Kerja hari ini siap lebih awal dari yang dijangka. Penyelidik-penyelidik muda lain telah menjalankan setiap tugasan pada masa yang ditetapkan dan analisis telah berjaya diproses tanpa sebarang masalah. Buat kali pertama dalam beberapa minggu, aku dapat keluar dari pejabat pada jam enam petang. Esok pagi, ada sidang video dengan CERN di Switzerland dan beberapa lagi makmal lain di dunia ini. Analisis ini perlu disampaikan bersama-sama dengan persembahan kertas kerja yang telah disediakan dalam dua minggu ini.

Fikiran aku melayang kembali kepada emel misteri yang diterima pagi tadi. Ada satu dokumen pdf yang dikepilkan bersamanya. Apakah yang terdapat di dalamnya? Aku pergi semula ke inbox dan mengklik pada label yang aku telah berikan pada emel tu agar mudah dicari-balik. Dalam sekelip masa, pdf itu terpapar di skrin depan mata, dan yang tertera atasnya:

Skema unifikasi ada pada Aksara. ( u )( c )( t ) bukan saja nama-nama kuark.
                                 ( d )( s )(b)
Pasangkanya dalam gabungan tenaga V, dan olah keluar siri angka yang
diterbit dari pasangan keupayaan ini. Lihat kembali pada  Heisenberg. Dia
terbitkan kesilapan, tetapi tersembunyi dalam simbol  logik itu, ada
kebenaran. Pencarian melalui juzuk-empirikal tidak boleh  dedahkannya.

Kemudian, nampak tertera di bawahnya satu rangkaian nombor “03712230000” dan “(A.S.C.)”, seperti yang ada pada cebisan kertas yang aku lihat di pantri. Aku teringat akan kertas itu di dalam kocekku sekarang. Aku lantas menyeluknya keluar. Menariknya, angka-angka dan akronim itu seperti bertulis tangan sebelum ditampal pada dokumen yang kesemuanya bertaip dengan font huruf Arial saiz 11. Dari mata kasar, nampak serupa sahaja gaya penulisan, sehingga kepada dakwat yang digunakan. Tetapi, aku tidak dapat pastikan dengan hanya mengagak. Aku duduk termenung sambil merenung kata-kata yang terpapar di skrin.

Aku cuba menelefon telefon bimbit Nora tapi tiada sesiapa yang menjawab. Sama juga hasilnya bila aku cuba menghubungi beliau di pejabat. Mungkin beliau telah ke kelas kickboxingnya. Lantas aku mencetak keluar kepingan itu, untuk ditunjukkan kepada Nora apabila aku ke rumahnya nanti.

Hampir 20 minit telah berlalu. Aku ada terfikir untuk mencari Chinta untuk memulangkan kertas itu kepadanya. Aku bergegas ke bahagian eksperimen fizik zarah unsur. Ada seorang budak yang aku nampak sedang bermain RPG di salah sebuah terminal, nampaknya mungkin seorang pelajar pascasiswazah. Aku menanyakan sama ada dia kenal Chinta dan tempat kerja beliau. Tanpa terlepas rentak permainannya, beliau menudingkan jari ke arah di mana kebanyakan pejabat postdoc bertempat. Katanya pejabat Chinta di koridor hujung sekali dan namanya ada terpampang di pintu. Aku berjalan ke arah yang ditunjukkan dan bersemuka dengan pejabat Chinta, seperti yang diberitahu. Pintu tertutup kemas tetapi ada cahaya lampu yang kelihatan terpancar keluar dari bawah pintu. Aku mengetuk dan menunggu, ada suara yang menyuruh aku masuk. Aku membuka pintu dan nampak Chinta sedang duduk berbicara dengan seorang lelaki berkulit cerah, mungkin seorang postdoc.

“Oh, helo. Tak sangka kau akan ke mari. Kau Linda kan?”
“Ya, aku menganggu ke?”
“Tak, aku hanya tengah bincangkan beberapa hal dengan Peter di sini. Kami pun hampir selesai.”

“Ya,” ujar lelaki itu yang diperkenalkan sebagai Peter, yang kemudian telah bangun dari duduknya, “Aku sebenarnya patut keluar sepuluh minit lalu. Nasib baik awak datang, kalau tidak lagi lewat dan marahlah isteri aku nanti. Gembira dapat jumpa awak, Linda. Bye Chinta. Nanti pagi esok, aku hantar laporan itu.” Dengan itu, beliau keluar mengikut pintu yang masih terbuka itu dan menutupnya kembali.

“Ada apa-apa yang aku boleh bantu kau, Linda?” tanya Chinta sambil pelawa aku duduk.

Selepas duduk di depannya, aku menghulurkan cebisan kertas itu kepadanya.

“Ini mungkin kepunyaan kau yang tertinggal di pantri pagi tadi. Aku baru teringat nak pulangkan pada kau sekarang, maklumlah hari yang sibuk. “ Aku tidak memberitahu sebab yang mencetuskan ingatan aku tu.

“Aku tidak ingat pun ada tinggalkan apa-apa kertas di pantri tadi,” beliau mengambil kertas itu sambil mengerutkan dahi cuba ingatkan sesuatu. “Aku tidak membawa pun apa-apa masuk. Mana kau jumpa cebisan ini?”

“Sebelah pemanas air. Aku ingat mungkin kau sedang menulis sesuatu atas kertas itu semasa membuat kopi tetapi terlupa mengambilnya semula.”

“Tidak pula. Aku tak perasan pun ada cebisan kertas di sebelah mesin itu, dan aku tak perasan siapa yang masuk sebelum aku,” ujar beliau sambil menghulurkan kertas itu kembali. “Tapi terima kasih kerana cuba memulangkannya kepada aku. Kau ada masa sekarang? Kalau ada, kita boleh pergi minum di satu café yang berhampiran dan berbual.”

“Oh, idea yang bagus tapi malangnya, aku sudah ada janji lain petang ini. Tapi kita boleh minum bersama nanti, kalau kau ada masa, mungkin Jumaat ini?”

“Pasti boleh. Nanti aku hubungi, apa nombor kamu?”

Selepas bertukar nombor telefon bimbit, aku meminta izin untuk keluar. Sudah tinggal 15 minit sebelum pukul tujuh dan nampaknya aku mungkin tak sempat pula hendak ke gym sebelum berjumpa dengan Nora. Baik aku buat saja senaman sedikit di rumah.

Misteri semakin menebal. Chinta mendakwa kertas itu tidak ada kaitan dengan beliau. Masakan ada kertas yang muncul tanpa sebab?

Sesampai ke rumah, aku menukar kepada pakaian senaman dan mula membuat beberapa langkah yoga memanaskan badan. Kemudian aku berlari-lari kecil di tempat berdiri sebelum membuat senaman pengimbangan badan. Aku mula membuat senaman pernafasan untuk menyejukkan serta menyegarkan badan. Semasa aku mahu ke bilik air, telefon berdengung.

“Kau talipon tadi, ada hal?” tanya Nora.
“Ya, nanti aku cerita. Nak mandi sekejap sebelum aku ke mari,” aku membalas.

Selepas mandi dan semasa bersiap-siap, jam telah menunjukkan 7:40 petang. Hampir tiba masanya untuk aku . Tiba-tiba, talipon berbunyi lagi. Tanpa melihat nombornya, aku terus angkat.

“Ya?” Aku ingat mungkin Nora telefon lagi.

Tetapi satu bunyi seperti gelora laut kedengaran di latar dan tiada sesiapa yang menjawab

“Helo?”

Biliknya gelap. Aku dapati diriku berada di hadapan sebuah konsol, dengan terminal monitor berkelipan. Aku memandang ke bawah dan ternampak diri aku dalam pakaian biru-listrik, semacam baju mandarin gaun panjang. Dan aku sedang mengaturcara dengan menggunakan papan kekunci di depan konsol, seperti aku amat faham bagaimana untuk melakukannya. Dengan pantas sahaja, imej maya seekor kucing terpapar di skrin terminal di hadapan aku. Kucing bulu hitam yang duduk di luar sebuah mahligai cantik. Aku terus mengaturcara dan kucing itu tiba-tiba berada di dalam mahligai itu, yang dibina khusus untuknya. Terdapat pelbagai alat mainan, makanan serbaneka dan pelbagai jenis minuman. Ada ‘katil’ yang berjenis permaidani ala Farsi dan pelbagai lagi tikar kecil yang berwarna-warni dengan bermacam tekstur. Aku menekan punat berwarna merah dan satu kantung yang belum pernah terjumpa tiba-tiba menjelma. Aku menekan punat itu sekali lagi dan skrin itu terbahagi kepada empat. Sekarang ada empat kucing serupa yang duduk di dalam empat mahligai yang serupa. Kantung yang berwarna hitam itu boleh dilihat di keempat-empat skrin itu. Aku mengalihkan jari ke kanan butang merah itu, ke butang hijau di sebelahnya, dan menekannya sekali.

               K c n    h d  p     d n  /   t   u     m  t
               u i g     i  u         a   /  a  a          a  i

‘Ke mana mahu pergi….,’ gema satu suara di belakangku

Aku tersentak dan mendapati aku masih memegang telefon yang kini senyap. Sekarang sudah 5 minit ke pukul lapan. Ah, bagaimana masa boleh berlalu begitu cepat. Aku cepat-cepat bergegas ke dapur, mengambil sebotol wain yang telah aku letak di kaunter dan menyambar kunci kereta dan rumah dari bekas rokok yang aku guna khususnya untuk meletak semua benda yang aku biasa perlukan setiap kali keluar dari rumah. Bekas itu terletak atas rak kabinet yang ada di ruang tamu, terselindung daripada pencarian mata yang kurang prihatin.

Apakah yang telah berlaku tadi? Adakah aku bermimpi? Adakah benar ada seseorang atau ‘sesuatu’ yang telah menghubungi aku?

Pangsapuri yang didiami Nora terletak di Brickfields. Tempatnya tidak terlalu mewah tetapi Nora pandai menghiaskan kediamannya sehinggakan nampak mewah. Rumahnya lebih sedikit 15 minit dari kediaman aku di Jalan Gasing, jika trafik lancar. Aku menghantar sms kepadanya menyatakan kelewatan aku atas sesuatu yang tidak dapat dijangka. Bila sampai di depan pintu rumahnya di tingkat 15, masa telah menunjukkan lebih daripada 8:15. Nora membuka pintu rumahnya. Dia agak risau bila melihat kemusykilan pada wajah aku.

“Kau ok?”

“Tak sangat…”

“Masuk dulu.”

Nora mengambil botol wain dari tangan aku dan membawa aku ke sofa untuk duduk. Aku amat suka ruang tamunya yang sentiasa nyaman dan menghadap ke balkoni. Dapat juga aku menikmati keindahan malam yang dibenderangi lampu-lampu jalan dan bangunan. Baru-baru ini, DBKL telah menukarkan semua lampu yang ada kepada jenis yang berwatt kecil dan menjimatkan tenaga. Itulah antara janji Datuk Bandar semasa pilihanraya tempatan. Yang bagusnya tentang mentol yang digunakan adalah ia boleh dikitar semula dengan mudah kerana diperbuat daripada bahan-bahan organik.

Nora membawakan aku sedikit kacang badam kegemaran aku dan segelas wain.

“Nah, ambil ini sikit. Makan malam akan siap sekejap lagi. Aku buat sup ayam, bayam masak garam, dan taufu sos tiram. Tadi aku belikan bubur sago sebagai manisan lepas makan. Kau rileks dulu, nanti datang ke meja makan dalam 5 minit.”

Aku dan Nora kerap bergilir-gilir memasak untuk satu sama lain, bergantung kepada jadual kami pada minggu itu. Biasanya, kami akan cuba memasak untuk masing-masing sekurang-kurangnya dua kali seminggu, kalau tidak dapat lebih. Walaupun tidak makan bersama tiap-tiap hari, tapi kami amat menghargai peluang untuk berbuat demikian kerana pada masa itulah kami dapat berbicara tentang segala yang berlaku dalam hidup masing-masing. Mungkin disebabkan kebiasaan yang dipupuk semasa belajar di AS dan Eropah semenjak bertahun-tahun lamanya, kami lebih gemar memasak dari makan di luar, kecuali bila kedua-dua terlampau sibuk atau terasa terlalu penat.

Aku duduk menikmati pandangan luar balkoninya sambil menghirup wain. Bila aku akhirnya ke meja makan, juadah yang dijanjikan itu dengan segeranya membuka seleraku. Sama ada bila memasak juadah yang mudah atau yang mencabar, Nora tukang masak yang sama hebat.

Semasa makan, aku ceritakan apa yang telah berlaku pada hari itu, dari emel dan dokumen pdf misteri itu hingga kepada perjumpaan aku dengan Chinta dan peristiwa ‘igauan’ yang tidak dapat aku jelaskan. Aku mengeluarkan cetakan dokumen pdf itu dan menghulurkannya kepada Nora. Nora nampak tergaman sebentar melihatnya.

Dia bangun tanpa bersuara dan bergerak laju ke arah bilik membacanya. Seminit kemudian, dia keluar dengan memegang sehelai fail berwarna biru. Dia menghampiri aku sambil menyelak fail, dan kemudian menghulurkan aku sekeping dokumen yang nampak seperti cetakan faks.

“Kau lihat di marginnya”

Dokumen itu adalah lembaran daripada contoh dokumen yang Nora telah hantar kepadaku pagi tadi. Aku juga tergamam bila aku ternampak huruf A.S.C. dan siri angka di sebelahnya. Stail tulisan tangan itu nampak mirip dengan dokumen pdf misterius itu.

“Aku terima dokumen ini dari Jerman pada tengahari tadi, selepas menghantar penulisan Heisenberg itu pada kau,” terang Nora, “Dokumen ini kononnya merupakan appendiks, pemanjangan kepada tulisannya yang tidak pernah terbit, nota-nota yang beliau tuliskan tetapi tidak sempat disiapkan. Setahu aku, dokumen ini tidak berada dalam sirkulasi umum sebab baru ditemui. Ia disimpan kemas buat masa kini sehingga dapat diperiksa dengan lebih lanjut untuk memastikan kesahihannya. Aku tidak tahu bagaimana kau boleh mendapat inskripsi di margin muka itu.”

Aku dan Nora berkeputusan untuk membiarkan perkara itu dahulu dan menghabiskan makan malam kami tanpa gangguan, walaupun kami berdua jelas terganggu dengan kejadian tersebut.

Aku membantu Nora mengemaskan pinggan mangkuk ke dapur untuk dicuci. Kerana ini meredakan ketegangan, aku bergurau dan mencuitnya. Percubaan itu berjaya. Kami bercumbuan di dapur sebaik sahaja selesai mengemas. Aku menariknya ke bilik.

Selain daripada katil bersaiz raja, perhiasan bilik tidur Nora amat sensual berbanding dengan bilik aku yang agak bersahaja. Di lantainya, dia telah hamparkan permaidani berbulu panjang (sintetik tapi terasa seperti yang asal) yang agak besar, boleh memuatkan seorang untuk berbaring di atasnya. Aku suka bercumbu dengan Nora di atas permaidani itu kerana aku suka melihat tubuh telanjangnya di atas karpet itu, susuk badan yang berotot dan lembut, dengan anggotanya yang panjang dengan lenturan yang ayu, selalu menggoda aku. Pada malam ini, itulah yang aku rasakan. Buas tangan aku cuba membuka kemeja T dan seluar jeans pendek yang dipakainya cepat-cepat. Ada sedikit kejutan padaku apabila mendapati Nora tidak memakai seluar dalam tetapi bila aku melihat lirikan matanya, aku sedar apa yang dia telah lakukan, untuk kami berdua. Malam ini, aku mahu memuaskannya. Biliknya yang suram, tapi dengan lampu kecil yang dibiarkan bernyala di meja sebelah katil, membolehkan aku melihat tubuhnya yang merupakan anugerah kepada aku. Syahwat terkudus ialah bila aku merasakan badannya menggigil penuh kepuasan. Nora pula bukan jenis yang mengerang.

Lebih sejam kemudian, kami duduk tanpa seurat benang sambil menikmati Shiraz di ruang tamu. Nora telah ke dapur dan membawa keluar dua mangkuk bubur kacang yang tidak sempat kami makan tadi. Kehangatan tadi masih terasa dan kalau boleh, aku bersedia untuk masuk pusingan kedua. Sememangnya, dalam keadaan sebegini, aku tidak boleh lekang dari menyentuh dan merasa Nora. Tapi, tanpa boleh aku berbuat apa-apa, perbualan kami tadi datang mengganggu aku.

“Kau rasa ada sesiapa yang cuba berhubung dengan kita…atau sesuatu…yang cuba menarik perhatian kita?”

Nora merenung aku agak lama rasanya sebelum menjawab.

“Kau ada masa hujung minggu ini? Aku nak bawa kau ke satu tempat. Mungkin kita akan mendapat sebahagian, jika tidak sepenuhnya, jawapan kepada apa yang sedang berlaku, di situ nanti.”

“Aku perlu menemani adik aku ke kedai pengantin hari Sabtu. Tapi apa tempatnya itu?” aku kebingungan.

“Kau boleh temankan adik kau, aku akan aturkan suatu masa yang sesuai untuk kita. Tempat itu adalah Arkib Negara, dan kita perlu buat temujanji dengan seorang di situ, dan hujung minggu paling sesuai untuk kita dan dia.”

“Ok, nanti aku bagi tahu kau selepas aturkan masa dengan adik aku tu…”

“Baik. So, kau nak bermalam di sini?”


Bersambung…