Kabel-kabel komunikasi Kedutaan Amerika Syarikat mendedahkan bahawa barisan penentang usaha nuklear Iran kini lebih meluas berbanding yang pernah diketahui sebelumnya. Dalam perbualan tertutup, pemerintah-pemerintah Arab mengusulkan agar ada langkah-langkah yang perlu diambil terhadap kelompok Mullah di Tehran sebelum mereka berkemampuan membangun bom nuklear. Tetapi tidak banyak maklumat yang diketahui sehampir mana Iran kini berada untuk membina bom nuklear.

”Orang Iran pembohong besar.”

“Ahmadinejad ialah Hitler.”

“Iran seperti oktopus.”

“Program nuklear Iran perlu dihentikan dengan apa cara sekali pun.”

“Bom Iran atau hidup dengan bom buatan Iran.”

Kata-kata ini tidak datang dari mulut orang Israel atau Amerika, tetapi ia diluahkan oleh pemerintah di Mesir, Jordan dan Abu Dhabi. Tak siapa lebih takut dengan bom buatan Iran dan tak siapa yang lebih bencikan negara di bawah naungan Mullah itu selain pemimpin Arab. Itu sekurang-kurangnya perkara yang tergambar dan disampaikan melalui kabel-kabel rahsia kedutaan Amerika dari negara-negara Teluk kepada Washington.

Komunikasi melalui kabel berkenaan mencadangkan bahawa orang Arab khuatir bahawa sebuah negara Iran dengan kemampuan peledak nuklear akan mendominasi mereka secara politik serta ketenteraan, dan jika perkara itu berlaku, ia akan merosakkan usaha semi-demokrasi, kedaulatan institusi raja serta kemulian para sheikh mereka.

”Kami semua ketakutan,” Presiden Mesir, Hosni Mubarak memaklumkan Amerika. Pemimpin Sunni di Timur Tengah mencadangkan sekatan, manakala sebahagian yang lain menyokong serangan ke atas prasarana nuklear Iran – atau apa saja cara yang boleh membantutkan pengaruh Iran. Tentunya, mereka tidak menyatakan nada sebegini secara terbuka, tetapi hanya secara tertutup, kepada diplomat-diplomat atau setiausaha kabinet Amerika. Tiada topik lain berkaitan polisi Amerika di Timur Tengah yang lebih mendominasi perbincangan dengan ketara berbanding ketakutan terhadap bom atom Iran. Dokumen daripada Jabatan Negara di Washington kini menunjukkan bagaimana Amerika, Israel dan juga perikatan rahsia mereka melakukan percubaan untuk memencilkan regim di Tehran.

Awal Permulaan

Tidak lama selepas Obama menghuni pejabat Presiden Amerika pada Januari 2009, dia berjanji akan menangani isu Iran dengan kaedah baru. Dia menawarkan kepada Tehran untuk berunding dan memberi insentif agar Tehran menghentikan bahagian-bahagian kontroversi bersangkutan program nuklearnya. Antara elemen penting tawaran itu adalah melibatkan penghantaran 1,200kg uranium daripada fasiliti nuklear Iran di Natanz ke Russia dan Perancis untuk diproses menjadi rod bahan api bagi kegunaan reaktor kaji selidik Tehran, di mana isotop akan dijana bagi tujuan perubatan.

Ia adalah satu tawaran yang, seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tenaga Amerika, Daniel Poneman; ”tidak ditawarkan secara semberono, tetapi bersandarkan kepada pandangan bahawa jika Iran bersetuju, ia akan mengalihkan LEU (low enriched uranium ) dengan jumlah yang signifikan dari Natanz dan jika Iran menolak, ia akan membantu meraih sokongan antarabangsa – bermula dengan Russia dan China – untuk sekatan yang lebih keras. ”

Amerika meneruskan strategi serampang dua mata begini sejak dari awal. Ia menzahirkan kesungguhan untuk berunding dengan Iran dan pada masa sama bersiap untuk melakukan sekatan. Dokumen-dokumen yang ada juga mencadangkan bahawa mereka turut melakukan persediaan untuk menyerang secara militer.

Pada Februari 2009, sebelum Benjamin Nentanyahu dipilih sebagai Perdana Menteri Israel yang baru, delegasi kongres Amerika melawat ahli-ahli politik Israel. Nentanyahu bertegas agar Iran dikenakan sekatan ekonomi ketat dan disokong oleh ’pilihan tindakan ketenteraan ’.  Dia memaklumkan kepada delegasi bahawa sekatan hanya akan berkesan jika Amerika dengan serius mengancam untuk menyerang Iran. Ini kekal sebagai cadangan Nentanyahu, dan kelihatan seperti Amerika sedikit sebanyak menggunakan strategi sama.

Perbincangan rasmi pertama dengan Perdana Menteri Nentanyahu diadakan beberapa minggu selepas itu. Kini, kedua-dua belah pihak membincangkan tentang sekatan dan kaedah untuk mengetatkan import petrol Iran. Nentanyahu menggesa agar Amerika bertindak segera. Dia mencadangkan dialog dengan tarikh akhir singkat serta penyataan matlamat-matlamat yang jelas; seperti perbincangan dengan pihak Iran dalam jangka masa 12 minggu, yang mana Amerika akan menjelaskan bahawa matlamat rundingan itu adalah untuk menamatkan program nuklear Iran.

Laporan itu menyebut: ”Dengan mencondongkan badannya ke depan, Nentanyahu mengulangi soalan awalnya; ”Apa yang akan kamu lakukan jika semua ini tidak berjaya?” Dia bertanyakan soalan sama tiga kali ketika perbualan itu, dan tak ada siapa yang menjawab.”

Persediaan di Teluk

Awal 2009 turut menandakan bermulanya rundingan intensif dengan negara-negara Teluk, yang berlangsung sepanjang tahun. Ketika perbincangan berlangsung, yang menjadi jelas bahawa walaupun negara-negara Teluk menentang serangan ketenteraan pada fasiliti nuklear Iran, mereka turut menjangkakan operasi Israel dan pada masa sama membuat persiapan terhadap serangan balas Iran.

Emiriyah Arab Bersatu misalnya enggan memperkemas rancangan militari bersama antara mereka dengan Amerika. Tetapi mereka meminta agar Amerika mempercepat penghantaran sistem persenjataannya sebagai ”respons dan persediaan kepada senario terburuk yang mungkin tercetus di Iran.”

Mohammed bin Zayed, putera raja Abu Dhabi yang berpengaruh, menyatakan ”persedian harus dimulakan sekarang sebelum sebarang malapetaka bermula.” Bin Zayed, individu yang dirujuk oleh Amerika dengan nama ringkas MbZ, khuatir akan serangan Israel dan tindak balas Iran bakal terjadi sebelum hujung tahun, manakala Amerika mengganggap bahawa sebarang ’konfrantasi ketenteraan dengan Iran’ tidak akan berlaku sebelum 2010.

”Bin Zayed masih risau kerana dia tidak mempunyai peralatan yang cukup untuk mempertahankan rakyatnya jika perang dengan Iran meletus. (Dan bagi MbZ ia merupakan soal ’bila’, bukan ’jika’)” menurut laporan kedutaan.

Daripada satu lagi laporan kedutaan yang lain, ketika lawatan daripada komander US Air Force Central Command (Centcom) bagi Timur Tengah, Mike Hostage, askar mereka memaklumkan kepada putera raja Bahrain, Salman bin Hamad al-Khalifa, bahawa ancaman yang diwujudkan Iran menyebabkan Amerika terpaksa mengadakan perancangan pertahanan udara dan misil bersepadu di rantau Teluk. ”Sheikh Salman mengalu-alukan langkah ini dan menekankan bahawa Bahrain mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran integrasi pertahanan di Teluk.”

Komander Hostage menjelaskan perincian kepada Sheikh Salman; ”Pertama, ia melibatkan intergrasi aset pertahanan udara dan misil Amerika sendiri. Kedua, Negara-negara Teluk akan diintegrasikan di dalam sistem amaran awal.” Respons Salman adalah, perkembangan ini, jika berlaku,  akan menjadi titik tolak dan perubahan terbesar yang akan berkekalan di rantau ini serta memberi kesan kepada kemampuan Iran untuk membentuk kekuatan ketenteraan negara itu.

Emiriyah Arab, beserta Arab Saudi dan negara-negara lain rantau itu telah mula mempersiap pertahanan untuk melindungi negara mereka daripada Iran untuk beberapa tempoh sebelum ini. Pada 2007, Sheikh Bin Zayed mendesak Amerika agar mempercepat penghantaran Predator B. Ini termasuk desakan untuk Amerika menghantar peralatan ketenteraan yang lain secepat mungkin, dari inventori Amerika di rantau itu.

Selain itu, mereka juga mahukan misil anti-pesawat Patriot,  yang akan dipasang di Bahrain, Abu Dhabi dan Dubai. Washington turut berjanji untuk memasang sistem pertahanan paling maju, THAAD, yang hanya digunakan di Amerika ketika itu, dalam tempoh setahun. Sistem berkenaan digunakan untuk mematahkan serangan misil jarak dekat dan jarak sederhana.

Pada Jun 2009, Amerika turut menemui pemerintah Qatar, sebuah negara yang bertegas untuk tidak memulaukan Iran, bagi satu sesi ’konsultasi strategik’. ”Hal itu menunjukkan bahawa pemimpin Qatar – walaupun berhati-hati untuk tidak memaklumkannya secara umum – tidak mempercayai Iran; dan Qatar tidak mahu Iran untuk memiliki senjata nuklear,” tulis sebuah laporan kedutaan di Doha yang dikabelkan kepada Washington.

Penggunaan pangkalan Amerika bagi melancarkan serangan turut menjadi topik perbincangan: ”Ketika segelintir di Qatar mahukan konfrantasi ketenteraan dengan Iran, kerajaan Amerika tidak teragak-agak mahu menggunakan fasiliti di Qatar dalam mana-mana operasi kinetik (serangan udara) terhadap Iran. Waktu ini, kami menjangkakan Qatar akan menolak untuk membenarkan tanahnya dijadikan pangkalan bagi menyerang Iran, tidak mengambil kira jaminan keselamatan USG kekal kepada Qatar, termasuk lapangan gas asli luar pantai yang dikongsi bersama Iran.”

Antara keresahan lain yang diutarakan ialah perlindungan kepada infrastruktur kritikal, seperti fasiliti penghasilan dan pemprosesan minyak dan pelabuhan. Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika turut menilai semula rancangan untuk melindungi Selat Hormuz, di mana hampir 14 juta barel minyak diangkut melaluinya setiap hari, jika berlakunya sebarang krisis atau konfrantasi.

Sudah tentu, akibat daripada serangan terhadap telaga-telaga minyak turut dibincangkan. Dalam sebuah laporan lengkap yang dihantar kepada Washington, kedutaan Amerika di Doha menganalisa perlindungan terhadap fasiliti infrastruktur kritikal di Qatar, ”yang mana jika ia musnah, diganggu atau dieksploitasi akan mengakibatkan kesan langsung terhadap Amerika.” Qatar adalah pengeksport cecair gas asli terbesar dunia serta merupakan antara pembekal terpenting gas asli kepada Amerika.

Amerika mendapat manfaat daripada ketakutan terhadap Iran ini. Mereka melebarkan pengaruh di Teluk dengan menjadikan negara-negara Teluk itu bergantung kepada sokongan ketenteraan Amerika, justeru memperkukuh satu daripada tonggak terpenting bagi kekuasan global Amerika.

Implementasi persetujuan antara Arab Saudi dan Amerika untuk melindungi infrastruktur kritikal ”mempunyai potensi komersil yang besar, dengan kontrak-kontrak bernilai berbillion Dollar. Lebih penting, ia akan mengakibatkan perluasan pengaruh kerajaan Amerika di Arab Saudi bagi rentang waktu satu generasi mendatang,” tulis sebuah laporan daripada Kedutaan Amerika di Riyadh pada Ogos 2008.

Setahun kemudian, Jeneral David Petaeus menyatakan, ketika lawatan ke Beirut, ada sebuah ”fenomena di negara-negara Teluk di mana pemimpin mereka risau akan ada pihak yang menyerang program nuklear Iran, dan pada masa sama turut risau jika tak ada pihak yang akan berbuat demikian.”

”Iran,” sambungnya, ”telah menjadi alat rekrut terbaik Centcom, dan bilangan usaha sama serta perjanjian bantuan ketenteraan Amerika dengan rakan kongsi Arab di Teluk telah meningkat dengan mendadak.”

Ketakutan Orang Arab

Dari kalangan orang Arab, musuh terbesar Iran ialah Bin Zayed, putera raja Abu Dhabi dan sosok utama di Emiriyah. Di dalam perbualannya dengan wakil pentadbiran Obama, dia membandingkan situasi semasa dengan keadaan di Eropah menjelang Perang Dunia Kedua, dan tingkah Tehran mempamerkan kekuatan itu sama seperti yang pernah dilakukan Saddam Hussein dalam dekad 1990an, sewaktu diktator itu bersiap menyerang Kuwait. Bin Zayed, seperti kebanyakan pemerintah di rantau itu, percaya bahawa sebarang percubaan untuk mengadakan dialog dengan Tehran tidak pernah akan berhasil.

“Iran sudah bertindak seperti sebuah negara kuasa nuklear,” dia memaklumkan Timbalan Setiausaha Tenaga Amerika, “Iran sedang ‘membina Emiriyahnya’ diseluruh dunia Muslim, tak terkecuali Selatan Lubnan dan Gaza, ‘emirates’ lena di Kuwait dan Bahrain, serta kawasan Timur Arab Saudi, ibu segala ‘emirates’ di Selatan Iraq, dan kini Saada di Yaman.”

Putera raja itu percaya “ ‘segalanya (peperangan di rantau itu) tidak mustahil’ jika Iran berjaya memiliki bom, dengan Mesir, Arab Saudi, Syria dan Turki membangunkan keupayaan senjata nuklear mereka serta Iran yang masih menyebarkan konflik Sunni-Syiah ke seluruh dunia,” seperti yang tertulis pada laporan Amerika selepas perbualan bersamanya. “MbZ menyifatkan situasi genting perang dengan Iran itu jika tercetus, akan memberi kesan berpanjangan dengan mengambil kira kelengkapan nuklear Iran.”

Sheikh itu yakin bahawa serangan Israel ke atas Iran adalah kemungkinan berlaku, dan Tehran akan membalas dengan serangan misil yang turut akan disasarkan kepada Emiriyah Arab Bersatu, dan mengubah terus lanskap di Timur Tengah. Kekhuatiran itulah yang membuatkannya menghubungi pihak Amerika, pada Julai 2009, untuk akhirnya mengambil langkah dan mengemukakan ‘Plan B’ sekiranya Iran tidak mahu berunding. Iran, menurut Bin Zayed, perlu diletakkan di bawah tekanan dan dikenakan tindakan segera sekiranya mereka melampaui ‘garis merah’.

Bagi Bin Zayed, seperti juga pemimpin-pemimpin Arab lain, penyelesaian yang ada hanyalah dengan mempromosikannya kepada cabang-cabang gerakan dalaman di Iran. “Satu-satunya cara untuk mengelakkan Iran daripada memiliki senjata nuclear ialah dengan ‘memecahkan mereka dari dalam’,” ujar Bin Zayed, menurut satu daripada sumber kabel kedutaan yang diperoleh.

Pemimpin Arab lain juga menyuarakan keresahan sama, termasuk Raja Abdullah Arab Saudi. Ketika kunjungan Ketua Penasihat Pencegah-Terrorisme Obama, John Brennan, Raja Abdullah menyatakan bahawa “Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki turut duduk di tempat yang sama yang diduduki Brennan beberapa ketika yang lalu.” Menurut laporan kedutaan, Abdullah memaklumkan kepada Brennan apa yang baru saja diucapkan kepada Mottaki: “Kamu sebagai orang Parsi tidak ada urusan untuk campur tangan di dalam hal-hal di Arab.” Kemudian, dia menambah dengan memberi pegawai-pegawai Iran tempoh setahun untuk berdialog: “Selepas itu, yang ada hanyalah penghujungnya.”

Raja itu memang tidak memberi muka kepada Iran. Berdasarkan sebuah dokumen Amerika, Abdullah menyifatkan Iran ‘bukan jiran yang kamu ingin jumpa,’ tetapi sebagai ‘jiran yang kamu ingin hindari,’ menyedari bahawa orang Iran “melancarkan misil dengan harapan untuk menakutkan seluruh dunia. Matlamat Iran hanyalah untuk mencipta masalah. Tak disangkal ada yang tidak stabil tentang mereka.” Dia mengakhiri kegeramannya dengan keluhan dan berkata: “Semoga Tuhan menghindari kami dari menjadi mangsa kepada syaitan mereka.”

Walaupun Raja Abdullah dan Sheikh Bin Zayed mungkin merupakan penentang keras ketika berbicara perihal Iran di dalam perbincangan tertutup, mereka tidak membuat apa-apa pernyataan seumpama itu di depan khalayak umum. Perkara sama dengan pemimpin-pemimpin Arab lain. Jordan misalnya skeptikal dengan usaha Amerika untuk fokus kepada dialog berbanding dengan mengambil tindakan keras dari awal. Tetapi mereka juga tidak menyatakan suara itu dengan lantang kepada umum. “Ketika kerajaan Jordan tanpa ragu-ragu akan menyokong Amerika untuk meningkatkan tekanan ke atas Iran, ia mungkin akan mengelak untuk memikul peranan dalam topik itu,” tulis sebuah laporan kedutaan bertarikh 3 Februari 2010.

Amerika berulang kali mencuba untuk meyakinkan sekutunya agar menyuarakan ketidaksenangan mereka secara terbuka. “Arab Saudi sepatutnya mengamalkan kepimpinan dengan negara-negara jiran di rantau itu sekali gus menyatakan pendirian mereka secara terbuka berkaitan Iran yang tetap berkeras untuk memiliki keupayaan membangun senjata nuklear dan menyahstabilkan aktiviti-aktiviti di rantau itu,” menurut antara laporan kabel.

Arab juga lebih senang untuk mendiamkan diri dalam perkara lain. Dokumen Amerika memberi petunjuk bahawa hubungan antara negara Arab dan Israel adalah lebih signifikan dan intens berbanding pengakuan mereka. Sebaliknya, ketakutan keperluan berdepan dengan Iran telah mewujudkan persamaan antara negara-negara berseteru itu.

Yakov Hadas, Timbalan Pengarah Kementerian Luar Israel menyatakan bahawa Negara Arab Teluk lebih selesa jika Israel yang menyampaikan keresahan mereka itu kepada Amerika kerana mereka merasakan cara itu lebih berkesan. “Mereka percaya Israel boleh melakukan magik dalam perkara ini,” kata Hadas.

Pilihan Israel

Nentanyahu memberitahu Amerika bahawa program nuklear Iran menyebabkan ancaman yang lebih besar berbanding krisis misil Cuba dulu. Dia beserta ahli-ahli politik Israel lain berulangkali menyatakan jika Iran memiliki senjata nuclear, ia akan menamatkan segala proses keamanan di Timur Tengah.

Kepimpinan Israel menolak dialog dengan Tehran dari awal. Bagaimanapun, mereka menyokong ‘sekatan melumpuhkan’ dari resolusi bentuk baru yang diusulkan oleh Suruhanjaya Keselamatan PBB. Di dalam satu perbualan, Nentanyahu berkata adalah penting untuk menamatkan import petrol Iran dan pada masa sama mengukuhkan pembangkang di Iran dengan cara mempromosi untuk menarik balik sekatan dan sekali gus meluaskan capaian internet di negara itu.

Nentanyahu menyokong peralihan regim dan revolusi dari dalam, dengan matlamat untuk menumbangkan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dahulu dan seterusnya keseluruhan regim, itu yang dinyatakan Nentanyahu pada 2007, ketika dia masih lagi ketua pembangkang Israel.

Israel menghitung waktu yang mereka percaya masih berbaki sebelum Iran berjaya memiliki bom – dua tahun, setahun, enam bulan – sehinggalah akhirnya, pada Disember 2009, dia mengatakan Iran waktu itu sudah berkemampuan untuk membangunkan bom. Tetapi Amerika tidak pasti sama ada untuk mempercayai Israel dalam hal ini. “Kurang jelas sama ada pihak Israel benar-benar yakin perkara ini atau pun mereka sedang mempertimbangkan perkara terburuk yang boleh berlaku untuk meningkatkan ketergesaan Amerika agar menilai situasi dengan serius,” seperti yang terkandung dari laporan kabel kedutaan.

Sama ada itu merupakan senario realistik atau semata-mata percubaan untuk meramal, ia bukan lagi rahsia bagi pihak Israel bahawa mereka sedang bersiap untuk menyerang kemudahan nuklear Iran. “Semua pilihan ada di atas meja” adalah terma yang kerap digunakan Amerika dan Israel, termasuk dalam situasi Iran. Di dalam apa keadaan, Amerika memandang serius ancaman Israel itu. Dokumen yang ada mengesahkan Amerika bersedia untuk membuat penghantaran baru bagi ‘peledak bilik kebal’ GBU-28 kepada Israel pada November 2009. Memandangkan adalah jelas bahawa tujuan senjata berkenaan adalah untuk memusnahkan kemudahan nuclear bawah tanah, Amerika dan Israel merahsiakan penghantaran itu, bagi mengelakkan tuduhan bahawa Amerika membantu kelengkapan senjata Israel untuk serangan itu, jika ada.

Satu daripada langkah penting yang diambil untuk menyokong serangan Israel, Amerika dan sekutunya berjaya menyekat Iran daripada menerima misil darat-ke-udara S-300 Rusia, yang boleh digunakan untuk melindungi kemudahan nuclear mereka dan mematahkan serangan udara Israel.

Sebuah laporan menyebut duta Amerika ke UAE pada Februari 2009 menunjukkan betapa pentingnya misil S-300 berkenaan. Ketua Staf angkatan tentera Emiriyah memanggil duta untuk perjumpaan tergempar, yang mana dia meminta dibekalkan dengan lima misil American Patriot dalam kadar segera. “Berikutan daripada perjumpaan itu, ketua staf berkenaan menyatakan: ‘Saya perlu berterus-terang dengan anda, ada perubahan di rantau ini yang meresahkan kami…’ Bila ditanya kejadian apa yang mungkin menyebabkan serangan oleh Israel, ketua staf berkenaan merasakan bahawa penghantaran S-300 itu mungkin akan menjadi permulaan malapetaka. Staf itu berkata: ‘Saya tidak mempercayai Rusia, saya tak pernah mempercayai Rusia dan Iran.’ ” Ketua staf itu rupa-rupanya khuatirkan serangan Israel hampir berlaku, kerana dia percaya Israel akan menyerang sebelum S-300 tiba di Iran dan sebelum ia sempat dipasang.

Pada 2009, Presiden Obama melakukan permintaan peribadi kepada Rusia agar tidak menghantar misil yang ditempah oleh Iran. Pada Februari 2009, laporan kedutaan Amerika di Moskow menunjukkan, menghalang Iran daripada memperoleh S-300 adalah keutamaan pentadbiran baru ketika itu. “Untuk kebaikan atau keburukan, penghantaran S-300 menjadi barometer kepada hubungan bi-lateral kami,” jelas laporan berkenaan.

Pada Februari 2010, Jabatan Negara Amerika turut meminta Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu dan Jordan untuk mengarahkan kedutaan mereka di Moskow agar memohon kepada Rusia. Balasan Arab Saudi kepada Rusia agar mereka membatalkan penghantaran misil kepada Iran dilakukan dengan tawaran yang lebih baik: Riyadh membeli misil defensif bernilai $2 billion daripada Rusia.

Sudah tentu, Nentanyahu turut memainkan peranan ketika itu, dengan memberikan kepada Rusia senarai saintis Rusia yang membantu dalam program nuklear Iran, satu bentuk tikam-belakang diplomatik. Diplomat meramalkan bahawa Israel mempunyai potensi pendedahan lain dalam genggaman mereka yang hanya akan meningkatkan lagi tekanan terhadap Rusia.

Dalam tempoh waktu sama, ketika dokumen kerajaan diperolehi SPIEGEL menemui penamatnya, perjanjian S-300 sudah dibatalkan. Juga, pada September 2010, Presiden Rusia Dmitry Medvedev menandatangani perjanjian menolak sebarang jualan kepada Iran.

Penghujung Kesabaran

Sementara itu, usaha Amerika untuk dialog dengan regim mullah di Iran masih tidak berhasil. Pihak Intel Domestik Rusia, FSB melaporkan Iran masih berusaha untuk membeli kelengkapan Rusia bagi tujuan misil dan program nuklearnya: alatan pengukur, amplifier berketepatan tinggi, penunjuk tekanan, beberapa bahan komposit dan teknologi untuk mencipta enjin misil baru. FSB mengekang kebanyakan usaha ini. Ada syarikat Iran turut cuba untuk membeli peralatan-peralatan tersebut daripada China, Jerman dan Switzerland.

Tarikh akhir bagi rundingan telah tamat. Dan Perdana Menteri Qatar, Jassem al-Thani mendakwa Presiden Ahmadinejad telah mengancam bahawa: “Kami telah menewaskan Amerika di Iraq. Pertempuran terakhir adalah di Iran.”

Perbualan antara Senator Amerika John Kerry dan Emir Qatar menekankan tentang kesukaran berunding dengan Iran. “Senator Kerry menyatakan bahawa setiap komunikasi pentadbiran baru Amerika dengan Iran menemui jalan buntu dan tidak berbalas. Ada juga inisiatif pihak lain. Sekali lagi, tidak berjaya.” Dia mengatakan perlunya mencari cara untuk bertemu dan berbincang dengan Pemimpin Spiritual Iran, Ayatollah Khamenei sendiri. Emir itu membidas: “Apa kata jika saya bercakap dengan Presiden Iran, apa yang anda mahu saya sampaikan?” Kerry menyatakan: “Amerika hasratkan siri perbincangan serius dan ingin mencapai kesepakatan baru terhadap hubungan berdasarkan pendekatan non-konfrontasi Iran dengan peraturan IAEA dan kepentingan-kepentingan lain.”

Amerika, adikuasa dunia, gagal untuk mendapatkan pemimpin Iran di talian telefon. Semakin jelas bahawa tempoh waktu untuk bersabar kini tiba di penghujung – berdasarkan perkembangan daripada dokumen kedutaan.

Pernyataan yang sama kedengaran diulang-ulang: “Amerika tidak akan bertolak ansur dengan nuklear Iran.” Dalam beberapa hal,, kenyataan itu berbunyi seperti ancaman langsung, seperti yang diketahui berlaku ketika perbualan duta Amerika di Kuwait dengan anak Perdana Menterinya.

“Duta berkenaan menekankan bahawa tangan Presiden masih menyebelahi Iran, tetapi di waktu yang lain, Iran tetap akan menerima balasan keangkuhan mereka. Apatah lagi Presiden sedang meneliti situtasi dengan perincian yang halus dengan mereka yang menunggu untuk memulakan tindakan yang kami harap dapat dihindarkan.”

“Dr. Ahmad (anak Perdana Menteri) menerima pandangan duta dan memaklumkan bahawa setahun dua sebelum itu, ramai rakyat Kuwait mengharapkan serangan diam-diam dilakukan dan memusnahkan rekator yang banyak menimbulkan keresahan itu dan menjadikan rantau ini lebih tenang. Dia mencadangkan bahawa kini, walau apa pun penilaian Barat, Iran akan tetap ingin mencapai matlamat bom nuklear mereka.”

Dan bagaimana pula untuk menafsirkan komen daripada Setiausaha Pertahanan Amerika, Robert Gates yang dikeluarkan kepada Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan: “Jika Iran membangunkan senjata nuklear, kita bakal menghadapi dua senario; penyebaran nuklear di Timur Tengah atau peperangan serantau (atau mungkin kedua-duanya).”

Atau seperti yang disuarakan Pembantu Setiausaha Pertahanan Amerika, Alexander Vershbow di Moskow: “Jika kita gagal untuk mengekang Iran daripada mendapatkan senjata nuklear, kita berkemungkinan akan berdepan dengan kemungkinan situasi pergolakan melibatkan bahan letupan di Timur Tengah.”

Bila saja ada maklumat terbaru tentang program nuklear Iran atau bersidangan mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan berlangsung, Jabatan Negara Amerika akan menghantar mesej kabel “Tindakan Diperlukan” ke semua kedutaannya. Melalui kabel, duta diarahkan untuk menggesa Negara penganjur mesyarat berkenaan untuk meningkatkan tekanan dengan mengeluarkan kenyataan mengecam Iran.

Pada 21 November 2009, sekali lagi kemungkinan itu berlaku. “Duta-duta perlu mengemukakan asas kepada tindakan akan datang sebagai respon kepada Iran jika mereka enggan memberi kerjasama.” Di dalam kabel pada 29 Januari 2010, Jabatan Negara mengarahkan duta-duta mereka untuk menjelaskan mengapa pendekatanlebih keras ke atas Iran adalah perlu.

Ketika ini, jiran-jiran negaraArab telah mula menyatakan persetujuan mereka untuk mengenakan sekatan kepada Iran. Sheikh Abdullah bin Zayed, Menteri Luar Emirates, meminta Amerika dan sekutunya “memutuskan bagaimana caranya untuk menyekat Iran.” Saudi yang mengambil sikap berdiam diri juga menyatakan mereka yakin Iran memang merancang untuk membangunkan senjata nuclear.

Laporan persediaan lawatan ke Arab Saudi oleh Setiausaha Negara, Hillary Clinton menyebut: “Raja memaklumkan kepada Jeneral Jones bahawa pergolakan dalaman Iran memberi ruang untuk melemahkan regim berkenaan – dan dia menggalakkan perkara itu – tetapi turut mahukannya dilakukan secara berselindung serta menekankan bahawa kenyataan umum untuk menyatakan sokongan terhadap tindakan itu adalah tidak produktif. Raja menilai bahawa sekatan mampu melemahkan kerajaan, hanya jika sekatan itu kuat dan dilakukan dalam jangka masa panjang.” Ketika ini, Amerika sedang menekan semua negara di rantau itu untuk menyokong sekatan, dan kebanyakan mereka memang bersetuju. Qatar merujuk Iran sebagai: “Walaupun kami berjiran, kami tidak bersahabat.”

Tekanan turut dikenakan ke atas Eropah, yang berulang kali diminta untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat yang spesifik. Amerika turut menggesa kerajaan Jerman agar tidak lagi mengeluarkan jaminan Hermes kepada urusniaga dengan Iran. Syarikat minyak Itali, ENI pula, yang aktif di Iran diminta supaya keluar dari negara terbabit. Bagaimanapun, pihak Itali enggan menuruti.

Nada daripada kabel rahsia semakin tajam. Salah satu kabel misalnya, yang dihantar apabila Perdana Menteri Turki telah mengetepikan keresahan Barat terhadap Iran, Amerika melaporkan: “Hasratnya untuk lawatan Washington ‘yang baik’ adalah gesaan yang akan terus kami gunakan untuk cuba membuat dia bersetuju dengan konsensus antarabangsa menentang Iran.” Tetapi itu tidak berhasil. Turki menolak sekatan baru.

Dua negara menjadi tumpuan dalam isu ini; Rusia dan China. Amerika memerlukan undi kedua-duanya untuk meluluskan sekatan dalam Majlis Keselamatan.

Antara perkara lain yang mengejutkan daripada laporan-laporan kabel ini adalah bahawa Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi memainkan peranan penting dalam meyakinkan Rusia dan China. Walaupun kedua-duanya mengekalkan sikap berdiam diri, mereka senyap-senyap membantu menghalang hubungan perdagangan China dan Iran, yang semuanya bernilai $20 billion pada 2009. China merupakan pembeli utama minyak Iran.

Julai lalu, putera raja Abu Dhabi bertandang ke Beijing dan menggesa China untuk mengancam Iran dengan cara mengugut bahawa mereka akan mengurangkan import minyak Iran. Arab Saudi menawarkan penjualan minyak mereka sebagai ganti. China kelihatan berminat, dan Menteri Luar mereka meneruskan rundingan dengan Saudi Aramco, syarikat minyak milik negara Saudi dan menjalin hubungan perdagangan baru. “Arab Saudi menggalakkan negara Teluk lain untuk bertemu dengan China untuk menjalin kerjasama seperti itu,” jelas laporan Januari 2010.

Di Moskow, soalnya adalah  wang dan psikologi: “Kejayaan mendapatkan sokongan Rusia untuk mengenakan sekatan keras terhadap Iran memerlukan koordinasi strategi yang melibatkan sekutu dan rakan, termasuk Israel dan Saudi.” Matlamatnya adalah untuk mendapat persetujuan Rusia. Kepentingan kewangan Rusia adalah perkara yang menjauhkan dan memanjangkan konflik dengan Iran tentunya. Analisa dalaman daripada kedutaan Amerika di Moskow melaporkan: “Pengeksport minyak dan gas terbesar dunia, Rusia juga mendapat manfaat daripada ‘ketidakstabilan premium’ yang dicetuskan pasaran harga minyak dunia yang berpunca daripada ketegangan dengan Iran.” ‘Premium’ $5 untuk setiap tong jika diterjemahkan akan menghasilkan peningkatan $9 billion pendapatan eksport minyak tahunan Moskow.

Sebesar manakah ancaman?

Akhir sekali, soalan yang tinggal ialah: sebesar manakah ancaman yang berpunca dari Iran kepada seluruh dunia? Kenyataan dari dokumen kedutaan menunjukkan bahawa semua pemain utama – Amerika, Eropah, Israel, Arab dan Rusia – yakin bahawa Iran sedang mengalihkan program nuklearnya untuk tujuan ketenteraan. Bagaimanapun, tiada konsensus kepada soalan sama ada Iran berkeupayaan membangunakan bom nuklear, atau sama ada mereka benar-benar berhasrat untuk membangunkannya.

Diplomat-diplomat Amerika sering menemukan analisa baru yang menyokong pandangan bahawa Iran kekurangan kemampuan teknikal untuk membangunkan misil jarak jauh, dan itu tidak akan berubah untuk beberapa tahun ini. Dengan itu, serangan misil nuklear kepada Eropah, Rusia atau Amerika boleh jadi tidak realistik.

Bahkan di Israel, tidak semua orang yakin yang pembangunan bom atom di Iran boleh dilakukan. Ketika pertemuan antara Amerika dan Israel pada Mei 2009, Amos Yadlin, Ketua Intel Militari Israel mengatakan “Iran tidak ingin menjadi Korea Utara atau Iraq seperti yang berlaku pada 2003 dahulu.” Iran berhasrat untuk mengekalkan resolusi dan sekadar pada tahap ‘yang boleh diuruskan’ dan menyambung untuk menghasilkan ‘low enriched uranium’ sehingga ia cukup untuk beberapa bom. Kemudian, jelasnya lagi, “Iran boleh memutuskan untuk menghasilkan bom pada 2010, tetapi mereka menunggu untuk waktu yang lebih tepat pada masa akan datang.”

– Diterjemah oleh Hafiz Hamzah daripada artikel di Spiegel Online.

Abu Dhabi Amerika Arab Emiriyah Arab Hillary Clinton Hosni Mubarak Iran Israel John Kerry Jordan Nuklear politik SPIEGEL Washington Wikileaks

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan