Menuntut kebebasan dan autonomi universiti di hadapan gedung Sogo di Kuala Lumpur.

Malaysia menang total di Gelora Bung Karno. Biar penuh warna merah pendukung Sang Garuda, tapi Malaysia tetap maju.

Saat ini juga, ramai yang sudah punya rasa kaseh pada bola sepak dan pasukan negara. Biar sebelum ini ramai yang hanya menghambur makian, tapi kini rasa kaseh meluap-luap karena punya saat manis untuk dikenang nanti.

Biar aksi kedua berlangsung di Gelora Bung Karno, maseh ramai yang tidak tahu. Nama Gelora itu bukan seperti yang termaktub dalam kamus. Bukan juga karena pidato Bung Karno mampu buat jiwa rakyat bergelora.

Gelora itu bermakna gelanggang olahraga.

Kemudian nama Bung Karno adalah sebagai tanda kaseh buat Bung Karno, tokoh nasional mereka. Tokoh nasionalis yang mereka sering diagungkan.

Walau ia sekadar dinamakan tapi tetap punya tandanya. Juga sebagaimana kita beri tanda kaseh pada P.Ramlee, maka ada Jalan P.Ramlee. Begitu juga perihal yang lain.

Selang dua malam lagi, tahun ini bakal berlalu. Sayang mahu biarkan ia pergi. Karena tahun ini punya makna besar dalam hidup.

Mahu saya ingat kembali gerak dan laku diri pada 2010. Mahu cari peristiwa yang manis-manis saja. Supaya boleh tersenyum puas sendiri bila diingat kembali. Biar peroleh peristiwa yang tak mungkin boleh dilupakan dan diri ini bersyahwat untuk selalu mengingatnya.

Lalu inilah cerita yang mahu saya sentiasa ingat. Peristiwa manis yang banyak mengajar. Juga perilaku yang saya lakukan atas rasa kaseh.

Tanda kaseh pada diri, tanah air, masharakat dan perjuangan.

Pilihan Raya Kampus.

Gerakan mahasiswa – 2011, tahun hadapan akan dimulai dengan himpunan atas rasa solidariti. Himpunan 01.01.2011 dan 11.11.2011 di sekitar PJ dan KL.

Begitu juga tahun ini. Tahun 2010 saya mulai dengan beberapa perancangan bersama teman-teman lain.

Di hari cuti tahun baru, 1 Januari 2010 lagi, saya dan beberapa teman sudah menganjurkan bengkel untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Kampus. Ada yang terlibat sebagai peserta, juga sebagai fasilitator.

Protes senyap di dalam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Matlamat utama ialah berpartisipasi dalam pemilihan wakil mahasiswa di kampus. Bukan untuk menang, tetapi untuk mengubah keadaan.

Ideanya, pemilihan itu harus jadi pesta yang meriah dan diraikan oleh kebanyakan masharakat kampus. Kita mahu jumlah penyertaan mahasiswa dalam politik kampus meningkat.

Namun, biar ia sekadar pesta, tapi pesta itu harus sempurna. Antara hal yang merencatkan kesempurnaan di kala itu adalah soal ketelusan dan keadilan dalam pilihan raya kampus.

Di peringkat Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), kita mahu ada perubahan dan penambahbaikan.

15 Januari 2010 – Wakil SMM dan pimpinan mahasiswa kampus yang lain menghantar memorandum ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Memorandum ‘Misi 10’ adalah 10 cadangan penambahbaikan dalam pilihanraya kampus. Hal itu termasuk memansuhkan sistem E-Voting dalam pemilihan.

Sepanduk yang dibawa ketika menghantar memorandum ke Kementerian Pengajian Tinggi.

Kehadiran kami sekitar jam 3 petang di Putrajaya itu disambut dengan deretan trak polis dan FRU. Saat itu bermula aman tapi berakhir dengan ketegangan. Shazni Munir – Pengerusi SMM ditangkap. Mahasiswa lain pula dihalau pulang.

Ada beberapa teman-teman yang baru mahu cebur diri turut serta hari itu. Mereka lantas turut bersemangat melihat teman-teman sendiri diperlaku sebegitu. Antaranya, teman saya Woon King Chai – kemudian bertanding sebagai calon fakulti di UKM.

Semangat belum patah, rasa kaseh kepada keadilan makin dalam. Maka SMM kemudian menganjurkan satu lagi himpunan membantah sistem E-Voting.

Mahasiswa punya kesedaran, bahawa di universiti tak harus berlaku penipuan, ketidakadilan dan kezaliman.

SMM kemudian mengajak seluruh mahasiswa turun berhimpun.

23 Januari 2010 – Mahasiswa berarak daripada Dataran Merdeka ke Sogo. Tujuan untuk edar risalah tentang E-Voting. Masharakat perlu tahu karena boleh jadi sistem ini akan digunakan dalam PRU nanti. Selain itu masharakat juga perlu tahu dan sedar tentang apa yang berlaku di universiti-universiti kita.

Perarakan ini kemudian bergelut lagi dengan polis. Banner panjang bertulis ‘2010 – Mahasiswa Malaysia Tuntut Demokrasi Kampus, Kebebasan Akademik, Ketelusan Pentadbiran dan Autonomi Universiti’ dirampas.

Di hadapan Sogo, selepas pidato beberapa teman, 9 orang mahasiswa dibawa dengan Black Maria. Mahasiswa ditahan lagi.

Selang sehari, 25 Januari, adalah hari penamaan calon buat semua kampus khusus di Lembah Klang. Kebanyakan kampus meriah khususnya kampus di Lembah Klang. Di UKM, hampir 400 orang penyokong Pro Mahasiswa dengan poster, banner, bunting berarak. Lebih menarek, Pro Aspirasi pun berarak.

Pasukan Simpana Persekutuan (FRU) di dalam kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pelbagai aksi dan teriak mahasiswa meraikan pesta demokrasi. Jalan utama dalam kampus pun macet!

Seminggu tempoh kempen rasa seperti tak mencukupi. Biar keletihan tapi makin hari makin galak orang muda berpesta. Rapat umum, konsert, pidato, poster, banner, bunting, juga adegan cabar – mencabar buat suasana tambah meriah.

Dua hari sebelum pengundian – Pro Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa sudah pertahan kemenangan. Malam itu saya umumkan keputusan semasa rapat umum di Bangunan Pusanika UKM.

Semangat kelihatan memuncak. Ramai yang hadir semasa rapat itu. Geng Pak Guard UKM pun sudah tidak seberani dulu biarpun rapat itu diadakan di tempat letaknya pejabat Hal Ehwal Pelajar. Mereka biarkan saja rapat mahasiswa berlangsung.

Malam itu diikrarkan oleh semua yang hadir, mahasiswa UKM mahu perubahan besar di kampus. Autonomi universiti, kebebasan akademik, demokrasi kampus akan diperjuangkan jika wakil-wakil kami dipilih nanti.

Aksi Protes dan Aparat Penguasa

28 Januari 2010 – Pengundian berjalan sesi pagi dan malam adalah masa untuk keputusan diumumkan. Ratusan mahasiswa berkumpul di Pusat Teknologi Maklumat untuk mendengar pengumuman keputusan.

Ratusan pendukung Pro Mahasiswa turun. Penuh kawasan pengumuman dengan banner, bendera juga mereka yang berlilit di kepala dengan tulisan: MAHASISWA.

Di peringkat Pro Mahasiswa kita sudah punya keputusan melalui agen kira undi yang kita hantar. Jam 7.30 malam, kita sudah ketahui bahawa kita tewas tipis.

Keputusan rasmi diumum sekitar jam 11 malam, sedang mahasiswa sudah berkumpul mulai jam 7 malam. Lambat!

Namun dalam pengetahuan kita, fraksi mahasiswa yang pro pentadbiran ini cuma berkelebihan sebuah kerusi. Cuma satu kerusi yang membezakan. Tapi bila diumum kerusinya bertambah-tambah!

Pro Mahasiswa kurang 4 kerusi berbanding Pro Aspirasi.

Wah, malam itu ibarat mimpi yang hanya datang sekali. Sekitar 500 orang mahasiswa mengepung bangunan Pusat Teknologi Maklumat.

Desakan dibuat untuk minta penjelasan daripada TNC HEP tentang beberapa kerusi yang dikira menang melalui agen kira undi, tapi kalah bila diumumkan.

Saya yakin, aksi itu bukan hanya atas sebab itu. Hal-hal yang tidak diingini yang berlaku sepanjang waktu pengundian juga adalah faktor.

Banyak perkelahian berlaku sepanjang hari; tapi aneh bukan sesama mahasiswa, tapi dengan pentadbir dan pegawai keselamatan.

Salah satu kes, ada calon yang bertanding dilempang oleh Pegawai Keselamatan di pusat pengundian. Alasannya, calon itu tidak punya adab karena pertikai kewujudan ‘pondok panas’ di Kolej Keris Mas.

Hairannya, dalam peraturan ia tidak dibenarkan. Kita juga boleh buat, tapi pasti dihalau nanti. Tapi mereka wujudkan dan tidak menjadi kesalahan. Kononnya, itu kaunter Majlis Perwakilan Kolej. Hipokrit-lah.

Mereka inilah aparat yang mahu memastikan penguasa kekal menang. Menggunakan autoriti yang mereka punya untuk merencat kebangkitan dan kesedaran mahasiswa.

Mereka ini bertuankan penguasa. Tapi tidak boleh dipersalahkan juga, mereka ini mengikut arahan. Karena mereka juga buruh yang bergaji. Sebagaimana kebanyakan kita nanti.

Pergelutan malam itu sudah tak dapat dibendung. Lalu ia berlanjut sehingga hari esok.

Mahasiswa berhimpun di luar bangunan Canselori.

Esoknya, sebuah perarakan besar bakal berlangsung. Mahasiswa mahu berarak ke Canselori untuk protes. Biar ia berlangsung selepas jumaat, tapi perarakan itu tetap rentas kaum dan agama.

Di UM kedengaran mahasiswa sudah menguasai bangunan Canselori. Juga karena menuntut keadilan. Pro Mahasiswa di sana tewas juga. Kurang 5 kerusi untuk menang.

Tapi di kampus universiti kebangsaan ini, aparat penguasa sudah bersedia lagi. Deretan trak FRU sudah menunggu. Polis beruniform dan preman banyak sekali. Masjid UKM sudah dikepung sebaik selepas solat jumaat.

Orang awam yang datang untuk solat jumaat pun terkejut. Tamat sahaja solat, aparat ini terus menjalankan tugas. Bergelut dengan mahasiswa yang mahu berarak. Tak tahu malu aparat ini, mereka pakai cota dan penembak gas – mahasiswa cuma pakai kopiah dan kain pelekat.

Pergelutan berlangsung lagi. Aksi yang kononnya memalukan nama baik universiti. Kata pentadbiran, Pro Mahasiswa ini buat porak peranda.

Kali ini, 3 orang mahasiswa pula ditangkap.

Penangkapan mahasiswa sepanjang Januari ini saya yakini karena kaseh. Seperti mana kita kaseh kepada Tuhan dan keluarga, begitu juga kaseh kita pada yang lain.

Kasehkan universiti maka tidak mahu kezaliman dan ketidak adilan berlangsung di universiti.

Begitu juga kasehkan masharakat. Maka tidak rela melihat mereka dikongkong hegemoni lalu sengsara dan ditindas tanpa sedar.

Jika bukan karena kaseh, siapa sanggup ambil risiko begitu? Bergelut selalu dengan aparat penguasa.

Di kampus Universiti Kebangsaan, protes berlanjut terus hampir sebulan. Hampir setiap petang piket di bulatan depan kampus.

‘Silent Protest’ juga berlaku. Ini gaya baru yang tak pernah dibuat di UKM. 5 orang berjalan ke seluruh kampus membawa kad manila bertulis ‘Protes’, ‘Kembalikan Autonomi’, ‘Demokrasi Mati’ dan lain-lain. Mulut ditampal supaya tidak bersuara.

Ketika ini, ahli Kelab Sains Politik paling aktif. Pensyarah juga mendokong walau ada juga yang sinis. Yang penting mereka berani menyatakan yang hak.

Mungkin inilah sebab utama kelab ini dibubarkan oleh penguasa kampus. Bukan karena ‘Kes UKM4’!

Protes ini kemudian berakhir dengan pidato dan perarakan membawa keranda demokrasi – tanda demokrasi kampus mati. Kami hadiahkan khas buat penguasa kampus dan kami hantarkan ke Canselori UKM.

Arti Politik dan Perjuangan

Sejak punya kesedaran dan pendidikan politik, tidak pernah sekali membayangkan untuk bertemu dengan pengalaman seperti ini. 2010 adalah tahun yang berjasa; memberi kenal serta memberi tunjuk ajar tentang real-politik.

Pengalaman ini terlalu mahal. Tiada diajar di bilik kuliah. Jika ada sekalipun terlalu mahal yurannya dan tidak akan ada siapa yang mampu.

Saya perhatikan, politik bagi orang muda khusus mahasiswa ini hanya punya makna ‘lawan’. Tiada lagi arti yang lain. Begitu juga kritik seorang teman Buddhi Hekayat kepada saya. Dia ini penulis dan pengkritik. Jadi itu memang tugas dia.

Setelah diamat dari pengalaman lalu. Politik ini punya banyak lagi maksud lain. Lawan itu cuma satu, dan itu adalah strategi akhir.

Karena itu Widji Tukul nukilkan, “…hanya satu kata, lawan!”

Sudah hampir seminggu saya fikir tentang bagaimana harus ungkapkan. Mahu beri gambaran kepada diri tentang arti politik. Lalu saya ketemu di Facebook. Video wakil mahasiswa UKM dalam satu pertandingan di kampus Universiti Malaysia Perlis di Arau.

Dia nyanyikan lagu Tak Seindah Wajah. Lagu S.M Salim yang punya banyak petunjuk hidup. Dari situ hati saya tidak lagi gundah gulana, karena telah bertemu jawapan.
Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakunan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

Segala sudah terangkum dalam lagu ini. Daripada soal persahabatan, kompromi, penipuan semua sudah terkandung. Begitu juga hal Machiavellian dalam real-politik. Inilah artinya politik. Setiap interaksi sesama kita. Hal-hal yang punya segala kemungkinan.

The Arts of the possible – Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan. Hari ini punya prinsip, sedang hari esok tak punya lagi. Apa yang kita pernah harapkan juga mungkin tidak berakhir seperti yang diharapkan.

Begitu juga soal perjuangan. Material yang mengasyikkan adalah musuh. Sedang halangan yang paling besar dalam hal aktivisme ini adalah soal kewangan. Sudah pasti perlu kesabaran dan usaha yang tinggi untuk meneruskan.

Namun saya sedar, tidak semuanya negatif tentang politik. Semua bergantung pada aktornya.

Aktor ini adalah individu yang rasional, yang juga boleh hilang rasionalnya dengan pengaruh kelilingnya. Atas dasar inilah kita mahu setiap keputusan itu kolektif. Supaya tidak meletakkan segala pada tangan individu.

Siang ini saya maseh mengenang 2010. Ibarat mengenang kaseh.

Kaseh pada tahun yang mengajarkan segala. Kaseh yang membuat mahasiswa jadi pemberani. Jika tidak siapa yang sanggup berlaku berani sebegitu? Siapa juga yang mahu menerima risiko itu?

Kan lebih baik jika kita hanya diam belajar dan menunggu PTPTN atau JPA masuk di kampus. Kemudian kita ke gedung besar berhibur dan berbelanja. Lebih enak!

Tapi mereka ini kerugian amat.

Rugi kerana tak punya peluang mengenang kaseh pada waktu-waktu ini. Kaseh yang tidak mungkin datang lagi.

Kaseh yang memberi ajar. Yang tidak akan datang dengan sendiri.

Maka, kita adalah dalam kalangan yang beruntung. Kerana pada waktu ini, kita maseh tersenyum puas, karena mengenang kaseh.

Hilman Idham, mahasiswa tahun akhir sains politik. Beliau merupakan salah seorang daripada UKM 4 yang didakwa di bawah AUKU. Beliau juga adalah Pengasas dan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan juga salah seorang ahli Majlis Pimpinan Front Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Sebagai penuntut di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Mahasiswa Sains Politik (PMSP-UKM)

Himpunan gambar:


Gelora Bung Karno Hilman Idham Kementerian Pengajian Tinggi Mahasiswa Shazni Munir SM Salim SMM Solidariti Mahasiswa Malaysia Woon King Chai

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan