Aku.

Antara yang meremaja dalam waktu itu; di antara celah-celah lagu seperti Cinta Bandar Tasik Selatan. Oleh Olan:

Bandar tasik selatan
Mencermin kenangan syahdu
Berderai air mata rinduku

Tak cuma rangkap lagu itu, ada agaknya beratus-ratus kalaupun tak beribu-ribu lagu lainnya, daripada Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (Ukays), Akulah Kekasihmu (AXL’S), Patahnya Sayap Malam (Massa), Malamku Kesiangan (Slam), Hakikat Sebuah Cinta (Iklim) dan lagi, dan lagi, lagi…

Agak-agak sedekad selepas itu, baru timbul istilah “rock kapak”.

Kenapa “kapak”?

Bukan hanya kapak.

Ada panggilan lecehan yang lebih ‘menangkap’. Macam “tangkap leleh”, “jiwang karat”, “rock jiwa” dan dua-tiga panggilan lain. Belum ada, dalam mana-mana kajian akademik, di mana-mana universiti di Malaysia yang para sarjananya cuba lihat dan kaji akan subjek dan fenomena ini. Kalaulah boleh dipanggil “fenomena”.

Memang boleh.

Sampai hari ini pun, lepak-lepak dan dengar-dengarkanlah di warong-warong tepi jalan, di Tanjung Malim atau Segamat, atau di gerai-gerai jual rokok atau jual buah semangka dari Pontian sampai Kuala Ketil, lagu-lagu dekad 90-an itu masih terdengar. Masih ramai anak muda yang suka.

Bukti itu, mungkin ada yang kata masih longgar. Ada kayu ukur lain.

Di Youtube.

Nombor tak berbohong.

Sementara banyak lagu-lagu rock kapak yang dapat menandingi jumlah pengunjung lagu-lagu Indonesia yang sekarang menyerbu Tanah Semenanjung.

Catatan klik untuk lagu-lagu ‘kategori’ ini ada yang sampai angka ratus-ratus ribu ~ macam Bayangan Gurauan oleh Mega cecah 300 ribu pengunjung, Penantian oleh Black Rose lebih 500 ribu; Niat Hati Tak Nak Berpisah oleh Arrow lebih 600 ribu, dan Siapa Yang Rampas Cintamu oleh Ukays misalnya sampai 900 ribu. Itu cuma disebutkan beberapa sahaja.

Lagu seperti Mengusung Rindu ciptaan Eddie Hamid; liriknya ditulis Afioan MS; nyanyian grup Spin mencecah lebih sejuta pengunjung. Sudah tentu bukan hanya lagu itu sahaja. Ada yang lain-lain lagi.

Lagu P Ramlee, Sudirman sampai ke M Nasir pun payah nak catat angka pengunjung begitu punya besar. Lagilah kalau setakat Mawi atau Spider. Kalau adapun mungkin beberapa lagu Siti Nurhaliza, meskipun lagu yang mengangkat nama Siti satu ketika dulu, Cindai, pun tak mencecah 300 ribu pengunjung.

Aku.

Dan yang sebaya dengan aku, mula terhidu adalah antara warga yang meremaja dan mendewasa dalam arus “musik tangkap leleh” itu. Generasi ini jugalah yang kini mula ‘memegang’ kekuatan ekonomi Malaysia—apabila, pada umur mereka, ramai yang mula berada di posisi eksekutif, baik di dalam struktur pemerintah mahupun swasta.

Dalam rojak-rojak band rock kapak, tak semua kapak. Ada yang terlepas daripada kategori yang memberi konotasi cemuhan itu. Sudah tentu Search dan Wings payah hendak dibakulkan ke dalam kelompok kapak. Ada tiga sebab besar.

Satu, pasal lagu mereka agak “sophisticated” dan memerlukan skill; tak guna hanya melodi ballad yang simple se-simplesimple-nya. Dalam kata lain, ada kedengaran (sound) yang “ori” daripada setiap irama mereka.

Kedua, Search terutamanya; dengan setiap anggota kugiran sangat mempertimbang baju-seluar dan perhiasan badan yang hendak mereka kenakan. Gaya rambut sedondong dengan upaya mereka… maksudnya tak lebih-lebih, tak kurang-kurang. Walaupun, tetap rugged dan flamboyant. Bukan sekedar capai baju di kedai bundle, terus sarung.

Gaya menyanyi jadi aspek yang akan menjadikan sesuatu band itu jadi kapak beliung atau kapak Siam. Dengan nada nyaring, tinggi dan ditambah mendayu-dayu persis orang mengaji di dini hari, akan mendekatkan lagi sesebuah band itu untuk menjadi beliung atau kapak Siam. Dan ketiga, yang maha penting ciri yang terkesan ialah melalui seni katanya.

Sembilan puluh sembilan peratus kapak-kapak ini akan mengetengahkan isu kegagalan bercinta. Terfokus dan obses di saat-saat genting ditinggalkan kekaseh—cinta tak sampai—walau apa pun sebabnya. Detik itulah yang dilebih-lebihkan dari mula menyanyi sampai ke hujung-hujungnya.

Dan sebab itu, semua istilah cemoh pun terbit, dari “leleh”, “tangkap lentok” sampailah “kapak”—walaupun sebenarnya ada beza antara yang “leleh” dengan yang “kapak” apabila “leleh” itu dilihat hanya satu cabang daripada kapak juga. Kiranya begitu, May dan Bumiputra Rockers (BPR), misalnya, mungkin boleh sahaja dianggap “kapak”, walaupun bukan “leleh”. Beza pula dengan kes Alleycats.

Mana tidaknya “leleh” a.k.a “jiwang” kalau penderitaan bercinta sentiasa jadi isu besar dengan tanpa asal-punca cerita dan hampir semuanya tak punya naratif. Kita tarik dulu chorus lagu dan lirik oleh Iklim ini, nyanyian band Putra—Bukannya Ku Tak Sudi:

Bukan ku tak sudi kasih
Untuk bersamamu bercinta lagi
Kerna antara kita
Tidak sehaluan lagi

Maafkan diriku sayang
Menolak cintamu untuk kali ini
Walaupun ku tahu
Bersungguh benar rasa hatimu

Yang dirakam penulis lirik—dengan kadang-kala bersimbol dan tak bersimbol yang enteng—semata-mata perihal jiwa luka-lara, kemahuan cinta kepada manusia yang tak sampai. Chop! Realiti kehidupan penyanyinya barangkali seratus lapan puluh darjah terbalik daripada apa yang mereka dendangkan terkangkang-kangkang dalam TV atau di tengah pentas fun fair.

Bila muncul dan menggegarkan dua band rock ulang tanahair, Search dan Wing di penghujung 80-an, imaginasi anak-anak remaja Melayu waktu itu tak ada kerja lain, selain hendak jadi penyanyi. Keunggulan dan kejayaan dua band utama itu mendorong syarikat-syarikat rakaman muncul, berlumba bikin untung. “Formula kapak” dianggap berhasil apabila beberapa kugiran tajaan tauke ini memberi pulangan untung segera.

Dan, apapun cemohan dan kritikan kala itu, jawapnya, “kita mahu buat untung, dan album laku kasi jual!” Terus terang. Memang.

Malah, Search dan Wings pun, semacam jadi mamai dengan ‘pesaing’ mereka yang tak tahu entah muncul dari celah mana.

Pentas yang paling utuh untuk menjelma di permukaan arus perdana ialah program Muzik-Muzik di TV3. Bukan kebetulan apabila RTM bukan lagi saluran untuk tayang program untuk anak muda.

Bayangkan sahaja, lagu mereka akan diputar; wajah mereka dipapar setiap minggu, untuk hampir sepanjang tahun. Untung sabut timbul, kalau-kalau lagu mereka sampai ke Juara Lagu. Itu belum kira halaman majalah yang cetak cerita gossip, skandal dan ambil gambar tepi kolam mandi.

Band yang “serius” tak sempat muncul dalam riuh-riuh itu. Selain Search dan Wing, memang ada beberapa band lagi yang boleh katakan bukan kapak atau “separuh kapak”. Rata-rata tak sempat bernafas kerana proses untuk menerbitkan album yang bukan kapak memang sedikit memakan masa berbanding beliung-beliung itu.

Takdir yang tertulis akhirnya di suatu waktu, band-band yang bermunculan menggila itu hanya ada yang sempat bikin satu album—berpuluh atau beratus lagi yang tak sempat masuk studio.

Satu era pun tenggelam. Yang serius, terus bertarung. Dalam sendu-mendayu itulah corong musik rock bangsa ini seumpama tak sempat kenal dirinya sendiri.

Laksana naratif kesultanan Melaka… layu sebelum mekar.

Alleycats Arrow Black Rose Buddhi Hekayat Bumiputra Rockers Eddie hamid Esei Iklim M.Nasir Mawi May Mega P.Ramlee Putra Rock Search Siti Nurhaliza Spider Ukays Wing Wings

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Kapak…

    Seperti kata sahabat yang juga seorang penulis, istilah “kapak” digunakan mengambil kira oemuzik-pemuzik yang gemar menggelar alatan muzik mereka (terutama gitar) sebagai “axe” singkatan axology. Maka terjemahan kepada “axe” sudah tentulah kapak!

    Satu yang khalayak terlepas pandang (atau mungkin buat2 terlepas) ialah tak semua lirik lagu2 “kapak” ini yang perlu dibaca secara terus. Ada yang perlu 2-3 kali membaca baru dapat menangkap maksud sebenar penulis lirik tentang apa yang cuba hendak mereka sampaikan..

    Misteri Mimpi Syakilla dan Pengabdianku Kekasih oleh Wings boleh menjadi contoh lirik2 yang perlu pemahaman bahasa yang tinggi lantaran metafora yang terlalu banyak digunakan oleh penulis untuk menggambarkan maksud sebenar..

    Dan kita rupanya masih ketandusan penulis2 lirik sebegini….

  2. Selayaknya ia adalah satu fenomena yang benar-benar sudah berlaku di era yang lalu.Namun ia seperti tiba di penghujungnya seketika dan hampir kelihatan seperti berkubur.Rupanya ia tidak mati di situ lantaran kuatnya “kapak” yang ada pada setiap karya dan pemuziknya.Kejujuran pengkarya untuk menghasilkan kerjanya tidak sama sekali di pengaruhi oleh faktor-faktor yang bersifat sementara membuatkan hasil karya mereka terus bernafas dan hidup sampai ke hari ini.Setiap karya yang mempunyai jiwa tak mungkin akan mati semudah itu selagi jiwa itu tidak mati.

  3. tak kira leleh ke tak…kapak ke tak…,musik dari era dimana kita membesar akan sentiasa indah dan segar…..