Semalam aku bermimpi. Entah nak dipanggil mimpi ngeri atau tidak. Aku ternampak dia lagi, wanita yang berambut panjang dan berbaju gaun biru itu. Aku mengenang keadaan yang suram dan bilik yang hampir kosong, kecuali dengan adanya sebuah meja dan kerusi. Aku berdiri hampir 3 kaki, pada perkiraan aku, di belakang kerusi yang dilapik kulit tebal hitam.

Adakah aku bersendirian di bilik ini? Pintunya nampak tertutup ketat. Aku tidak sempat untuk menyemak sama ada ia berkunci. Dengan kemayaan masa yang hanya boleh terjadi dalam mimpi , aku telah mendengar pintu itu dikuak. Mula-mula, terasa seperti pintu itu terbuka sendiri, kerana aku hampir dibutakan cahaya temberang yang memancar dari luar pintu. Namun, bila mata memaksi semula, aku ternampak wanita itu. Dia menggamit kepadaku untuk mengikutnya. Sebelum aku dapat berbuat demikian, aku dikejutkan dengan laungan nyaring daripada loceng jam. Sudah jam 8 pagi. Kalau tidak bangun sekarang, aku akan lewat ke mesyuarat pada pukul 9 pagi.

Aku bergegas mandi dan bersiap-siap. serta mengemaskan kertas-kertas yang berterabur di atas meja tulis dan meletakkan komputer bimbit aku dalam beg. Semalaman aku telah bertungkus-lumus menyiapkan draf kertas kerja ini untuk persidangan yang akan berlangsung di Singapura dua minggu dari sekarang, dan mesyuarat pagi ini bertujuan untuk membentangkan hasil analisis yang telah dilakukan oleh aku dan dua orang rakan sekerja tentang kelemahan yang sekian lama wujud dalam rangkaan epistemologi untuk Teori Tetali.

Kelemahannnya itu menyebabkan kedudukannya tersisih sebagai sebuah teori yang esotik yang sukar dikaitkan dengan rangkaan lebih luas fizik kuantum dan alam zarah dan unsur. Tetapi aku yakin bahawa perangkaan dan penghitungan yang aku buat kali ini bersama rakan-rakan sealiran akan mencabar suara-suara sumbang yang telah menafikan faedah yang boleh didapati daripada menumpukan lebih banyak tenaga kepada pengkajian Teori Tetali.

Aku hanya mempunyai masa untuk menyuap beberapa sudu bijirin campur susu dan menelan bakinya sebelum keluar. Aku nampak atas skrin tele-video aku yang Nora telah meninggalkan mesej untuk aku. Kerana tele-video itu dihubungkan dengan server jarak jauh yang boleh aku masuk dengan komputer aku di pejabat nanti, aku memutuskan untuk periksa mesej itu kemudian.

Nora adalah pacaran aku semenjak enam bulan lepas. Kami telah berkenalan di satu persidangan antara-disiplin di kalangan ahli-ahli sains, sejarawan sains, filasuf sains dan mereka yang berkerja di bidang persilangan sains dan kesusasteraan. Kumpulan terakhir itu, aku masih kurang faham apakah matlamat mereka secara khususnya, tetapi aku merasakan apa yang mereka lakukan amat menarik dan mungkin akan ada faedahnya kelak. Aku ini tidak begitu arif dalam bidang kritikan sastera, walaupun gemar membaca novel dan puisi bila ada masa lapang. Tapi aku rasa, apa yang pakar-pakar ini lakukan agak jauh daripada interaksi aku dengan bahan-bahan ini sebagai objek hiburan yang sekadar untuk melupakan sejenak dunia yang aku kecimpung saban hari.

Nora seorang sejarawan fizik yang menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah Dan Falsafah Sains di Universiti M, universiti sama di mana aku menjadi post-doc. Kami telah menghadiri panel masing-masing dan tercetus pengenalan dari situ sehinggalah kami menjadi pasangan. Nora daripada Singapura walaupun dia mempunyai kewarganegaraan juga di Australia disebabkan ibunya yang merupakan warga di sana. Keluarga aku telah berjumpa Nora dan menerima kehadirannya dalam hidup aku. Tetapi, kami tidak boleh terlalu menonjolkan hubungan kami di persekitaran universiti yang mempunyai pentadbiran yang pastinya tidak akan menerima perhubungan kami.

Nasib menyebelahi aku pagi ini. Bila aku keluar daripada pangsapuri sedikit selepas 8:30 pagi, lalu-lintas tidak terlampau sibuk. Dalam 15 minit sahaja, aku telah sampai ke perkarangan universiti dan bergerak terus ke tempat biasa letak kereta aku.Kerana aku membayar untuk permit parkir, aku tidak perlu meronda-ronda setiap kali mencari tempat letak kereta. Bangunan kerja aku hanya lebih kurang 100 meter daripada tempat letak kereta.

Setelah meletakkan barang di ruangan kerja, aku keluarkan seuncang teh perisa ambrosio dan cakir putih dengan gambar kartun Lat tercetak pada badannya. Aku perlu menyediakan teh panas sebelum masuk ke bilik mesyuarat. Tetapi dalam perjalanan ke pantri, aku berselisih dengan Karim, yang memberitahu bahawa mesyuarat telah ditunda sehingga pagi esok, kerana ketua kumpulan ada mesyuarat penting lain pada pagi itu, dan beliau telah meminta untuk tidak meneruskan mesyuarat tanpanya, kerana beliau mahu hadir bila isu-isu tentang pembentangan hasil kerja kami itu dibincangkan.

Jika aku tahu awal, aku tidak perlu bergegas sangat. Boleh aku makan lebih sikit. Ketika di pantri, aku ternampak seorang perempuan yang aku tidak pernah berjumpa. Rambutnya kerinting, dia memakai kaca mata berbentuk segi-empat dan kulitnya antara kulit langsat dan warna buah zaitun. Badannya tegap. Bila dia menghadap terus pada aku, aku nampak yang dia mempunyai muka bujur sirih yang orang panggil ‘delicate,’ semacam muka yang aku biasa nampak dalam lukisan-lukisan klasik di balai-balai seni terkemuka di dunia. Bila bercakap agak manis dan anggun. Muka dan badan tidak padan tetapi tidak mengapa.

“Hai, selamat pagi, “ aku ucap

“ Selamat pagi. Aku orang baru di sini. Nama aku Chinta,” dia ujar sambil tersenyum dan menghulurkan tangannya.

“Oh…errr…aku Linda. Maslinda,” aku menyahut tangannya. Kuat genggamannya.

“Nice to meet you. Harap kau tak rasa aku biadap tapi rupa kau tak nampak Melayu pun, walaupun dengan nama kau…”

“Aku hanya ada sedikit darah Melayu. Lain-lainnya ada campur Cina, Bidayuh, Serani dan Perancis. Nama aku itu diberikan oleh nenek aku sebelah mak, sempena nama adiknya yang meninggal awal…”

“Oh, maaf,” dia nampak segan.

“Tak apa. Ini hari pertama kau di sini?” giliran aku bertanya.

“Tidak, aku ada di sini semalam untuk tandatangan kontrak tapi hari ini aku baru, bermula kerja di sini. Aku bertugas di bahagian fizik eksperimen zarah unsur, sebagai post-doc, untuk eksperimen ATLAS kumpulan Universiti M.”

“Kau bukan orang sini kan…”

“Oh, ya. Aku orang Brunei tapi telah lama menetap di US, sehingga aku habis PhD aku awal tahun ini…”

“Oh…”

“Oops, maaf. Aku kena bersiap untuk satu mesyuarat yang akan berlangsung setengah jam dari sekarang. Aku kira kita akan berselisih dalam masa terpendek ini,” dan dengan pantas, dia telah beranjak keluar dari pantri.

Dalam masa berbual dengan Chinta, aku telah memasukkan air panas ke dalam cangkir dan menunggu teh itu meresap keluar dengan cukup pekat sebelum dibuangkan uncang. Aku sudah hampir hendak keluar bila aku terpandang secebis kertas merah muda di sebelah mesin. Bila menelitinya, aku ternampak huruf A.S.C. dan rangkaian angka tertulis di atas. Mungkin Chinta tertinggal kertas itu. Aku ambil dan selitkan dalam kocek seluar aku dengan niat mahu mencarinya dan memulangkan kertas itu. Tapi dalam perjalanan keluar, telefon bimbit aku bergetar, sebanyak dua kali. Kali pertama panggilan daripada Nora yang bertanya sama ada aku telah menerima mesejnya, dan bertanya kalau aku boleh berjumpa dengannya sebentar untuk makan tengahari. Aku cakap aku banyak kerja dan mungkin akan hanya keluar untuk makan sebentar. Tapi kami berjanji untuk berjumpa malam ini di rumahnya pada jam 8 malam kerana dia ada kelas kickboxing yang dia perlu hadiri dahulu. Dia ingatkan aku untuk melihat mesejnya sebab ada maklumat penting yang dia mahu sampaikan kepada aku.

Sebaik sahaja Nora telefon, adikku pula menelefon. Dia tanya aku jika aku boleh temankan untuk mencuba baju pengantinnya pada hujung minggu ini, sebab kawan baiknya yang sepatut menjadi temannya telah ditugaskan ke luar negeri oleh orang atasan. Dalam masa sama, dia merengek pada aku tentang tekanan yang dihadapinya ketika membuat persediaan untuk perkahwinan yang akan berlangsung dalam lebih daripada enam bulan dari sekarang, dan bagaimana dia rasa yang dia tidak mendapat cukup sokongan daripada bakal suaminya yang asyik sibuk dengan projek terbaru kerjanya. Bila aku cadangkan padanya untuk tangguhkan tarikh perkahwinannya tu, dia pula naik berang

“Dah tangguh setahun, sekarang nak tangguh lagi? Macam tu sampai bila pun tak kahwin-kahwin…”

“Bukan, tapi aku rasa kau patut bercakap dengan Romero tentang itu. Tak berguna jika kau saja nak komplen dengan aku. Dia yang akan jadi bakal suami kau dan dia berhak tahu dan faham ketidakpuasaan kau…”

“Ya, tapi tiap kali aku tanya adakah dia masih nak kahwin dengan aku atau tidak, dia cakap dia nak. Alasannya, dia sibuk dengan projek penting itu, tapi bila aku tanya apa projek tu yang penting sangat sampai dia sanggup tidak mengambil endah susah-payah persediaan yang ditanggung oleh tunangnya, dia tukar topik…”

“So, kau ambillah langkah drastik, cakap yang kau akan batalkan perkahwinan tu sehingga dia duduk dan berbincang dengan kau.”

“No way….”

“Buat ikut suka kau. Aku ada kerja. Nanti aku jumpa kau hujung minggu ini…”

Dengan itu, aku matikan telefon aku. Adik aku tu penuh kontradiksi. Dalam hal kerjayanya sebagai seorang jurutera, dia yakin dengan kemampuan dan keputusan yang dia ambil, dan amat dihormati rakan-rakan sekerjanya, termasuk lelaki. Tapi dalam hal hubungannya dengan teman-teman lelakinya, terutama tunangnya tu, macam hilang akal dan bertukar menjadi sejenis perempuan yang selalu takut pasangannya itu akan putuskan hubungan dengannya pada bila-bila masa. Itulah sejarah setiap hubungannya yang lepas, sehinggalah sampai pada Romero yang bersetuju mengahwininya. Tapi nampak lagaknnya itu, aku tak rasa mereka begitu serasi pun. Tapi malas aku nak berdebat dengan adik aku dalam hal ini. Bukan aku tak pernah cuba tapi hasilnya tetap sama. Dia baru saja 25 tahun tapi sudah ingin ke jinjang pelamin. Dia cantik dan berkemampuan, tapi dia kurang yakin diri dalam hal ini. Nak salahkan siapa?

*****

Bila aku balik ke pejabat, aku nampak beberapa rakan sejabatan aku berdiri dan berbincang serius. Mereka adalah Ai Mei, Raymond, Rolien dan Ali. Aku nampak Ai Mei memegang sebuah jurnal yang dia tengah baca. Bila aku hampiri mereka…

Raymond sedang berhujah:

“…artikel ini tak munasabah. Masakan dunia jadi kucar-kacir jika kita dapat mencari cara untuk melangkau masalah ketidakpastian dalam teori kuantum. Sains yang menjadi asas hujahnya tu lemah…”

Rolien menyampuk, “ya, aku dah tengok derivasi matematiknya, aku rasa penulis ini keliru antara apa yang matematik boleh tonjolkan, dan juga satu titik di mana matematik belum cukup lanjut untuk terangkan segala fenomena dunia. Kekadang kita kena mula dengan takrifan ontologi dan apa yang tidak kena dengan ontologi itu…”

“Kau orang tak ada kerja ke?” aku memanah terus.

“Oh Lin. Adalah, cuma Ali hari ini bawakan artikel ini pada perhatian kita. Seorang saintis di Jepun mendakwa yang jenis kerja yang kita lakukan di sini dengan Teori Tetali akan membawa pada apokalips, kerana kita melanggar adat dunia. Apa yang menarik lagi, penulisnya bukan pun ahli fizik. Dia tu ahli biologi evolusi di Universiti Tokyo,” sahut Ai Mei yang mendongak dari melihat jurnal itu.

“Kau dah tahu pun dia tu nyanyuk, buat apa buang masa nak bicara hal ini. Kita kena habiskan analisis set terakhir pada hari ini. Aku dah emelkan korang draf kertas kerja aku dari rumah semalam dan kongsikan dalam Google Docs. Kita kena masukkan analisis data terakhir ke dalamnya, bersama interpretasi kita sebelum pukul 5:30 nanti. Kalau kita boleh kumpulkan dan susunkan data-data tu semua sebelum makan tengahari, kita boleh habiskan masa yang tinggal dengan analisis. Kau dah tahu peranan masing-masing. Ayuh.”

Walapun mereka postdoc macam aku, tetapi disebabkan senioriti aku–sudah dua tahun aku di sini dan telah mula menghantar permohonan aku ke universiti-universiti atau institut-institut kajian lain di merata dunia untuk mendapat jawatan seterusnya sama ada sebagai penyelidik tetap mahupun sebagai seorang professor–, aku telah dilantik sebagai pemimpin mereka oleh ketua makmal kami.

Kami merupakan seksyen fenomenologi dalam jabatan pengkajian zarah seni dan tugas kami ialah mencari cara untuk mengaitkan teori dengan eksperimen yang dijalankan, dan mencari cara untuk menjadikan teori berguna pada eksperimen dan sebaliknya. Dengan seruan aku itu, semua pulang ke tempat kerja masing-masing dan memulakan tugasan mereka untuk pagi itu.

Aku pulang ke tempat duduk dan memasang komputer. Aku membuka emel aku dan nampak satu emel dari Nora. Bila aku membukanya, aku nampak dia bukan sahaja menghantar mesej, tetapi telah sertakan satu fail JPEG. Mesejnya ringkas sahaja, hampir bukan stail dia yang biasanya suka tulis dengan penuh gaya,

Aku terjumpa dokumen asal Erwin Schroedinger “Die gegenwärtige Situation in der Quantenmechanik” tentang masalah kucing Schroedinger tu. Faksmile dokumen itu sampai semalam di pejabat aku dari Jerman. Kalau kau melihat di margin dokumen tu di muka akhir, seperti ada satu lambang kecil, semacam satu lingkaran dengan lima bulatan. Aku tak dapat tunjukkan dalam fail ini tapi bila kita jumpa, aku akan tunjukkan pada kamu dengan komputer aku yang boleh perbesarkan imej itu dengan lebih jelas. Pada hemat aku, lingkaran yang ada tu macam satu siri angka yang sangat halus, mungkin juga aksara kriptografi. Harap dapat jumpa kau hari ini.

Ciuman buat kau,
Nora.

Kandungan dokumen itu tidaklah asing pada aku, dan memang aku pernah membacanya dalam bahasa asal pun. Tapi penemuan Nora itu menarik perhatian aku, sebab aku tidak pernah terjumpa lambang yang sebegitu. Aku berkeputusan untuk berbincang dengannya tentang hal ini bila kami berjumpa pada malam nanti.

Aku menutup emel itu dan membuka kotak emel kerja aku pula untuk melihat nota-nota dan laporan-laporan lain yang telah dihantar oleh kumpulan aku dan kumpulan yang bertugas untuk mengumpul data-data yang akan kami gunakan. Tetapi dalam masa mengklik pada setiap emel, satu emel yang nampak asing dan tidak mempunyai nama mahupun alamat yang dikenali muncul di atas emel-emel aku yang lain. Aku ingat itu mungkin spam yang diabaikan penapis emel tetapi tajuk pada subjeknya menarik perhatian aku

Kisah sebenar kucing Schroedinger

Apakah Nora baru menghantar mesej ini. Aku tahu kajiannya sekarang memang tentang penghujahan perangkaan fizik kuantum yang diberikan oleh Bohr, Schroedinger, Born dan Pauli yang ingin dia garapkan semula daripada dokumen-dokumen asal yang baru dijumpai dalam satu tahun ini. Tapi itu nampaknya seperti bukan emel dia.

Dalam kurungan selepas tajuk itu, aku nampak lagi akronim tiga huruf itu, A.S.C.

Bila aku klik pada tajuk emel itu, aku hanya nampak satu emel kosong dengan satu fail dalam bentuk pdf padanya. Bila telah pastikan dengan pengimbas virus yang itu bukannya fail Trojan atau virus, aku menghalakan tetikus aku untuk membukannya. Bila terbuka, panjang fail itu hanya satu muka.

Aku terbingung dan ingin tahu kandungan fail pdf itu. Satu muka bukan panjang tapi aku tahan juga, sebab aku faham sangat tentang diri aku. Selepas membacanya, mesti aku akan membuang masa beberapa jam cuba mencari misteri di sebalik fail ini. Jadi, aku berkeputusan untuk menahan ingin tahu aku itu kerana terlalu banyak kerja penting yang perlu disiapkan, dan aku tidak boleh membuang masa dengan membaca benda-benda remeh yang tidak berkaitan buat masa ini. Mungkin ada orang ingin permainkan aku, atau mungkin ada orang yang mahu aku membaca tulisan rekaannya. Aku akan tunggu waktu habis kerja dahulu sebelum melayan karenah emel ini.

[Bersambung….]

Clarissa Lee berterusan dgn pengelutannya dengan dan dalam fiksyen sains melalui siri artikel dalam blognya, bermula dengan siri tulisan di blognya.