©Studiobatuhitam/Flickr

Depan rumah kami, jalan raya.

Lori balak bersiul dari jauh. Aku cam itu adalah lori balak. Sebab bunyi siulannya mendayu-dayu. Sayup. Macam budak kecil merengek jajan.

Tiap kali melintas depan rumah, terasa gegar. Tiang-tiang, dinding dan siling. Lebih-lebih gegarnya, waktu malam… dekat-dekat hendak tidur.

Besar-besar kayu balak yang diangkut. Panjang-panjang. Lebih panjang daripada belakang lori. Di hujungnya, dipacak batang besi atau diikat dengan kain merah melempai-lempai. Tujuannya—agak-agak dalam kepalaku—supaya kenderaan lain tak terhantuk pada hujung batang balak yang terjojol daripada badan lori.

Batang-batang balak yang diangkut lebih kurang sahaja panjangnya. Kalau pendek pun, pendek sedikit. Tidaklah sampai pendek-pendek sangat. Betapa tak pula aku tahu, dari mana adanya balak-balak itu diambil. Tak habis-habis. Bertahun-tahun.

Jalan raya depan rumah kami adalah antara tempat untuk emak selalu ulang kata-kata “bahaya”. Kereta tidaklah begitu banyak. Di kampong ini, yang ada kereta pun beberapa kerat orang. Abah aku ada. Kereta abah panggil “kereta kodok”. Semua orang panggil begitu. Sebab bentuknya macam katak.

Enjin kereta kodok tidak di depan. Kereta lain yang pernah aku tengok, semua enjinnya di depan. Entah apa pasal, kereta abah enjinnya di belakang? Bila aku tanya, abah kata kereta buatan negeri orang puteh memang begitu. Tak sama macam kereta buatan negeri orang Jepun.

Selalulah aku ingat, ada beza antara Jepun dengan orang puteh—walau tak aku tahu, entah di mana negeri Jepun dan di mana pula negeri orang puteh.

“Antara orang Jepun dan orang puteh, mana bagus?” tanya aku sekali.

“Orang puteh punya kereta, lagi bagus,” kata abah.

Senyum aku. Sebab, kereta kodok abah adalah buatan orang puteh yang bagus.

“Tapi kenapa ramai yang pakai kereta orang Jepun?” tanya aku lagi. Memang, di mana-mana aku lihat banyak kereta yang enjinnya di depan. Maknanya itu kereta buatan orang Jepun. Tak sama dengan kereta abah.

“Sebab murah!” abah jawab.

Tentulah aku juga boleh faham yang kereta kodok abah lebih mahal daripada banyak kereta yang enjinnya di depan—kereta yang dibuat oleh orang Jepun.

Beberapa orang kampong, ada motosikal. Macam motornya atuk. Dari dulupun atau sampai bila-bila, itulah motor atuk. Satu-satunya. Walaupun, tiap-tiap tahun aku lihat ada motor baru yang lebih cantek dibeli orang… atuk tak mahu beli.

“Motor, siapa buat? Orang puteh atau orang Jepun?” hendak pula aku tahu pasal asal usul motorsikal.

Abah kata, mulanya motor juga orang puteh yang cipta. Kemudian, ditiru oleh orang Jepun. Dibuat banyak-banyak. Dijual murah-murah.

“Orang puteh sudah tak buat motor lagi?” aku tanya.

“Buat!”

“Tak pernah nampak pun!”

“Motor orang puteh mahal. Orang kampung kita tak mampu beli,” jawab abah.

Ya, entah kenapa abah selalu sangat meninggi-ninggikan orang puteh. Kereta orang puteh-lah yang bagus. Motor orang puteh-lah yang mahal.

“Tapi…” kata abah.

“Orang Jepun pandai!”

“Pandai kenapa?”

“Mereka tak cipta. Mereka pandai tiru dan jual balek benda-benda yang mereka tiru,” abah jelaskan makna “pandainya” orang Jepun.

“Bas?” aku tanya.

“Ada yang dibuat orang Puteh. Ada yang dibuat orang Jepun,” katanya.

“Mana bagus?”

“Orang India punya paling bagus!”

“India… apa tu?”

Abah diam.

Semakin susah hendak aku faham. Kenapa banyak sekali yang orang itu buat itu, yang orang ini buat ini? Kenapa ada yang bagus? Kenapa ada yang kurang bagus? Kenapa ada yang murah dan dapat dijual banyak? Kenapa pula ada yang mahal?

Selain bas dan lori angkut minyak, lori balaklah yang paling banyak melintas depan rumah aku—sama ada dari arah Muar ke Batu Pahat, atau dari Batu Pahat menghala Muar.

Suatu hari, aku bersandar di bangku panjang depan kedai atuk. Kira-kira jumlah kenderaan yang lalu.

Lori balak, ada dua puluh tiga.

Lori minyak, ada lapan. Kereta, ada dua puluh empat, dan yang macam kereta abah ada tiga.

Motosikal banyak juga, sampai tak larat aku hitung.

Basikal paling kurang, sebab orang-orang kampung yang naik basikal, akan sandar basikal mereka di sebelah kedai atuk. Sampai penuh.

Mereka tak kayuh basikal sampai ke bandar. Abah kata, pasal jauh. Dari rumah aku hendak ke bandar, dekat-dekat sepuluh batu.

“Kalau zaman dulu, ada yang kayuh sampai ke Batu Pahat… tapi sekarang dah ada bas, jadi orang naik bas,” abah jelaskan.

Jumlah kenderaan yang lalu-lintas depan rumah aku bukan aku kira dari pagi sampai petang. Tadi lepas sekolah baru aku hitung, sampai aku tertidur di bangku panjang. Tertidur dengan sebatang pensil dan sekeping kertas di tangan.

Pada kertas itulah, aku buat garis-garis yang dipisah-pisah antara setiap jenis kenderaan. Bagi lori untuk lori. Bagi bas untuk bas. Bagi kereta untuk kereta. Motor untuk motor.

Selepas beberapa hari aku berfikir dari mana datangnya kayu-kayu yang besar-besar itu, barulah aku tanyakan kepada emak.

Jawab emak, “dari hutan”.

Hutan itu di mana, tak aku tahu kecuali emak jelaskan betapa negeri kami luas—antara negeri yang paling luas wilayahnya di Malaysia. Jadi, negeri ini banyak hutan. Di hutan, banyak kayu balak.

Kayu-kayu itu dihantar ke kilang somil. Yaitu, kilang yang potong-potong batang-batang balak jadi kayu-kayu atau beruti buat rumah.

“Rumah kita ini pun dibuat daripada kayu-kayu balak yang kau tengok itulah,” kata emak.

Betapa sukanya aku. Suka sebab dapat aku hubungkan batang-batang balak yang begitu besar-dengan-rumah aku. Dindingnya semua dari papan.

Emak tak beri aku main jauh-jauh. Sampai ke tepi jalan. “Bahaya,” katanya, “nanti kau dilanggar lori balak!”

Dipesannya selalu-selalu…

Waktu aku balek sekolah, aku perlu tunggu dia datang jemput. Kami melintas jalan bersama. Dipegangnya tangan aku. Dilihat sekali ke kiri, sekali ke arah Muar. Sekali ke arah Batu Pahat, sekali ke kanan.

Bila jalan raya sudah kosong, barulah dia melintas sambil lari-lari anak. Tangan aku, dipegang kuat tak lepas-lepas. Sampai kadang-kadang terasa sakit.

Sampai beberapa kali aku hitung jumlah kenderaan yang lalu lintas di depan rumah, aku tunjukkan kepada atuk. Dia tengok. Dia tanya, “apa kau buat ni?”

Aku jawab, “kira kereta…”

Tegak batang leher atuk tengok tiga helai kertas itu. Dan, katanya, “kau kena jumlahkan setiap kali kau kira.”

Atuk memang begitu. Dia tauke kedai runcit, dan selalu juga aku lihat dia akan jumlahkan semua barang-barang ada berapa. Berapa duit dapat setiap hari. Ditulis pada buku panjang. Satu halaman buku, untuk satu hari. Berpuluh-puluh buah buku yang sama tersusun di tepi meja tempat dia simpan duit.

“Dah?” dia tanya.

“Dah!” aku jawab.

“Berapa?”

“Enam puluh tiga,” aku jawab.

“Bagus! Esok kau kira lagi,” perintah atuk.

Mengira kereta dan lori, dan bas seperti yang aku buat sudah beberapa hari aku lakukan.

Gembira betul hati bila habis waktu sekolah. Cepat-cepat aku makan tengah hari. Cepat-cepat aku ambil kertas dan pensil. Aku buatkan macam jadual waktu kelas, dan aku pisah-pisahkan lagi antara setiap jenis kenderaan.

Waktu itu, atuk balek dari mesjid. Dia lihat aku di bangku panjang—di bangku itu selalu dia tidur bila balek sembahyang Zohor. Dia tengok aku berkali-kali, tapi tak dia berkata apa-apa. Mungkin dia hendak baring di situ, dengan angin laut yang sampai. Sebab itu jugalah, suka aku duduk mengira kenderaan, di bangku panjang atuk—bangku yang juga dibuat dari kayu.

Bangku itu bukan main beratnya. Tak terangkat aku seorang. Dengan kawan-kawan pun tak terangkat. Kecuali orang-orang besar sahaja yang boleh mengangkatnya.

Atuk masuk dalam kedai. Dia duduk di meja tulisnya. Di meja itu juga laci tempat dia simpan duit. Dikuncinya laci itu. Dua lapis. Satu dengan kunci yang melekat pada laci dan satu lagi dengan mangga yang sebesar separuh kotak rokok.

Sedang atuk duduk-duduk, masuk di halaman kedai kereta bukan main baru. Keluar orang tua yang kata abah suatu ketika  aku ingat, yang orang ini masih saudara kami juga. Dia jarang ke kedai atuk. Cuma isterinya, atau anaknya yang selalu ke sini berbelanja barang. Mengambil beras, atau gula. Biskut atau kopi. Tepung atau bawang. Atau minyak makan.

Selalunya dia kalau datang pun waktu petang-petang sahaja. Singgah kedai atuk untuk beli rokok sebelum dengan motor buruknya—macam motor atuk—dia ke warong seberang jalan. Duduk di situ. Berbual-bual. Ketawa-ketawa. Ramai sekali orang tua-tua di warong itu petang-petang tak ada kerja. Kecuali bual-bual. Ketawa-ketawa.

Bukan calang-calang dia ini. Abah kata, dia ada hubungan dengan orang besar-besar. Termasuk hubungan dengan istana. Itu pun aku dengar sewaktu naik kereta dengan abah ke bandar. Bersama emak. Apabila emak ada, aku selalunya kena duduk di belakang. Tak dapat duduk di depan, walaupun aku lebih suka duduk di depan. Sebelah tempat duduk abah.

“Dia dah kaya sekarang!” kata abah, satu ketika.

“Macam mana dia kaya?” emak sahut.

“Dia dapat balak!” abah jawab.

“Hah! Dapat balak!” aku sampuk.

Tap… tangan emak sampai ke bahu aku entah dari mana datang.

“Jangan menyampuk,” katanya.

Emak memang pantang sekali bila aku sampuk waktu dia bercakap dengan abah atau dengan sesiapa sahaja. Dia cukup benci.

Berceritalah emak dan abah tentang bagaimana orang itu kaya.

Sebab kayu balak mahal. Tapi, menurut abah, kalau dapat balak tak perlu ada modal apa-apa untuk tebang atau keluarkan balak dari hutan. Juga tak perlu ada lori sendiri. Cukup kalau ada surat kelulusan dan kemudian pergi jumpa tauke Cina kilang somil.

Dengan surat itu sahaja, sudah boleh dapat duit.

“Kalau nilai kawasan dan kayu balak dalam satu juta, senang-senang boleh dapat daripada tauke dalam tiga ratus ribu,” kata abah kepada emak.

Apakah tiga ratus ribu itu banyak?

Emak tahu orang yang kaya itu bukannya buat apa-apa. Dia bukannya ada kerja. Anak isterinya yang selalu berbelanja di kedai atuk, selalu sahaja berhutang. Tiap-tiap bulan baru kira berapa jumlah hutang dan bayar. Belum seminggu langsai, sudah berhutang lagi. Rumah mereka juga buruk. Rumah atas. Tak macam kedai dan rumah atuk yang kami duduk—yang paling besar, aku kira, dalam kampong ini.

Sebab dapat surat balak, maka sekarang orang itu sudah kaya.

“Hanya orang Melayu yang boleh dapat lesen balak,” kata abah.

“Itu untungnya kita,” kata emak.

“Parti sudah buat dasar yang betul… untuk tolong orang Melayu,” kata abah lagi.

“Nak jadi kaya, bukan susah… lepas itu pergi jual kepada Cina,” emak cuma bercakap.

“Kenapa jual kepada Cina?” aku cuba tanya.

Tap! Sekali lagi tangan emak sampai. Kali ini ke pipi. Terus aku duduk bersandar sahaja di tempat duduk belakang. Takut untuk menyampuk lagi.

Emak cadangkan abah supaya mohon kawasan dan lesen untuk dapat balak. Abah diam.

“Kawan tak ada hubungan dengan Menteri Besar…” jawab abah.

“Habis yang dia tu boleh dapat kawasan, macam mana?” kata emak.

“Menteri Besar saudara dia,” jawab abah.

“Itu yang bukan main lagi sekarang… datang kedai abah pun pakai kereta,” kata emak.

Memang betul. Tak pernah-pernah orang itu datang kedai atuk dengan kereta. Barulah petang itu aku lihat dia pandu sendiri. Berkilat keretanya. Buatan Jepun, agak-agak aku.

Dia datang ke kedai atuk, untuk jumpa dengan atuk. Dia datang pun untuk langsaikan terus hutang-hutangnya yang selalu tertangguh di kedai atuk. Dia bayar semua. Ambil barang-barang baru pun terus bayar hari itu juga. Tak tangguh-tangguh. Tak macam biasa…

Kemudian, dia tak singgah di warong seberang jalan. Dia terus ke arah bandar.

Berselang beberapa minggu, aku sudah jemu mengira lori-lori balak, atau bas. Aku jemu mengira kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Sudah berkajang-kajang aku catat sampai aku rasa, jumlah kereta yang lalu saban hari hampir sama sahaja. Kalaupun bertambah, bertambah sedikit daripada semalam. Kalau pun kurang, juga kurang sedikit daripada semalam.

Lebih aku perhatikan adalah rekabentuk dan warna kereta. Semakin bermacam-macam. Beberapa jenis aku dengar adalah daripada jenama yang bagus. Ada yang kurang. Kereta orang yang berduit dengan kereta orang miskin, lain. Kereta orang berduit biasanya buatan negeri orang puteh. Yang kurang berduit, pakai kereta buatan Jepun. Dan, kereta buatan Jepun masih banyak dipakai orang.

Aku ambil kertas dan cuba aku lukiskan bentuk-bentuk kereta yang bermacam-macam itu. Agak payah sebab semuanya laju. Tak sempat aku tengok betul-betul beza bentuk tiap-tiap kereta. Hanya, apabila ada yang berhenti di depan kedai atuk, barulah aku belek. Apa jenisnya? Bagaimana bentuknya?

Tetap juga aku duduk di bangku kayu—walaupun ada kalanya, bila atuk terlalu letih, dia suruh aku cari kerusi lain. Aku angkat kerusi tempat dia duduk di meja dalam kedai. Dengan kerusi itu pula aku duduk lihat-lihat kenderaan. Di depan rumah kami.

Berdentum bunyi bukan main kuat. Lori dengan kereta itu berlanggar. Dekat jambatan. Dekat simpang masuk kampong. Juga dekat jalan depan sana. Berdentum bukan main kuat, sampai tubuh aku sejuk mengigil.

Sekelip mata dengar suara orang menjerit. Jiran aku. Dia memang kuat menjerit. Tidak ada kemalangan pun dia menjerit.

Aku pucat lesi.

Terdengar suara emak memanggil dari dalam rumah.

Berlari dia dapatkan aku.

“Kus semangat,” kata emak bila tengok aku sedang duduk atas kerusi, sebelah bangku tempat atuk tadinya tidur. Atuk pun sudah terjaga.

“Bawak budak masuk,” kata atuk.

Emak suruh aku masuk.

Aku masuk.

Tak masuk sampai dalam rumah. Hanya dalam kedai atuk. Aku menyorok di celah-celah guni beras. Tinjau-tinjau. Orang semakin ramai. Mereka bising-bising. Ramai yang kata, lori minyak berlanggar dengan kereta. Lori minyak itu entah dari mana. Kereta itu, kereta orang kampong kami.

“Siapa salah?” ada yang tanya begitu.

“Kereta salah!” kata yang lain.

“Salah macam mana?”

“Keluar tak tengok kiri-kanan!” kata yang lain.

Macam yang emak selalu pesan, bila hendak melintas, kena tengok kiri-kanan.

Orang semakin ramai. Menghurung kereta.

Abah berlari ke dapur. Berlari ke tempat dia letak kereta kodoknya. Tak lama aku lihat abah keluar dengan keretanya. Dari jauh aku nampak, ada lelaki yang dikeluarkan daripada kereta yang dilanggar. Orang itu, sosoknya macam aku kenal. Keretanya juga macam yang aku kenal.

Tak lain, dia adalah orang kampong kami—yang baru beberapa bulan jadi kaya dan beli kereta baru. Dengan kereta kodok abah, orang itu dihantar ke hospital di bandar.

Kemalangan memang selalu betul berlaku di jalan depan rumah. Sebab itu, emak selalu ingatkan kalau menyeberang jalan, “tengok kiri-kanan… tengok kiri-kanan!”

Sejak peristiwa itu, aku agak ngeri untuk mengira dan lihat-lihat kenderaan yang lalu lalang. Aku tak suka tengok darah. Aku tak suka tengok ada orang yang mendodoi tahan sakit. Aku juga tak suka tengok kalau ada yang mati. Apabila mayat dikeluarkan dari kenderaan.

Orang tua itu, beberapa bulan terlantar di hospital. Isteri dan anaknya juga selalu berulang ke sana. Hampir tiap-tiap hari. Dengan bas. Bila balek dari hospital, mereka singgah kedai atuk. Sampai suatu waktu, mereka kembali berhutang dengan atuk. Ambil beras, ambil gula, ambil minyak masak dan pil pening kepala.

Orang tua itu pun, khabarnya sudah keluar hospital, tetapi tidak sehat macam dulu. Dia ambil beberapa bulan untuk boleh kembali menunggang motor. Motornya yang lama juga—motor sebelum dia beli kereta yang kemalangan itu. Sama seperti dahulu, dia akan ke warong minum kopi petang-petang. Aku tak pernah lagi melihat dia memandu kereta. Kereta yang kemalangan itu entah ke mana. Kata orang, “dijual kati.”

Rumahnya juga sama. Tak berganti dengan rumah batu. Rumah atas; rumah kayu itu jugalah.

Bila aku semakin besar, lori balak semakin kurang. Bila aku tanya emak, kata emak, “mungkin balak sudah habis di hutan.”

Yang bertambah ialah jenis-jenis kenderaan baru. Tak kiralah sama ada dari Jepun atau dari negeri orang puteh. Tiap pagi dan petang makin sesak jalan raya.

Di warong depan rumah aku, orang tua pun semakin kurang. Beberapa orang sudah meninggal dunia. Termasuk saudara kami yang pernah dapat balak dahulu. Rumahnya pun masih seperti dahulu; rumah kayu. Tidak berganti dengan rumah batu.

Balak Cerpen Hasmi bin Hashim politik Rasuah

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan