[singlepic id=96 w=255 h=88 float=left] Aku masih ingat, arwah Loloq pernah bertanya ( beliau merujuk kepada M.Nasir pada ketika itu ), “Antara Ahmad Nawab dengan dia, siapa lebih hebat? (lebih kurang begitu bunyinya). Aku cuma diam dengan soalan itu. Langsung dia sendiri yang menjawab “ M.Nasir-lah lebih hebat kerana lagu-lagunya lebih banyak yang popular dan dekat dengan masyarakat berbanding lagu-lagu Ahmad Nawab yang jumlahnya beribu-ribu itu”. Aku bersetuju kerana itu fakta yang betul–popular.

Baru-baru ini, Stesen ASTRO melancarkan satu program khas iaitu bulan P.Ramlee. Penuh dengan promosinya, tayangan filem siang dan malam, konsert dan biografi P.Ramlee. Dari kempen-kempen itu, seolah-olah aku rasakan P.Ramlee masih hidup atau mungkin terasa seperti aku telah dihantar kembali ke zaman Studio Jalan Ampas. Hebat.

Dari laporan akhbar tempatan, menyebut program ini mendapat sambutan penonton. Usaha kreatif ini, juga terus menerima kritikan umum sebagai –  hanyalah ulangan acara-acara seperti sebelumnya. Dan, isi program ini cuba memberi sedikit kelainan dari acara lalu, seperti konset ‘tribute’ oleh seleksi artis zaman ini dan tayangan sebuah dokumentari ‘P.Ramlee’ di saluran History Channel.

Kelainan isi yang cuba dipaparkan mungkin sedikit baru bagi tontonan khalayak umum. Kita sedar, untuk mencungkil fakta-fakta lama memang agak sukar memandangkan dokumentasi awal sememangnya tidak terurus (masalah bangsa kita yang ‘alami’ – culas mendokumentasi), malah saksi-saksi penting dalam setiap babak tidak begitu terperinci wawancaranya. Barangkali, soalan dan jawapan sudah di ‘skripkan’ atau di‘edit’ oleh penerbit atau mungkin kerana kekangan durasi masa penerbitan. Namun secara keseluruhan kandungan dokumentari yang diarahkan oleh Suhaimi Baba itu agak menarik.

P.RAMLEE DALAM INDUSTRINYA.

Sejak berdekad kita mendengar kenyataan “Tiada orang dapat menggantikan P.Ramlee” atau “Tiada lagi yang sehebat P.Ramlee”. Kadangkala kita naik muak mendengar ungkapan ini. Malah pada mana-mana artis di Malaysia sekalipun, kebanyakannya ‘segan’ untuk dibandingkan dengan seniman ini, baik dari segi kerja mahupun pesonaliti. P.Ramlee  ibarat ‘Tugu’ seni Negara yang langsung tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa pun.  Ini persepsi yang telah lama dibina untuk kita dan kita yang umum, menerima seadanya.

Namun, P.Ramlee sebagai manusia seniman yang menghasilkan karya seni adalah wajib untuk kita bandingkan dengan mutu dan hasil kerja seniman dari era yang lain. Kewajipan ini bukan persoalan untuk menang kalah atau mencari siapa lebih baik dari siapa, tetapi ini adalah hal kesinambungan proses bangsa kita berkarya. Proses berkarya wajar ada assessment pada setiap zaman kerana ia punya nilai dan persepsi yang sentiasa berubah-ubah mengikut cabaran era-era tertentu.

Mengenali cabaran pada period yang berbeza dan mengkristalkan atau memprojekannya bukanlah satu usaha sehari atau setahun – tidak mudah. Sudah menjadi sejarah dan tradisi pada era 40-60an, panggung wayang merupakan arena penting untuk filem dan muzik dilayar dan dimainkan. Televisyen dan Gramofon (apatah lagi radio kaset) belum lagi menjadi aksesori hidup keseluruhan masyarakat pada waktu itu.

Untuk mempopularkan sesebuah lagu adalah lebih berkesan disampaikan menerusi sesebuah filem, untuk menghasilkan filem pula (pada masa itu) bukanlah satu kerja yang ringan, selain faktor modal dan peralatan, kemampuan seniman itu sendiri sangat teruji malah persaingan untuk mendapat tempat sebagai pelakon bukan satu cabaran yang mudah dan cepat. Sungguhpun golongan karyawan pada masa itu tidak punya latar pendidikan formal yang cukup, namun sikap mereka pada mutu kerja, sudah kita semua ketahui.

Bagi insan seperti P.Ramlee, S.Sudarmaji, Mariani, Siput Sarawak, Maria Menado, Nordin Ahmad, Ahmad Mahmud dll. Mereka itu diuji berdasarkan kemampuan praktikalnya. Baik dari segi penghayatan, ketahanan, kemampuan vokal, tarian, skill muzik, disiplin sebagai warga studio hingga apa sahaja yang memerlukan kemahiran lengkap sebagai seniman/seniwati telah diuji, teruji dan terbukti. Ilmu pada masa itu adalah ilmu yang praktis. Produksi zaman itu sama seperti mana produksi di Hollywood. Ia sebuah industri yang menjadi idaman karyawan (era itu, ia bukanlah seperti yang kita kenali sebagai ‘industri’ hanya pada nama sepertimana sekarang). Pada zaman itu juga, hagemoni media dan politik belum begitu kuat mengkorupkan intelek masyarakat dan juga warga seni.

Atas faktor-faktor ini, tidak hairanlah mengapa karya-karya zaman itu, bukan sahaja dari kerja-kerja P.Ramlee malah seniman lain juga, kebanyakannya sangat menjadi, terbuka dan realistik baik pada lakonan, bahasa, tema, muzik dan bentukan karya dengan budaya kehidupan di zaman itu. Semangat zamannya diangkat kena dengan cara dan ketikanya. Dan ia berjaya. Produksi kerja yang menyokong elemen-elemen ini telah memberi ruang selesa buat pengkarya fokus bekerja.

Jika pembaca dapat merujuk pada nota aku yang terdahulu, inilah yang dimaksudkan sebagai adanya suasana yang kondusif, karyawan yang baik sikapnya, bekerja di dalam ruang kerja yang sihat demi penghasilan karya yang baik dan berkualiti – Lagu Politik ; dalam gelap Industri Muzik – Para VI, perenggan 3, baris 3-4. Faktor-faktor di luar konteks seni inilah yang diperlukan bagi pembangunan sesebuah industri.

Zaman itu tidak timbul soal penswastaan seperti yang pernah dimainkan oleh kerajaan Mahathir Mohamed, tetapi persaingan antara produksi seperti Shaw Brothers, Cathay Keris dan Malay Film Production sangat subur dan sihat. Dalam konteks perniagaan pada masa itu tidak timbul hal kuota-kuota bumiputera atau dinaungi oleh parti-pari politik secara langsung. Batas profesionalisme sangat jelas.

Di dalam paparan dokumentari ‘P.Ramlee’, ada diselitkan kekecewaan seniman ini selepas terjadinya pertikaian di Shaw Brothers (mogok dan ditutup). Pada sekitar 1963 lagi, sudah kelihatan bibit kejatuhan mutu filem melayu. Akhirnya, membawa P.Ramlee berhijrah (ini termasuk kesan secara tidak langsung daripada perubahan geopolitik pada masa itu tahun 1963, Singapura keluar dari Persekutuan Tanah Melayu) ke Studio Merdeka yang kemudiannya Merdeka Film Production Ltd. itu terjual kepada FINAS (kerajaan).

Usaha kerajaan menerusi FINAS juga bermula dengan hasrat yang baik, namun pada akhirnya ia terus menghumban kemerosotan hasil seni dan seniman itu sendiri. Di lembah yang baru ini, tiada lagi produksi yang bagus, tiada peralatan lengkap, persaingan pula bukan lagi antara artis/seniman, sebaliknya bergelut dengan para pemodal untuk dana berkarya. Elemen-elemen penting ini telah luput. Karyawan bukan lagi bekerja dengan seni tetapi terpaksa bekerja a.k.a. berpolitik untuk mengumpul dana. Ini ruang kerja yang gila.

Apa yang berlaku kepada P.Ramlee dan mutu karya seterusnya tidaklah menghairankan, kerana apa yang ‘diandaian’selama ini tidak salah. Segala hal-hal kerja yang bersifat seni dan kebudayaan jika ‘dijamah’ oleh tangan kerajaan (baca;politikus), akan kelak merosakkan kebudayaan itu sendiri. Kuasa politik bukanlah menjadi suatu kesalahan besar kepada kita, namun batas kuasa dan permainan politik itulah yang sering mengganggu karya dan karyawan. Maka tidaklah pelik bila mana industri seni kita hari ini tidak berdaya saing. Hal-hal kebudayaan menjadi plastik dan seni menjadi ‘kraf’. Hal ini turut aku catatkan, juga dalam catatan artikel yang sama pada Para III, perenggan 2 dan Para V, perenggan 1-3.

Seniman seperti P.Ramlee dan yang lain, dibentuk dari suasana kerja yang profesional dan terbuka. Hasil karya mereka adalah inspirasi dari jiwa insan yang memanfaatkan peluang kebebasan kerja dan ekspresi. Karya mereka dinikmati oleh masyarakat yang dekat dengan peradaban bangsa. Kewujudan mereka ini bukanlah sesuatu yang menghairankan atau bukan sesuatu yang tidak boleh dicipta lagi. Pakej ini lengkap. Dan sebagai cabaran bagi kita – melahirkan masyarakat yang celik budaya.

MUZIK DAN P.RAMLEE

Konsert lagu-lagu P.Ramlee sudah cukup banyak dipentaskan. Kebanyakannya dari inisiatif stesen TV/Radio seperti RTM, pernah juga Petronas dengan menjemput Orchestra of Tahskent di Dewan Filharmonik Petronas dan yang terbaru oleh ASTRO di Dewan DBKL ‘ Di Mana kan Ku Cari Ganti’. Secara umumnya, acara  di Dewan DBKL itu aku anggap ok-ok saja, dalam persembahan muzik dan nyanyian artis pula, aku kira gagal.

Niat atau hasrat penganjur sudah kita sedia maklum, sememangnya murni. Kritikan aku hanyalah pada gubahan muzik yang aku anggap tidak cukup masak dengan artis dan muzik band boy itu sendiri. Hal latihan dan persiapan masa serta ketelitian dalam gubahan muzik kelihatan daif dalam arena yang mewah. Khabarnya, kesemua gubahan muzik pada persembahan itu diberi kepada KRU. Namun kritikan ini, bukan mengenai individu secara khusus, aku anggap kritik ini penting kerana keperluan kepada sesuatu perkara yang lebih utama, melampaui kepentingan individu atau kumpulan.

Dalam hujah ini, aku sedia memahami citarasa peminat P.Ramlee vis-a-vis artis dan muzik masa kini. Secara muzikalnya, tidaklah menjadi halangan untuk apa jua jenis gubahan dibentukkan kembali menjadi sesuatu yang lain, malah bukan pula menjadi suatu kewajipan untuk menyanyi ‘sebiji’ sepertimana P.Ramlee lakukan. Hal ini sudah cukup untuk menjelaskan dimensi olahan muzik atau arrangement ke atas lagu-lagu Klasik seperti P.Ramlee. Permasalahan ini (gubahan dan penyampaian), sudah berlaku berulang-ulang kali pada acara seumpamanya.

Dalam proses dan formula gubahan, memang terdapat kaedah khusus mengenai Ki (key), chord transposition, bentuk lagu dsb. Namun dari segi konsep muzik, tidak ada formula khusus untuk merencana gubahan dari karya lama kepada gaya baru. Tiada. Ia adalah kebebasan intelek yang mutlak keatas si penggubah itu – semata-mata, dan kadangkala penggubah akan menyusun bulat-bulat sepertimana yang dikehendaki oleh penganjur atau penerbit. Apa yang dikatakan sebagai ‘konsep’ inilah yang akan menjadi asas kejayaan pementasan muzik.

Dalam persembahan tersebut, kita sedar bahawa bunyi sudah sememangnya berbeza, instrumentasi, ton suara, elemen muzik semuanya sudah sedia berbeza. Perbezaan ini adalah advantage kepada performer baru, malah jika tidak keterlaluan, ia sudah dikira sebagai satu penambahan (additional) elemen apatah lagi bila adanya perubahan pada Ki (key), elemen adlibitum (adlib) dan improvisasi, riff gitar, suara harmoni, bentuk pada versa dan korus. Kesemuan elemen ini akan menghasilkan suhu dan warna (atmosfera) yang pastinya berbeza dengan karya asal, dan ini sudah memadai untuk menjanjikan satu kelainan pada lagu itu.

Aku menjadi amat bodoh untuk faham bilamana kelainan yang sudah sedia tersusun itu cuba untuk ‘dilain-lainkan’ lagi. Akhirnya ia menjadi plastik. Dalam melihat permasalahan ini menerusi bingkai yang lebih besar, ini adalah manifestasi kegagalan industri muzik yang cuba dikosmetikkan menerusi karya-karya besar P.Ramlee. Karyawan zaman ini tandus ide untuk mengarang a new masterpiece. Kerana itu kritik ini, aku anggap perlu.

Sekurang-kurangnya, jalan untuk menghargai sumbangan P.Ramlee telah ditunjukkan seperti kerja seni Fauzi Marzuki menerusi ‘Lagenda’ nyanyian Dato’ Sheila Majid. Inilah sebenarnya tribute to P.Ramlee. Karyanya baru, muzikalnya bagus dengan konsep yang sederhana tetapi menarik. Selain daripada itu, pementasan P.Ramlee The Musical juga dapat dijadikan contoh yang baik bilamana karya pada pementasan itu digubah penuh ketelitian dan mantap dengan penggunaan elemen lagu P.Ramlee di beberapa bahagian pada lagu ciptaan baru (yang terdapat dalam P.Ramlee The Musical – pengarah muzik Roslan Aziz).  Ia dikenang sebagai sesuatu yang baik dan istimewa kepada penghayat yang menikmati karya-karya P.Ramlee. Namun, komen secara peribadi oleh Roslan Aziz yang menganggap, mutunya boleh diperbaiki lagi.

Sekalipun kita kemaruk untuk membuat gubahan baru pada karya seperti P.Ramlee ini, wajar juga kita fahami permasalahan ‘konsep’ yang aku maksudkan itu pada lagu Eric Clapton. Ini satu lagi contoh yang amat sederhana dan yang boleh menjadi rujukan untuk hal gubahan baru. Lagu Wonderful Tonight ini sudah dirakam dengan pelbagai versi oleh artis-artis berbeza seperti Alan Jackson, David Kersh 1998 (genre country music), Kotch (Reggea), Damage (R&B). Namun, keaslian (originality) karya asal  bersatu dengan identiti penyanyi dan muzik cover version artis itu. Elemen dan penyampaian tidak terlalu berlebihan, susunan muzik yang tidak keterlaluan dan menjiwai ide melodi asal. Di sebalik keasliannya terpelihara, nafas (mood) baru juga dapat dirasa, dan berperananlah karya tersebut untuk mengangkat karya dan artis cover version itu sekaligus.

SATU PANDANGAN.

Ingin sekali lagi diulang, nyanyian artis-artis baru sudah sememangnya berbeza dengan nyanyian atau penyampaian P.Ramlee itu sendiri. Perbezaan ini juga pernah cuba aku sampaikan dalam artikel terdahulu berjudul DNA MUZIK perenggan akhir, baris ke 4-6. Kegagalan kita memahami hal-hal asas yang sesetengah orang menganggap ianya remeh, hanya akan memberi kesan berpanjangan terhadap proses kita berkarya. Karya ciptaan atau gubahan adalah manifestasi daripada potensi diri karyawan tempatan zaman ini. Apakah ini sahaja kebolehan karyawan baru kita?

P.RAMLEE DAN PENINGGALANNYA

Karya-karya beliau terus dipuja dan dinikmati buat sekian lama. Terlalu banyak ungkapan puja-pujaan yang mengasihani karya dan dirinya, pujian ini seiring dengan kritikan terhadapnya, inilah lumrah. Tapi apakah kita yakin bahawa kelahiran seniman sepertinya, hanya datang dari usaha dan bakat beliau dengan bantuan guru-guru dan teman-temannya sahaja? Beliau memang hebat. Namun yang menjadikan  P.Ramlee itu lebih hebat adalah masyarakatnya, zamannya dan industrinya. Tanyakah kita pada diri sendiri, dalam masyarakat seperti hari ini, pada cabaran di zaman ini dan atmosfera industri hari ini, akan mampu melahirkan seorang lagi tokoh setanding beliau?

Maka layaklah ungkapan metos “Tiada siapa dapat tandingi P.Ramlee”. Memang tidak akan ada lagi tokoh seperti P.Ramlee jika inilah zaman yang kita cipta, impikan dan biarkan ianya terus berlalu sebegini. Ya, P.Ramlee memang hebat dan beliau boleh berbangga kerana zamannya melangkaui kebolehan zaman kita. Beliau berjaya mengkristalkan perjuangan masyarakat dalam semangat zamannya. Itu sesuatu yang hebat.

Jika dapat kita tanyakan kembali soalan arwah Loloq itu, antara P.Ramlee dengan ribuan karya-karya abad ini, mana lebih hebat? Sudah tentu jawabnya karya P.Ramlee. Aku bersetuju kerana ia fakta yang betul – popular. Projek mempopularkan perubahan dan pencerahan adalah projek ‘paling popular’ zaman ini. Jangan lupa.

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.

Rujukan: