Demonstrasi di Dataran Tahrir. ©Yannis Behrakis

Dunia Islam, dari Afrika Utara ke Iran, telah mengalami gelombang ketidakstabilan dalam beberapa minggu terakhir. Belum ada rejim yang telah digulingkan, meskipun tatkala tulisan ini disiapkan, Libya sedang berada di jurang itu.

Ada ketika dalam sejarah di mana revolusi tersebar di kawasan-kawasan atau di serata dunia seolah-olah ia adalah api yang sedang marak. Saat sebegitu tidak sering berlaku. Peristiwa yang selalu dikaitkan adalah termasuk tahun 1848, di mana kebangkitan di Perancis melanda Eropah. Juga tahun 1968, di mana demonstrasi oleh apa yang kita sebut Kiri Baru menyapu dunia: Mexico City, Paris, New York dan beratus-ratus bandar-bandar lain melihat revolusi anti-perang digerakkan oleh Marxis dan radikal yang lain. Prague menyaksikan bagaimana Soviet menghancurkan kerajaan Kiri Baru. Bahkan Revolusi Agung Kebudayaan Proletar di China boleh, dengan sedikit keluwesan, digolongkan bersama. Pada tahun 1989, gelombang rusuhan, dipicu oleh Jerman Timur yang ingin sampai ke Barat, menghasilkan sebuah pemberontakan di Eropah Timur yang menggulingkan pemerintahan Soviet.

Masing-masing mempunyai tema dasar. Pemberontakan tahun 1848 berusaha untuk mendirikan demokrasi liberal di negara-negara yang telah kalah dengan Napoleon. 1968 adalah tentang reformasi radikal dalam masyarakat kapitalis. 1989 adalah penggulingan komunisme. Semuanya lebih kompleks daripada itu, berbeza dari negara ke negara. Tetapi pada akhirnya, alasan di sebalik itu cukup dapat diringkaskan menjadi satu atau dua kalimat.

Beberapa daripada revolusi tersebut mempunyai kesan yang besar. 1989 mengubah keseimbangan kuasa global. 1848 berakhir dengan kegagalan pada saat itu – Perancis kembali kepada monarki dalam masa empat tahun – namun telah membuka jalan untuk perubahan politik kemudiannya. 1968 tidak menghasilkan sesuatu yang tahan lama. Kuncinya adalah di setiap negara di mana berlakunya kebangkitan, ada perbezaan yang signifikan jika dilihat secara rinci- tetapi mereka berkongsi prinsip-prinsip teras pada saat negara-negara lain terbuka terhadap prinsip-prinsip tersebut, sekurang-kurangnya dalam batas tertentu.

Melihat kepada kebangkitan yang berlaku, daerah geografi menjadi jelas: Negara-negara Muslim Afrika Utara dan Semenanjung Arab telah menjadi fokus utama dalam kebangkitan ini, dan di Afrika Utara khususnya di mana Mesir, Tunisia dan Libya sekarang mengalamai krisis mendalam. Tentu saja, banyak negara Muslim yang lain mengalami peristiwa-peristiwa revolusi yang belum, sekurang-kurangnya sampai sekarang, meningkat menjadi peristiwa yang mengancam rejim atau diktator yang berkuasa. Ada petunjuk peristiwa tersebut di tempat lain. Ada demonstrasi kecil di China, dan tentu saja Wisconsin dalam kekacauan apabila belanjawan dikurangkan. Tetapi ini tidak benar-benar terkait dengan apa yang terjadi di Timur Tengah. Apa yang berlaku di China itu adalah kecil dan di Wisconsin itu tidak mengambil inspirasi dari Kaherah. Jadi apa yang berlaku adalah kebangkitan di dunia Arab yang belum lagi menyebar ke luar untuk waktu ini.

Prinsip utama yang tampaknya mendorong kepada kebangkitan adalah perasaan bahawa rejim, atau sekelompok individu dalam rejim, telah menafikan rakyat daripada hak politik, dan yang lebih penting, hak-hak ekonomi – singkatnya, bahawa mereka memperkaya diri mereka melampaui apa yang sepatutnya. Kebangkitan ini terjadi dalam pelbagai cara yang berbeza. Di Bahrain misalnya, yang bangkit adalah populasi Syiah menentang keluarga diraja yang Sunni. Di Mesir, penentangan adalah terhadap peribadi Hosni Mubarak. Di Libya pula, perlawanan terhadap rejim dan peribadi Moammar Gadhafi dan keluarganya, dan didorong oleh permusuhan suku.

Mengapa perkara itu berlaku sekarang? Salah satu alasannya adalah bahawa ada sejumlah besar perubahan rejim di wilayah tersebut dari tahun 1950-an hingga awal 1970-an, ketika negara-negara Muslim menciptakan rejim-rejim untuk menggantikan kuasa-kuasa imperialis asing dan di saat Perang Dingin melanda. Sejak awal 1970-an, daerah ini memiliki kestabilan, dengan pengecualian Iran pada tahun 1979, dalam erti bahawa rejim – dan juga peribadi-peribadi yang bangkit dalam fasa yang tidak stabil itu – menstabilkan negara mereka dan mewujudkan rejim yang tidak mudah untuk ditumbangkan. Gadhafi, misalnya, menggulingkan pemerintahan beraja Libya pada tahun 1969 dan telah berkuasa terus menerus selama 42 tahun sejak hari itu.

Setiap rejim yang didominasi oleh kelompok kecil dari masa ke masa akan melihat kelompok tersebut menggunakan kedudukan itu untuk memperkayakan diri mereka sendiri. Ada beberapa orang yang dapat melawan selama 40 tahun. Adalah penting untuk dinyatakan bahawa Gadhafi, misalnya, pernah menjadi seorang revolusioner, yang benar-benar pro-Soviet. Namun ketika waktu berlalu, semakin luntur semangat revolusioner dan ketamakan muncul bersama-sama dengan keangkuhan kuasa yang meluas. Dan di wilayah di mana tidak ada perubahan rejim sejak selepas Perang Dunia I, prinsip ini tetap benar juga, walaupun yang menariknya, dari masa ke masa, rejim-rejim tampaknya belajar untuk menyebarkan sedikit kekayaan.

Kerana itu, apa yang muncul di wilayah itu adalah rejim dan individu yang merupakan kleptokrat klasik. Jika kita ingin mendefinisikan gelombang kebangkitan ini, khususnya di Afrika Utara, ia adalah perlawanan terhadap rejim – dan khususnya individu – yang telah berkuasa untuk waktu yang sangat lama. Dan kita boleh menambah, bahawa mereka juga adalah orang-orang yang merancang untuk mempertahankan kuasa dan kekayaan keluarga dengan meletakkan anak mereka sebagai ahli waris politik. Proses yang sama, dengan beberapa variasi, sedang berlangsung di Semenanjung Arab. Ini adalah kebangkitan terhadap para revolusionari dari generasi sebelumnya.

Revolusi telah melalui perjalanan lama. Kebangkitan di Tunisia, terutama sekali ketika ia terbukti berjaya, menyebabkannya tersebar. Seperti pada tahun 1848, 1968 dan 1989, keadaan sosial dan budaya yang sama menghasilkan peristiwa serupa dan dipicu oleh contoh dari satu negara dan kemudian merebak lebih luas. Inilah yang telah terjadi pada tahun 2011 dan sedang berlangsung.

Namun, peristiwa itu terjadi di daerah yang secara tersendirinya sensitif pada saat ini. Perang AS terhadap para jihadis bererti seperti halnya dengan gelombang revolusi dahulu, ada potensi terhadap implikasi geopolitik yang lebih luas. 1989 berarti berakhirnya empayar Soviet, misalnya. Dalam hal ini, soalan yang paling penting bukan mengapa revolusi sedang berlangsung, tetapi siapakah yang akan mengambil keuntungan daripada peristiwa itu. Kami tidak melihat revolusi ini sebagai sebuah konspirasi besar oleh Islamis radikal untuk menguasai wilayah tersebut. Konspirasi yang besar mudah untuk dikesan, dan pasukan keselamatan dari negara-negara tersebut akan memusnahkan konspirasi itu dengan cepat. Tidak ada yang mengatur gelombang-gelombang sebelum ini, walaupun ada teori konspirasi tentang hal itu. Gelombang itu berasal dari satu keadaan tertentu, mengikuti contoh satu insiden. Namun kumpulan-kumpulan tertentu tentu cuba, dengan kejayaan yang besar dan kecil, untuk mengambil peluang daripada kebangkitan itu.

Dalam hal ini, apa pun penyebab terhadap kebangkitan itu, tidak menjadi soal lagi bahawa Islamis radikal akan berusaha untuk mengambil peluang dan menguasai kebangkitan itu. Mengapa tidak bukan? Itu adalah jalan yang rasional dan logik bagi mereka. Apakah mereka akan mampu melakukannya adalah soalan yang lebih kompleks dan penting, tetapi mereka akan ingin dan sedang cuba untuk melakukannya adalah jelas. Mereka adalah kelompok yang luas, transnasional dan dibesarkan dalam kaedah konspirasi. Ini adalah kesempatan mereka untuk mencipta koalisi antarabangsa yang luas. Seperti komunis tradisional dan Kiri Baru di tahun 1960, mereka tidak mencipta kebangkitan itu tetapi adalah bodoh untuk mereka tidak mencuba untuk mengambil peluang dari itu. Ingin saya tambah walaupun agak sukar sudah tentu Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain berusaha untuk mempengaruhi arah kebangkitan itu. Untuk kedua-dua belah pihak, ini adalah permainan yang sukar, tetapi sangat sulit terutama bagi Amerika Syarikat sebagai pihak luar untuk bermain permainan ini dibandingkan dengan Islamis yang tahu negara mereka.

Sementara tidak menjadi soal jika para Islamis ingin menguasai revolusi, itu tidak bermakna bahawa mereka akan melakukannya, juga tidak bermakna bahawa revolusi itu akan berjaya. Ingat kegagalan 1848 dan 1968 dan mereka yang cuba untuk mengambil peluang daripada revolusi tidak mempunyai ‘kenderaan untuk ditunggang’. Juga ingat bahawa untuk menguasai dan mengawal revolusi bukan hal yang mudah. Tapi seperti yang kita lihat di Rusia pada tahun 1917, belum tentu kumpulan yang lebih popular yang menang, tapi yang dirancang dengan baik. Dan biasanya sering tidak diketahui siapa yang paling terancang sehinggalah sesudah itu.

Revolusi demokratik mempunyai dua fasa. Yang pertama adalah pembentukan demokrasi. Yang kedua adalah pemilihan kerajaan. Hitler adalah contoh berguna sebagai peringatan bagaimana demokrasi yang masih muda dapat menghasilkan jenis kerajaan sebegitu, kerana dia mendapat kuasa melalui cara-cara demokratik dan berperlembagaan–dan kemudian dia menghapuskan demokrasi dengan mendapat sorak-sorai orang ramai. Jadi ada tiga arus berlawanan di sini. Yang pertama adalah reaksi terhadap rejim yang korup. Yang kedua adalah pemilihan itu sendiri. Dan yang ketiganya? Amerika Syarikat perlu ingat, kerana ia memuji kebangkitan demokrasi, bahawa kerajaan yang terpilih kemudian mungkin tidak seperti apa yang diharapkan.

Dalam hal apapun, isu yang sebenarnya adalah apakah revolusi ini akan berjaya dalam menggantikan rejim sekarang. Mari kita sebentar pertimbangkan proses revolusi, bermula dengan membezakan demonstrasi dari kebangkitan. Demonstrasi massa hanyalah perkumpulan orang yang memberikan pidato. Hal ini dapat menggoncang rejim dan membuka jalan untuk acara yang lebih serius, tetapi ia sendirinya, tidak signifikan. Kecuali demonstrasi yang cukup besar yang dapat melumpuhkan bandar, ia adalah peristiwa-peristiwa simbolik. Ada banyak demonstrasi di dunia Islam yang tidak menuju ke mana pun; lihat Iran misalnya.

Sangat menarik untuk dicatat di sini bahawa orang muda sering mendominasi revolusi seperti 1848, 1969 dan 1989 pada awalnya. Ini adalah perkara biasa. Orang dewasa yang punya keluarga dan kematangan jarang keluar ke jalan-jalan untuk menghadapi senjata dan kereta kebal. Adalah diperlukan orang-orang muda yang sama ada memiliki keberanian atau lemahnya penilaian untuk menggadaikan nyawa mereka bagi tujuan yang belum tentu lagi berjaya. Namun, untuk berjaya, sangat penting untuk kelas-kelas masyarakat yang lain bergabung dengan mereka. Di Iran, salah satu momen penting dari revolusi 1979 adalah ketika para pemilik kedai bergabung dengan orang-orang muda di jalanan.

Sebuah revolusi oleh kaum muda, seperti yang kita lihat pada tahun 1968 misalnya, jarang berhasil. Sebuah revolusi memerlukan asas yang lebih luas dari itu, dan ia harus melampaui demonstrasi. Saat di mana ia melampaui demonstrasi adalah ketika menghadapi tentera dan polis. Jika para demonstran bersurai, tidak ada revolusi. Jika mereka menghadapi tentera dan polis, dan jika mereka meneruskan bahkan setelah mereka ditembak, maka itu adalah fasa revolusi. Oleh kerana itu, gambar demonstran yang aman hampir tidak sepenting dengan apa yang media inginkan anda percaya, tetapi gambar demonstran terus bertahan selepas ditembak adalah sangat signifikan.

Ini mengarah pada peristiwa kunci dalam revolusi. Kelompok revolusioner tidak dapat melawan angkatan bersenjata. Tetapi jika angkatan bersenjata, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya, berpihak kepada sisi revolusi, kejayaan adalah mungkin. Dan ini adalah peristiwa kunci. Di Bahrain, angkatan bersenjata menembak demonstran dan beberapa orang terbunuh. Para demonstran bubar dan kemudiannya dibenarkan untuk berdemonstrasi – tentu dengan ingatan yang masih segar tentang tembakan itu. Dan revolusi itu kemudian dibendung. Di Mesir, polis dan tentera bertentang antara satu sama lain dan tentera berpihak kepada demonstran, atas alasan yang kompleks. Pertukaran pegawai, kalaupun bukan pertukaran rejim, tak dapat dielakkan. Di Libya, angkatan tentera terpecah.

Ketika perkara itu berlaku, perjalanan akan terhalang. Jika perpecahan dalam angkatan tentera merata dan dalam, ini boleh menyebabkan perang saudara. Memang salah satu cara untuk revolusi berjaya adalah untuk membawanya kepada perang saudara, mengubah demonstran menjadi tentera. Itulah apa yang dilakukan Mao di China. Yang biasa terjadi adalah angkatan tentera akan terpecah. Jika perpecahan itu mencipta kekuatan anti-rejim yang luar biasa, ia akan membawa kepada kejayaan revolusi. Selalunya, titik penting adalah apabila polis menyertai para demonstran. Hal ini terjadi secara meluas pada tahun 1989 tetapi hampir sama sekali tidak pada tahun 1968. Ia terjadi beberapa kali pada tahun 1848, tapi yang selain daripada berpihak kepada negara. Oleh kerana itu, revolusi gagal.

Tindakan itu, yakni tentera dan polis berpihak kepada demonstran, dapat menjayakan atau memusnahkan revolusi. Oleh kerana itu, untuk kembali kepada tema sebelumnya, pertanyaan yang paling penting tentang peranan Islam radikal bukanlah kehadiran mereka dalam kerumunan itu, tapi penetrasi mereka ke dalam tentera dan polis. Jika ada konspirasi, fokusnya mestilah dengan menyertai tentera, menunggu saat demonstrasi dan kemudian mengambil peluang dari situ.

Mereka yang berpendapat bahawa kebangkitan ini tidak ada hubungannya dengan Islam radikal mungkin benar dalam erti bahawa para demonstran di jalan-jalan boleh jadi pelajar yang terpikat dengan demokrasi. Tapi mereka terlepas faktor penting bahawa para pelajar, dengan sendirinya, tidak boleh menang. Mereka hanya boleh menang jika rejim itu, seperti di Mesir, atau jika kelas lain dan sekurang-kurangnya pihak-pihak dalam polis atau tentera – pihak bersenjata yang tahu bagaimana menggunakan senjata – bergabung dengan mereka. Oleh kerana itu, melihat pelajar di TV tidak memberikan anda banyak perkara. Tetapi melihat tentera memberitahu anda lebih banyak hal..

Masalah dengan revolusi adalah bahawa orang yang memulakannya jarang menyelesaikannya. Para idealis demokrat di sekeliling Alexander Kerensky di Rusia itu bukanlah orang yang menyelesaikan revolusi. Samseng Bolshevik yang menyelesaikannya. Di negara-negara Muslim, fokus kepada para demonstran muda saja adalah tidak sepenuhnya penting seperti di Lapangan Tiananmen dahulu. Bukan para demonstran yang penting, tetapi para askar. Jika mereka melaksanakan perintah, tidak akan ada revolusi.

Saya tidak tahu sejauh mana tahap penglibatan Islamis di dalam tentera di Libya, untuk mengambil satu contoh dari kekacauan yang berlaku. Saya menduga tribalisme jauh lebih penting daripada teologi. Di Mesir, saya mengesyaki rejim telah menyelamatkan dirinya dengan melengahkan masa. Bahrain pula lebih tentang pengaruh Iran terhadap populasi Syiah berbanding jihadis Sunni. Tapi sama seperti mana Iran sedang berusaha untuk menempek pada proses itu, sama juga jihadis Sunni.

Semua ini adalah spekulasi. Apa yang kita tahu adalah bahawa ini bukanlah gelombang pertama revolusi di dunia, dan banyak gelombang yang gagal, kesannya cuma dilihat berdekad kemudian dalam rejim dan budaya politik yang baru. Hanya dalam kes Eropah Timur kita melihat kejayaan revolusi yang luas, tapi ia bukanlah runtuhnya sebuah empayar, begitu sedikit pelajaran dapat diambil dari dunia Muslim.

Sementara itu, apabila anda melihat Timur Tengah, ingatlah untuk tidak melihat para demonstran. Perhatikan angkatan bersenjatanya. Jika mereka berpihak kepada negara, para demonstran telah gagal. Jika ada sebahagian yang menyokong demonstran, ada beberapa kemungkinan untuk menang. Dan jika mereka menang, dan demokrasi diisytiharkan, jangan mengandaikan bahawa apa yang berlaku berikut akan menyenangkan pihak Barat – budaya politik demokrasi dan pro-Barat tidak bererti hal yang sama.

Situasi tetap cecair, dan tidak ada kepastian. Ini adalah soal setiap negara tersebut, dengan kesemua rejim berusaha untuk terus tetap berkuasa ke saat ini. Ada tiga kemungkinan. Salah satunya adalah bahawa ini akan menjadi seperti tahun 1848, kebangkitan yang luas akan gagal kerana lemahnya organisasi dan koherensi, tapi itu akan memberi kesan beberapa dekad kemudian. Yang kedua adalah tahun 1968, sebuah revolusi yang tidak menggulingkan mana-mana rejim walaupun untuk sementara dan meninggalkan sedikit sisa-sisa budaya yang penting dalam sejarah. Yang ketiga adalah tahun 1989, sebuah revolusi yang menggulingkan tatanan politik di seluruh benua, dan mencipta suatu tatanan baru di tempatnya.

Jika saya harus menerka pada saat ini, saya kira yang kita hadapi 1848. Dunia Muslim tidak akan mengalami perubahan rejim besar seperti pada tahun 1989, tapi tidaklah juga kesannya yang terlalu kecil seperti 1968. Seperti tahun 1848, revolusi ini akan gagal untuk mengubah dunia Islam atau bahkan dunia Arab. Tapi ia akan menanam benih yang akan bercambah dalam beberapa dekad mendatang. Saya fikir benih-benih itu demokratik, tetapi tidak semestinya liberal. Dengan kata lain, demokrasi yang pada akhirnya timbul akan menghasilkan rejim yang akan mengambil arah daripada budaya mereka sendiri, bererti Islam.

Barat merayakan demokrasi. Ia harus berhati-hati dengan apa yang diharapkan: Ia mungkin mendapatnya.

Revolution and the Muslim World diterbitkan semula dengan kebenaran STRATFOR.

1968 Alexander Kerensky Bolshevik China Dunia Islam Kiri Baru Libya Mao Marxis Mesir politik Revolusi Stratfor Tunisia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan