Domain awam/LIFE Pics

Sebuah Bas Melanggar Saya Dari Belakang

Saya sedang berjalan pulang ke rumah pada suatu malam
apabila sebuah bas melanggar saya dari belakang. Tubuh
saya terpelanting ke dalam longkang. Apabila saya keluar
saya lihat bas itu terlentang terbakar di tengah jalan. Dalam
akhbar keesokan hari, dilaporkan sepuluh orang
penumpang telah mati. Saya membacanya di dalam bas.
Semasa melalui jalan semalam, saya nampak diri saya
berjalan dengan lenggang seolah-olah dia sudah tahu
akan datang lagi sebuah bas untuk melanggarnya dari belakang.

Surat Dari Ogonshoto

Hari ini penduduk Gora-Gora menemui paus biru
di pantai Tubua. Dalam paus biru ditemui pemuda
diselimuti sepanduk protes berdarah. Dalam jantung
pemuda ditemui kura-kura merah. Dalam kura-
kura merah ditemui matahari. Dalam matahari
ditemui sebuah rumah. Dalam sebuah rumah ditemui
sebuah perpustakaan, sebuah meja, sekeping cermin
dan seorang lelaki berkaca mata sedang menatap seorang
lelaki berkaca mata bersenjatakan pena. Penduduk Gora-
Gora resah menanti kesudahan cerita mereka.

Jam Antik Kamar Mandi

Malam ini jika aku bisa bermimpi aku ingin
menjadi jam antik di dinding kamar mandi.

Pernah kutanyakan pada kekasih pertamaku:
“Kalau mandi, tutup atau buka lampu?”
“Tutup. Aku tidak suka tubuhku diintai
mata-mata angka bajingan tua itu.”

Pernah kutanyakan pada kekasih keduaku:
“Kalau mandi, tutup atau buka lampu?”
“Buka. Aku ingin usia tubuhku dibaca
oleh sang pujangga waktu itu.”

Pernah kutanyakan pada kekasih ketigaku:
“Kalau mandi, tutup atau buka lampu?”
“Tak kisah. Tubuhku sudah kau jelajah,
tiada lagi sisa tanah yang dia bisa terjah.”

Malam ini jika aku bisa bermimpi aku ingin
menjadi jam antik di dinding kamar mandi.

Aku ingin lebih mengenali tubuh-tubuh kekasihku
yang tidak pernah ambil peduli akan tubuhku ini.

Cerita Seekor Ikan Duyung
(untuk Roslan Jomel)

Hampir setiap pagi seorang perempuan dalam
komuniti kami akan berlari keluar dari rumahnya
dan menjerit kesana-kesini yang dia sedang
mengandungkan seekor ikan duyung. Kami tahu dia
mereka cerita. Kami tahu dia ingin kami membeli
ceritanya. Tetapi siapakah antara kami yang tidak
pernah merasa perasaan yang sama? Siapakah
antara kami yang tidak pernah dimarahi dan dikuncikan
mulutnya oleh keluarga, kekasih, dan masyarakatnya
kerana mereka cerita tentang seekor ikan duyung
yang hamil dalam diri kami.

Wan Nor Azriq bin Wan Mokhtar berasal dari Alor Setar Kedah. Kini beliau mengajar di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Cerpen beliau telah tersiar di majalah Tunas Cipta,Dewan Kosmik dan URTV . Esei kritikannya pernah tersiar di Dewan Sastera. Beliau juga adalah bekas peserta Bengkel Penulisan Cerpen untuk Penulis Muda anjuran DBP pada tahun 2007, dan ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Selain itu beliau juga salah seorang mantan MPR 2007. Penulis tempatan yang diminati ialah Shahnon Ahmad. Penulis antarabangsa yang diminati ialah Haruki Murakami.

Puisi Sajak Wan Nor Azriq