Kebebasan Politik dan Demokrasi Liberal dalam Dunia Islam

oleh
18 November, 2010 | kategori Esei | komen [1] | Cetak | kongsi  

Biar saya mulakan dengan mengungkap penyair dan filasuf Muhammad Iqbal, seorang tokoh tersohor dalam lapangan yang bakal kita terokai pada petang ini, seorang tokoh penghubung di atas jurang yang dikatakan memisah Timur dan Barat, antara Islam di satu sisi, serta kebebasan dan demokrasi di sisi yang lain.

Dalam jawapan puitis beliau kepada Barat menerusi karyanya Payam-i-Mashriq, Iqbal merangka pertembungan tajalli di antara Jalaluddin al-Rumi dan Johann Wolfgang von Goethe – bukan di bumi, tetapi di syurga. Dengan memetik Faust, karya magnum opus beliau, Goethe meyakinkan Rumi bahawa di sini wujud satu jiwa tercerahkan yang memahami Misteri Agung. Kita sedia maklum bahawa Payam-i-Mashriq itu sendiri sangat terinspirasi dari karya Goethe yang berjudul West-östlicher Diwan (West-Eastern Divan) yang mana turut terinspirasi dari karya sarjana ghazal Parsi sekitar abad ke-14 iaitu Hafiz Shirazi. “Ad-Diwan Sharqi lil Mu’allif al-Gharbi,” ini adalah madah yang tercatat dalam naskah asal oleh Goethe sendiri pada halaman hadapan dan mungkin secara harfiah diterjemahkan sebagai “Divan Timur oleh Pengarang Barat.” Maka, di dalam suasana saling menghormati dan mengagumi, Barat bertemu Timur dan Timur bertemu Barat dan proses ini saling berterusan.

Namun demikian, hari ini, pertembungan tersebut kelihatan berada pada tahap yang sedikit berbeza. Ringkasnya, ia kelihatan sebegini: Barat cuba bertemu Timur dengan terlebih dahulu melempar beberapa butir bom; Timur pula mengucapkan terima kaseh sambil membalas dengan meledakkan beberapa peluru berpandu; Barat merasa marah dan membakar buku-buku ilmiah dan agama, dan Timur mengamuk dengan meletupkan bangunan-bangunan mereka.

Saya mohon maaf kerana menghuraikan situasi di atas secara bersahaja namun faktanya adalah bahawa wacana hari ini, jika dibandingkan dengan masa lalu telah dibutakan oleh kebencian dan salah faham sehingga menimbulkan antara lain “fobia kepada kebebasan dan demokrasi” pada satu sisi dan Islamofobia di sisi yang lain. Ini merangka satu tahap kepada pertembungan ideal dan nilai, antara kebebasan politik dan demokrasi di satu sisi dan Islam di sisi yang lain. Namun demikian, meskipun dengan peringatan awal dan laungan peperangan yang menggila, saya cukup yakin bahawa pertembungan ini lebih bersifat bayangan daripada realiti. Saya tidak mengatakan bahawa Islamofobia tidak wujud; ia sememangya nyata tetapi dibebani dengan kepalsuan dan didorong oleh pihak-pihak tak bertanggungjawab dari kedua-dua belah sisi yang terpecah. Hasilnya adalah bebelan stereotaip dan klisé tentang Islam.

Kini, disebabkan oleh tindakan yang berbeza dari pihak-pihak tertentu yang mendakwa melakukannya atas nama agama, kita menemukan diri kita di dalam situasi yang palsu tentang Islam: yakni ianya bersifat anti kebebasan, anti demokrasi, yang menggalakkan pembunuhan dan kekacauan, mempromosikan perpecahan dan eksklusiviti dan sebagainya.

Maka, marilah kita cuba untuk menjernihkan kabus yang telah menutupi wacana ini. Pertama, secara dasarnya tidak wujud perbezaan antara Islam dan demokrasi. Untuk mengatakan bahawa tidak mungkin negara-negara yang majoritinya Muslim mengamalkan demokrasi berperlembagan adalah seperti menafikan kenyataan. Mari kita mulai dengan Turki, contoh terbaik sebuah negara demokrasi liberal di mana majoriti penduduknya adalah Muslim. Mereka melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil, memiliki sistem kehakiman dan perundangan yang baik, menikmati kebebasan-kebebasan asas yang dipelihara oleh perlembagaan serta menjamin kebebasan media yang relatif. Anda tidak akan didakwa hanya kerana anda seorang pemimpin parti pembangkang dan polis tidak akan membelasah anda hanya kerana anda mengkritik kerajaan. Anda boleh menjalani urusan seharian anda tanpa wujud ketakutan bahawa pada bila-bila masa pihak penguasa mungkin akan menggeledah rumah anda dan memenjarakan anda tanpa bicara.

Referendum terkini oleh rakyat Turki yang menyokong pindaan perlembagaan asas termasuk menguatkuasakan tekanan terhadap peranan pihak tentera membuktikan bahawa demokrasi masih hidup dan segar. Para pengkritik mengatakan bahawa ini adalah kerana rakyat Turki telah memilih untuk meninggalkan amalan-amalan Islam. Namun demikian, kami mohon untuk berbeda pendapat. Kami melihatnya sebagai contoh klasik dari apa yang mampu dicapai oleh sebuah negara Muslim seandainya para pemimpin mereka tetap setia pada nilai-nilai teras siasah Islam: modernis, moderat, progresif serta toleran terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang sebagai prinsip urus tadbir. Dalam hal ini, pemimpin Muslim Turki yang diperkasa oleh prinsip demokrasi liberal, berdiri secara kontras dengan para otokrat dan diktator di beberapa negara Islam yang lain.

Indonesia adalah satu lagi contoh terbaik negara yang populasinya didominasi Muslim namun mengamalkan kebebasan politik dan demokrasi liberal. Semestinya mereka perlu melalui keseluruhan proses evolusi politik untuk mencapai tahap tersebut. Setelah memperolehi kemerdekaan daripada Belanda, mereka telah menguji ringkas akan demokrasi namun ianya tidak bertahan lama dan selepas Mei 1965, Indonesia berada di bawah kediktatoran Soeharto selama era yang disebut Orde Baru (Orba). Dan ini berlangsung sehingga tumbangnya Soeharto pada 1998 dan membuka lembaran baru era Reformasi. Kini, jika ingin memahami bagaimana subur dan baiknya demokrasi di Indonesia, kita hanya perlu menonton siaran televisyen dan pastinya kita akan dapati setiap hari akan ditayangkan forum-forum dan sesi perbincangan yang sangat kritikal terhadap parti pemerintah dan Presiden. Saya tidak menyatakan bahawa sistem ini adalah yang paling sempurna atau bahawa mereka telah mencapai demokrasi sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya sebahagian besar elemen penting struktur demokrasi yang segar berada di sini. Ini bertentangan dengan negara majoriti Muslim yang berjiran dengan Indonesia yang menampakkan perbedaan yang ketara. Dan ketiadaan demokrasi tulen di negara jiran itu, juga di negara-negara majoriti Muslim lainnya jika pun sedikit, tidak ada kaitan dengan Islam. Untuk saya, Islam mendapat nama buruk di sini lantaran tindakan para diktator, otokrat dan pseudo-demokrat ini.

Tetapi adakah kita menafikan bahawa wujud masalah dari segi asas-asas Islam? Adakah masalah pelampau, pengganas dan pengebom berani mati merupakan ciptaan imaginasi? Semestinya tidak. Ini merupakan isu kompleks namun hipotesis yang mengatakan bahawa pelbagai tindakan terkait dengan Islam adalah sekadar korelasi dan tidak mencerminkan punca sebenar. Faktor yang mempengaruhi hal ini harus dikaji dan tindakan wajar dilaksana bagi mengatasi kelompok ini seandainya kita ingin melihat sebarang resolusi terhadap permasalahan tersebut.

Berkenaan dakwaan oleh segelintir pihak bahawa kelompok fundamentalis yang memacu aktiviti politik di negara-negara Muslim tertentu; permasalahan ini sebetulnya sengaja dibesar-besarkan secara melampau. Sememangnya benar, bahawa ketegaran ideologi adalah tidak kondusif dalam mempromosikan demokrasi berperlembagaan. Ini kerana sebahagiannya adalah disebabkan oleh ketegaran yang melihat beberapa kelompok fundamentalis memetik apa yang disifatkan sebagai ayat-ayat dari kitab suci yang kononnya membenarkan tindakan keganasan atas nama jihad.

Walaubagaimanapun, kami tetap kekal menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk kekerasan dan keganasan berdasarkan kepada prinsip-prinsip kesederhanaan dan perlindungan ke atas nyawa, fizikal dan harta benda. Matlamat agama adalah jelas: jihad memerintahkan umat Islam supaya berbuat kebaikan dan mencegah kejahatan, menegakkan keadilan, menyeru kepada amalan murni dan amal kebajikan serta membantu yang lemah dan memerlukan. Ianya bukanlah teriakan peperangan, apalagi untuk membenarkan kekacauan dan pembunuhan. Di atas segalanya, jihad memerintahkan umat Islam supaya memelihara keamanan dan keharmonian serta menjaga kesucian hidup dan harta benda. Namun adalah menjadi kewajipan setiap reformis dan mereka yang progresif bagi membuktikan bahawa Islam adalah sebuah agama yang sesuai untuk sepanjang waktu. Modeniti bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Melakukan kekasaran atas nama agama adalah salah.

Bagi negara-negara yang masih statik dan tak mahu bertindak; kita menggesa mereka agar bersikap demokratik.

Saya menyeru di atas platform Islam itu sendiri. Kerana Islam memerintahkan mereka yang beriman supaya menegakkan kesaksamaan, keadilan dan kemuliaan insan; lantaran tekad untuk merangkul demokrasi berperlembagaan merupakan penegasan kembali terhadap prinsip-prinsip ini. Mesej kami terhadap tuntutan ini adalah konsisten: laksanakan pilihan raya yang bebas dan adil, pastikan pemisahan kuasa serta jaminan ke atas kebebasan awam termasuk membenarkan penyertaan sepenuhnya wanita dalam bidang politik. Kami juga menuntut supaya dihentikan pendakwaan yang berasaskan dendam, tangkapan yang bersifat sewenang-wenang, dan penggunaan jentera kerajaan untuk menyekat sebarang penentangan politik.

Berkaitan persoalan tentang proses pendemokrasian, saya menyeru kepada beberapa kuasa besar supaya menghentikan amalan double standard. Tidak perlulah memilih-milih sasaran kecaman. Pencabulan terhadap hak asasi manusia tetap merupakan satu pencabulan. Kita tidak boleh membenarkan sesetengah negara melakukan pencabulan ini tetapi kemudiannya negara lain yang menjadi sasaran kecaman. Diplomasi “anda beri saya ini, dan saya akan beri anda ini kembali” adalah baik dan berkesan dalam situasi tertentu tapi tidak bermakna seandainya ianya mengkhianati demokrasi dan kebebasan.

Kemunafikan ini wajar dihentikan melainkan jika kita ingin terus melihat masyarakat Muslim terus dibelenggu di bawah kediktatoran, otokrasi dan demokrasi palsu. Demokrasi palsu, seperti yang anda tahu kini merupakan satu bentuk kemarahan khususnya di Asia Tenggara. Ianya lebih berbahaya dan menimbulkan ancaman lebih besar terhadap kebebasan politik dan demokrasi berperlembagaan ketimbang kediktatoran dan otokrasi. Kediktatoran dan otokrasi sekurang-kurangnya dizahirkan secara jelas dan kita tahu bahawa ianya tidak boleh sesekali dikhayalkan sebagai demokrasi. Demokrasi palsu pula muncul dilengkapi dengan pelbagai jerat untuk memerangkap demokrasi. Kita tidak nampak atau dalam kes tertentu, kita berpura-pura tidak melihat penyamaran mereka yang membawa ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan korupsi.

Dengan keseluruhan jentera kerajaan yang mereka kuasai, mereka merompak dan menjarah kekayaan dan sumber negara, memenjarakan pembangkang tanpa perbicaraan, menafikan kebebasan akhbar dan menjadikan sistem kehakiman sebagai organ tak bertulang belakang yang mana kewujudannya sekadar menjadi perkakas bagi menjamin kelangsungan politik mereka. Namun, yang paling menjengkelkan adalah kenyataan bahawa pemimpin mereka masih tetap diiktiraf sebagai pemimpin kepada “dunia bebas dan demokratik”, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin-pemimpin dari negara yang mapan demokrasinya.

Justeru ini menimbulkan persoalan apakah wujud kemajuan yang nyata dalam reformasi politik di dunia Islam selain daripada Turki dan Indonesia. Beberapa negara bahkan di Timur Tengah tampaknya akan bergerak menuju demokrasi, namun retorik seringkali melampaui kenyataan. Namun demikian, marilah kita tidak dikelirukan tentang persoalan yang sebenar. Ianya bukanlah sama ada Islam dan demokrasi itu serasi ataupun tidak tetapi apakah para pemimpin di negara-negara Islam akan menegakkan kebebasan dan demokrasi. Juga bukan tentang persoalan tentang Timur yang berselisih dengan Barat. Jika boleh saya simpulkan dengan beberapa baris dari karya Iqbal yang berjudul Zarb-i-Kalim:

Tak usah berpaling dari Timur

Juga tak usah gentar terhadap Barat

Kerana hanya Alam yang menentukan

kau berpaling ke mana setiap malam

(di manapun kau berada)

Hingga pagi mencerah


Diterjemahkan oleh Najwan Halimi dari teks syarahan berjudul “Political Freedom and Liberal Democracy in the Islamic World” yang disampaikan oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, Anwar Ibrahim di German Council on Foreign Relations (DGAP) di Berlin pada 30 September 2010.

Najwan Halimi merupakan kolumnis laman JalanTelawi.com.


Tags: Anwar Ibrahim, Belanda, demokrasi, Faust, Indoensia, Islam, Jalaluddin al-Rumi, Johann Wolfgang von Goethe, Muhammad Iqbal, Payam-i-Mashriq, Soeharto, Turki
 

 

Satu komen
Tinggalkan komen »

  1. [...] [...]

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera