Pada 29 Januari 2010, Kwame Anthony Appiah, presiden NGO penulis dan hak asasi manusia PEN, menghantar surat mencalonkan Liu Xiaobo untuk Hadiah Nobel Keamanan 2010. Berikut adalah suratnya kepada jawatankuasa Hadiah Nobel untuk pencalonan berkenaan.

Kepada ahli-ahli jawatankuasa Hadiah Nobel Keamanan:

Saya menulis surat ini selaku Profesor Falsafah Universiti Laurance S. Rockefeller dan Pusat Nilai Kemanusiaan Universiti Princeton dan juga sebagai Presiden Pusat PEN Amerika untuk mencalonkan Dr. Liu Xiaobo dari China bagi Hadiah Nobel Keamanan 2010.

Anda tentu arif dan mengetahui keadaan beliau kini. Pada 25 Disember 2009, ketika pemerintah China percaya bahawa dunia tidak akan memberi perhatian, mahkamah di Beijing menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun kepada Liu dan tambahan dua tahun sekatan terhadap hak politik atas alasan ‘tindakan subversif kepada kuasa negara’. Semua pertuduhan ini, seperti yang jelas terlihat dalam keputusan mahkamah, mengandungi tujuh frasa – sejumlah 224 karektor China – yang telah dituliskannya dalam rentang waktu tiga tahun. Saya menyertakan senarai frasa-frasa ini, yang terkandung di dalam enam esei dan dalam Bab 08, sebuah deklarasi yang dimodelkan berdasarkan kepada Charter 77 karangan Vaclav Havel yang mendesak kepada reformasi politik dan perluasan aspek hak asasi manusia di China dan telah ditandatangani, dengan segala risikonya, oleh lebih daripada 10,000 warga China.

Anda juga tentunya arif tentang sejarah panjang Liu Xiaobo sebagai seorang daripada pemuka utama perubahan demokratik secara aman di Republik Rakyat China. Seorang penyajak dan pengkritik sastera, Liu bertugas sebagai profesor di Universiti Normal Beijing dan menjadi suara utama dan berpengaruh ketika protes mahasiswa di Dataran Tiananmen pada 1989; malahan, ketegasannya terhadap proses demokratik tanpa kekerasan amat disanjung, sekali gus mengekang kepada lebih banyak pertumpahan darah ketika itu.

Seiring dengan tugas saya sebagai seorang profesor di Universiti Princeton, saya juga kini bertindak selaku presiden Pusat PEN Amerika seperti yang saya nyatakan di awal tadi, dan dalam menghantar pencalonan Liu Xiaobo ini ingin saya nyatakan bahawa Liu bukan sahaja rakan sekerja saya di dalam dunia persuratan, tetapi juga, lebih khususnya, sebagai rakan sekerja PEN. Liu adalah sosok utama bagi Independent Chinese PEN Center (ICPC), pusat yang bernaung di bawah PEN, yang mana sejumlah 250 ahli sedang menjalankan kerja-kerja menyuburkan bagi kebebasan berekspresi di China walaupun berdepan tekanan konsisten daripada pemerintah negara itu. Liu bertindak sebagai presiden ICPC dari 2003 hingga 2007, menyandang kerusi Lembaga hingga 2009, dan kini adalah sebagai Presiden Terhormat. Sejak ICPC ditubuhkan pada 2001, ia muncul sebagai sumber maklumat utama berkaitan ancaman terhadap penulis dan jurnalis, serta menjadi suara penting bagi kebebasan berekspresi di China, dan setiap aktivitinya dipantau dan menerima tekanan hebat. Mesyuaratnya diganggu dan dibatalkan oleh pemerintah, pegawai-pegawai dan ahlinya kerap diletak di bawah pemerhatian, dan ramai yang telah ditahan dan disoalsiasat berkenaan kegiatan pusat itu. Liu adalah satu daripada enam ahli PEN yang dipenjarakan kini.

Sebagai tambahan kepada kepimpinan berprinsip Liu dalam lapangan hak-hak kemanusiaan dan politik serta kebebasan berekspresi, ada banyak sebab mengapa saya percaya Liu mempunyai merit pemilihan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2010.

Tulisan-tulisannya meluahkan aspirasi warga China yang kini semakin bertambah; pandangan-pandangan yang telah Liu lontarkan dalam tulisannya yang dituduh subversif, pandangan-pandangan yang menjadi keperluan dalam masyarakat terbuka seluruh dunia, dikongsi melalui penilaian ke atas masyarakat China. Charter 08, misalnya, adalah sebuah testamen kepada perkembangan pergerakan perubahan politik secara aman di China. Dokumen ini, yang mana Liu sebagai antara pengarangnya, ialah percubaan paling bermakna bagi kepimpinan China dan untuk bercakap kepada orang awam China tentang arah mana yang sepatutnya dilalui negara itu. Usaha ini adalah sesuatu yang bermakna, juga dapat dilihat daripada senarai yang menandatanganinya – tidak hanya disiden politik dan peguam-peguam hak asasi manusia, tetapi ia turut melibatkan saintis politik ternama, ahli ekonomi, penulis, penggiat seni, aktivis akar umbi, petani dan termasuk pegawai kerajaan. Lebih daripada 10,000 warga China telah mengesahkan dokumen berkenaan walaupun hakikatnya 300 daripada mereka yang menandatangani itu ditahan dan diganggu. Dengan berbuat demikian, mereka mempamerkan semangat yang luar biasa. Seorang daripada mereka, sebagai contoh, seorang guru wanita dari daerah Yunnan, melaporkan bahawa polis menghubunginya tiga kali dan memintanya untuk menarik balik sokongannya terhadap Charter berkenaan dan dipaksa mengaku bahawa orang yang menandatangani itu adalah orang lain dengan nama sama sepertinya. Dia menolak.

Untuk berdiri bersama Liu Xiaobo bermakna anda akan berdiri dengan sejumlah lelaki dan wanita dengan bilangan yang semakin bertambah di China seperti guru wanita itu; untuk berdiri bersama mereka yang menganjurkan perubahan aman di dalam sebuah negara dengan jumlah populasi terbesar.

Hakikatnya, orang seperti Liu Xiaobo sering ditekan oleh kerajaan yang merasakan mereka berada dalam keadaan bahaya. Ketika muda dan baru berkhidmat sebagai profesor universiti, Liu adalah protagonis utama hari-hari terakhir protes di Dataran Tiananmen, dan, seperti yang telah saya nyatakan, beliau disanjung tinggi kerana mengelak lebih banyak pertumpahan darah ketika tentera pemerintah memasuki dataran. Liu menegur para siswa agar menjadikan pergerakan mereka lebih demokratik; dia berhasil melucutkan senjata sekumpulan pekerja yang datang dengan senjata api untuk melindungi protes berkenaan (memang ada laporan berita yang menunjukkan Liu merampas selaras rifle dan menghempasnya ketika perhimpunan Tiananmen tak lama sebelum digempur); dan dia membantu untuk meyakinkan para siswa agar beredar dari dataran itu ketika jam-jam terakhir tunjuk perasaan.

Komited sepenuhnya terhadap aksi tanpa keganasan dan demokrasi, Liu telah berupaya untuk membendung dan menyalurkan kekecewaan rakyat China lebih dari dua dekad. Menghalang suara seperti ini tidak menyumbang apa-apa kepada kekecewaan berkenaan, yang mana dari satu sudut atau sebaliknya akan menemui jalan untuk diluahkan. China telah pun bergerak dengan positif ke arah demokrasi dan kebebasan di dekad-dekad terakhir ini.

Bilangan mereka yang dipenjarakan di China kerana mengamalkan hak untuk bebas berekspresi yang dijamin oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa pada suatu ketika mencapai ribuan kalaupun tidak puluh ribu: hari ini kita akan dapat mengenalpasti hanya beberapa tahanan ini dihumban ke penjara dengan alasan kebebasan ekspresi. Ada suara dari dalam regim, kita tahu, yang menyeru kepada rasa hormat yang lebih kepada kebebasan berekspresi. China mahu – dan perlu – untuk didengari di kalangan negara-negara dunia. Saya – dan seluruh teman-teman sekerja PEN – percaya kepada perbincangan kosmopolitan yang membolehkan kita mendengar perbincangan dari setiap negara.

Tetapi dunia harus memberitahu pemerintah China tentang apa yang kita perlu dengar dengan rasa hormat hanya jika mereka menawarkan rakyat mereka kebebasan paling asas seperti yang ditunjuk daripada setiap pemerintah negara kita yang lain. Kini adalah ketikanya untuk dunia menunjukkan kepada mereka di China yang tidak memahami bahawa sejarah menyebelahi kebebasan, di mana setiap pendukung keamanan dan demokrasi seluruh dunia sedang memerhati. Tiada isyarat untuk perkara ini yang lebih berkuasa daripada penganugerahan Hadiah Nobel Keamanan.

Sepanjang beberapa tahun, ahli komiti Nobel mempunyai rekod cemerlang dalam mengiktiraf dan menyanjung suara-suara seperti Liu dalam tempoh-tempoh kritikal mereka. Liu Xiaobo berdiri seiringan dengan Andrei Sakharov, Shirin Ebadi dan Dr. Martin Luther King, pendukung berani hak-hak politik dan sivil yang berdiri menentang tekanan sistematik di negara masing-masing dan mengamalkan prinsip penentangan tanpa keganasan terhadap dasar dan undang-undang zalim. Juga, tahun sebelum Dr. King dianugerahkan Hadiah Nobel pada 1964, dia menulis di dalam suratnya dari penjara Birmingham, ”Individu yang melanggar satu undang-undang yang menurut kepercayaannya adalah tidak adil dan sesiapa yang sanggup menerima hukuman penjara hanya sekadar untuk meningkatkan keyakinan masyarakat umum terhadap ketidakadilan itu, pada realitinya meluahkan rasa hormat paling tinggi kepada undang-undang itu sendiri.” 10 hari selepas Liu dijatuhkan hukuman, dia berjaya mengeluarkan kenyataan melalui penguam-peguamnya. Di dalam kenyataan itu, dia menggema kembali nada Dr. King ketika dia berikrar, ”Sebagai satu dahaga intelektual terhadap kebebasan di dalam negara diperintah diktator, penjara adalah akibat peringkat pertama. Kini saya telah melampaui tingkat itu, dan kebebasan makin dekat.”

Ada kemungkinan pemerintah akan membantah, seperti yang sudah dilakukan, dan menyatakan bahawa layanan mereka terhadap Liu adalah soal dalaman negara itu, dan anugerah antarabangsa dan advokasi bagi pihak Liu bermaksud mencampuri urusan dalaman mereka. Tetapi, seperti yang Pusat PEN Amerika maklumkan di dalam surat kepada Presiden China, Hu Jintao berikutan pertuduhan Liu, layanan yang dilaluinya kini adalah sebetulnya soal antarabangsa, sama seperti insiden-insiden pencabulan hak asasi manusia lainnya yang menjadi perhatian seluruh dunia. Dengan menahan Liu lebih daripada setahun, dan kemudian mendakwanya serta menjatuhkan hukuman 11 tahun penjara ke atasnya adalah dengan jelas satu bentuk pencabulan ke atas hak-hak asasi seperti yang diiktiraf antarabangsa, yang mana Republik Rakyat China juga bersetuju untuk memberi jaminan tentang perkara ini, menjadikan kes Liu bukan lagi satu kes yang sekadar menyentuh soal dalaman negara itu.

Rakyat China sepatutnya dimaklumkan bahawa Liu kini dinafikan dan disekat haknya di bawah Perlembagaan China; setiap daripada kita mempunyai hak untuk meluahkan kepekaan kita bahawa Liu telah dinafikan hak yang sebetulnya dijamin oleh persetujuan antarabangsa di mana China juga adalah antara negara yang menurunkan tanda tangan.

Hak asasi manusia adalah sesuatu ’hak’ kepada setiap manusia. Prinsip ini dinyatakan pertama kali di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. Liu Xiaobo adalah satu daripada 45 penulis yang kini dipenjara di China yang mencabuli Artikel 19 UDHR dan Hak-Hak Awam dan Politik Antarabangsa Covenant, dan menganugerahi Liu dengan Hadiah Nobel Keamanan akan menjadi cara paling berkesan untuk menggaris-bawahi fakta bahawa hak-hak yang terkandung di dalam undang-undang hak asasi antarabangsa – nilai-nilai yang mana China turut sama mengakui dan mempersetujuinya – adalah perkara yang tak boleh ditolak ansur setiap lelaki dan wanita.

Ini adalah mesej yang perlu didengari pemerintah China, dengan perhatian khusus daripada sebelumnya. Jika kes Liu Xiaobo menyatakan sesuatu, ia adalah bahawa pemerintah China kini beroperasi dengan sewenang-wenangnya, membuktikan bahawa mereka masih mengekang disiden dan mengawal aliran maklumat serta idea di dalam negara mereka tanpa mengambil kira reaksi domestik dan antarabangsa. Untuk jangka masa panjang, tentunya, mereka akan terbukti silap. Tetapi untuk jangka masa pendek, terdapat setiap alasan untuk dikhuatirkan berapa ramai lagi bakal disenyapkan atau ditekan jika dunia gagal untuk menyatakan sokongan terhadap Liu dengan jelas. Hanya dua minggu lalu, saya mendapat tahu bahawa Zhao Shiying, Ketua Setiausaha ICPC, telah ditahan, kemungkinan besar kerana beliau juga lantang mengkritik layanan kerajaan terhadap Liu Xiaobo. Dan ketika dia dibebaskan dua minggu selepas itu memberikan saya sedikit harapan bahawa kerajaan China kini sedar seluruh dunia sedang memerhati mereka.

Jika China boleh memenjarakan Liu Xiaobo tanpa dibantah, ia bukan sekadar suara disiden dari dalam China yang terancam. Kedudukan China di peringkat dunia akan akan dilihat sebagai simbol persetujuannya dengan regim penindas hak-hak di negara lain yang mana ia akan menutup sebelah mata walaupun pencabulan hak asasi paling serius dilakukan semata-mata untuk menjaga hubungan komersil. Lelaki dan wanita yang berani mencabar tirani di negara-negara ini melihat kepada kerajaan dan badan-badan NGO di negara-negara bebas untuk jaminan bahawa nasib mereka, dan nasib negara mereka, bergantung kepada lebih daripada sekadar garis akhir tersebut. Kegagalan mencabar kerajaan China di dalam pemenjaraan Liu hanyalah akan mengesahkan lagi argumen ini di peringkat antarabangsa, dengan bahaya yang besar kepada pendukung-pendukung progres dan perubahan bukan hanya di China tetapi meliputi di seluruh dunia. Menganugerahkan Liu sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2010, akan meletakkan sumbangan unik dan tak berbelah bahagi Dr. Liu terhadap pergerakan sivil, politik dan hak asasi yang lebih luas di China dan ia juga bertindak sebagai pemangkin dan inspirasi kepada aktivis-aktivis hak asasi manusia mendatang di China sekali gus di negara-negara lain.

Ketika saya mengambil keputusan, selepas sesi konsultasi bersama teman-teman PEN, untuk menulis dan menyokong pencalonan Liu Xiaobo suatu ketika dulu, saya berbesar hati melihat beberapa lagi intelektual besar dari negara-negara lain, termasuk penerima Hadiah Nobel terdahulu, melakukan perkara sama terlebih dahulu.

Saya sertakan di sini beberapa bahan yang diharapkan dapat membuktikan dan membantu di dalam proses penilaian pencalonan ini: surat bagi pihak Liu daripada Pusat PEN Amerika kepada Presiden Obama dan Presiden Hu Jintao, dan sepucuk surat sokongan pencalonan daripada rakan-rakan saya yang dihormati di Amerika Syarikat. Saya berharap ini akan membantu. Saya bersyukur untuk mendapatkan peluang mencadangkan Liu Xiaobo kepada anda, dan saya menanti keputusan yang akan diambil.

Dengan ikhlas,
Kwame Anthony Appiah
Professor

Andrei Sakharov Charter 08 Charter 77 China Dataran Tiananmen Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia Dr. Martin Luther King Kwame Anthony Appiah Liu Xiaobo Republik Rakyat China Shirin Ebadi Vaclav Havel Zhao Shiying

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan