Kerana apa seorang manusia itu mulia? Apakah karena mengisytihar akan dirinya dengan gelar yang sampai mendebarkan jantung… termasuk “tuan”? Tidakkah semua itu kemudiannya menuju kepentingan politik-kekuasaan? Juga tanggung akan sumber-sumber kekayaan negeri?

Saya tak fikir, akan ada jalan mudah untuk sebuah ke-mulia-an, dicapai. Jejak itu pula tak singkat.

Dalam sebuah filem dekad 60-an, “Seri Mersing” (disutradarai [Allahyarham] Salleh Ghani), umum mereka yang pernah menonton selalu ingat watak “Pak Malau”. Pelakon utamanya pula, Nordin Ahmad, yang kala saya di sekolah menengah sering mengulang-ulang sepotong pantun, dari Nordin, dari filem itu:

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu.

Di sana, ada semacam rasa rendah hati—tapi bukan tewas. Itu yang diajar. Tak ada angkuh. Tak perlu mendakwa diri, yang berkelana ke sebuah tempat—meski di negeri sendiri, iaitu dari Pahang ke Johor—konon, “aku tetap tuan”. Di sana juga timbul kesedaran yang lebih besar betapa untuk jadi mulia, bukan sewenang-wenang mendakwa akan diri sendiri sebagai “tuan”. Sampai melanggar adat. Memutar-belit kebenaran.

Lalu?

Persoalannya seakan sama ~ kerana apa sesuatu bangsa itu terpandang mulia, terhormat, bahkan menjadi agung?

Parti politik dan rejim yang ada, tak punya stamina untuk membicara soal “Ketuanan Melayu”, walau diseret titah beberapa Sultan dan Raja-raja Melayu sebagai tajuk utama media perdana. Diskusi di media pun tak lebih daripada hanya dua minggu.

Selepas itu, tukar cerita. Berbalik kepada niat asal, memfitnah seorang-dua individu yang tidak secocok dengan aliran politik perdana.

Perihal “Ketuanan Melayu” tercetus menggelegak kala mana Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyampaikan Ucapan Dasar dalam Kongres Nasional Keadilan 2010. Di Petaling Jaya. Sewajarnya polemik yang tercetus itu dibicara bukan sekadar oleh orang politik yang bertarung untuk mencapai kuasa, tapi juga oleh cendekiawan, budayawan, ahli akademik dan segala sarjana.

Tapi malang. Ucapan Azizah itu pun tidak disemak segala menyeluruh termasuk oleh pehak yang menyarankan Azizah ditangkap di bawah ISA. Ucapan Azizah dipotong, diracik-racik malahan dicabut daripada konteks bagi menujukkan bagaimana ‘tersasarnya’ parti yang dipimpin Wan Azizah. Iaitu Keadilan. Persepsi yang mahu diwujudkan mudah dijangka, iaitu, orang Melayu harus percaya bahawa Keadilan mengkhianati perjuangan dan kepentingan Melayu, demi meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

Ini politik, bukan hanya baru sedekad, tapi, sudah puluhan tahun menjadi strategi rejim. Ringkas sahaja, bagaimana parti oposisi yang pernah lahir seperti Parti Melayu Semangat 46 dahulu pun terjebak dalam skrip politik sebegini. Hanya, akhir-akhir ini, mantan pemimpin S46, Tengku Razaleigh Hamzah mahu bersenandung dengan nada “liberal”. Bukan sangat feudal.

Dari sudut itu, saya tidak fikir Tengku Razaleigh dapat menebus masa lalunya…

Selalu-selalulah saya ulang, penyakit yang sampai lahirnya slogan “Ketuanan Melayu” ini adalah penyakit menjalar di era Dr Mahathir Mohammad. Selalu-selalulah saya menyebutnya sebagai “Mahathirisme”—sehingga, di kalangan orang yang menentang parti politik dan rejim yang ada sekarang sekalipun, masih dengan acuan pemikiran yang sama.

Iman “Mahathirisme” ada kuasa. Dengan kuasa, maka keuntungan dapat dicipta. Dengan mudah. Kuasa, sepanjang Perdana Menteri ke-4 itu berkuasa, kuasa-adalah-perniagaan. Tidak lebih dari itu. Segala pembangunan, meski milik negara dan harus berpaksa kepada rakyat, harus terlebih dahulu beri keuntungan kepada dirinya. Iaitu sebagai seorang orang politik. Sebagai pemimpin, kononnya.

Dengan latar pentas politik yang ini jugalah, maka politik dan slogan “Ketuanan Melayu” itu sesungguhnya tak lagi sesuai untuk Malaysia, dan, untuk bangsa Melayu itu sendiri sekalipun. Maka, perlu direntas jalan lain, yang mana akhirnya kelak akan memberi keuntungan dan nikmat yang lebih kepada orang Melayu—daripada hanya dikhayalkan akan dirinya tuan, tetapi kekayaannya dirompak.

Untuk merempuh dinding slogan “Ketuanan Melayu” ini, dipasang dua tembok besar. Satu, Perlembagaan—walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan, sama sekali tak ada istilah “Ketuanan Melayu”. Kedua, temboknya adalah “pagar istana.”

Apakah Azizah durhaka? Apakah orang dan anak-anak muda yang sedar bahawa slogan “Ketuanan Melayu” itu sebenarnya sekian lama merugikan seluruhnya orang Melayu, adalah generasi yang tak sedar diri? Tak tahu sejarah?

Hendaknya dibentang, berapa banyaknya kaum dan suku kaum di Nusantara, yang dahulunya menyembah sultan-sultan masing-masing, tapi kemudiannya istana lama kesultanan itu lenyap. Apakah kaum itu turut binasa. Apakah orang Jawa, orang Pasai dan orang Banjar, apakah orang Acheh, orang Solo dan Melayu Siam, yang lenyap sultan dan raja-raja masing-masing, turut binasa keluarga kaum dan suku kaum ini.

Ternyata tidak.

Apakah, bahkan orang negeri Melaka, negeri yang paling gah dengan era kegemilangan kesultanannya, apabila tersingkir oleh Inggeris, mati seluruh penduduk Melayu Melaka? Juga tidak!

Soal kedudukan Sultan dan Raja-raja Melayu adalah perkara yang sudah termeterai dalam Perlembagaan. Takkan dapat terubah-ubah. Sama seperti soal bahasa Melayu dan ugama Islam sebagai “ugama Persekutuan”, yang bukan sahaja tak terubah-ubah, tetapi bukan menjadi teras perjuangan perubahan.

Teras Reformasi, tak lain adalah untuk menggantikan rejim, parti dan pemerintah yang ada sekarang, kepada parti dan pemerintah yang baharu. Membuang segala karat dan keruh dalam sistem yang sudah bersarang lama—membebaskan media, membersihkan badan kehakiman, menghapus rasuah, memberikan keadilan ekonomi untuk sekian wilayah dan kaum-kaum yang ada dalam negara.

Itu agendanya.

Tatkala agenda ini sedang berarus, yang terpekik adalah segelintir yang punya kepentingan. Mereka takkan terpekik dengan menyatakan bahawa mereka sudah berada di hujung kuasa, tetapi laungan mereka buat sekian kalinya berpaut kepada sentimen.

Sebelum kaum feudal dan elit ini tumpas dalam proses demokrasi, mereka sesungguhnya sudah tumpas dahulu dalam proses memberi makna. Buat pertama kalinya, tafsiran “Melayu” itu bukan berada di tangan pemerintah, tetapi kembali ke tangan umat Melayu itu sendiri. Di saat itulah, mereka sudah tumpas dan hilang kuasa.

Sebelum secara rasminya, hanya menunggu ketika.

Acheh Banjar Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail Dr Mahathir Mohammad Jawa Kongres Nasional Keadilan 2010 Mahathirisme Melayu Siam Nordin Ahmad Parti Melayu Semangat 46 Pasai Salleh Ghani Seri Mersing Solo Tengku Razaleigh

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. 14 Januari 1994 saya bertemu dengan saudaraku ini .. lantas seminggu lepas itu di auditorium KSSR pantun kajang pak malau ini saya dengar diiringi pantun

    Kelip-kelip kusangka api
    Kalau api mana puntungnya
    Pejam celik kusangka mati
    Kalau mati mana kuburnya

    Cukup sebentar masa berlalu . hari ini saudaraku ini jiwanya lebih besar daripada semasa bersama menghasilkan teater BELA ..