Pertandingan Gladiator pernah menjadi satu tradisi oleh bangsa Rom. Dalam dunia Melayu, kita kenal dengan pertandingan mencari pahlawan atau pendekar. Zaman itu, acara ini berjalan setiap tahun, oleh itu masyarakat menerimanya sebagai satu tradisi dalam konteks seni beladiri dan kebudayaan sesuatu kaum. Namun bukan sebab itu sahaja ia menjadi tradisi, sebaliknya tradisi ini dibentuk dari hal-hal yang bersifat proses.

Kita tahu, setiap Gladiator atau Pendekar yang hendak bertanding harus menjalani proses saringan yang mencabar, memakan masa, teruji malah, bagi pendekar atau gladiator ini, nyawa jadi pertaruhannya. Justru, selayaknya pemenang yang menjadi juara akan mendapat ganjaran material serta pengiktirafan pada status hidup yang tinggi dalam komunitinya. Di zaman perhambaan, ia adalah kemenangan untuk mendapat sebuah kebebasan.

Tradisi dalam apa jua bentuk, punya peranan. Ia mencipta identiti sesebuah bangsa, nilai baik atau buruknya sesuatu tradisi itu bergantung kepada pelaku-pelakunya. Pelaku-pelaku tradisi ini adalah manusia seperti kita, maka manusia yang datang dari pelbagai disiplin ilmu baik sains, sastera, ekonomi dan seni juga punya tradisinya. Dan ia meletakkan sesuatu bangsa itu pada satu-satu tahap pencapaian. Malah ia memberi makna pada kewujudan entiti kita, dan untuk itu, pastinya kita mahukan makna itu, makna yang sebenar dan besar. Dalam sejarah kehidupan manusia – perjuangan hak dan kebebasan adalah matlamat yang tidak pernah kendur.

Dalam dunia muzik, tradisi melahirkan bakat baru sudah lama berjalan, seusia pertandingan Gladiator itu juga. Itulah hakikat dan tujuan sebenar pencarian jaguh atau juara atau bakat. Di Malaysia – tradisi ini dimanifestasikan dalam acara pertandingan muzik iaitu AJL atau Anugerah Juara Lagu, yang dipelupori oleh media TV3. Setiap tahun kita lihat AJL dengan pelbagai tema bersilih ganti seperti slogan baru setiap kali pentadbiran negara bertukar Perdana Menteri. Bertukar slogan ini pun sudah jadi semacam satu tradisi kita!

Slogan atau tema memang punya erti tetapi erti itu belum tentu memberi makna yang jelas pada kesinambungan matlamat berkarya. Cabaran bagi setiap tradisi ialah persoalan ‘universal’ atau relevensinya dalam zaman. Pada dunia hari ini, adakah acara tradisi seperti AJL ini benar-benar dapat atau telah berjaya melahirkan ide atau karya yang baru? Atau melahir seorang Gladiator yang hebat? Jika iya, di mana karya sang Juara selepas menang? Ke tahap manakah kualiti karya heronya selepas bergelar Juara Komposer? Mungkin soalan ini agak sensitif dan subjektif sifatnya. Namun persoalan yang sama juga pernah ditimbulkan oleh peneroka Felda tentang peranan, nasib dan masa depan mereka.

Media sebagai penganjur

Kita mengalu-alukan pihak mana pun untuk menjadi penganjur. Namun, setiap penganjur yang memilih peranan ini harus juga sedar tentang cabaran yang bakal dipikulnya.

Kita sudah sedia maklum bahawa media elektroni punya polisi dalam soal untung-rugi penganjuran ini kepada syarikatnya. Penganjur akan beroperasi sesuai dengan polisi mereka dalam semua aspek penerbitan. Sebagai media swasta yang bergantung kepada duit penajaan dan ‘rating’ penonton, pastinya polisi termasuk etika penyiaran mereka akan memberi kesan terus kepada karyawan. Dalam konteks kebebasan menerbitkan karya, polisi ini sering menjadi ancaman kepada kelahiran ‘karya baru’. Jangan silap faham dengan pandangan ini, ‘karya baru’ bukan bermakna genre baru. Karya baru bertolak dari ide dan kejujuran. Tetapi genre hanyalah ‘pakaian’ baru yang biasanya dipakaikan untuk menutup tubuh yang sudah kering usang.

Matlamat penganjuran dikatakan untuk melahir dan mengiktiraf bakat seniman/karyawan. Tetapi jangan kita lupa, objektif sebenar media elekronik seperti ini adalah ‘rating’ penonton, niat untuk mengiktiraf bakat seniman hanyalah objektif di atas sehelai kertas.

Kesan terhadap karya

Sejak beberapa siri penganjuran AJL, bukan sahaja tema atau slogan baru diperkenal, tetapi format pertandingan juga sering berubah-ubah atas justifikasi semasa, contohnya kelebihan (jumlah) penerbitan berdasarkan ‘genre’, jika musik bergenre ‘etnik’ banyak diterbitkan pada tahun ini, maka akan ada ketegori baru untuk itu. Selain daripada format, sistem penjurian juga berubah-ubah dengan niat untuk keuntungan tambahan menerusi sistem ‘sms’. Selepas hampir dua dekad penganjuran ini, kita masih tidak tahu apakah modul yang digunapakai untuk proses penjurian.

Selain rasional itu, penganjur juga menambah alasan, perubahan ini untuk kemeriahan dan penglibatan penonton yang lebih meluas dalam AJL. Apabila kita menilai situasi ini, kita tidak nampak walau satu pun perubahan yang dibuat, menyentuh persoalan dasar pada strukur penganjuran, baik dari proses pencalonan, saringan hinggalah penjurian.

Untuk menilai kembali atau merubah struktur penganjuran secara jujur dan ‘radikal’, adalah menjadi suatu hal yang amat berat kepada penganjur, malah ia menjadi ‘ketakutan’ buat mereka. Kerana apa? Kembali kita memahami polisi media tersebut. Inilah cabaran yang kita maksudkan itu. Polisi mereka yang bergantung pada penajaan dan ‘rating’ penonton rupa-rupanya menjadi perangkap buat penganjur sendiri. Perangkap ini sudah tentu akan juga menjerat mutu karya dan produktiviti karyawan. Ingin kita tanya, apakah media tidak punya peranan, keberanian dan kejujuran dalam memberi ransangan baru kepada khalayak?

Kepentingan antara matlamat penganjuran (acara) dan matlamat syarikat media kini bertembung. Dan karyawan tersepit ditengah-tengah pertembungan ini. Namun – apakan daya, kita bodoh dan lemah.

Tanggungjawab melahirkan karya atau Gladiatornya bukanlah tanggungan media seperti TV3 menerusi AJL, sebaliknya medialah yang bertanggungjawab membantu mempromosikan acara dan karya. Namun tidaklah menjadi kesalahan jika media ingin bertindak sebagai penganjur utama, tetapi harus sedar akan cabaran dan halangan buat mereka.

Senario ini bikin kita jadi pelik, bagaimana dengan banyaknya modal dan penganjuran baik AJL, AIM, ABPBH dan bermacam-macam anugerah dan pertandingan, masih gagal – sekurang-kurangnya meningkatkan produktiviti karya. Masalah ini sudah menjadi krisis.

Istilah, fungsi dan kesannya

Perubahan ‘radikal’ yang aku catatkan itu barangkali dapat membawa kita kepada makna sebenar penganjuran acara ini. Apakah yang dimaksudkan sebagai ‘radikal’? Untuk itu kita harus melihat skeleton pada istillah, fungsi dan kesannya. Istilah atau terma yang kita guna pakai dalam acara ini telah diambil dari satu disiplin yang punya sejarah dan tradisi. Kita elakkan untuk membaca (memahami)nya sebagai terlalu akedemik dan bersifat teori semata-mata.

Apakah hakikat sebenarnya pertandingan ‘kompozer’ itu? Apa rujukan atau perbandingan kita?

Komposer adalah composer. Istilah melayu ini berasal dari bahasa Inggeris, dan asal perkataan composer ini dari perkataan ‘compose’ yang bererti karangan (muzik). Istilah composer pula bermaksud manusia yang kerjanya mengarang muzik. Definisi bahasa melayu, memberi makna komposisi sebagai gubahan atau ciptaan atau bahagian-bahagian yang terjalin menjadi sesuatu yang lengkap– dan makna kompozer pula ialah penggubah, pencipta lagu dan muzik.

Walaupun definisi ‘kompozer’ dalam bahasa Melayu ini agak kurang jelas (kerana melibatkan satu lagi istillah iaitu ‘penggubah’), namun kesimpulannya dapat kita fahami yang ia merujuk kepada satu perkara dalam konteks bahan seni atau kerja seni muzik. * Istilah ‘penggubah’ akan dijelaskan kemudian.

Istilah mengarang ‘muzik’ sememangnya bersifat universal. Namun, ini bukan sekadar dalam konteks terjemahan makna pada bahasa sahaja, ia adalah istilah khusus dan teknikal dalam konteks disiplin – dalam hal ini ia disiplin muzik. Sebagai contoh, JK Rowling adalah pencipta novel Harry Potter, tidaklah bermakna beliau itu seorang kompozer. Istillah ini juga membawa maksud profesion dalam bidangnya.

Maka, kompozer adalah seorang pencipta yang menggunakan musik sebagai bahannya. Apa pula makna ‘pencipta muzik’? ‘Pencipta muzik’ adalah orang yang mencipta ‘muzik’ sahaja – iaitu muzik orkestra. Hanya muzik orkestra yang berorientasikan – muzik semata-mata. Bukan lagu nyanyian vokal berlirik bahasa – seperti lagu Pop.

Warga muzik seluruh dunia sememangnya memahami dan mengguna pakai istillah kompozer ini untuk orang yang mencipta muzik orkestra atau simfoni. Bukan lagu-lagu pop yang berlirik. Sebagai contoh dalam pertandingan seperti, International Chamber Music Competition Hamburg dan Melbourne International Chamber Music Competition. Pertandingan ini adalah untuk mencari orchestra composer.

Bagi mereka yang mempelajari sejarah seni muzik, pasti akan menemui istillah penulis lagu atau song writer. Dalam senarai nama kompozer di susun mengikut urutan zaman dan sejarahnya. Apabila urutan sejarah ini sampai ke zaman moden, perkataan kompozer tidak lagi digunakan ke atas pencipta muzik, sebaliknya di istillahkan sebagai penulis lagu atau song writer.

Song writer ini juga pada hakikatnya mengarang lagu seperti kompozer tetapi karangan mereka berada dalam konteks yang berbeza iaitu muzik moden – Pop. Jelasnya, dalam istilah muzik, song writer dan composer memberi pendefinasian yang jelas ketara perbezaan dari segi teknikalnya walaupun kedua-duanya menggunakan musik sebagai medium.

Ciri-ciri muzik Pop ini sudah pastinya mempunyai lirik bahasa, pendek dan ringkas berbeza dengan muzik orkestra. Contoh pertandingan untuk song writer seperti, Eurovision Song Contest, Great American Song Contest, John Lennon Song Writing Contest dan International Song Writing Competition (ISC).

Setiap istilah punya makna yang khusus dan praktis, ia juga memberi penjelasan teknikal yang tepat dalam konteks penggunaan istillah yang betul, istilah ini juga adalah satu ‘pengiktirafan’ profesional. Jika kita hendak terus mengguna pakai istilah kompozer bagi pencipta lagu-lagu Pop, tidak pula menjadi satu halangan dan kesalahan, tetapi ia tidak tepat. Harus pasti, penggunaan istilah yang tepat akan melahirkan konsep acara yang betul, baik dari segi penganjuran dan matlamatnya.

Kita juga tahu, hasil kerja, disiplin dan matlamat bagi penulis lagu seperti Pak Ngah atau Eddie Hamid tidaklah sama dengan kompozer orkestra atau simfoni seperti Beethoven, Chopin dll. Kesilapan menggunakan istillah juga memberi kesan jangka panjang.

Perbendaharaan kata kita akan terus menjadi lesu tanpa ada perubahan radikal di peringkat asas untuk kita kembangkan. Kamus istilah muzik dalam bahasa Melayu juga masih belum ada hingga kita terpaksa menterjemah makna dua kali dan dua konsep berbeza. Iaitu pertama, makna atau definasi dalam bahasa, dan kemudian definasi/makna ‘bahasa’ itu diterjemah kembali kedalam istillah yang khusus atau teknikal. Kedua-dua terjemahan ini melibatkan bahasa dan konsep.

Senario ini akan menanyakan kembali pada diri kita, bagaimana kita mampu berdiri dengan ide sendiri lantaran terus meminjam istillah asing untuk memahami muzik kita – jiwa kita sendiri.

Proses menilai ide

Lagu/melodi ini adalah ide, ide bukan peti sejuk yang dengan mudah boleh kita ukur saiz, berat dan teknologinya. Sekalipun punya mekanisme untuk menilai lagu mana yang terbaik, ia pasti memerlukan masa – ide juga adalah hal naratif dan naratif bersifat perjalanan masa.

Dalam konteks pertandingan – kita perlu rasional untuk tidak terlalu pendek atau terlalu panjang (lama) proses penilaianya. Maka, proses menilai ini harus punya modul yang jelas, lengkap dan tersusun. Penganjur wajib memahami modul dan proses penjurian dengan masa yang rasional (logik), mereka juga harus tahu dan jelas matlamat proses ini. Dengannya, acara ini akan menjadi satu tradisi yang berkredibaliti, telus dan terus releven.

Pertandingan mencipta ini juga adalah pertandingan menggubah. Apa itu penggubah? Mengapa bahagian ‘gubahan’ ini terasing dari istilah penulis lagu? Untuk memahaminya, kita ambil contoh, penanam bunga dengan penghias bunga, adakah ia sama dari segi kerja dan peranannya?

Menulis lagu bukanlah persoalan ‘persembahan’ muzik. Sebaliknya ilham (ide) dan metafor (simbol). Gubahan pula meliputi persoalan gaya atau pendekatan atau method untuk ‘mempersembahkan’ ciptaan lagu itu. Secara ringkas, gubahan adalah proses selepas selesai menulis lagu. Justru, hasil ciptaan dalam satu-satu pertandingan harus dipersembahkan, dan ia memerlukan kepakaran menggubah.

Penggubah juga adalah satu profesion, penggubah wajib mahir dengan instrumen dan fundamental muzik. Dalam konteks penulisan lagu moden, tidak kesemua mereka itu mahir menggubah atau mahir dengan instrumentasi dan sebaliknya tidak semua penggubah bijak menulis lagu. Profesion sebagai penggubah memerlukan pendidikan dan ilmu pengetahuan, bukan hanya bakat seperti menulis lagu.

Dengan gubahan juga maka peranan – penghibur – artis – berfungsi secara langsung dan efektif. Jika tidak, gimik persembahan tidak akan punya apa-apa makna tanpa hubungan langsung dengan ide karangan muzik, melodi dan lirik. Tidak kira set pentas atau props itu datang dari langit sekalipun. Jika itu terjadi, kita akan berterusan menonton penghibur ‘kerusi meja’ di atas pentas.

Pengiktirafan kepada profesion penggubah harus dimulakan di arena(pertandingan) seperti ini. Maka terbukalah satu lagi profesion dalam industri kita. Ini juga satu tradisi.

Lirik. Suatu waktu dulu, di peringkat awal AJL, wujud anugerah untuknya – kategori lirik terbaik. Tetapi hilang selepas itu – entah kenapa. Ciri lain yang penting, yang menjadikan sesebuah musik itu pop atau tidak adalah lirik. Tanpanya, elemen Pop tidak lengkap. Menilai lirik memerlukan kepakaran bahasa. Permainan kata bahasa memungkin penyanyi – (menyampai) ide muzik dengan identiti tersendiri, bukankah ini ciri yang dicari oleh artis?.

Namun agak pelik, lirik sebagai elemen penting telah terabai. Lirisis juga satu profesion. Mengiktiraf profesion adalah satu perkara penting untuk kesinambungan penghasilan karya yang baik.

Pentas sebenar juara komposer

Lapangan muzik kita tidaklah begitu besar skalanya. Untuk sukses berkarya sememangnya kita memerlukan penghayat dan ide atau karya kita sememangnya banyak bergantung kepada saiz penghayat. Geografi pasaran yang sempit ini bukanlah ciptaan mana-mana pihak. Untuk mencapainya, karyawan memerlukan jalan pengiktirafan sebagai ‘vehicle‘ untuk terus berkarya – tiada pilihan, kecualilah jika seseorang karyawan itu benar-benar mahukan’seni’ untuk diri sendiri.

Jika kita lihat contoh-contoh pertandingan seumpama AJL ini di pentas dunia, kita tertanya-tanya apakah benar pertandingan ini untuk mencari bakat kompozer dan karya yang bagus (baru)? Kerana yang terisi dalam AJL adalah di kalangan artis (mainstream) sendiri, bukan diisi oleh penggiat yang bukan mainstream. Kontradiksi ini barangkali akan beralasan; ini acara kita tanpa meniru acara luar. Hakikatnya, bukan persoalan peniruan atau tidak, tetapi soal releven atau tidak karyawan atau artis yang sudah dipentas ‘anugerah’ masih bertandak di pentas ‘pertandingan’ untuk mencari ikon musik yang baru.

Kita lihat, kebanyakkan karyawan dan artis berlumba-lumba untuk masuk pertandingan. Kita ulang, ini juga tidaklah menjadi satu kesalahan jika itu kehendak penganjur. Tetapi senario ini melucukan bilamana pentas ‘anugerah’ seperti AIM atau apa saja, telahpun menjadi medan pengiktirafan untuk mereka. Justru, pentas AJL ini harus menjadi arena yang genuine untuk mencari musik yang baru dan segar – yang kita yakin, baru dan segar ini sukar diperolehi dari artis sedia ada – mainstream.

Mungkin ada lagi yang beralasan; pentas AJL ini tidak sesuai untuk bakat baru. Hakikatnya, alasan ini tidak dapat berdiri kukuh jika kita memahami bahawa, bakat baru yang kita maksudkan bukanlah manusia seni yang baru sembilan hari belajar mencipta lagu atau baru sebentar tadi belajar menyanyi. Sebaliknya ia harus diisi oleh penggiat seni yang profesional dan lama aktif tetapi tidak mendapat arena untuk menjual ‘ide’ musiknya. Kita semua tahu, di luar dunia arus perdana memang terdapat ramai bakat yang belum mendapat ruang untuk mempromosikan karya mereka.

Jika kejujuran penganjur untuk memain peranan yang sebenar menerusi acara ini, pasti perubahan radikal yang kita maksudkan itu mampu dilaksanakan. Namun, pihak mana yang berani melakukannya? Bersedia? Sanggup?

Soalan yang aku suka tanyakan, apakah hasil yang kita boleh harapkan daripada penganjuran ini?

Pertandingan ini bukanlah projek untuk menyubur penghasilan karya apatah lagi untuk memberi makna perjuangan kepada para karyawan. Sebaliknya ia adalah ilusi yang diwujudkan diatas kertas bernama – wang. Sungguh kita tahu, untuk berubah bukan senang.

Kini tiada pilihan untuk karyawan seperti kita. Wujudkan dunia kita – mulakan pada hari ini.

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.