~ “…verbrennt man auch am Ende Menschen.”

Kelmarin dengan garang orang bakar buku.

Keraian itu, dianggap sebuah kemenangan. Pehak ‘baik’ mengalahkan pehak ‘jahat’: ‘putih’ mengalahkan ‘hitam’: sebuah biblioclasme berlangsung.

Kekuasaan dalam sejarahnya, termasuk kekuasaan ugama sering datang dengan roti, tetapi kekuasaan sering berpenghujung dengan pedang dan keganasan.

Mungkin orang politik di negara ini tak memandang penting perkara ini—rujuk pembakaran novel Abdullah Hussein, “Interlok”. Segelintir penguasa itu telah memilih untuk bersama dengan kumpulan pembakar buku; kemudiannya memberikan sejuta justifikasi. Di pehak lain, mereka diam—takut undi hilang.

Kekuasan—perhitungannya sering sahaja jumlah undi, dan bukan sangat kebenaran. Sementara selepas “Gelombang Kebangkitan Asia” oleh Anwar Ibrahim yang dihapuskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) awal tahun 2000, sedekad kemudian, Interlok.

Aneh, semua ini berlaku di era dunia tanpa sempadan. Di era di mana internet menguasai hari-hari kita lebih daripada buku, malah lebih daripada media konvensional seperti surat khabar mahupun majalah. Semua ini masih juga berlaku selepas pemerintah baru tertegak, selepas 8 Mac—sekurang-kurangnya di Pulau Pinang, di Kedah dan Selangor.

Bukan satu-dua rujukan mengenai pembakaran buku, dari zaman purbawara sehingga ke era moden. Bahkan, filem-filem yang menujukkan aksi lucah sedemikian juga banyak boleh dibeli di kedai-kedai VCD cetak rompak. Dari filem seperti “Quills”, sampai ke “Agora” yang merakam detik awal ugama Kristian sampai di Anthena. Juga kisah seperti dalam filem “Kong Fu Tse”, tentang kertas-kertas gulung sang pemikir itu, dihabisi.

Seakan-akan tak ada satupun mana-mana kitab ugama yang terlepas. Semuanya pernah dibakar dalam rentang waktu yang berbeda-beda. Dari Quran, terutamanya di zaman raja-raja Sepanyol, sampai ke al-Kitab, Torah dan lain-lainnya.

Arakian, tak ada jaminan, dari sedu-senan sepuak penganut ugama yang bersedih apabila kitab suci mereka dibakar, apabila kelompok itu berkuasa, mereka akan memperlakukan hal sama ke atas kitab-kitab ugama penganut lain. Sampai begitu.

“Sesat”, “penghinaan” selepas 1933 bermaksud politik-kekuasaan. Sebenarnya sebelum itu lagi, hanya tahun itu saya pilih apabila dengan jelas-nyata, tindakan rejim Nazi tak lain adalah bermotif politik-kekuasaan. Sekali lagi, “sesat”, malah “penghinaan” tak lebih hanya adalah untuk kekal berkuasa—apa sahaja yang faham yang berlawanan, perlu dihabisi.

Tuan propaganda, selepas acara besar-besaran itu pun naik ke pentas. Goebbels antara lain bercakap bahawa keraian yang baru mereka lalui itu tak lain untuk memelihara moral agar tidak korup. “Ya!” katanya, “demi kesusilaan keluarga dan negeri ini.”

Penyokongnya yang ramai bertepuk tangan. Mereka bergembira.

Saya membayangkan suasana yang hampir berlaku kelmarin. Di sudut daerah agak terpinggir di Selangor, Di Kota Raja. Di mana, sang penguasa datang ‘menyokong’, untuk seperti kata Dr Mariah Mahmud, “menunjukkan kebersamaan ketika mereka memerlukan pemimpin”.

Saya tidak faham, apa artinya “kebersamaan”? Atau aksi itu, kehadiran itu, tak lebih adalah keliru dan mempercayai sebuah penghinaan sudah berlangsung di dalam Interlok yang menjadi bahan bacaan wajib murid-murid sekolah menengah? Saya tak nampak lain, di sebalik semua alasan beliau, selain, motif meraih sokongan.

Hendak sahaja dicadangkan cara-cara lain yang lebih tidak bertamadun untuk meraih sokongan, sepertimana pedang yang dihunus ke leher rakyat di kota Agora. Atau sepertimana strategi Dr Mahathir Mohammad selama lebih 20 tahun berkuasa: berkuasa dengan paksa.

Dinasti Qin pun bukannya dapat bertahan lama. Selepas sang raja yang gemar membakar buku itu meninggal dunia, pemerintahannya runtuh—ia adalah sebuah dinasti yang menjadi rujukan sampai bila-bila sejarah pembakaran buku. Begitu juga rejim Nazi, yang juga antara lain kemaruk membakar buku, juga tidak lama. Bahkan, Hitler sendiri membunuh diri apabila Tentera Bersekutu sudah hampir benar di kota Berlin.

Apakah rejim Orda Baru di Indonesia adalah contoh besar, apabila apabila Seoharto masuk ke Istana Presiden, buku-buku juga dihabisi. Persis apa yang berlaku di zaman penjajahan Belanda. Tak ada beza.

Tak ada beda—walaupun siang-malam saya mencari beza, antara hatinya kerajaan Barisan Nasional, dengan hatinya pemerintah Pakatan Rakyat. Saya justeru bimbang, kesamaan saya temukan lebih banyak, daripada perbezaan. Bukan kesamaan yang baik, tetapi kesamaan yang keliru akan makna demokrasi dan kebebasan.

Soal pembakaran buku, bukan soal beri air percuma atau tapak pasar malam. Soal pembakaran buku adalah petanda ke mana tamadun bangsa ini mahu diarahkan; akan terarahkan. Saya tak dapat bayangkan, seperti Goebbels yang berucap di atas pentas, dengan dakyah yang disambut oleh rakyat. Dengan tepukan.

Apabila mana-mana orang merasakan bahawa kebenaran ada di tangan mereka, maka di sana kemanusiaan pun hancur; verbrennt man auch am Ende Menschen.

Saya tak dapat bayangkan bagaimana dengan sikap keliru politik oleh penguasa politik termasuk di Selangor yang terpapar tempohari, akhirnya menjadi “iman” rakyat. Sehingga tiap-tiap di antara anak bangsa ini percaya bahawa membakar buku itu adalah antara jalan terbaik untuk mempertahankan pemerintahan, mensyumulkan hati budi dan demi kebaikan negara.

Andai itu terjadi, maknanya, masa depan bangsa ini gelap. Perjuangan moral yang bergetar dan berarus sejak lebih sedekad lalu untuk mempertahankan keadilan, kebebsan, demokrasi dan kebenaran ternyata tak lebih hanya sebagai tugas untuk memperolehi kuasa. Dan selepas berkuasa, yang tidak sebulu dengannya, habis dihabisi dengan apa cara sekalipun.

Walaupun dengan api.


Hasmi Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Anwar Ibrahim Barisan Nasional DBP demokrasi Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Mariah Mahmud Gelombang Kebangkitan Asia Goebbels Interlok kebebasan Pakatan Rakyat politik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan