Pulang daripada acara penubuhan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Kolej Era Baru (New Era College) di Kajang, Selangor antara 2004, 2005, saya diajak rakan-rakan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menziarahi mereka di Anjung Rahmat, Gombak.

Untuk mereka yang belum tahu sejarah awal badan pelajar itu maka inilah dimaklumkan bahawa ketika tahun inilah SMM ditubuhkan. Sengaja saya sebut hal ini kerana ketika menurunkan catatan di sini, ada forum Suara Siswa yang tajuknya mungkin membangkitkan radangan dan garangan sesetengah kita.

Adapun tajuknya berbunyi – adakah mahasiswa hari ini sudah matang?

Jadi, ketika baru pulang dari Kolej Era Baru di Kajang sekitar 5 atau 6 tahun lalu, saya lihat mahasiswa itu sudah matang bertindak kerana sudah berani menubuhkan suatu badan induk; SMM yang kemudian menggabungkan tenaga dan menyatukan upaya beberapa buah persatuan mahasiswa di bawahnya.

Maka, tenaga mahasiswa yang terpisah-pisah dengan haluan masing-masing boleh dianggap sudah pun mencapai tahap kesempurnaan apabila mereka boleh bersatu di bawah bumbung SMM itu.

Walaupun SMM itu barangkali tidaklah sepenuhnya menyatukan, tetapi setidak-tidaknya kami bergerak sendiri dan berbincang untuk memikirkan bagaimana mahu mengukuhkan kedudukan dan menyatukan gerakan mahasiswa saat itu. SMM tertubuh bukan anjuran Pas, ABIM JIM, DAP, PKR serta orang-orang tua dalam gerakan dakwah dan ia tiada kena-mengena dalam rangka cadangan parti-parti politik.

Malah, pihak pentadbiran Kolej Era Baru itu bukanlah pencetus kepada kelahiran SMM. Jika ada ruang kesempatan, nanti kita ceritakan hal asal-usul kelahiran SMM mengikut versi saya, insya Allah Ta’ala.

Jadi kami menggunakan wang, tenaga dan tempat kami sendiri untuk membidankan kelahiran SMM itu sendiri. Pendek kata, kami rangka penubuhan SMM tanpa campur tangan sesiapa; baik pemerintah atau pembangkang. Kami menyokong dan mendokongnya atas rasa sedar kami sendiri kerana kami matang!

Hal ini dikemukakan untuk menolak andaian palsu bahawa mahasiswa itu tidak matang kerana mereka ini kerap dipengaruhi oleh unsur-unsur yang kononnya subversif dan menggugat kestabilan awam.

Hang Nadim yang matang fikirannya

Kembali kepada kisah di Anjung Rahmat. Kebetulan, pada malam itu ada usrah melibatkan pimpinan di sana. Maka, tiba masa saya bercakap malam itu. Lalu, terlintas di fikiran untuk bercakap hal kewujudan anak Melayu yang matang fikirannya walau watak itu masih anak-anak kecil.

“Namanya Hang Nadim,” kata saya memulakan bualan. “Dengan kematangan fikiran, anak ini, dengan izin Allah, mengeluarkan Singapura daripada kemelut gugatan todak yang menyerang perairan pulau.”

Tetapi, bagai yang diketahui semua, gara-gara kebijaksanaan budak ini dan kematangan berfikirnya, dia terhukum bunuh oleh nasihat busuk para pembesar Singapura. Kononnya, Hang Nadim apabila dewasa kelak, pasti akan merampas takhta kekuasaan sultan.

Yang jelas ternyata, hari ini Singapura adalah sebuah negara republik yang tiada lagi beraja sultan sejak sultan di Kg Gelam runtuh oleh cengkaman penjajahan luar. Entah di mana para pembesar saat itu tidak diketahui. Rupa-rupanya, kematangan anak-anak muda inilah yang sering ditakuti para pembesar!

Sejarah tidak menipu dan sejarah itu guru bagi mereka yang ingin menilainya secara sedar dan bersedia pula bermuhasabah dengan munasabah terhadap pergulatan masyarakat sebelum kita.

Matang dan ranum buah fikiran

Matang itu bagaikan ranum bagi buah. Kitab hukum feqah memperkenal beberapa istilah yang bolehlah dinisbahkan sebagai taraf matang dan disandarkan sebagai tahap waras bertindak.

Kita tahu istilah ‘mumaiyiz’ dan ‘akil baligh’. Ada hukum feqah yang tidak benarkan urusniaga jual beli melibatkan kanak-kanak kerana takut berlaku penipuan sedangkan kanak-kanak itu tiada mengetahui.

Tetapi, ada juga anak-anak yang dilibatkan dalam mesyuarat pentadbiran negara sehingga anak itu telah menegur khalifah, “Jika usiaku dianggap tidak layak berada di sini untuk bercakap mewakili kampung aku, maka ketahuilah olehmu wahai khalifah, anda tidak layak berada di tempat pemerintahan itu.”

Ya… Ketika menulis ini, Suara Siswa sedang membawa tajuk ‘adakah siswa hari ini matang?’ Majlis itu dibuka dengan mukadimah tari-menari, juga ditutup dengan acara tari-menari.

Begitulah satu-satunya acara ilmiah di RTM yang mengajak kita bertukar-tukar fikiran yang ada sisipan tari-menari. Acara RTM lain yang melibatkan debat berat, tiada pula sisipan acara tari-menari sebegini.

Jadi, berbalik kepada hubungan pertalian antara ‘matang’ dan ‘ranum’, maka kita boleh tafsirkan bahawa dalam kehidupan ini, telah ada tempoh-tempoh dan jangkamasa yang membenarkan kita melaksanakan sesuatu tugas berat seperti berkorban mengeluarkan sesuatu.

Misalnya, ketika cukup ‘haul’nya (matang), maka kita diwajibkan mengeluarkan zakat – perniagaan dan haiwan ternak dan hasil perladangan dan pertanian; gandum dan beras. Juga, bila tiba tempoh ‘matang’, maka diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas emas pelaburan.

Luka dan kecederaan di tubuh misalnya akan bertaut semula dalam tempoh tertentu. Masa bertaut luka itu sepenuhnya dan sihat sepenuhnya itu boleh dikatakan sebagai tempoh ‘matang’.

Kita terpaksa penat berhujah begini, sebabnya kebanyakan ahli masyarakat seperti gagal berfikir halus ketika menilai kedudukan kebenaran. Haruslah ditampilkan hujah seperti hubungan matang dan ranum dan mengaitkannya pula dengan persoalan cukup tempoh ‘haul’ sehingga wajib dikenakan zakat untuk haiwan ternakan dan hasil pertanian.

Ya, ada banyak lagi contohnya. Bayi dalam kandungan pun ada tempoh ‘matang’nya dalam kandungan itu selama 9 bulan pada adat kebiasaannya.

Namun, ada anak-anak yang lama berada di dalam kandungan ibunya, melebihi tempoh matang seperti Imam Muhammad bin Idris As-Shafie. Juga, sejarah menunjukkan bahawa Imam Abu Hanifah ketika masih budak-budak, tetapi sudah mencapai tahap kematangan berhujah ketika menewaskan hujah Ad-Dahri yang tidak percaya kewujudan Tuhan.

Juga jika matang ini diibaratkan ranum pada buah, maka ada juga buah yang dipetik ketika masih muda lalu ia masak dan ‘matang’ dengan sendirinya dalam pelayaran jauh seperti dipantunkan orang…

“Pisang emas dibawa berlayar, masak sebiji di atas peti…”

Ini bermaksud, kadangkala tiada salah dan tiada masalahnya jika kita memetik buah yang belum ranum matang, belum masak. Ini kerana, buah yang belum ranum itu pun boleh ranum dengan sendirinya.

Jadi, tiada salahnya jika dibenarkan anak-anak muda yang kita anggap belum matang itu menganggotai parti. Ini kerana, tidak mustahil mahasiswa yang didakwa tidak matang tadi, akan ‘dimatangkan’ dengan keterlibatan mereka dalam parti seperti contoh buah muda yang dipetik sebelum tempoh ranumnya.

Dengan teknologi perubatan canggih, sudah ada bayi yang lahir tidak cukup bulan, tidak matang dalam kandungan berjaya diselamatkan dan akhirnya tumbuh membesar sebagai biasa.

Yang tidak selamat hari ini ialah bayi-bayi yang lahir cukup bulan (matang), cukup sifat tetapi akhirnya ditemui mati di tepi longkang, di tepi tasik oleh anak-anak muda yang tidak matang. Akan tetapi, AUKU dan pentadbir universiti sendiri bukan berwaspada dengan hal ini pun.

Auku bukanlah mengawal sangat gejala mahasiswa-mahasiswi berpeleseran dan bersekedudukan sebab mereka ini tidak mengganggu politik kepartian dan tidak mengganggu periuk nasi pentadbir universiti.

Bukannya tidak ada kes mahasiswa termengandung, melahirkan anak luar nikah di kolej kediaman dan ketika semua ini berlaku. Tapi, ‘matang’ atau ‘tidak matang’ siswa-siswi yang hidup bersekedudukan ini bukan lagi persoalan, selagi mereka tidak mengancam ketenteraman ahli parti pemerintah dan anganan pentadbir universiti yang menyimpan cita-cita besar untuk jadi menteri kemudian hari.

Siswa kita; buah ranum yang tidak dijual di pasaran?

Sebenarnya, ada banyak buah fikiran siswa yang terjelma dalam tesis Master, PhD bahasa Melayu yang sudah ranum masak di universiti yang boleh dijual di pasaran terbuka juga di peringkat antarabangsa.

Rasa rendah diri parti pemerintah yang menyangka bahasa Melayu ini berada di tahap rendah dan juga dasar PPSMI telah membawa kita kembali terkebelakang. Juga, ada mahasiswa yang barangkali sudah ada pemikiran bernas untuk dibentangkan di peringkat antarabangsa.

Tetapi, kalaulah pensyarah pun disulitkan untuk membentang hasil kajiannya di peringkat antarabangsa maka betapalah pula mahasiswa itu sendiri? Lebih lagi mereka sukar mendapat tempat, lalu mahasiswa ini pula diserang keraguan apakah buah fikiran mereka ini wajar diketengahkan kepada pasaran luar.

Kalaulah pihak universiti memberi sedikit kelonggaran dan kebebasan dengan membiarkan mereka ini membuat sedikit ‘kesilapan’ dalam mengutarakan hujah, siswa akan mudah betulkan kesilapan mereka, kerana mereka ini bukan ahli-ahli politik yang berkepentingan. Mahasiswa ini lebih jujur.

Dalam hal ini, pentadbiran universiti lebih tidak jujur kerana mereka ada kepentingan. Ada yang mahu bertindak keras ke atas mahasiswa kerana memikirkan dengan cara itu, mereka boleh menjadi pegawai di kementerian pengajian tinggi. Pada zaman saya, ada TNC yang sampai bercita-cita menjadi menteri.

Antara UKM4 dan ‘Bini Puaka’

Hari ini, ada dua peristiwa besar membabitkan mahasiswa, iaitu UKM4 di UKM dan ‘Bini Puaka’ yang melibatkan mahasiswa UM.

Barangkali, kes UKM4 yang paling memalukan universiti kerana melibatkan hukuman ketika siswa ini cuba-cuba masuk belajar ke dalam dunia kepartian; sesuatu yang dianggap biasa, normal di luar negara.

Sehingga kini kita tertanya-tanya adakah tindakan ke atas UKM4 itu diisyaratkan oleh menteri atau pun hanya tindakan segera yang diputuskan oleh bahagian universiti sahaja?

Demikian juga dengan isu ‘Bini Puaka’ ini. Siapa yang mengarahkan supaya mahasiswa ini dibicarakan di mahkamah? Adakah hukuman ini atas inisiatif universiti atau pun kerajaan atau ‘bini PM’ sendiri?

Ya, pada masa depan, akan lebih banyak persoalan berbanding jawapan-jawapan. Mendengar jawapan kalangan pemimpin pelajar yang melihat dirinya belum matang, dan oleh kerana itu, perlu dibuat suatu peraturan agar dirinya sendiri dan rakan-rakan siswa tidak dibenarkan menceburi parti tentu ia menjadi kenang-kenangan lucu dan bahan ketawa mahasiswa pada masa depan.

Betapa tidak! Jika pemimpin siswa itu mengaku dirinya tidak matang atau belum matang, maka biarlah dia sahaja yang tidak masuk ke dunia kepartian kerana dia sedar diri bahawa dia belum matang.

Kenapa harus ada pelajar matang yang tidak dibenarkan berparti, hanya kerana ada segelintir pimpinan pelajar yang mendakwa dirinya sendiri belum matang?

Kita tidak boleh menafikan bahawa ada pemimpin pelajar yang tidak matang dan belum matang kerana mereka sendiri jujur mengakui bahawa ‘mereka sendiri’ (iaitu pemimpin pelajar) tidak matang. Ini suatu pengakuan jujur yang perlu kita raikan. Bukan senang mendengar pengakuan pemimpin pelajar bahawa mereka sendiri tidak matang.

(Soal bagaimana mereka boleh menjadi pemimpin pelajar dalam keadaan mereka tidak matang, hal itu boleh kita debatkan kemudian jika ada permintaan untuk mendebatkannya.)

Keadaan mahasiswa hari ini lebih kurang begini – contohnya ada 10,000 mahasiswa daripada 10 buah kampus. Di dalam 10 buah kampus, ada 10 pemimpin pelajar yang mengaku dirinya tidak matang.

Maka, bagaimana mungkin pemimpin pelajar itu mendakwa bahawa keseluruhan 10,000 mahasiswa itu tidak matang hanya kerana bersandarkan, bernisbahkan dan merujuk hal ketidakmatangan 10 pemimpin pelajar itu sendiri? Kurang lebih… inilah gambaran yang berlaku hari ini.

Berukkan diri sendiri, jangan diberukkan manusia lain

Hal ini, bolehlah diibaratkan sebagai pendirian Charles Darwin yang berpendirian semua manusia hari ini berasal daripada beruk. Memang ada ramai pihak yang menentang. Malah, ada juga yang bersetuju.

Tapi kalau Charles Darwin sendiri mahu menganggap keturunannya berasal daripada beruk, ya silakan, tiada siapa yang akan marah. Tapi, dalam kajiannya, Darwin merumuskan bahawa keturunannya datang daripada beruk, lalu dia bertindak ‘memberukkan’ manusia lainnya, itu memburukkan keadaan.

Demikianlah pesan ringkas buat para pemimpin mahasiswa tadi. Kalau berasa diri sendiri tidak matang, kita terima kejujuran anda mengakui diri sendiri tidak matang dan kita terima, bahawa di atas keinsafan anda tidak matang, lalu anda ambil keputusan untuk tidak menyertai parti.

Ini satu hukum dan keputusan yang anda tegakkan ke atas diri sendiri dan tidak melibatkan mahasiswa lain yang sudah ranum fikiran dan matang tindakan. Tiada yang marah-marah jika anda berfikir begini.

Tapi, janganlah menjadi seperti Darwin; anggap dirinya keturunan beruk lalu diberukkan yang lain. Ini, demi sesungguhnya memburukkan keadaan dan ia adalah suatu jenayah ilmu yang jelas ketara.

Sungguh kurang asam. Melihat diri dan jalur keturunannya adalah beruk hal itu diharuskan. Tapi ketika jangkauan kajiannya ‘memberukkan’ manusia lain secara keseluruhan, itu patut ‘diharamjadahkan’ dan… ya… pelajaran yang ‘matang’ inilah yang telah menjadi bahan kuliah di universiti-universiti Barat.

Jadi, jika pemimpin siswa tadi sedar diri bahawa dia tidak matang, maka tindakan tidak masuk parti itu cuma khas buat dirinya sahaja dan tidak menjadi hal rujukan umum bagi pelajar lain. Malah, pemimpin siswa yang mengumumkan dirinya tidak matang, tidak sepatutnya menjadi pemimpin pelajar pun!

Bagi pemimpin pelajar yang tidak matang ini jangankan menceburi parti politik. Untuk memimpin satu gerakan mulia seperti gerakan mahasiswa ini pun mereka belum layak.

Hari ini, bagi yang sedar, kita patut berasa sedih dengan kejahilan pemimpin yang akhirnya membarah kepada kejahilan orang-orang yang dipimpinnya.

Kepada mereka yang tidak puas hati dengan kenyataan ini apabila kita sebut pentadbir universiti sudah melampau, maka perhatikan kes-kes yang pernah berlaku di bawah ini.

Ketika pilihan raya kampus berlangsung, sebelum ini, maka UPM membatalkan kedudukan mahasiswa yang ingin bertanding kerana mereka berkempen melalui Facebook (walhal FB ini sudah jadi fenomena dunia sehingga pemimpin dunia termasuk Najib Razak berkempen di Facebook mengenai 1Malaysia.)

Tapi, di USM terbalik pula. Naib Canselor berkata tempoh berkempen pilihan raya tidak perlu panjang, apatah lagi sekarang ini sudah muncul blog dan Facebook! Di sini pun, kita boleh lihat siapa yang tidak matang sebenarnya. Kita mesti malu kerana menyimpan pembuat dasar pilihan raya kampus seperti ini.

Rumusan awal-pemikiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) termasuk menteri-menteri itulah yang tidak matang apabila mereka menyifatkan pandangan mahasiswa secara keseluruhannya itu tidak matang.

Rumusan keduanya–pemimpin mahasiswa yang sedar dirinya tidak matang, tidak boleh mengandaikan bahawa semua mahasiswa tidak matang seperti dirinya. Malah, mereka tidak layak menjadi pemimpin pelajar kerana sedar diri bahawa mereka sendiri tidak matang berfikir.

Rumusan ketiga-kerajaan tidaklah sepatutnya membuat keputusan dan menghukumkan bahawa ‘haram’ pelajar berparti hanya berpandukan ketidakmatangan pemimpin pelajar Aspirasi asuhan mereka sendiri. Kita perlu insaf sedar bahawa, ada siswa matang, tetapi enggan berparti kerana itu bukan minat mereka.

Begitulah ceritanya. Daripada ‘gerakan kemahasiswaan’ Hang Nadim sehinggalah kini, gerakan pelajar berterusan dimata-matai, diintai intip, dicemburui dan diserang dengan rencam gaya daya upaya, disula aneka tohmah dan ramuan fitnah. Hanya pemimpin siswa sejati, dapat menongkah arus kesesatan ini.

ABIM JIM Akta Universiti dan Kolej Universiti Ali Bukhari Amir AUKU Charles Darwin DAP Facebook Hang Nadim Kolej Era Baru New Era College PAS Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM PKR politik PPSMI SMM Solidariti Mahasiswa Malaysia UKM4 Universiti UPM USM

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Pilihanraya di kampus adalah sesuatu yang amat memalukan di Malaysia.

    Tujuannya utk berdeokrasi tapi perlaksanaan langusng tidak demokratik. Walaupun saya amat memandang berat kebebasan mahasiswa and univeristi dari politik, tapi kalau macam ni lebih baik tak payah buat. Demokrasi bukan hanya terdiri dari pilihanraya kampus sahaja…

    Tetapi Mahasiswa ada buat kesalah juga. Yang pertama adalah membezakan politik dan pentadbiran.

    Persatuan pelajar harus mengejar perubahan dalam pentadbiran universiti supaya suara siswa lebih banyak didengar pentadbir universiti dan bukan memgejar ‘konsep & visi parti politik’.

    Contoh yang baik adalah penubuhan Parlimen pelajar di USM. Samada perlaksanaannya berjaya atau tidak itu benda lain.

    Mahasiswa tidak boleh buat demo tepi jalan dan menjerit sepanjang hari untuk perubahan. Dialog dengan pentadbir universiti perlua ada. Pentadbir universiti sekarang juga mengalami tekanan unutk menjadikan kebebasan universiti suatu realiti, tetapi ia takkan berlaku selagi mahasiswa asyik mengutuk pentadbir dan sistem pengurusan universiti. Belajar untuk bekerjasama.