Teknologi dan Muzik: Satu Kritik

oleh
27 Disember, 2010 | kategori Kolum | komen [1] | Cetak | kongsi  

Aku diusik oleh beberapa orang teman. Aku tunduk meyakini yang provokasi ini berniat murni. Ada yang ‘mendakwa’ teknologi hari memberi kesan dan menjadi punca berlakunya kemunduran industri muzik di Malaysia. Ada lagi yang bilang, kebanjiran stesen radio menjadikan jualan album merosot, pendengar lebih senang memasang radio dalam kereta berbanding membeli CD.

Konsert sudah semakin banyak yang ‘percuma’ dan semakin kerap, orang lebih selesa menonton di YouTube atau laman web tanpa perlu membayar dan bersesak-sesak di tapak konsert. ‘Artis segera’ sudah semakin banyak dalam industri hasil dari lambakan program realiti TV hingga menyebabkan ramai promoter gulung tikar kerana terkesan oleh keadaan ini.

Pendapat teman-teman ini aku ‘baca’ sebagai suatu hal yang positif. Setidak-tidaknya mereka semakin rajin memikir dan cuba merungkai dilema ini. Aku harap, aku tidak menjawabnya dengan cara yang terlalu serius di sini.

Kita, kini telah menemui jalan yang lebih mudah dan cepat untuk menikmati muzik. Menerusi teknologi yang saban tahun diperbaharui, warga masyarakat tidak perlu lagi beratur dan berbelanja besar ke Dewan Filharmonik atau berkerumun ke laman Gig setiap kali mahu menikmati muzik secara ‘langsung’. Di majlis perkahwinan juga sudah semakin kurang Joget Lambak dan Kugiran mahupun Ghazal, Dondang Sayang atau Keroncong, sebaliknya diganti dengan DeeJay dan Karaoke. Nikmat seperti itu kian luput. Jika masih wujud sekalipun, muzik bukanlah menjadi tujuan utama bagi pengunjung. Kadangkala persembahan muzik itu seolah sudah menjadi semacam tarikan pelancungan di negara kita.

Kebetulan pula baru-baru ini, seorang teman lama. Dia seorang yang aku hormati, telah datang bertandang ke studio aku. Dia seorang pemuzik profesional, berkelulusan sarjana dalam muzik, amat mahir dan berpengalaman. Banyak juga yang aku pelajari perihal muzik darinya. Dia berbisik kepada aku dengan harapan dapat membantu mencari dana untuk persembahan muziknya, katanya “Gunakanlah kabel Pelancongan , muzik aku pun memang boleh ‘attract‘ pelancung”. Tambahnya “paling tidak aku dah promosikan muzik dan budaya kita pada orang luar”. Aku tidak pasti adakah itu benar-benar niatnya, atau sekadar terdesak memerlukan dana. Aku ingin sekali membantunya, namun melihat realiti ini, aku tidak terkata apa-apa.

Namun, dari sisi lain, aku menerima keadaan ini sebagai suatu cabaran zaman, sekalipun ruang untuk kita berbicara dan meneliti perubahan ini tidak terlepas dari dikritik dan dikaji.

Apakah ini satu ‘kerosakan’ yang terhasil dari impak teknologi?

[a]
Kesan pembangunan teknologi ke atas budaya hidup kita memang diakui wujud dan ianya sangat luas. Kesan ini merebak seluruh dunia pada setiap bangsa dan ‘membekas’ secara langsung kepada pemikiran warga bangsa. Pergantungan yang keterlaluan kepada teknologi juga, punya harga yang mesti dibayar oleh kita – kelak. Polemik dan wacana tentangnya, juga sudah jelak kita dengar dan bicarakan – merata-rata.

Bagi kumpulan karyawan, kejerihan dan penat lelah intelek daripada kerja mengarang, menggubah, mencipta dan mempersembah, kini berhadapan dengan ‘kesan teknologi’ ke atas budaya masyarakatnya di mana masyarakat merupakan konsumer utama kepada kerja seni mereka. Perubahan ini amat menjejaskan ekonomi mereka. Ini merupakan satu fenomena yang amat pahit untuk dihadap oleh warga karyawan.

Penyakit ini sudah menjadi barah, namun agak pelik, barah ini diterima oleh kalangan kita sebagai ‘budaya’ yang baru dan lazim yang mana dapat kita lihat manifestasinya apabila konsert muzik atau pembikinan album, bernafas dengan wang tajaan, bukan lagi bernyawa dengan jualan tiket atau kutipan royalti album. Untuk memperolehi satu dua dari dana tajaan, seniman harus melakukan kerja di luar bidang pengetahuan dan kemahirannya seperti membuat kertas kerja contohnya, untuk ‘tahu’ dan belajar membuat kertas kerja, sesungguhnya ia satu perkara yang baik, tetapi ia tetap tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada kualiti produk seni – seniman. Sebaliknya, keadaan ini pasti akan terus merosakkan persembahan dan mutu muzik yang berkredibaliti. Contohnya, tak perlu aku ulang lagi.

Benarkah kesan teknologi mengubah budaya masyarakat hingga merosakkan industri dan menatijahkan hasil seni kita ke tahap mundura Jika benar, apakah kita perlu menolak teknologi?

[b]
Teknologi hanyalah alat yang seharusnya membantu dan mendorong kita untuk bekerja lebih keras (produktif) dan melakukannya sesempurna mungkin. Teknologi juga, seharusnya berperanan membantu menyedarkan kita tentang tahap pencapaian dan kelemahan diri. Namun di Malaysia –yang terjadi sebaliknya. Keadaan ini menarik kembali persoalan tentang sikap kita pada tradisi, budaya dan teknologi itu sendiri. Diam tak diam, krisis sikap ini rupanya bermula sudah sekian lama.

Sikap kebanyakan kita pada budaya dan teknologi tersimpul dalam kekusutan yang berliku.  Kita keliru dalam banyak ‘barang’ dan sering terjadi (berulang-ulang). Memahami bentuk budaya yang bersifat cair dan berlapis-lapis ini, bikin kebanyakan karyawan tenggelam punca.

Sebagai contoh (mudah) untuk memahami ‘bentuk’ fizikal. Kita akan mudah mengenali sesuatu bentuk atau benda yang dapat dipegang secara fizikal jika kita melihatnya berulang-ulang tanpa ada apa-apa perubahan pada saiz atau warna benda tersebut – seperti batu bata. Namun entiti ‘budaya’ ini tidaklah sebegitu rigid sifatnya. Kita perlu melihat ‘ke dalam’ untuk memahami bentuk seni dan kesenian. Dengan melihat sifat-sifat – dalamnya – maka kita akan dapat mengenalpasti lapisan yang bersimpang-siur, mengkaji perubahan polanya dan menguji konsepnya, maka semakin fahamlah kita akan struktur dan dimensinya – bentuk. Keadaan ini juga berlaku sama dengan melihat dan memahami fenomena-fenomena lain, organisasi atau polisi kerajaan contohnya.

[c]
Memahami bentuk seni, juga harus memahami dimensi berkarya. Ini tidak terhad hanya buat golongan seniman tetapi harus juga ‘diberitahu’ kepada para penghayat, moga-moga perkongsian kefahaman ini berupaya menghasilkan M.O.U. antara pembuat dan penghayat (pembeli) demi kerukunan budaya.

Telah hampir dua ratus tahun, individu ini masih kekal diperkatakan sebagai antara tokoh paling menarik dalam bidang muzik. Johannes Chrysostomus Wolfgangus Theophilus Mozart (1756-1791) memiliki bakat luar biasa yang mendominasi dunia muzik baik ketika hayatnya hinggalah era selepas ketiadaannya, walau hanya dengan usia hidup yang pendek, 36 tahun. Mozart seorang karyawan yang sangat naïf dalam segala hal, ungkapannya selalu merimaskan kenalan dan mentor-mentornya, idea muziknya datang sebegitu mudah bagai air mengalir, melimpah dan, pada siapapun, muziknya adalah triumph – suatu kemenangan.

Bagaimana Mozart dan komposer-komposer Klasik yang lain mencipta satu gubahan muzik yang sebegitu indah dan kompleks? Muzik bagi manusia-manusia ini, dibina dari ilmu pengetahuan yang mendalam, muzik untuk mereka adalah satu disiplin. Disiplin ini membentuk satu tradisi. Dan tradisi ini diikut dengan bersungguh-sungguh. Maka lahir dan membesarlah sebuah peradaban bangsa yang hebat. Tamadun bangsa ini diurus oleh daya fikir yang cerdas dan cerah. Prosesnya cukup panjang – lama.

Bakat yang baik-baik ini telah ‘menetas’ dan dilaras dengan disiplin latihan yang sangat rapi. Bagi konsumer muzik dan teknologi, mungkin ramai yang masih menganggap belajar muzik itu mudah dan cepat(pendek) sepertimana durasi sesebuah lagu yang sekitar dua hingga sepuluh minit. Malah konsumer diyakinkan lagi apabila adanya segelintir penulis lagu kita yang mendakwa ketika sedang ‘berak’ sekalipun, muzik dan melodinya boleh tercipta dan ‘meletup’ di pasaran. Hebat! Namun bila kita selidiki, persepsi seperti ini terbina dari sikap individu yang tidak memahami tradisi di mana, pada akhirnya kelak akan membentuk satu proses atau budaya kerja yang simplistik, bukan pragmatik. Krisis ini bukan kerana ‘salah teknologi’ tetapi – sikap manusia. Keliru/bingung.

[d]
Bagi pemuzik sepenuh masa, di mana-mana sekalipun, mereka tidak akan membuat persembahan setiap hari atau malam. Setiap persembahan adalah ‘kerja’ bagi mereka, namun hari tanpa ada persembahan, mereka perlu terus berlatih. Latihan ini juga adalah ‘kerja’ sepertimana eksekutif bank yang bekerja lapan jam sehari. Malah bagi pemuzik yang serius, berlatih melebihi jam lapan malam itu adalah perkara biasa.

Gambaran ini tidak berniat menyinggung profesion lain apatah lagi untuk merendah-rendahkan genre muzik yang berlainan. Sememangnya apa jua kerja memerlukan minat/ghairah dan keazaman yang jitu. Namun sedikit perbezaan dalam bidang muzik ini terletak pada latihannya yang berterusan dan penuh konsentrasi. Pemuzik tidak boleh menganggap hanya pada acara persembahan itu sahaja maka mereka dinamakan ‘berkerja’ atau bertugas, sebaliknya ‘latihan’ juga adalah satu ‘kerja’ malah ia juga satu passion – yang berterus-terusan.

Untuk menerima makna ‘latihan’ sebagai kerja rutin yang penuh passion, memang agak sukar, lebih-lebih lagi bagi yang mereka tidak memahami keperluan dan kepentingan latihan. Alasannya sangatlah asas, jika ditinggal (tidak berlatih) buat beberapa waktu sahaja, kemahiran (skill) akan cepat menjadi tumpul, untuk memperolehinya kembali tidaklah semudah ketika memilikinya dahulu. Ada seloroh dikalangan kawan-kawan muzik “Once you start, u should never stop. But once you stop, you better find another job”.

Gambaran ini adalah satu cabaran dalam bidangnya. Dan, cabaran seumpama ini, gagal kita fahami dan kongsikan bersama agar mutu kerja kita meningkat.

[e]
Manusia seperti Mozart atau Debussy, Handel dll, diajar dengan agak ekstrem hingga mereka mengambil muzik sebagai cara hidupnya – agama. Mereka sendiri pasti tidak akan menyangka, kerja muzik yang dilakukan seperti kebiasaannya (rutin), kelak akan dinikmati oleh setiap bangsa dan generasi, berkurun selepasnya.

Ada hujah yang ‘mempersendakan’ budaya ini kerana faktor ketiadaan teknologi. Hujahnya, zaman itu tiada alat rakaman, tiada speaker, tiada CD, kaset dan video. Maka tidak hairan mengapa budaya seperti itu hidup subur, logiknya lagi manusia terpaksa ke Dewan Opera untuk menikmati muzik dan menonton opera. Komposer pula perlu mencipta lagu dengan durasi yang panjang-panjang dan banyak sebagai satu ‘harga’ yang perlu dikembalikan kepada penonton yang bersusah payah datang dan membayar untuknya.

Tuan-tuan, apakah hujah-hujah ini logik? releven?
Ya. Logik itu memang ada. Bagi yang malas meneliti juga akan menelan bulat-bulat logik ini. Namun aku, tidak pula menolak bulat-bulat logik ini, sebaliknya aku ingin merasionalkan kembali hujah ini secara berprinsip agar kita tidak ‘mengiyakan’ bulat-bulat logik yang mana akan berakhir dengan kekeliruan yang sama.

i) Logik kerana ketiadaan teknologi.

Ironinya hal ini, bahawa kewujudan teknologi audio hanya tercipta dan berkembang – selepas – adanya cetusan keinginan dan pengetahuan tentang instrumen dan teori – pada masa itu. Dari segi pembuatan instrumen, itu tidak dihasilkan hingga terus menjadi bentuk yang ‘solid’ seperti yang kita lihat dan guna pada hari ini. Sebaliknya melalui proses perkembangan yang lama. Contohnya instrumen violin, kajian masih belum dapat memastikan siapakah insan pertama yang menciptanya, adakah penciptanya bernama Violina? Van De Violinani? Atau berapakah tali Violin pada permulaan pembuatannya, satu tali? bertali-tali? belum lagi dapat dipastikan.

Namun ada beberapa nama penting yang menyumbangkan kreativitinya seperti Andrea Amati, Stradivari dan Guarneri. Mereka inilah yang mengembang dan memajukankan rekabentuk Violin itu sesuai dengan perkembangan pengetahuan dan keperluan pada ketika itu. Bagi yang rajin, silalah cari maklumatnya di internet atau ke perpustakaan.

Apa yang mampu dijelaskan di sini ialah, kesan pembuatan instrumenlah yang membuka jalan kajian, penemuan dan kefahaman tentang wave atau gelombang bunyi oleh Leonardo Da Vinci sebelum zaman Revolusi Industri lagi, kajian beliau telah memberi inspirasi kepada saintis untuk menggerakkan usaha mengkaji dan mencipta peralatan eletronik atau electronic devices. Dengan menyukat frekuensi dan mengukur kekuatan jisimnya, maka dari situ berkembanglah pengetahuan mengenai audio, akustik dan sonik hinggalah kepada rekabentuk senibina (architecture) dewan akustik.

Prinsip teknologi audio ini amat ringkas iaitu dengan memahami konsep duplicate atau menyalin kembali intensiti bunyi dari instrumen asal ke dalam bentuk digital. Pengetahuan ini turut berkembang lagi dengan teori-teori fizik yang dibawa oleh para saintis seperti Albert Einstein menerusi teori quantumnya.

Kita juga tidak dapat menolak sumbangan sarjana yang lebih awal dalam aspek pengetahuan teori muzik. Malah, muzik itu sendiri bukanlah satu ciptaan, sebalik suatu penemuan. Penemuan ini membuktikan manusia berfikir dalam membentuk pengetahuan dan teknologi. Manusia menemui muzik menerusi susunan bunyi yang lahir dari kehidupan dan alam seperti burung, bunyi air dan angin. Seperti juga penciptaan alat, bukanlah ciptaan sepenuhnya, tetapi pembuatan yang ditiru atau duplicate dari kefahaman tentang bunyi-bunyi alam.

Dalam aspek teori ini, ramai tokoh-tokoh yang membangunkan teknik dan teori sepeti Pythagoras, Anicius Manlius Severinus Boëthius, Abu Nasr Muhammad Al-Farabi dan beberapa nama lain. Pembentukan teori-teori seperti skala muzik ini banyak bergantung pada sifat bunyi dan fizikal instrumen tertentu. Akhirnya, teori muzik, teori sains menerusi kerja pembuatan yang dipraktikkan, telah  membudaya dan berkembang seiring, sebaliknya tidak terpisah-pisah dalam jalur peradaban bangsa manusia.

Perkembangan ilmu bersesuaian dengan perkembangan budaya dan keperluan pada setiap zamannya. Malah, kekurangan teknologi pada zaman itulah yang mencetus pengetahuan yang membolehkan teknologi dicipta seperti mana yang sedang kita nikmati sekarang. Zaman itu, begitulah tradisi dan budayanya.

Hujah logik tersebut dapat kita rasionalkan kembali agar kita berpijak pada realiti yang mana kesedaran terhadap nilai dalam budaya, semakin menipis dalam diri. Ibarat, bangsa kita telah putus tradisinya. Teknologi tidak dapat dijadikan ‘laluan keluar’ bagi mengatasi masalah ‘sikap’ kita yang nyata semakin buruk dan lemah dalam menghadapi cabaran dalam konteks budaya dan teknologi.

Kemiskinan akal budi bukan warisan dari sains atau teknologi. Dalam diri manusia yang punya kepercayaan, kejahilan itu sendiri adalah suatu dosa dan malapetaka. Maka tanggunglah sendiri.

ii) Logik lagu-lagu yang berdurasi panjang ketika Zaman Klasik.
Memang wujud ‘kegilaan’ pada golongan komposer zaman itu untuk mencipta komposisi muzik yang sangat kompleks. Perlumbaan berkerja antara mereka amat hebat. Kegilaan ini bukalah keinginan yang ‘plastik’ atau semata-mata bertujuan membayar kembali harganya kepada penonton. Perlu kita sedar, dalam muzik Klasikal sama ada dari zaman Baroque, Romantik dan Moden sekalipun, ciptaan lagu mereka berdasarkan kepada konsep, play atau drama, tema dan bentuk persembahan samada ianya Concerto atau Simfoni atau Sonata. Ini adalah intipati karangan setiap lagu, sama seperti konsep zaman ini, sama ada untuk muzik Eksperimen, Jingle atau Pop – komersial atau suka-suka. Beza hanya pada bentuk dan susunan bunyi sahaja.

Bentuk muzik yang digubah ini berbeza-beza, bagi persembahan Concerto, ia mempunyai tiga macam(jenis) pergerakkan (three parts of movement) atau versa yang berlainan, terdapat instrumen yang bermain secara solo dengan iringan orkestra. Bagi Simfoni, ia adalah lanjutan dari gubahan muzik orkestra – extended, segmennya meliputi overture (versa permulaan/percubaan), biasanya simfoni memiliki empat macam pergerakan (four parts of movement).

Keadaan ini tiada kaitan langsung dengan ketiadaan teknologi pada masa itu. Malah tanpanya (parts of movement), muzik yang kita kenal hari ini hanya akan ada satu bentuk sahaja. Kita tidak akan mengenal yang mana versa, korus dan koda. Keindahan melodi Getaran Jiwa tidak akan segak tanpa adanya bentuk dalam komposisi lagu.

Sumbangan muzik klasik terhadap muzik moden, paling terkesan pada bentuk lagu. Antara yang paling menarik perhatian adalah karangan Ludwig Van Beethoven pada Simfoni no.9. Simfoni ini merupakan bentuk yang pertama kali menggunakan empat macam pergerakan nyanyian solo. Kini, ia menjadi tema lagu Kebangsaan Kesatuan Eropah, ciptaan ini mengambil masa sekitar 6 tahun untuk disiapkan bermula pada 1818-1824. Lirik pada lagu ini adalah puisi yang telah dicipta lebih awal oleh Schiller iaitu sekitar tahun 1785 dengan tajuk ‘The Ode to Joy‘.

Simfoni No.5

Selain dari Simfoni no.9. Simfoni no.5 juga memain peranan besar dalam membentuk komposisi dan memahami kontuar melodi yang ‘catchy‘. Konsepnya mudah iaitu ‘short-short-short-long‘ (lihat skor). Ide melodi ini begitu fundamental sekali sifatnya, memaksimumkan penggunaan prinsip seni seperti repetition pada nada, kontuar dan intensiti not. Konsep ini menjadi sangat revolusioner bagi muzik klasik pada masa itu. Dan, memberi inspirasi kepada muzik moden menerusi bentuk muzik pop iaitu versa, korus serta koda. Maka, dari sinilah terhasilnya genre musik Jingle hinggalah Ringtone. Teknologi sekadar memudah dan mempopularkan lagi keadaan ini.

Justru, fakta ini menjelaskan bahawa kekurangan teknologi zaman lalu atau kelebihan teknologi zaman ini, bukanlah menjadi punca kerosakan budaya dan industri muzik kita. Sebaliknya, teknologilah yang berasiosiasi dengan tradisi dan budaya manusia. Dan yang menjadi persoalan lebih penting di sini adalah sikap kita, tradisi kita dan budaya kerja kita.

Kesemua pandangan ini mungkin belum begitu menyuluruh sifatnya. Namun cukup sebagai asas di peringkat awal untuk kita menyuluh persoalan-persoalan lain yang lebih utama. Seperti juga karangan muzik, hasilnya belum tentu dapat memuaskan hati semua insan. Sebaliknya, dalam ketidakpuasan inilah yang akan mendorong manusia mencari kesempurnaan.

Kesan teknologi terhadap kemunduran industri dan budaya pada umumnya, hanyalah metos. Metos ini akan mudah dipercayai oleh manusia yang keliru. Namun, bagi teman-temanku, aku percaya mereka bukanlah manusia keliru yang datang dari wacana yang gelap. Mereka adalah soldadu era ini.


Tags: Abu Nasr Muhammad Al-Farabi, Andrea Amati, Anicius Manlius Severinus Boëthius, Debussy, Guarneri, Handel, Johannes Chrysostomus Wolfgangus Theophilus Mozart, Kolum, Ludwig Van Beethoven, Mazir Ibrahim, Mozart, Muzik, Pythagoras, Schiller, Simfoni no.5, Simfoni no.9, Stradivari, The Ode to Joy
 

 

Satu komen
Tinggalkan komen »

  1. Seorang ketua soldadu militan yang kaya raya pernah berkata: ” No technology is my technology!”…nama glamornya ben Laden…

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera