asasi manusia atau kita masih mahu pemerintahan diktator? Revolusi akan diteruskan selagi permintaan kami tidak dilaksanakan.

SPIEGEL: Apakah permintaan itu?

Bayoumi: Pertama sekali, kami memerlukan perubahan rejim. Kami mahukan kerajaan yang baru. Kedua, kami mahukan pilihanraya baru. Parlimen sekarang ini tidak mempunyai legitimasi dan hanya terbentuk setelah pilihanraya yang penuh dengan penyelewengan yang teruk. Ketiganya, semua tahanan politik di penjara hendaklah dibebaskan segera. Kami mahukan keadilan. Dan, akhirnya, kami mahukan kerajaan transisi yang terdiri daripada wakil-wakil semua kumpulan oposisi.

SPIEGEL: Adakah kerajaan transisi ini juga terdiri daripada figur oposisi, Mohamad ElBaradei? Adakah anda menerima beliau sebagai seorang calon?

Bayoumi: Permintaan kami selari dengan permintaan semua kumpulan oposisi termasuklah perminataan orang muda—dan bukan hanya daripada parti-parti politik. Adalah terlalu awal untuk bercakap tentang kepimpinan yang baru. Sekarang ini rakyat yang harus tentukan—biarkan mereka bersuara.

SPIEGEL: Ikhwanul Muslimin dianggap sebagai gerakan oposisi yang terbesar di Mesir. Kenapa kamu tidak hadir ke demonstrasi-demonstrasi?

Bayoumi: Kenyataan itu mengarut! Sudah tentu kami hadir. Tetapi kami mengekalkan untuk tidak menonjol dari aspek organisasi. Kami tidak berdemonstrasi dengan slogan-slogan kami. Kami tidak mahu revolusi ini digambarkan sebagai revolusi Ikhwanul Muslimin, sebagai revolusi Islam. Ini adalah kebangkitan seluruh rakyat Mesir.

SPIEGEL: Di Barat terdapat ketakutan bahawa Ikhwanul Muslimin sudah bersiap-siap untuk mendapatkan kuasa—bahawa mereka mahu untuk menukar Mesir kepada sebuah negara Islam.

Bayoumi: Barat enggan untuk mendengar pandangan kami. Kami bukan makhluk jahat. Kami mahukan keamanan bukan kezaliman. Agama kami bukan agama syaitan. Agama kami menghormati penganut agama-agama lain. Tetapi rejim ini telah dengan sengaja menuduh kami begitu dan memanipulasi pandangan awam.

SPIEGEL: Berapa ramaikah ahli gerakan anda?

Bayoumi: Saya tidak tahu—kami tidak mengiranya. Kerajaan mengatakan bahawa kami mempunyai tiga juta ahli. Apa yang saya tahu ialah ahli kami di mana-mana sahaja, di setiap bandar, kampung dan kawasan kejiranan. Kami adalah bahagian penting di dalam masyarakat.

SPIEGEL: Berapa ramai rakyat Mesir akan mengundi kamu jika pilihanraya bebas diadakan nanti?

Bayoumi: Lebih baik kita tunggu rakyat yang menentukan. Sekarang ini adalah saat pergolakan dan transisi politik. Inilah yang kami mahu untuk dipercakapkan bukan soal keputusan pilihanraya.

SPIEGEL: Adakah Mesir akan kembali aman?

Bayoumi: Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kekacauan ini. Saya berjanji kepada anda bahawa Ikhwanul Muslimin tidak pernah menyeru kepada keganasan, dan tidak akan melakukannya di masa hadapan.

Wawancara ini terbit pada 07/02/2011 di Spiegel English Online

Diwawancara oleh Daniel Steinvorth dan Volkhard Windfuhr