Izinkan saya meluaskan perbincangan malam ini dari “Direct Election” kepada “Direct Democracy”. Umumnya hari ini kita mengamalkan “demokrasi secara perwakilan” atau “representative democracy”. Kebanyakan demokrasi di dunia hari ini mengamalkan “demokrasi secara perwakilan” mungkin kerana dipengaruhi oleh demokrasi Amerika.

Ada suara yang kuat menyanggah demokrasi terus atau lebih dikenali sebagai “demokrasi tulen” (pure democracy). Bantahan tersebut datangnya dari James Madison yang menulis dalam Federalists Papers no 10: “A pure democracy can admit no cure for the mischiefs of faction. A common passion or interest will be felt by a majority, and there is nothing to check the inducements to sacrifice the weaker party. Hence it is, that democracies have ever been found incompatible with personal security or the rights of property; and have, in general, been as short in their lives as they have been violent in their deaths.” James Madison adalah presiden keempat Amerika. Tetapi sumbangan beliau yang lebih besar adalah sebagai sebagai penulis utama Perlembagaan Amerika dan salah seorang penulis terpenting Federalist Papers (beliau menulis 1/3 darinya) yang merupakan dokumen utama dan mengandungi idea-idea pemandu untuk mentafsir Perlembagaan.

Salah satu cara instrumen untuk mentafsir Perlembagaan Amerika adalah dengan menggunakan konsep “the intent of the framers” – maksud atau tujuan mereka yang merangka Perlembagaan. Dan Federalists Papers sering menjadi rujukan utama untuk mengetahui maksud atau tujuan mereka yang merangka Perlembagaan Amerika.

Kritikan James Madison terhadap demokrasi tulen adalah berdasarkan renungan dan kajian beliau terhadap kejatuhan dan matinya demokrasi-demokrasi tertua di dunia, iaitu demokrasi Yunani dan Romawi. Dua kritikan beliau adalah 1. Demokrasi langsung atau tulen melahir puak-puak atau factionalism; 2. Kezaliman majoriti – tyranny of the majority.

Konsep tirani majoriti ini kemudiannya diulas oleh Alexis de Tocqueville dalam Democracy in America. Dua faktor atau kelemahan ini menyebab demokrasi klasik–Yunani dan Romawi “ umurnya pendek dan kematiannya mengerikan–“short in their lives as they have been violent in their deaths.” Demokrasi tersebut tidak dapat menjamin keselamatan nyawa individu dan harta benda. Dan mereka yang di pihak minoriti selalu dizalimi oleh pihak majoriti.

Di kalangan American Founding Fathers imej “ideal politician” di zaman klasik adalah Cicero. Beliau dianggap sebagai “the greatest Roman politician”. Menurut biografi beliau yang terbaharu yang ditulis oleh Anthony Everitt: “ He favored not monarchy, nor oligarchy, nor democracy, but a combination. His big idea, which he tirelessly publicised, was that of a mixed or balanced constitution.” Buku ini yang diterbitkan dalam tahun 2001 menjadi national bestseller mencerminkan sikap intelektual Amerika yang melihat diri mereka sebagai pewaris demokrasi klasik, tetapi menolak demokrasi tulen.

Tetapi hari ini kita melihat demokrasi secara perwakilan mempunyai banyak kelemahannya. Kita melihat sendiri demokrasi secara perwakilan di Malaysia yang sudah berjalan selama 50 tahun. Dan dalam sistem demokrasi perwakilan ala Westminster, bila berlaku pertandingan pelbagai penjuru wakil yang dipilih mewakili kurang dari 50 peratus rakyat kawasan tersebut. Seorang dipilih menjadi wakil hanya mewakili suara minoriti.

Dalam konteks demokrasi dalam parti politik, khususnya parti politik yang berkuasa, sistem perwakilan mudah membawa kepada politik wang di mana yang memiliki wang lebih dan dalam kedudukan boleh membahagi-bahagikan habuan akan menang. Ini kita saksikan dalam Umno dan lain-lain parti BN. Justeru itu ada nostalgia kepada demokrasi tulen, inilah yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat sekarang.

Saya sendiri mempunya nostalgia terhadap wira teragung demokrasi tulen, iaitu Perikles yang memerintah Athens antara 461-429 SM. Beliau membawa setiap dasar beliau, perang, damai, cukai dan lain-lain kepada semua rakyat di mana beliau menghujah, dibahaskan oleh semua rakyat, untuk diterima atau ditolak. Maka sang demokrat tulen, a pure democrat, tidak boleh tidak adalah seorang pemidato agong yang bukan sahaja boleh berkomunikasi tetapi juga memanipulasi emosi khalayaknya. Ketika itu seorang demokrat dengan seorang demagog sukar dapat dibedakan.

Justeru itu Perikles juga seorang populis. Tetapi pidato beliau bukan sekadar manipulasi emosi tetapi melakarkan prinsip-prinsip abadi demokrasi.Atas sebab itu pidato beliau yang terkenal, yang diriwayatkan oleh sejarahwan agung Thuycidides, untuk menghormati pahlawan-pahlawan Athens yang tewas dalam perang melawan Sparta, yang memberi inspirasi kepada pelbagai pidato besar politik selepas itu seperti Gettysburg Address oleh Abraham Lincoln menjadi bacaan wajib (canonical reading) kepada Sekolah Politik anjuran Institut Kajian Dasar.

Selain kritikan Cicero dan kemudiannya diikuti oleh James Madison dalam mengkritik demokrasi tulen terdapat persoalan teknikal mengapa ia tidak boleh dilakukan di zaman moden yang juga dikenal sebagai zaman massa. Warga Athens ketika Perikles memimpin demokrasi tulen Yunani hanya berjumlah antara 250,000 – 300,000.

Bagaimana Malaysia ingin menjalankan demokrasi tulen dengan warga yang layak mengundi yang melebihi 10 juta? Bagaimana 11.4 juta hendak mengundi setiap belanjawan tahunan dan setiap rang undang-undang? Tidak boleh? Secara teknikalnya mustahil. Perikles mengumpul puluhan ribu rakyat Athen untuk mendapat kelulusan dasarnya dalam stadium, tetapi tidak ada stadium yang boleh mengisi 11.4 juta manusia. Maka tidak ada harapan untuk demokrasi tulen?

Salah! Harapan diberikan oleh teknologi. Selamat datang kepada Electronic Direct Democracy (EDD). Electronic Direct Democracy juga dikenali dengan open source governance atau collaborative governance kini merupakan bentuk terkuat direct democracy. Kajian dan pembangunan yang dilakukan oleh Florida Institute of Technology akan memungkinkan setiap rakyat untuk mengundi setiap rang undang-undang dan meluluskan atau menolak setiap belanjawan.

Dalam demokrasi tulen tidak ada beda antara seorang yang memperoleh PhD dari Imperial College (Dr. Dzukifli Ahmad adalah seorang dari manusia super pandai itu) dengan Orang Asli dari suku Jahut (yang kini baru mendapat suaranya melalui Ramli Logan, wira Orang Asal dalam Keadilan). Bila kedua-duanya mempunyai hak yang sama untuk meluluskan atau menolak belanjawan negara we will arrive at the greatest egalitarizing moment in our history. It will be our true democratic manhood.

Tetapi ini hanya akan berlaku bila kita sampai ke Putrajaya. Makanya saya bersama-sama ramai rakan-rakan yang lain mendukung dan menggalas manifesto Azmin Ali, Reformasi ke Putrajaya. Sebab kedua saya mendukung beliau kerana komitmennya untuk menjadikan Keadilan sebagai wahana pendidikan dan Pencerahan politik. Saya melihat demokrasi tulen yang baru diperkenalkan oleh Keadilan adalah peluang terbesar untuk melakukan Pencerahan massa, mass Enlightenment, agar rakyat keluar dari ketidakmatangan yang dipaksakan kepada diri sendiri. Umno dan BN telah menggunakan media massa dan sistem pendidikan sebagai instrumen ketidakmatangan yang digalas sendiri. Melalui demokrasi tulen Keadilan akan menghidupkan minda-minda yang masih tewas, meransang keberanian berfikir dan membawa slogan Sapare Aude ke seantero negara.

Terima kasih.

Ucapan ini disampaikan oleh Khalid Jaafar di forum ‘Direct Election: Mampukah Malaysia Menuju Demokrasi Matang?’ yang dianjurkan oleh Free Public Forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 30 Oktober 2010.