Tajuk: Mengusir Matahri
Penulis: Kuntowijoyo
Penerbit: Pustaka Hidayah (1999) dan Tiara Wacana (2010)

Telah satu dekad berlalu tetapi ianya masih relevan sehingga saat anda membacanya sekarang. Buku ini yang ditulis semasa pentadbiran Presiden BJ Habibie merupakan reaksi terhadap gelombang reformasi di Indonesia dalam menumbangkan kekuasaan Orde Baru Suharto. Malah gelombang reformasi di Indonesia sedikit sebanyak mempengaruhi reformasi politik di Malaysia.

Kisah-kisah yang diceritakan yang diceritakan adalah manifestasi dari realiti yang sedang berlaku dan telahpun berlaku setiap hari. Seolah-olah anda dibawa berada di zaman Raja Sulaiman moden. Persoalan demokrasi, pencerahan politik, salah guna kuasa, kekayaan yang terhimpun, kedayusan sistem, kemelaratan rakyat dan kesombongan pemimpin yang sehingga saat ini masih berlaku di depan mata kita seperti yang telah digambarkan dalam ‘Sajak-sajak Seekor Kucing’.

Himpunan kisah-kisah ini dirangkulkan bersama dan diberi nama Mengusir Matahari oleh penulisnya Kuntowijoyo. Sebuah koleksi fabel-fabel politik terbitan Pustaka Hidayah tahun 1999 (edisi tahun 2010 terbitan Penerbit Tiara Wacana). Ia adalah cerminan alam manusia ke alam haiwan. Malah makhluk jin juga sesekali diajak berlakon di pentas ini. Buku ini bukan cuba untuk memanusiakan haiwan ataupun sebaliknya tetapi saling bertemu di persimpangan jalan kemudian bertelingkah. Manusia telah masuk ke alam haiwan dan haiwan telah masuk ke alam manusia. Maing-masing berkonfrontasi antara satu sama lain, bersaing, untuk menang, jadi kaya.dan berkuasa.

Buku ini antara lain memaparkan kisah sedih masyarakat kambing. Kisahnya lebih kurang begini; Semakin negeri-negeri kambing menghadapi masalah pentadbiran, kesihatan dan serangan dari negeri serigala, mereka bersetuju melantik gajah sebagai raja untuk memerintah. Pemerintahan raja gajah tidak seperti yang diharapkan. Semakin lama, semakin negeri kambing ini jadi kacau bilau. Masyarakat kambing tak mampu untuk melawan rajanya si gajah. Mereka jadi buntu, berputus asa kemudian berpindah ke negeri lain. Negeri kambing jadi kosong dan rajanya sang gajah memerintah sehingga ke penghujung usia.

Mengusir Matahari penuh dengan humor. Padat dengan mesej-mesej tersirat maupun tersurat. Kesemua 89 karya yang ditulis oleh Kuntowijoyo dihidangkan kepada pembaca dengan baik dan penuh sinikal. Penulisannya tidak ke kiri maupun ke kanan. Tetapi antara keduanya saling berlumba. Masing-masing adalah benar. Mungkin. Buku ini sarat dengan saranan-saranan ‘moral’ baik untuk pemimpin maupun untuk yang dipimpin. Kebanyakan kisah yang diceritakan merupakan kisah benar yang berlaku semasa dan pasca reformasi di Indonesia. Sejarah ini bukan ditokok tambah tetapi diberi nafas baru agar lebih menghiburkan dan sesuai untuk tontonan umum barangkali.

Dalam kisah ‘Demokrasi Gajah, Demokrasi Kuda dan Demokrasi Anjing’ anda dihidangkan dengan sebuah kisah seorang ayah yang mengajar anaknya mengenai demokrasi. “Ayah…apa erti demokrasi?”. Lalu jawab ayahnya “itu tontonan untuk 17 tahun ke atas tahu!”. Mereka ke sarkas dan melihat gajah membuat pertunjukan dengan dipalu seorang pelatih. Kata bapa kepada anak, inilah demokrasi gajah. Kemudian selepas itu si ayah membawa anaknya ke markas Polis berkuda. Kuda itu dikendalikan dengan sangat baik. Polis itu mengatakan bahawa kuda adalah seperti manusia, kalau baik kepadanya, dia akan baik kepada kita. Ayah berkata inilah demokrasi kuda. Hari berikutnya si ayah membawa anaknya keluar bersiar-siar dan bertemu dengan seorang tua pemilik anjing yang sedang bersiar-siar. “Anjing itu milikmu..?” Si ayah menegur orang tua trsebut. Orang tua itu berkata bahawa secara rasminya memang miliknya tetapi hakikatnya, dia yang dimiliki oleh anjing peliharaannya. Ini kerana, kalau tak dibawa keluar bersiar-siar, mereka akan memberontak, kencing di sofa dan membuat bising. Kata ayah; Anjing menjadi bos. Sewenang-wenang mahu menang sendiri. “Fasis! Diktator! Komunis!” kata anak. Dalam humor sinikal ini anda dibawa jauh untuk berfikir mengenai memiliki demokrasi atau demokrasi untuk pilihan.

Himpunan kisah-kisah ini berkisar langsung dengan zaman pemerintahan Suharto dan kebangkitan mahasiswa Indonesia serta rakyat yang membawa obor reformasi. Dari sekecil-kecil isu ke sebesar-besar perkara. Ia meliputi ruang dan melangkau zaman. Keutamaan diberi kepada sistem dan pengatur sistem. Terlalu banyak kisah-kisah ‘dongeng’ dalam Mengusir Matahari yang boleh dijadikan kayu ukur kepada isu setempat dan pemahaman masyarakat terhadap sesuatu pembaharuan.

Catatan  ‘Manusia versus Buaya’ akan membawa anda untuk menjunjung hak buaya. Dalam ertikata lain, buaya juga berhak memakan kambing ternakan manusia sebab manusia telah mencabul hak-hak buaya yang mengganggu habitat mereka. Di sini, menghormati hak ini juga disebut ‘demokrasi’. Maka berkumpullah orang kampung dan pawang setelah semakin banyak ternakan kambing dimakan. Pawang telah membuat perjanjian dengan pihak buaya tetapi malangnya ia telah dilanggar oleh pihak buaya itu sendiri lalu orang kampung bermesyuarat agar senapang dibekalkan tetapi pihak berkuasa tidak membenarkannya. “Ini urusan polis” lalu orang kampung mengajukan hal ini kepada pihak polis. Pihak polis perkata, ini urusan tentera. Maka yang berlaku saling meletakkan tanggungjawab kepada orang lain. Buaya ini urusan polis atau tentera atau urusan demokrasi? Di mana kita?

Struktur penceritaan oleh Kuntowijoyo santai dan mudah dihadam. Kata-katanya disulam dengan renungan mendalam. Ia mengajarkan mengenai hak dan demokrasi. Jika kita meletakkan buku ini sebagai bibit-bibit pencerahan; bagi saya ia bukan sekadar pencerahan tetapi ‘seni pencerahan’. Pandangan Kuntowijoyo selari dengan usia dan zamannya. Kritis terhadap sistem, budaya dan masyarakat. Ia memaparkan kisah suka duka manusia bergelut dengan politik. Kisah ‘Kancil Mabuk‘ umpamanya merupakan manifestasi keberadaan kita. Realiti untuk kita berfikir secara dalam tapi santai.

Kuntowijoyo dalam Mengusir Matahari telah berjaya meniupkan sebuah semangat “Ayuh berubah…! Jangan jadi bodoh…!” dan pembaca pasti terhipnotis dengan gaya bahasa humor sinikalnya. Kuntowijoyo telah menyimpulkan dengan mudah bahawa kalau di alam haiwan punya predator natural., di alam manusia punya predator struktural. Jadi sebelum terlambat. Jadilah apa-apapun. Besi berani umpamanya!

Hafiz Zainuddin, merupakan salah seorang penulis dalam zine-zine terbitan Gudang Garam -Fragran Frantik. Juga pemenang saguhati tempat ke-4 Pertandingan menulis artikel sempena ulangtahun MBSA ke 10.

demokrasi Hafiz Zainuddin Indonesia Kuntowijoyo politik ulasan buku

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan