Perkembangan politik di Mesir memberikan impak yang besar kepada politik Timur Tengah dan juga Dunia Islam. Pada Jumaat, 4 Januari 2011, editor JalanTelawi, Ammar Gazali mewawancara Dato’ Profesor Madya Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan, Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia di Universiti Kaherah, Mesir. Beliau yang baru pulang daripada Mesir baru-baru ini menceritakan pengalamannya menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir.

Boleh Profesor ceritakan sedikit tentang latar belakang tugas Profesor di Mesir?

Saya ditugaskan di Jabatan Pengajian Malaysia di Universiti Kaherah, untuk memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat Arab dan Afrika Utara dan juga negara-negara Teluk. Kita menawarkan kursus tentang Malaysia yang berkaitan dengan politik, sejarah, pentadbiran Malaysia, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan itulah secara ringkasnya, enam ke tujuh tajuk besar yang mencangkupi hubungan kaum—ini antara tajuk yang menarik bagi mereka. Selain itu sistem pendidikan Malaysia—bagaimana kita dapat membasmi buta huruf. Juga tentang perancangan ekonomi—pengalaman Malaysia terutamanya DEB memang menjadi fokus kepada masyarakat Arab dan juga Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir menjadi perhatian kepada mereka. Kita ajar kepada pelajar sana dan mereka adalah pelajar universiti, ada yang peringkat ijazah, sarjana. Selain itu, saya dan rakan-rakan di Universiti Kaherah juga membuat penyelidikan dengan memilih tajuk-tajuk tertentu.

Tentang politik di Mesir, bagaimana dengan perkembangannya dalam tahun-tahun mutakhir ini?

Perkembangan politik di Mesir sentiasa menjadi perhatian banyak pihak kerana kedudukan strategik di Timur Tengah. Ia seolah-olah menjadi anchor yang mempengaruhi perkembangan serantau. Tetapi perkembangan politik dalamannya memang sentiasa bergolak. Saya rasa apa yang berlaku di Tunisia itu merupakan salah satu pencetus sahaja. Penentangan terhadap Hosni Mubarak ini sudah lama. Misalnya penentangan itu semakin kuat pada Pilihanraya 2010 yang lalu. Ketidakpuasan hati ini wujud di kalangan pembangkang dan aktivis kerana penyelewengan yang teruk dalam pilihanraya. Pembangkang yang majoritinya Ikhwanul Muslimin memang mengisytiharkan perang terbuka kepada kerajaan selepas pilihanraya itu. Pertamanya mereka menolak keputusan pilihanraya dan yang keduanya mereka hendak membawa perkara itu ke mahkamah. Sebab apa 70 orang ahli parlimennya tidak ada seorang pun yang menang di dalam pilihanraya yang lepas. Sampai baru-baru ini persidangan parlimen Mesir, dibuat dua kumpulan. Satu kumpulan Kerajaan dan satu lagi Pembangkang. Macam sebuah orkestra, mereka buat lakonan. Dalam Kerajaan itu ada pembangkang. Kalau tidak semua mutlak pada pemerintah kerana semua cadangan akan disokong penuh. Jadi untuk mengelak perkara itu, maka ada pembangkang yang dicipta. Jadi kelakar dan ditertawakan.

Perkara ini kalau kita berada di Mesir, kita boleh ikuti. Tapi kena baca suratkhabar-suratkhabar yang pelbagai. Di Mesir ini satu yang bagusnya ialah dibenarkan suratkhabar-suratkhabar pembangkang. Ada Mishr al-Yaum dan As-Syuruk misalnya. As-Syuruk ini sebenarnya sangat sederhana, tentang Kerajaan pun ditulis. Sebab itu dia agak ke depan sebab rakyat suka. Kalau Mishr al-Yaum itu pembangkang, Al-Wahd memang dah tahu pembangkang. Jadi ada akhbar-akhbar begitu, macam kita ada Harakah dan Suara Keadilan. Tapi di sana lagi banyak akhbar pembangkang kerana pemerintah Mesir tidak takut. Kalau ada apa-apa pun ditangkapnya dengan menggunakan Akta Darurat yang berkuat kuasa sejak awal pemerintahan Mubarak lagi. Tetapi dengan perkembangan teknologi hari ini, dengan adanya YouTube, internet, maklumat itu memang tersebar dan rakyat tahu apa yang sebenarnya berlaku. Jadi rakyat tidak lagi merujuk kepada satu sumber sahaja. Dan pilihanraya yang penuh penyelewengan rakyat dapat dedahkan, macam dalam satu artikel yang saya baca dalam akhbar As-Syuruk, katakanlah saya sebagai calon di suatu kawan mengundi, saya buang undi dalam peti undi, bila dikira undi itu kosong. Jadi undi saya sendiri sebagai calon pun tak ada. Jadi lupakanlah undi-undi yang lain, saya sebagai yang mengundi untuk diri saya pun tiba-tiba kosong juga. Dan di sini duit ditabur di depan-depan. Tak ada sembunyi-sembunyi. Dan yang menabur itu antaranya speaker parlimen sendiri. Kalau dah ketua speaker menabur wang di kawasan dia bertanding, apa lagi yang nak diharapkan pada yang lain. Jadi sampai pada tahap klimaks. Rakyat menunggu masa saja untuk mencetuskan penentangan. Bila Tunisia berlaku begitu, timing bomb di Mesir pun meletup juga. Jadi di tahun ini juga, pertama kali saya rasa kerajaan Mesir mengisytiharkan Hari Polis sebagai cuti umum pada 25 Januari. Selalunya hari polis hanya untuk polis saja. Jadi mereka kata, dia isytihar cuti umum, kita isytiharkan hari kemarahan (Yaum al-Ghazhab). Maka berlakulah demonstrasi itu.

Apakah yang Profesor lihat pada hari Selasa, 25 Januari itu?

Pada hari tersebut saya berada di Kaherah. Demonstrasi pada hari itu memang dahsyat. Tetapi pada 25 haribulan hari Selasa dan esoknya 26 haribulan kita masih berkerja lagi. Demonstrasi hanya di Tahrir Square. Cuma apa yang berlaku pada 25 haribulan itu, pertembungan dengan polis rusuhan yang menembak gas pemedih mata dan sebagainya. Pada 26 haribulan pimpinan Ikhwan ditangkap seramai 136 orang. Ini memang menimbulkan ketidakpuasan hati. Pada hari Khamis pula, mereka isytiharkan hari Jumaat akan dibuat apa yang dipanggil sebagai Jumaat Ghazhab. Ada dua nama, Jumaat Ghazab atau pun Jumaat Syuhada’. Dan akhbar-akhbar, berita TV mewar-warkannya, Al-Jazeera, CNN dan sebagainya. Mereka berhasrat akan berkumpul secara besar-besaran pada hari Jumaat untuk menyatakan kemarahan rakyat. Hari 25 Jan itu mereka panggil hari kemarahan, jadi Jumaat ini sebagai Jumaat Ghazhab dan Jumaat ini perhimpunan secara besar-besaran dan meletus juga di tempat-tempat lain iaitu Suez, Alexandria, Mansoura, Tanta dan semua tempat ini telah menyatakan pendirian bahawa mereka juga akan berdemo. Maka jadi nationwide. Hari Isnin hanya di Tahrir Square pada mulanya.

Pada 25 haribulan itu, kita pun mengambil tindakan berjaga-jaga. Kebetulan bekas duta ada di Mesir ketika itu, saya beritahunya dia perlu balik esok, penerbangan pukul 4 petang, pukul 10 pagi dia perlu ke lapangan terbang. Saya yang hantar dia. Kalau tidak kita takut semasa kita balik bertembung dengan mereka yang berdemo. Saya mungkin sembahyang Jumaat tengah jalan. Sebab Jumaat di sana pukul 12. Dia bersetuju. Semasa kita sampai airport, orang penuh sesak. Ramai sudah hendak keluar dari Mesir. Kemudian saya balik ke rumah, lepas sembahyang Jumaat mula-mula itu nampak sikit kemudian semakin besar dan besar mereka yang hadir. Sampai ke kemuncak pada waktu Asar itu bertemu kelompok-kelompok itu. Di Suez pun menjadi begitu gawat dan malam itu tentera ambil alih. Lepas Maghrib tentera masuk. Ini berlaku pada Jumaat malam Sabtu, 28 haribulan. Bila tentera masuk,mereka pun isytiharkan perintah berkurung. Maghrib di sana pukul lima. Pukul enam perintah berkurung mula. Jadi Maghrib itu sempat lagi sembahyang di luar. Pukul enam sudah tidak boleh keluar.

Rupa-rupanya bila tentera ambil alih dan isytihar curfew, dalam masa sekejap itu juga polis pun terus hilang dari semua tempat. Di Mesir ini, di setiap sudut ada polis bertugas. Di setiap bank ada polis, di setiap ATM akan ada polis. Polis memang benar-benar mengawal keselamatan. Itu yang menyebabkan keadaan terkawal bila ada polis. Polis 24 jam di ATM misalnya. Kita pergi sembahyang subuh pukul 5 pagi pun boleh nampak polis jaga dan dia tidak tidur. Dan ada patrolnya. Anggota polis yang bertugas ini makanannya dibekalkan oleh polis. Mereka tak perlu pergi cari makan. Akan datang lori yang menghantar makanan. Itulah keadaan di Mesir. Jadi selepas tentera ambil alih itu terus hilang dan tak muncul. Malam itu pun balai polis bergelap dan berlaku banyak kebakaran. Jadi banyak pecah masuk di kedai-kedai di jalan-jalan utama. Esok pagi itu iaitu hari Sabtu, curfew habis pukul 8 pagi, selepas solat Zohor pada pukul 12 saya keluar jalan dan tengok keadaan yang dahsyat.

Di Kaherah Profesor tinggal di mana?

Saya tinggal di Mohandessin. Tidak jauh daripada Tahrir Square. Kita dapat tahu selepas itu di dalam akhbar, rupa-rupanya Menteri Dalam Negeri Mesir, bila berlakunya demonstrasi pada hari Selasa dia memberi jaminan kepada Presiden Mubarak bahawa demonstrasi itu dapat dilumpuhkan pada hari Jumaat. Maknanya Rabu, Khamis dan Jumaat, dalam tiga hari  dia beri jaminan akan menyelesaikan perkara itu. Sebab itu bila tangkapan dilakukan pada hari Rabu, hari Khamis ada pengumuman untuk buat demonstrasi besar-besaran pada hari Jumaat. Menteri itu kata hari Jumaat dia akan selesaikan. Di situlah sebenarnya keluar arahan, kalau ikutkan akhbar itu, bahawa dia arahkan polis tembak peluru hidup bukan lagi peluru getah. Sebab dia nak takutkan penunjuk perasaan dan ramai yang mati di Iskandariah, bukan setakat itu ada kenderaan yang langgar penunjuk perasaan dan yang ditembak air sebagainya di Suez dan merata tempat.

Itu janji menteri tersebut, tapi apa yang berlaku apabila dia buat semua itu tidak meredakan tunjuk perasaan malah meledakkan lagi sebab itulah bila dia masih berkeras, tentera Mesir pun ambil alih, polis diarahkan berundur dan tukar uniform. Dan berlakulah sabotaj kepada negara di mana apabila polis tiada, kononnya balai polis dibakar dan banduan terlepas. Banduan pun malam itu terlepas. Hari Sabtu itu sebenarnya banduan sudah berkeliaran. Ada yang percaya bahawa ini semua peracangan pemerintah sebenarnya. Dengan menghilangkan polis itu supaya dapat melemahkan demonstrasi. Supaya mereka terpaksa menjaga kediaman masing-masing kerana banduan pun dah terlepas daripada penjara.

Maksudnya banduan dilepaskan secara terancang?

Dipercayai secara terancang dikeluarkan daripada penjara sehinggakan menurut pemberita TV, mereka yang dijatuhkan hukuman mati, yang berada di sel terakhir pun terlepas. Bagaimana boleh lepas? Tidak ada orang yang bersetuju mengatakan bahawa ini dilakukan oleh orang luar ataupun banduan merusuh. Taktik yang dilakukan misalnya terdengar tembakan dalam penjara, mungkin ditembak dua tiga banduan lepas tu mereka kata banduan merusuh. Di Kaherah saja ada 6 ribu banduan. Di seluruh Mesir ada 34 ribu banduan. Ini yang pelajar kita takut. Memang menimbulkan kekecohan yang sangat-sangat. Jadi malam itu juga sebuah Carrefour dan pasaraya Hyper One habis dirompak. Barang-barang habis licin dan tidak ada apa-apa lagi.

Tapi yang ironinya ialah TV Mesir ini tidak menunjukkan perkara ini. Apa yang dilaporkan adalah keadaan tenang dan terkawal. Misalnya disiarkan gabenor-gabenor di setiap daerah mengatakan keadaan bagus dan terkawal. Gabenor-gabenor di Mesir ini semuanya tentera. Sebenarnya yang berlaku adalah sebaliknya. Jadi memang kita dapat tengok kontradiksi dengan Al-Jazeera dan stesyen TV di Mesir. Kemudian mereka menyekat Al-Jazeera pada hari Sabtu. Jadi Al-Jazeera English tidak puas hati, ia tunjuk bagaimana liputannya maka ditayang dua gambar bersebelahan: satu gambar TV Mesir satu lagi gambar siaran Al-Jazeera. Memang kita akan tengok dua gambar yang berbeza. Satu gambar yang sangat tenang, gambar air Sungai Nil dan jambatan. Di gambar satu lagi orang penuh di Tahrir Square, jadi dua keadaan yang berbeza. Tetapi akhirnya TV Mesir pun terpaksa menerima hakikat dan kena ubah.

Berkenaan dengan protes atau tunjuk perasaan. Dalam media dilaporkan bahawa tidak ada kumpulan atau organisasi tertentu yang mengatur demonstrasi tersebut. Menurut Prof siapakah yang sebenarnya berada di belakang perkara ini?

Secara spesifiknya saya tidak tahu. Sebab kita hanya melihat daripada luar. Tetapi daripada maklumat yang dibekalkan oleh televisyen dan sebagainya dan juga daripada cara demonstrasi yang kita tengok, saya rasa mastermind yang paling utama adalah Ikhwanul Muslimin. Ikhwanul Muslimin memainkan peranan yang penting dalam perkara ini dan ia memang satu gerakan yang cukup tersusun dan ahli-ahlinya terlatih dan taat. Sebab itu saya tengok demonstrasi ini berjalan. Dan ini sebenarnya menimbulkan ketakutan yang amat sangat kepada pihak Amerika dan Israel yang selalu membincangkan perkara ini. Kalau kita tengok CNN dan BBC, memang terang-terangan mengatakan bahawa apa yang kita bimbangkan kalau jatuhnya kerajaan Mubarak ialah Muslim Brotherhood ini akan mendapat kuasa. Apabila ditanya what’s wrong with the Muslim Brotherhood? They are extremists, they are like al-Qaeda. You know what will be happening when they govern.

Tetapi saya tengok hebatnya bila ada Al-Jazeera yang boleh counter balik. Jadi ada cross-check berbanding CNN ini. Dia kata, on the contrary, orang ini mengatakan begini-begini, akhirnya dia interview El-Baradei yang pulang ke Mesir pada hari Khamis (27/1) daripada Vienna. That is another shocking kepada Mesir. Begitu ramai orang sambut beliau di lapangan terbang. Ini satu lagi impak kepada orang yang akan demo pada hari Jumaatnya bahawa mereka ada kekuatan. Memang sesak lapangan terbang tersebut. Masa itu perintah berkurung masih belum ada. Masa El-Baradei diwawancara, dia kata this is a bogus. Awak memburuk-burukkan Ikhwanul Muslimin, mereka bukan teroris. Kalau Muhammad Badi’e, Mursyid Ikhwanul Muslimin itu yang menafikan, siapa pun tak nak percaya. Tetapi apabila Muhammad El-Baradei, seorang yang begitu moderate, dihormati di peringkat antarabangsa, seorang yang berpengetahuan luas dan bukanlah kecenderungan Islamnya itu macam seorang Ikhwan. Dia memang moden. Dia mengatakan no, they are very good people, very good movement, they are not extremist, they even against Al-Qaeda. They never recognise Al-Qaeda. You find me any statement that they recognise Al-Qaeda. Bila saya tengok tu, saya kata this is a very good statement. Katanya, they are only 20 percent, they are part of Egyptian society. They are very systematic movement. Why are you exaggerate thing. When we form a new government, I don’t think they will govern the whole country. Jadi pengacara tu jadi terpinga-pinga. Kenyataan itu sebenarnya memberikan impak yang cukup besar dan itu dibuat dalam BBC. CNN pun saya tengok mengambil juga wawancara itu.

Jadi semuanya selama ini adalah salah faham. Kita pun sedih, di Jordan, Mesir sendiri, bahkan PLO pun memburuk-burukkan Ikhwanul Muslimin. PLO sudah tentu, sebab Hamas itu musuhnya. Dan Hamas ini ada hubungan dengan Ikhwanul Muslimin. Terdedah sebelum ini, ada satu tulisan tentang penyelewengan perunding-perunding PLO yang mengkhianati rakyat Palestin, Saeb Erekat dan konco-konconya. Saya lihat demonstrasi ini, walaupun ia melalui suatu proses yang cukup getir tetapi ia memberi kredit besar kepada Ikhwan, kepada masyarakat supaya dapat mendedahkan perkara sebenar. Sebab dalam keadaan orang tidak gawat, orang hanya dengar-dengar dan tidak ambil endah. Kemudian dimanipulasikan, dan kalau dia nak kata apa pun orang tak kisah. Bila dalam keadaan getir orang mendengar dengan penuh perhatian. Dan orang hendak mencari penyelesaian. What is the solution? Sebab itu kita tengok di hujung-hujung itu nampak Amerika pun dah mula kendur. Sekarang senario sudah berubah. Bagi saya ini satu perkembangan yang baik.

Tentang El-Baradei. Bagaimana kedudukan beliau sebagai seorang yang boleh dikatakan sebagai pemimpin gerakan ini. Adakah beliau secara politiknya mempunyai kedudukan yang kuat?

Dari pemerhatian saya, El-Baradei ini semasa pulang dari luar negara, beliau banyak menekankan tentang pemilihan presiden pada 2011 di mana beliau menekankan supaya pertamanya perlembagaan Mesir perlu diubah. Untuk melahirkan masyarakat madani, perlu perubahan dalam perlembagaan Mesir kerana perlembagan itulah mengecilkan skop untuk perlantikan presiden di mana kaedah pemilihan itu mesti melalui beberapa proses yang mana orang seperti beliau umpamanya atau orang Ikhwan tidak layak untuk bertanding. Dan inilah satu cara yang menyebabkan Mubarak dapat bertahan lama dan undang-undang darurat mesti dihapuskan. Itu perjuangannya. Jadi beliau ini bagi saya lebih kepada seorang lawmaker ataupun kita panggil legislator.

Banyak orang cakap El-Baradei ini tidak terjun ke dalam masyarakat. Ini pandangan-pandangan yang mengatakan dia itu belum bertakhta di hati rakyat. Tapi dia berperanan bagi saya sebagai seorang big figure, jauh ke depan kerana dia boleh memainkan peranan sebagai seorang perunding cara yang berkesan selain daripada international contact yang dia ada. Yang bagusnya ialah dia tidak suka Amerika. Dan Amerika pun tak suka dia. Dan tamatnya tempoh tugasan beliau [di Agensi Atom Antarabangsa] supaya tidak disambung kontraknya adalah kerana lobi Amerika. Beliau kata begini, kami tidak mahu lagi terikat dengan dunia lain, negara lain. Biarlah orang Mesir menguruskan sendiri negaranya. Cukuplah Mesir yang selama ini dibantu oleh Amerika yang sudah tentulah ada timbal baliknya. El-Baradei ini seorang yang cerdik. Bantuan yang diberikan biasanya akan disusuli dengan berapa banyak lagi kepentingan di belakang. Contohnya, kepentingan perniagaan dan pelaburan juga. El-Baradei jelas dalam bab itu. Dan dia mengatakan secara terang bahawa kita tidak mahu terikat dengan perkara sebegini. Jadi ini memberikan impak yang besar dan sebelum ini orang tidak tahu ke mana dia nak pergi.

Gerakannya dipanggil gerakan Kifayah, Enough is Enough itu. Biasalah di Mesir ini gerakan politik bercakaran sesama sendiri. Tetapi bila demonstrasi baru-baru ini semuanya sepakat melantik beliau sebagai jurucakap pembangkang. Dan dia mengatakan dia bersedia untuk menjadi ketua bagi interim government bukan memerintah. Saya tak nak jadi presiden, katanya. Apa yang saya nak ialah biarlah Mesir menjadi negara yang demokratik yang menjunjung prinsip-prinsip demokrasi yang tidak ada undang-undang darurat dan sebagainya. Jadi dia bersedia. Cuma mereka sepakat bila tahu ini permainan pemerintah mereka tidak mahu runding sehingga Hosni Mubarak turun. Sebab memang bahaya.

Saya tanya beberapa orang kenapa begitu, dia kata senang sahaja, apabila pembangkang bersetuju berunding dengan kerajaan, kandungan perbincangan itu tidak semestinya benar. Kerana kerajaan kawal media, kerajaan boleh mengatakan umpamanya pembangkang bersetuju untuk menamatkan demonstrasi. Jadi mereka cerdik dan tidak mahu dimanipulasi lagi. Omar Sulaiman pun pernah tawarkan untuk berbincang, begitu juga Perdana Menteri yang baru dan akhir sekali Hosni Mubarak, itupun beliau tidak mahu. El-Baradei kata resign dulu baru kita adakan perbincangan. Maknanya bila dia resign terpaksa lantik interim government. Pada masa itu perbincangannya siapa yang akan lead.

Jadi menurut Profesor apakah peristiwa selanjutnya selepas ini, adakah akhirnya Hosni Mubarak akan meletakkan jawatan?

Mahu atau tidak mahu saya rasa perkara itu mesti diselesaikan kerana sekarang pun sudah melumpuhkan ekonomi Mesir. Dan apa yang berlaku sekarang menjatuhkan imej Mesir yang begitu buruk di mata dunia dengan kematian pendemo yang meningkat. Dan yang terbaru semalam ada kononnya yang pro-Mubarak sedangkan itu adalah—walaupun kita tidak dapat bukti—polis. Sebab yang naik unta dan kuda itu tidak ada orang lain. Di Mesir memang diketahui bahawa yang memiliki unta dan kuda terlatih ini adalah polis sahaja. Unta itu perlu dilatih kalau tidak ia tidak boleh masuk dalam kelompok ramai seperti itu. Tujuannya memang digunakan untuk menyerang pendemo. Saya nampak akan ada penyelesaian sebab mahu tidak mahu kerajaan kena buat sebab ekonomi akan semakin teruk. Bursa saham telah digantung dan tidak diniagakan. Kalau diniagakan orang akan jual habis dan boleh bangkrap. Jadi mereka terpaksa gantung dahulu.  Wallahu’alam, kita tidak tahulah apa yang akan berlaku ke depan ini.

Di sini di manakah peranan tentera? Maksudnya adakah tentera akan memberi tekanan kepada Hosni Mubarak supaya meletakkan jawatan ataupun mereka sendiri yang akan berkuasa?

Satu perkara tentang tentera Mesir ini ialah mereka sangat unik. Walaupun sebelum ini kita dengar sahaja tentang Mesir, tetapi dalam dua tiga hari ini saya melihat  tentera Mesir, saya amat kagum. Namun pendirian pimpinannya kita belum tahu. Tetapi integriti tentera Mesir ini rupanya boleh dipuji. Jadi bila kita sorot sejarah,mereka menang dalam peperangan dengan Israel pada 1973 dan peperangan sebelum itu 1948, 1949 sampailah Revolusi 1952. Pada 1948, Jamal Abdul Naser pada masa itu terlibat dengan peperangan di Sinai, peperangan dengan Israel. Memang tentera yang berjuang. Jadi tepatlah Nabi S.A.W bersabda, sebaik-baik tentera di atas muka bumi ini adalah tentera Mesir. Ada hadis tentang itu, (Khairu al-ajnad al-ardh junud Mishr).

Jadi Sheikh Azhar sebelum ini, apabila dia mengendurkan ketegangan antara mereka yang berdemo dengan kerajaan, dia bagi wasiat kepada tentera supaya jangan gunakan kekerasan. Katanya, ingatlah saudara-saudara semua akan apa yang telah disifatkan oleh Nabi 14 kurun yang dulu. Jadi selepas dia buat kenyataan itu esoknya terus wakil tentera memberi ucapan mengatakan tentera tidak akan sekali-kali menggunakan kekerasan kepada rakyat. Bagi saya itu satu integriti yang cukup tinggi. Syeikh al-Qaradhawi pun memberikan satu wasiat yang sama kepada tentera. Jangan gunakan kekerasan kepada rakyat, jangan sesekali keluar satu peluru pun daripada kamu menembak rakyat. Dan itu menjadi kesepakatan.

Saya tengok dengan mata saya sendiri mereka ini sabar betul. Kereta kebal mereka, penuh orang naik, mereka tidak peduli pun. Mereka tak usir pun. Mana ada dalam negara yang kita boleh panjat kereta kebal. Di jalanan walaupun ada rakyat yang provokasi, mereka buat tidak tahu sahaja. Saya dengar sendiri ada rakyat yang meminta supaya tentera bersama mereka. Tentera itu hanya diam dan bersalam dengan mereka dan berlalu pergi. Berbeza dengan polis yang selalu bertembung kerana provokasi sebegitu. Tetapi masalah sekarang ini ialah tentera tidak buat pendirian. Saya rasa mungkin ada hikmah dia tidak buat pendirian. Kalau tentera buat pendirian pada rakyat, tentera akan membelot, kalau pada kerajaan tentera akan bertembung dengan rakyat. Jadi tentera megambil pendekatan berhikmah untuk berdiam diri. Menjaga integritinya. Semalam tentera telah keluarkan kenyataan minta polis jangan campur tangan dalam demo pada hari ini (Jumaat, 4/1). Maknanya demo pada hari ini akan dikawal sepenuhnya oleh tentera. Kita tengoklah macam mana. Jadi dalam perkara ini susah untuk minta tentera memberikan pendirian. Sekurang-kurang masih terpelihara maruah mereka apabila berada di tengah.

Dalam keadaan ini, di mana dan bagaimanakah peranan Universiti Al-Azhar?

Al-Azhar berperanan sebagai satu institusi ilmu dan ulamak yang berkecuali. Maksudnya ia tidak memihak kepada mana-mana. Apa yang berlaku baru-baru ini, ada tiga wasiat daripada syeikhnya kepada pemuda Mesir supaya kasihkan pada negara, keduanya menghormati dan menghargai pendirian serta aspirasi pemuda yang mahu berjuang menyalurkan suara mereka melalui demonstrasi. Ini dia iktiraf. Ketiganya wasiat kepada tentera, jangan menggunakan kekerasan. Itu adalah pendirian Al-Azhar. Muhammad ‘Imarah ketika ditanya apa pendirian Al-Azhar, dia kata Al-Azhar mahu kekal sebagai institusi ilmu dan tidak terllibat dengan politik. Muhammad ‘Imarah ini salah seorang ulamak Al-Azhar. Mana-mana multaqa atau dirasat ilmiah beliau mesti dipanggil. Bila beliau ditanya tentang tunjuk perasaan itu, dia menjawab saya mahu ini diteruskan kerana ini adalah kehendak syabab (pemuda). Dan dia kata dengan jelas, sistem mesti berubah maknanya Hosni Mubarak mesti pergi. Tetapi bila orang tanya dia tentang Al-Azhar dia kata mahu mengekalkannya sebagai insitutsi ilmu.

Saya rasa itu wajar kerana Al-Azhar ini jangan terlibat dalam konflik. Hal ini kerana kalau Al-Azhar menyokong pemuda itu akan menjadi masalah sekarang, kalau menyokong Mubarak itu akan menjadi masalah akan datang. Jadi kredibilitinya akan hilang. Kalau naik pemerintah baru mungkin ada konflik juga. Syeikh Al-Azhar tidak menyanggah apa yang pemuda buat dan dia juga tidak mengkritik kerajaan. Dia menyebut perkara yang patut disebutnya. Dan mengekalkan kredibiliti sebagai institusi ilmu. Ada orang yang tidak setuju dengan mengatakan Al-Azhar politiking sebab tidak memberikan reaksi yang menentang Hosni Mubarak. Susah kalau Al-Azhar nak kata begitu. Tapi syeikh-syeikh seperti ‘Imarah memberi sokongan yang agak jelas kepada pemuda dan tidak seorang pun yang menyokong Hosni Mubarak. Syeikh Muhammad Qutb misalnya mengatakan bahawa demonstrasi ini adalah syar’ie.

Bagaimana pula dengan pandangan Mufti Mesir, Syeih Ali Gomaa?

Dia menyeru supaya para mutadhahirun (penunjuk perasaan) kembali ke rumah sebab dia bercakap dalam konteks apa yang berlaku itu memudaratkan negara dari banyak segi. Itu pandangan dia sebagai orang yang berada dalam institusi mufti negara. Ali Gomaa (transliterasi bahasa arab ialah ‘Ali Jum’ah~editor) ini alim orangnya tetapi dia terpaksa memberi pandangan begitu. Dia mengambil dari aspek itu sahaja iaitu mudarat kepada negara dan melumpuhkan ekonomi. Sebenarnya pendemo itu langsung tidak merosakkan harta benda. Mereka itu bersih daripada melakukan perkara-perkara begitu. Yang buat kerosakan itu adalah pihak-pihak yang ingin sabotaj dan penjenayah. Sebab itu fatwa Ali Gomaa itu payah untuk mereka terima. Kata mereka kami bukan membuatkan kerosakan kepada negara, yang merosakkan negara adalah mereka itu.

Saya ingin tahu tentang keadaan mahasiswa dan rakyat Malaysia di sana?

Rakyat Malaysia di Mesir memang tidak menghadapi ancaman dalam aspek adakah ada pihak yang ingin menyerang kita secara khusus. Itu tidak berlaku. Kecualilah mereka tidak tahu siapa kita dan menganggap kita orang Amerika misalnya. Tetapi amat mustahil untuk berlaku. Masalah yang timbul pada kita ialah masalah keselamatan daripada aspek diri dan harta benda. Sebab seperti yang saya katakan tadi ada lebih daripada 20 ribu banduan yang keluar penjara. Kemudian di Mesir itu juga ramai orang yang suka mencuri. Mereka ini akan mengambil peluang. Itu yang saya katakan di Mesir mesti sentiasa ada polis yang mengawal keamanan. Bila polis tiada memang keselamatan sangat membimbangkan.

Jadi buat masa ini yang selamatnya adalah di Mesir itu kita ada rumah-rumah negeri, kita ada Malaysia Hall di mana ia merupakan penempatan secara berkelompok. Jadi sekitar halamannya itu terjaga. Mereka juga rasa selamat. Saya dengar pelajar-pelajar sampai dua ratus orang berkawal tetapi untuk kawasan itu sahaja. Namun bagaimana dengan rakan-rakan yang duduk di luar dan sebahagian daripada mereka masuk ke sini meyebabkan keadaan sesak. Kalau seminggu mungkin boleh tetapi kalau sebulan sesak begitu akan bertambah sukar. Masalah untuk tidur dan makan akan timbul, sementelahan sekarang musim sejuk. Untuk jangka masa seminggu mungkin boleh bertahan. Makanan semakin kurang. Kedai semua tutup, bank tidak buka, ATM tidak berfungsi. Mereka ada kad tapi tak boleh keluarkan duit. Kalau ada duit mungkin boleh juga beli. Kemudian barang sekarang memang mahal. Naik sekali ganda. Sebelum saya balik lagi dah naik. Sekarang ini mungkin lebih. Dekat lapangan terbang jangan cakaplah, secawan teh RM100. Kalau kita tak nak beli peniaganya kata, tidak mengapa orang lain ada lagi yang akan beli. Ada pelajar kita kehabisan duit di lapangan terbang. Saya bukan nak menakut-nakutkan ibu bapa tetapi saya kena beritahu perkara yang sebenar. Dalam wawancara dengan Berita Harian minggu lepas, saya cadangkan supaya kena ada bantuan untuk bawa balik pelajar Malaysia kerana pelajar ini dependent bukan independent seperti kami yang dah berkerja. Kalau tidak ada yang tolong mereka di situ lah mereka duduk. Sebab itu saya cadangkan supaya hantar bantuan walaupun kapal perang.

Jadi sehingga sekarang bagaimana bantuan?

Sedikit masalah apabila hantar pesawat tentera. Sebab nak dapat perlepasan untuk hak mendarat susah. Kerana Mesir dalam keadaan begitu, sudah tentu sukar dia benarkan orang luar masuk apatah lagi tentera. MAS dah hantar satu kumpulan ke Jeddah. Kita tahu bahawa Mesir ini bukanlah sebuah negara yang mudah untuk berurusan. Kecuali kalau kamu ada personal contact dengan Hosni Mubarak. Dia pun sekarang bukan boleh dihubungi (ketawa). Saya ada dua cadangan, kalau terdesak saya cadangkan kapal perang tetapi saya rasa perlu chartered flight. Sebab tak rugi. Macam Tabung Haji buat untuk orang pergi Mekah. Satu pesawat itu kita guna. Yang mahalnya tiket kepal terbang ini bila kapal terbang tak penuh. Kita pun biasa buat begitu bila nak hantar pelajar ke Mesir dan Jordan. Masa itu ada pelajar 300 lebih, turun di Jordan 70 orang, bakinya pergi Kaherah.

Bagaimana dengan bantuan jalan darat dengan bas misalnya untuk keluar dari Mesir?

Bas tak selamat. Takut kena rompak tengah jalan. Jadi yang paling selamat adalah jalan udara ataupun jalan laut. Satu lagi saya tidak dengar lagi kerajaan negeri yang membantu (menurut laporan Bernama, kerajaan negeri Sabah memberikan bantuan membawa pulang pelajar-pelajarnya~editor). Kenapa kerajaan negeri tidak tampil ke hadapan. Inilah masanya kita membantu. Jangan mengharapkan kerajaan pusat sahaja. Setiap kerajaan negeri harus ambil inisiatif. Sebab saya tahu kerajaan negeri banyak kali pergi ke Mesir. Kadang-kadang sampai 70 orang pergi satu rombongan. Itu dah separuh penerbangan. Kenapa dalam keadaan pelajar kita begini kita tidak boleh tolong.

Ambil contoh mudah misalnya satu negeri tawarkan satu penerbangan, kita dah ada sebelas kapal terbang. Semudah itu. Mungkin negeri yang kaya boleh memberi dua atau tiga. Selangor mungkin boleh beri tiga penerbangan, Perak, Pulau Pinang, Kedah misalnya miskin sikit mungkin beri kurang. Dan mungkin juga mengikut bilangan pelajar setiap negeri. Melaka mungkin satu kapal terbang sahaja. Sebenarnya kalau nak buat boleh. Isunya adakah kita ini prihatin atau tidak. Bila kita kata ibu bapa jangan melatah, siapa yang tak melatah, kalau kena anak sendiri baru kita tahu. Kita kena fikirkan tentang itu dan bertindak kena cepat. Kerana keadaan menjadi semakin buruk. Saya pun tidak nampak kalau Hosni Mubarak letak jawatan pun akan pulih. Akan memakan masa berbulan-bulan. Sebab bila naik kerajaan baru mesti ada kelompok yang ingin membalas dendam. Keadaan tidak akan tenteram juga. Seperti yang diketahui polis kebanyakan penyokong Mubarak. Jadi proses itu memakan masa. Jadi kena ambil kira soal ini.

Kesimpulan Professor tentang apa yang berlaku di Mesir?

Pandangan saya apa yang berlaku ini daripada perspektif seorang Muslim adalah positif bahawa ini adalah kemenangan untuk Islam. Bahawa kita hendaklah melihat ini sebagai kemenangan menentang penyelewengan dan penindasan. Suara untuk Islam itu semakin dapat diketengahkan dan kita harap Islam dapat memimpin suatu hari nanti kerana Mesir dengan kedudukannya yang strategik, dengan Tunisia yang akan dikuasai oleh golongan Islam. Sekarang sudah melebar ke Yaman, Jordan pun dah mula bangkit menentang penyelewengan dan banyak masalah di Jordan. Raja Jordan pun telah pecat Perdana Menteri dan lantik Perdana Menteri yang baru. Perkara ini akan berkembang. Kita lihat sebelum ini hanya berlaku di Algeria sahaja. Sekarang sudah merebak. Kita berharap kecemerlangan di rantau Timur Tengah itu akan kembali satu hari nanti setelah lama mereka yang cenderung kepada Islam tidak dapat berperanan.


Disunting kembali: 12.30 pagi, 8 Februari 2011.