Bayangan mengerikan sedang menghantui Barat. Pada tahun 1979, Amerika Syarikat menyaksikan sebuah revolusi jalanan di Timur Tengah dan melihat sekutu kuatnya, Shah Reza Pahlavi digulingkan, hanya untuk kemudian digantikan dengan Republik Islam teokratik. Sekarang, melihat satu lagi revolusi jalanan di sebuah negara Timur Tengah, banyak orang tampak ketakutan dengan ingatan ini. Ketakutan bahawa Islam akan mengambil alih tidak terbatas pada Glenn Beck, dengan ramalan bahawa kejatuhan Hosni Mubarak akan mengakibatkan munculnya sebuah khilafah Islam yang ingin menguasai dunia. (Cadangan polisi Beck kepada rakyat Amerika bahkan lebih pelik: “simpan bahan makanan.”) Ahli politik konservatif yang serius seperti Mitt Romney dan John McCain menggambarkan oposisi Islam Mesir tidak begitu berbeza dengan Beck. Di sisi kiri, Richard Cohen menulis, “Mimpi Mesir demokratik pasti menghasilkan igauan buruk.” Leon Wieseltier percaya Islamis akan cuba untuk merampas kuasa gaya Bolshevik.

Semua hal ini mungkin akan terjadi, namun ada sedikit bukti setakat ini untuk menyokong senario yang menakutkan itu. Protes di Mesir adalah sekular, Ikhwanul Muslimin merupakan salah satu daripada banyak kumpulan yang menyertai, yang semuanya mempunyai tuntutan terhadap demokrasi dan hak asasi manusia. Mesir bukanlah seperti Iran dalam banyak hal yang utama. Ulama Sunni tidak memainkan peranan politik atau kedudukan seperti mana di Iran. Mungkin yang paling penting, rejim Iran saat ini bukan model yang popular di dunia Arab. Mesir telah melihat Mubarak dan para mullah dan tidak mahu keduanya – kajian Pew pada tahun 2010 mendapati bahawa sebahagian besar menyokong urus tadbir yang demokratik.

Kebimbangan akan masa depan yang dibayangkan itu telah mengalih pandangan Amerika jauh dari masalah sebenarnya di Mesir: kediktatoran tentera. Mesir bukanlah sebuah rejim peribadi, berpusat pada Mubarak, walaupun laporan kekayaan dan usaha untuk melantik anaknya sebagai penggantinya. Sejak rampasan kuasa pegawai pada tahun 1952, Mesir telah berada dalam kediktatoran tentera, oleh tentera dan untuk tentera. Beberapa presiden sejak itu muncul dari kor perwira, angkatan bersenjata memiliki belanjawan yang besar dan kebebasan total, dan sangat terlibat dalam setiap aspek masyarakat, termasuk memiliki tanah yang luas dan beratus-ratus syarikat.

Sekarang, tentera sedang mengukuhkan kekuatannya. Usaha Mubarak sejak tahun 2004 untuk membawa orang awam dan pemimpin perniagaan menjadi ahli kabinet dibalikkan selama seminggu terakhir ini – bahkan, para usahawan telah berubah menjadi kambing hitam, dikorbankan sehingga jeneral boleh terus memerintah. Tiga orang yang menggerakkan Mesir – Naib Presiden, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan – berasal dari tentera. Setengah daripada kabinet adalah tentera, dan sekitar 80 peratus daripada para gabenor yang berkuasa terdiri dari angkatan bersenjata. Pihak tentera tampaknya telah memutuskan untuk mengorbankan Mubarak tetapi berusaha untuk menguruskan proses perubahan, untuk memastikan tentera masih tetap berkuasa. Ingatlah bahawa Mesir, masih di bawah undang-undang tentera dan mahkamah tentera.

Banyak pengulas mencari persamaan dengan Turki, di mana tentera memainkan peranan penting dalam memodenkan negara. Namun tentera di Turki telah mengendurkan kuasa mereka dengan berat hati, dan hanya kerana Kesatuan Eropah terus-menerus memberi tekanan untuk melemahkan peranan tentera dalam politik. Bahayanya adalah bahawa Mesir tidak akan menjadi Turki, tetapi Pakistan, sebuah demokrasi palsu dengan kekuatan nyata di belakangnya ditunjangi oleh para jeneral.

Adalah benar untuk pentadbiran Obama bekerja bagi menghasilkan peralihan yang licin. Bahaya kekacauan itu nyata: Pandangan Ikhwanul Muslimin adalah ke belakang dan merbahaya. Tanpa perlembagaan baru dan perlindungan undang-undang ada risiko untuk “demokrasi tidak liberal,” atau pilihanraya umum yang bebas dan adil di bawah undang-undang Mesir sekarang ini akan mengakibatkan hasil buruk bagi kaum minoriti, hak asasi manusia dan kebebasan yang lain. Peralihan ini harus bukan hanya dari Mubarak tetapi dari seluruh sistem yang dikepalainya.

Adalah suatu yang bermanfaat untuk mengingat apa yang telah menyebabkan munculnya ekstremisme Islam dan kemarahan anti-Amerika di Timur Tengah. Arab melihat Washington menyokong diktator zalim yang menekan rakyat mereka. Mereka percaya bahawa Washington mengabaikan kezaliman itu selagi mana rejim terbabit bersetuju pada dasar luar Amerika. Jika Washington sekarang dianggap terlibat dalam usaha yang membuatkan kediktatoran tentera berkuasa di Mesir, secara de jure atau de facto, hasilnya adalah kekecewaan yang mendalam di jalanan kota Kaherah. Seiring waktu, itu akan membuat perlawanan terhadap rejim dan kepada Amerika Syarikat menjadi lebih keras, lebih religius dan lebih ganas. Hal itu mungkin menjadi garis persamaan dengan sebab-sebab yang telah menghasilkan revolusi Iran.


Diterjemah dari tulisan yang bertajuk Egypt’s Real Parallel to Iran’s Revolution yang terbit di Washington Post pada 7 Februari 2011.

Amerika Syarikat Bolshevik Fareed Zakaria Glenn Beck Ikhwanul Muslimin Iran John McCain Kaherah Leon Wieseltier Mesir Napoleon Pakistan politik Richard Cohen Shah Reza Pahlavi Wahington

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan