Danial Membawa Gambar Jandanya Ke KL

Danial si mualaf jarang bercakap
hidung cokelat Borneonya separas
bumbungBMW milik Tuan Duta negara minyak,
majikan yang mengupah syarikat kawalan keselamatan.

Sepuluh tahun bukan mimpi
Sabah ditinggalkan berapung jauh dari kenangannya.
dengan menyelip gambar bekas isteri
bersama agen, Danial memupuk impian
di persimpangan jalan Ampang
laluan antarabangsa yang berdesing setiap malam
di luar tingkap pondok kawalan,
rumah barunya diredup daunan kemboja.

sekarang perut dan dompetnya penuh
tersenyum manis membayang gaji berganda
tidak peduli sikap sinis kota raya
berita di akhbar atau temberang politik.
masa depan putih menerang mata
yang menaikkan harga diri
kerjanya tanpa berakhir dunia.

Danial pengawal keselamatan
hanya mengangguk daripada melawan
kepuasan terpapar pada seragam kemasnya
tidak merokok walau mencari perempuan
sukar bersolat tapi sebulan berpuasa.
Tuhan tidak membanding keturunan
begitu difahamnya dari firman.

Di restoran Pelita masa rehat,
Danial berlagak menyamar orang KL
dengan loghat masih berdengung dari Ranau
selipar getahnya mengangkut debu
duduk di samping eksekutif tempatan
berbicarakan saham hingga kelab urut.

Tiada yang aneh
hidup di mana-mana sama sahaja
manusia serata walau emas dipakainya,
petang sudah dan lampu dibenderang
dinaung kilauan KLCC Danial berdiri menunggu bas
dengan bangga muka etniknya
menyeberang seberang Malaysia
hon kenderaan juga riuh kemeriahan metropolitan.

Walau kecil tidak kelihatan
kebahagiaan memaksa danial menangis sendiri
bersama malam mengembang cinta ke udara
waktu dilebur angin masa
demikian terlupus pedihnya menjadi batu.
Jalan Ampang,
Kuala Lumpur.
18 April 2010.

Hujan Ini Mengingatkan Betapa Payahnya Untuk Terus Berbohong

Angin hujan menyerap ke langsir pudar, seperti segan berbisik
ketika petang mengalir suram hujung hati
aku tidak tahu bagaimana hidup semula, sepertinya alam sudah mencair.

pintu dan kaca tingkap segalanya ingin ditutup rapat-rapat
lampu yang dipadam ketara menayang kepayahanku
berhari-hari terbaring merenung kabus mengewap kaca tingkap.

tetap desir hujan mendorong untuk selamanya berbohong
berkata benar malah berkali memalukan sesudah kegelapan jiwa

seperti dendam berbisik, angin hujan menghayun langsir:
hiriskanlah seluruh tubuhku oleh deras matamu hujan.

lampu yang dinyala ketara menampakkan ketiadaan dunia
sambil berbaring menanti hujan jangan berhenti menghasut,
aku tidak tahu bagaimana nanti hidup tanpa mendusta.

Kuala Lumpur
9 April 2010


Menunggu Hujan Panas di Bukit Mertajam

Dan hujan tengah hari
bagai runtuhan kaca panas
menyakitkan kerana ditinggal
hotel murah dihimpit zon perindustrian.

aku bawa muka patung
benci pada sibuk Malaysia
menyusuri pinggir jalan bertakung hanyir longkang
hitam dingin mengekori sepanjang hidup.
begitu jiwaku kumuh berbanding gagak
menerkam bangkai tikus
dan kucing berkudis menjilat kuku anaknya,
bermain buah mempelam busuk
tak ubah ditiru manusia.

aku tidak peduli trafik
seperti akan dilanggar lori kilang,
biarlah lebur tulang sekali,
hatiku malah genting sesak bertahan
panas dan keasingan Seberang Prai
sama tegang di mana-mana.
sejauh ini, sepatutnya sudah mati
tapi perjalanan masih
demikian bersambungan menyeksa.

dalam bilik hotel,
aku hirup kopi separuh
tingkap dibuka menghadap Butterworth
bumbung zink kilang berkarat sama pudar rupaku.
senja mengapung kemilau lampu
langit mengoren dari kejauhan
aku berbaring tinggal rangka
apa ditunggu maut sebenarnya?

lalu hujan panas tengah hari
berderaian di kaca
mengetuk hingga bergetar ulu jantung,
jika nanti melengkung pelangi
tak mungkin lurut dosa
harus mengekori ke mana-mana.
Bukit Mertajam
April 2010.

.

Roslan Jomel Sajak