Dalam artikel yang lepas iaitu ‘Sri Lanka dan Geoffrey Bawa’, kita telah membincangkan beberapa manifestasi senibina hasil buah fikiran Geoffrey Bawa. Berikutnya kita akan melihat secara lebih terperinci akan beberapa butiran kerja seni beliau.

Melihat secara keseluruhannya, kita akan dapat mengenalpasti beberapa elemen kesukaan beliau dalam rekabentuk, terutama dalam konteks seni lanskap, hiasan dalaman dan arca. Faktor butiran tersebutlah yang telah mengangkat kerja-kerja beliau melampaui pereka-pereka lain, malar segar dan melampaui zaman ketika itu.

Lanskap di Hotel Serendib.

Hotel Serendib, Bentota, Sri Lanka
Seperti yang diketahui, legasi Bawa bermula dengan projek Hotel Serendib. Itu adalah projek resort pertama beliau. Sebuah resort yang sederhana, sangat menonjolkan ciri-ciri tropika, gabungan senibina kolonial dan tradisi Sinhalese serta menepati citarasa pengunjung dari Eropah sebagai kumpulan sasaran.

Arca provokatif, Hotel Serendib.

Bawa (gambar kiri) menggunakan spesis pohon kemboja yang ‘dibonsaikan’. Pohon itu juga ‘dikahwinkan’ dengan paku pakis tertentu untuk menampakkan kematangannya. Kolam hiasan dipenuhi dengan ikan kap dan ditengah-tengahnya pula terdapat rimbunan renek yang kelihatan terapung. Selain itu, pasu besar sering menjadi pilihan untuk mengisi ruang-ruang kosong. Rekaletaknya tampak bersahaja. Ruang lanskap yang menarik ini menjadi penyambut tetamu di Hotel Serendib.

Arca provokatif ini menyerupai seseorang yang sedang bersantai menikmati keindahan lanskap dan sinaran matahari menyebabkan pengunjung ‘kehilangan’ sebuah tempat duduk yang begitu strategik menghadap kolam hiasan tersebut. Verandah menuju ke bilik-bilik tetamu pula diselangselikan dengan laman tengah (courtyard). Perletakan laman-laman ini begitu menarik dan kadangkalanya tidak disangka-sangka. Ruang sebegini menimbulkan keintiman dan rasa kepunyaan (sense of belonging).

Butik Barefoot, Galle Road, Colombo, Sri Lanka

Pelantar tengah, Butik Barefoot, Colombo.

Setelah berpisah dengan rakan perniagaannya, Bawa telah mengasaskan sebuah firma arkitek kepunyaannya di Galle Road, Colombo. Beliau banyak melatih dan mendidik arkitek-arkitek muda yang sealiran dengannya. Setelah kematian Bawa pada 2003, ruang pejabat ini telah diubahsuai menjadi sebuah butik yang menjual hasil kraftangan Sri Lanka, cenderamata dan barangan bertemakan Bawa (merchandise). Butik ini menjadi antara tarikan utama pengunjung ke Colombo untuk membeli belah, terutama mereka yang mengenali dan menghargai karya-karya Geoffrey Bawa.

Seperti mana rekabentuk rumah kedai ‘Anglo-Chinese’ di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka, rumah kedai ini juga mempunyai pelantar tengah (center courtyard). Pelantar ini menghubungkan rumah hadapan dan rumah belakang.

Pelantar belakang, Barefoot, Colombo.

Pelantar yang terbuka tanpa bumbung ini juga bertujuan untuk menambahkan kualiti pengudaraan di dalam rumah. Ia juga bertujuan untuk menambah pencahayaan kerana pelan lantai yang memanjang sehingga melebihi 100 kaki.

Di sini, hiasan eksotik turut ditonjolkan dengan bersahaja. Tekstur yang kasar (raw) pada pintu kayu tidak bercat menampakkan ciri kematangan (rustic). Warna kuning terang atau jingga pula mesra dengan budaya Sinhalese yang majoritinya adalah penganut Buddhisme.

Pelantar belakang butik ini dijadikan ruang kafeteria. Dengan hiasan lanskap yang penuh dengan butiran, ruang ini menjanjikan ketenangan sambil kita menjamu selera dan menghilangkan dahaga. Keunikannya begitu terserlah dan memberikan ‘rasa sedar’ pelawat akan kewujudan ruang tersebut (sense of place).

Estet Lunuganga, Sri Lanka.

Banglo di estet Lunugango dan ruang hadapan rumah tamu di estet itu.

Estet kepunyaan Bawa seluas puluhan ekar di pinggir kuala sungai Lunuganga adalah sebuah kediaman idaman. Diisi oleh beberapa buah banglo berasingan yang berfungsi sebagai rumah tamu, rumah pekerja, studio, rumah riadah dan rumah utama menjadikan ia sebuah kawasan kediaman sempurna diredupi oleh pohon-pohon yang hijau.

Di salah sebuah ruang rehat rumah tamu, tingkapnya direkabentuk sedemikian untuk merakam pemandangan luar dalam kerangka bingkai tingkapnya. Kerusi kembar yang unik itu juga menjadi identiti kepada ruang rehat rumah tamu ini. Di rumah utama pula, kedudukan menarik menghadap kuala sungai dieksploitasi sepenuhnya dengan arca figura anatomi. Arca tersebut memecah keheningan suasana di tebing sungai Lunuganga.

Kolam sebagai daya tarikan

Rumah terakhir di Colombo dan kolam renang di Hotel Kandalama.

Dalam kebanyakan hasil karya senibina Geoffrey Bawa, kita akan melihat kolam renang sebagai pusat tumpuan dan aktiviti pelawat mahupun tuan rumah. Di rumah terakhir rekaan beliau di Colombo, Bawa meletakkan kolam renang di tengah-tengah laman sebagai tarikan beriadah dan bersantai ahli keluarga yang mendiami rumah ini. Satu definasi baru dalam erti privasi tanpa memerlukan sebarang pagar atau tembok untuk memisahkan ruang umum dengan ruang peribadi. Tidak seperti di Hotel Serendib, kolam kali ini adalah kolam renang dan bukan kolam hiasan, memandangkan rekabentuk rumah adalah untuk memenuhi sudut praktikaliti. Manakala di Hotel Kandalama, kolam renang dibina tinggi untuk menyamai horizon air tasik agar kolam tersebut kelihatan seolah-olah sebahagian dari tasik. Di Hotel Heritance, kolamnya menjadi sebahagian dari lautan (foto disiarkan dalam artikel yang lepas).

Motif ular tedung berkepala lima, tujuh atau sembilan

1. Motif ular di lobi Hotel Blue Water 2. Arca ular di Hotel Heritance 3. Arca ular di Angkor Wat, Cambodia dan 4. Arca ular di Hotel Kandalama.

Satu perkara menarik tentang hiasan dalaman bangunan-bangunaan beliau adalah penggunaan motif ular tedung yang diulang berkali-kali pada lukisan dan arca. Di Hotel Blue Water terdapat mural bermotif ular di kaunter resepsi. Arca ular yang besar pula terdapat di Hotel Heritance. Ia terletak di tangga menuju ke bilik-bilik tetamu. Di Hotel Kandalama, arca ular yang besar ditempatkan di kafe berhadapan dengan kolam renang. Kesemua ular-ular ini mempunyai jumlah kepala yang ganjil samada satu, tiga, lima atau tujuh. Arca sebegini juga boleh dilihat di Angkor Wat, Cambodia. Arca ular atau naga berkepala tujuh atau sembilan dijadikan pagar di sepanjang laluan menuju ke dalam Angkor Wat yang berusia lebih 800 tahun itu. Ini sudah tentu berkait rapat dengan mitos kepercayaan Hinduisme yang seterusnya diserap oleh penganut Buddhisme di Sri Lanka dan Cambodia.

Motif burung hantu, gajah dan singa

(Kiri) Arca burung hantu di Hotel Kandalama dan Arca burung hantu di Butik Barefoot.

Motif burung hantu pula digunakan pada arca di Hotel Kandalama. Beberapa buah arca burung hantu juga ditemui di Butik Barefoot. Lakaran imej burung hantu juga boleh dilihat di beberapa lokasi bangunan beliau.

Besar: Arca gajah di Angkor Thom, Cambodia, Kecil: Patung gajah di Butik Barefoot, Colombo.

Gajah pula seolah-olah menjadi haiwan simbol negara Sri Lanka kerana imejnya yang diguna berulang-ulang pada kraftangan, pakaian mahupun batik. Patung gajah boleh ditemui di Butik Barefoot dan secara meluas dijual di kedai-kedai cenderamata. Gajah masih boleh dikaitkan dengan Hinduisme dan Buddhisme. Tambahan pula gajah juga digunakan di Angkor Thom, Cambodia. Arca kepala gajah diukir sepanjang tembok laluan masuk yang dipanggil ‘Elephant Terrace’ untuk melambangkan perjalanan hidup seorang insan yang penuh liku dan ujian.

Atas: Arca singa di Angkor Wat, Cambodia, Bawah: Patung singa di Butik Barefoot, Colombo.

Singa pula melambangkan kekuatan dan kekuasaan. Patung singa juga terdapat di Butik Barefoot dan banyak kelihatan dijadikan hiasan oleh Bawa. Patung singa juga ditempatkan di pintu masuk Angkor Wat, Cambodia. Ini berkemungkinan adalah satu nilai universal yang melambangkan ciri menjaga dan melindungi (guardian). Kehadiran imej singa di benua yang tiada singa secara geografi adalah dipercayai pengaruh Empayar Rom yang pernah membawa ribuan ekor singa ke Eropah dari Afrika melalui Afrika Utara. England khususnya, masih lagi menggunakan singa sebagai jata negara.

Banyak lagi butiran dan ciri-ciri rekabentuk Geoffrey Bawa dan rakan-rakannya seperti Ena de Silva yang menarik perhatian kita apabila kita berada di dalam ruang rekaan mereka. Benar bak kata Le Corbusier, arkitek moden ternama awal kurun ke 20 bahawa senibina adalah pada butirannya.

Ismail Shariff, seorang lulusan dalam bidang senibina dan juga penulis lirik. Tulisan tentang Geoffrey Bawa dan Sri Lanka ini adalah berdasarkan pengalamannya melawat tempat-tempat di atas.

Arkitektur Geofrey Bawa Ismail Shariff Senibina Sri Lanka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan