Pertama, masalah aku berdasarkan perkembangan terbaharu. Beberapa filem yang sekarang ini hangat berputar di pawagam dan di rumah anda iaitu Ngangkung, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Khurafat, Aku Masih Dara dan Damping Malam yang mencatat kutipan pecah panggung menandakan filem hiburan terus diminati majoriti masyarakat kita. Persoalannya adakah perkembangan ini menunjukkan filem sebagai media baharu yang dijuarai oleh pembikin filem bebas seperti aku bakal menemukan jalan buntu? Haruslah tidak!

Haruslah memikirkan pula. Bagaimana hendak memulihkan perhatian orang kita yang sudah tepu dengan filem yang ringan-ringan? Bukan hendak paksa kepada yang berat-berat sahaja. Persoalannya sejauh manakah filem yang sedang berada di pawagam dan di rumah anda itu mencerminkan jatidiri sebuah bangsa yang bebas dan merdeka? Itulah mauduk yang paling asasi bila kita memperkatakan filem itu adalah sebahagian daripada wahana kehidupan atau dalam kerangka wide-shot-nya menyebut : filem adalah pengisian gagasan! Selanjutnya, di sebalik faktor hiburan yang sudah terang adakah tidak visi-visi penting hendak dicurahkan pembikin filem yang hanya percaya bahawa filem hiburan adalah realistik dengan masyarakat kita?

Ada yang mungkin salah baca. Baiklah aku jelaskan bahawa aku tidak ada masalah peribadi dengan filem yang predictable atau senang faham. Jenis cerita yang senang faham inilah yang disebut hiburan oleh setengah orang. Buat apa aku hendak berkonfrantasi dengan benda yang mudah. Bahkan aku juga percaya hiburan adalah sebahagian daripada keperluan manusia sepanjang hidupnya.

Masalahnya, aku melihat dari sisi yang lain. Aku berpendapat sebuah filem diandaikan seperti arena di mana di situlah karyawan mencurahkan perasaan mereka yang mewakili zaman masing-masing. Pengarah filem generasi kelima dari China yang popular satu masa dahulu sering mencurahkan perasaan mereka yang marah bagaikan api dengan apa yang pernah terjadi dalam sejarah di negara yang berpengaruh di Asia itu. Kita juga jangan lupa bahawa di tanah air kita pernah lahir generasi pembikin filem dari era sistem studio yang sangat kritikal dengan pengajaran yang linear dalam Sejarah Melayu. Dengan pemikiran yang baharu itu lahirlah karya filem yang idealis yang menyemak balik psikologi orang melayu seperti Hang Jebat karya Husein Hanif, Chuchu Dato’ Merah karya M. Amin dan Ali Baba Bujang Lapok karya P.Ramlee.

Dengan merujuk balik cerita lama terbukalah pekung. Jelas memang tidak pernah ada tanda ingat tentang lain macamnya sejarah filem melayu. Banyak tanda-tanya. Antaranya ada sejarah yang hanya dapat dibaca tetapi tidak pernah dilihat. Contoh filem melayu klasik pertama pada tahun 1933 yang berjudul Laila Majnun diketahui memang tidak ada lagi. Macam mana hendak mengerti bagaimana filem-filem melayu klasik dahulu bermula dengan bangsawan? Dalam beberapa siri filem Pontianak terbitan Cathay-Keris yang popular sekitar tahun 60 an – dua bahagian pertama filem sudah tidak diketahui ada ke tidak. Tidak adakah pengajar atau pelajar perfileman kita yang pernah terfikir untuk bikin satu dokumentari? Setidak-tidaknya kita menyusur balik apa yang pernah ditemui dan yang telah pupus dalam sanubari masyarakat kita!

Harus diingat, bangsawan adalah bentuk hiburan terawal masyarakat kita sebelum adanya filem, tv dan segala macam media baharu yang anggun gila sekarang ini!

Media baharu dan panggung art house

Kedua, karangan kontot aku ini hendak ajak kita berdiskusi panjang lebar fasal kemungkinan filem bakal mengalami anjakan paradigma yang secara radikalnya disebut tunjang atau akar umbi media baharu. Mengapa? Sebab hidup inikan diibarat seperti roda. Bila satu hari nanti ditakdirkan filem sebagai media baharu menjadi popular dan berakhirnya zaman filem sebagai hiburan seperti almarhumnya bangsawan pada masa dahulu – apakah persediaan kita dalam menghadapi perubahan yang tidak pernah statik itu? Boleh atau tidak filem art house diproduksi sebanyak filem hiburan untuk memenuhi permintaan penonton? Hari ini, peluang untuk penonton kita akses kepada filem adalah sangat magika dengan adanya internet dengan segala aplikasinya yang sempoi dan ringkas di hujung jari.

Pada aku, menerima perubahan ini mestilah dengan rasa kagum. Mulanya haruslah diperkuatkan dahulu mentaliti kita. Haruslah kita menerima pengucapan baharu ini (cinema) bagaikan mengunyah bahan bacaan yang serius. Ini kerana bahasa dalam sinema baharu itu sangatlah simbolik dan berlapis lapis. Ia mempunyai maksud dan perlambangan yang boleh dinisbahkan dengan kehidupan sebenar. Jika begitu, memahami maknanya akan menjadikan kehidupan kita sangat menarik kerana setiap segi ada indikasi. Juga, terbit idea dan pecah rahsia untuk memahami kesulitan yang sering membelenggu kehidupan kita sehari-hari.

Sebab itulah bagi para cendekiawan, pemikir dan filasuf – yang aku tahu diorang tak tengok filem biasa. Diorang boleh layan cerita falsafah sahaja. Aku pernah tahu yang Jean Paul Sartre ada rebiu Breathless iaitu sebuah filem dari karya Jean Luc Godard bila dia bilang filem itu refleksi eksistentialisme. Selain Godard yang sangat dikagumi oleh banyak pembikin filem di serata pelusuk muka bumi ini termasuklah Quentin Tarantino yang suka memulakan filemnya sebagai produksi A Band Apart iaitu berdasarkan sebuah lagi filem karya Godard iaitu Bande Aparte, banyaklah lagi pengarah filem yang tinggi falsafah ceritanya seperti Bernado Bertolucci iaitu seorang master atau pak guru filem dari Itali. Ini termasuklah Federico Fellini dan Michelangelo Antonioni.

Dari telitian aku yang huru hara, biasanya orang kita tak suka tengok filem yang perlu banyak berfikir. Tapi, boleh kata semua orang yang aku jumpa suka bila industri filem kita maju. Aku ada pendapat lain. Sebelum itu, aku teliti dahulu pendapat semua orang. Mereka ini semua aku kenal masa studi dahulu dan sekarang dah lama kerja dalam industri filem kita yang dikatakan arus perdana itu. Ramai yang kata filem kita dah banyak berubah. Aku tak nafikan perubahan yang nampak pada bentuk dan persembahan. Tapi pendapat aku pula, filem kita tidak ada pengisian yang istimewa. Masalah filem arus perdana yang ketara adalah pada jalan dan isi cerita. Ini dua benda yang paling asasi untuk menjadi filem yang ada kehormatan! Kutipan pecah panggung dan teknologi kreatif di dalam pembikinan filem sahaja tak cukup hendak rumus bahawa filem kita sudah maju. Banyak lagi sisi lain yang harus diteliti terutama dari segi pengkaryaan-nya.

Dunia telah lama mengangkat filem setaraf kerja seni yang lain seperti lukisan dan sastera. Manakala kita masih jauh kebelakang dalam menyahtoksin atau detosifikasi ruang-ruang gelap yang bersarang lama sangat – sampai dah berkarat! Haruslah kita melakukan detosifikasi ini supaya masyarakat sedar bahawa yang menyeronokkan itu sebenarnya adalah falsafah di sebalik cerita dan humor yang diselitkan sebagai hiburan!

Perkara penting yang diutamakan selepas proses detosifikasi itu ialah dengan mengadakan sebuah panggung art house atau art house cinema. Kita tidak boleh paksa orang kepada benda yang berat dengan cara yang drastik. Semuanya haruslah dimulakan dengan mendidik. Tidak banyak yang bakal kita capai jika pembentukan pemikiran baharu masyarakat itu dibuat dengan cara membuli. Contoh terdekat berkenaan dengan panggung art house ini adalah seperti di Singapura iaitu The Picturehouse yang dibangunkan oleh Organisasi Cathay pada tahun 1990. Ia juga merupakan panggung art house yang pertama di sana.

Di sini secara tidak rasmi adalah beberapa port yang sekaligus dibangunkan semacam memenuhi bentuk art house cinema yang dimaksudkan. Namun apa yang aku maksudkan dengan kewujudan art house cinema ini adalah apabila ia dibangunkan untuk menjadi sebuah panggung komersial supaya filem yang disifatkan sebagai media baharu ini dapat bersaing secara sehat dengan semua filem hiburan yang ada. Oleh demikian, masyarakat akan lebih sedar dengan kewujudan media baharu seperti filem alternatif, artistik dan eksperimentasi di samping dapat mengumpul peminat-peminat baharu yang boleh datang dari pelbagai jenis orang – fi’il dan pemikirannya. Di sini jelas bahawa filem tidak pernah dibuat sekadar untuk suka sendiri. Juga menunjukkan betapa perlunya sinema baharu diasaskan dari ruang kebebasan yang terbentuk hasil dari proses detosifikasi ini.

Jika sebelum ini, masyarakat mungkin beranggapan filem seni, alternatif dan eksperimentasi tidak bermatlamatkan untung sebagai salah satu tujuannya – anggapan seperti itu barangkali dapat dibetulkan semula dengan adanya panggung arthouse yang berminat untuk bersaing secara sehat dan adil dengan apa sahaja yang adalah. Dan ini bukan masalah untung semata-mata! Ini menunjukkan betapa pentingnya karya-karya seni dihargai dan diletakkan di tempat yang sepatutnya agar ia dibaca, difikir dan diteliti semahu mungkin. Ini samalah seperti apa yang telah dibuat dalam program merakyatkan filem dengan memberi tayangan percuma kepada rakyat di panggung lama seperti Coliseum di Kuala Lumpur.

Kita – dalam apa bidang pun – bukanlah seperti sepuluh ke lima belas tahun dahulu. Dalam industri filem sendiri, banyak yang berubah dengan cepat sama ada yang di atas tanah (arus perdana) atau yang berada di bawah tanah (underground alias independen). Sekarang ini wujud banyak perkongsian dan jaringan dalam komuniti filem dalam banyak hal. Secara tidak sengaja dua jurang yang terpisah ini (overground dan underground) bertemu dengan cara yang tak diduga atau tidak disedari. Media baharu seperti internet acap sangat menerbitkan respon terhadap perkembangan filem dari pelbagai penjuru – adalah antara faktor penting filem-filem arus perdana mutakhir ini pecah panggung. Sekurang kurangnya ia menjadi kepercayaan aku.

Di Facebook misal kata, ada saja fikiran yang diterbitkan dari status setiap orang pada setiap detik dan ia mendebarkan. Ini membuatkan minat masyarakat biasa terhadap filem secara umumnya bertambah. Ada juga yang menggunakan blog untuk mengarang ulasan filem dan berkongsi sorotan prebiu sesebuah filem yang bakal ke pawagam. Dengan perkembangan ini, kita tidak boleh lagi beranggapan hanya filem seram/komedi sahaja yang akan mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah filem di tanah air kita sampai bila-bila – meskipun setakat ini itulah faktanya!


Filem yang belum disiarkan di Astro First dan ada yang pernah dilihat di TV

Perkembangan positif fasal filem di tanah air kita berhubung dengan kemajuan teknologi media apabila Astro menawarkan putaran filem di rumah menerusi siaran di Astro First baru-baru ini. Bagi manusia yang macam aku yang malas hendak ke panggung wayang bolehlah menonton filem tersebut di rumah dengan melanggan siarannya. Bila aku teringin hendak tengok cerita yang disebut hangat dan laku di pasaran boleh terus langgan sahaja di rumah untuk membuat telitian dan tengok dengan Sofia yang minat mengkaji macam aku. Tapi di sini bukan itu yang aku nak cerita. Aku hendak luaskan sedikit ufuk pengetahuan kita dengan menceritakan sikit fasal beberapa buah filem atau tele filem yang aku sifatkan ada kehormatan supaya diskusi kita ada tunjuk arah yang lebih jelas.

Cerita pertama yang aku maksudkan ialah Seman sebuah karya Mansor Puteh. Aku hanya nak bongkar lebih kurang sahaja fasal apa ceritanya. Jika nak tahu atau rasa nak tengok bolehlah korang cari atau tanya sendiri pada pengarah filem ini. Seman pernah beberapa kali diputarkan di institusi pendidikan dan cinema alternatif. Filem ini memang tidak pernah masuk panggung umum dan disiarkan di tv. Tapi apa yang menarik filem ini amat peribadi dan menyelongkar psikologi seorang watak yang mewakili anak muda yang bernama Osman atau Seman yang menulis biografinya dengan menggunakan gaya lama orang melayu sebagai penglipur lara yang pakai bahasa yang hanya dijumpai dalam hikayat dahulu kala.

Cerita kedua berjudul Lalang-lalang di Hujung Kaki. Ia pernah diputarkan di TV pada satu masa dahulu. Meskipun begitu cerita ini disampaikan dalam konsep sebuah filem yang sangat suram dan puitis. Lalang-lalang di Hujung Kaki adalah sebuah tele filem karya Dr. Anuar Nor Arai. Sayang kita tidak lagi berkesempatan untuk bertemu pengarah filem ini yang telah pergi meninggalkan kita (Al Fatihah). Bagaimanapun, kerana ia pernah terbit di TV, barangkali, kita maseh berpeluang untuk melihat tele filem Lalang di hujung kaki di satu masa yang cantik. Ketiga, harapan aku akan lahir lebih banyak lagi cerita dengan pengisian yang ada makna dan renungan kerana dengan cara inilah hiburan dapat dinikmati dalam kesonderannya alam. Lebih-lebih lagi, bila ianya semudah menonton filem di rumah dengan ruang home-theatre yang anggun dan sempoi habis!

Abror Rivai adalah filmmaker yang tidak berdaftar dengan FDAM (Film Director Association of Malaysia).