Saya meneliti kembali beberapa buah filem dalam koleksi peribadi saya berhubung teknik penceritaan dalam filem-filem tersebut. Pada perkiraan saya – wujudnya kecenderungan dan seolah-olah menjadi “aliran” baru dalam dunia perfileman di Asia/Oceana, Eropah dan Hollywood pada masa kini.

Semua filem itu – saya amati – pengarahnya memasukkan ‘footage’ ke dalam filem genre drama yang bersifat historikal, artistik dan menekankan kronologi kisah benar atau biografi seseorang figura ‘penting’ dalam masyarakat. ‘Footage’ dalam filem – pada pandangan saya – adalah mengambil dan menyelit sedutan dan rakaman video atau filem dari sumber tertentu tentang sesuatu peristiwa atau individu tertentu dalam satu tempoh tertentu.

Tujuan utamanya adalah bagi membantu naratif cerita dalam sesebuah filem yang dihasilkan. Ataupun sedutan footage itu dimasukkan dalam sesebuah filem sebagai sokongan dan pelengkap atau meringkaskan jalan cerita pada filem tersebut. Dalam filem koleksi peribadi saya ini, terdapat lebih sepuluh buah filem dari benua Asia, Eropah dan Amerika Syarikat yang semuanya dihasilkan pada tahun 2008-2010.

Malah – jika tidak keterlaluan – saya percaya filem-filem sebelum tahun tersebut, juga telah menggunakan teknik ini. Sebut sahaja filem seperti Milk (USA), Jacques Mesrine bahagian 1 dan 2 (Perancis), The Front Line (Itali), Vincere (Itali), Balibo (Australia), Rozyzcka (Poland), Farmosa Betrayal (USA), Battle In Seattle (USA), Summer Palace (China), Paranoid Park (USA), serta Che 1 dan 2 (USA). Umumnya, filem-filem tersebut mengisahkan mengenai individu yang menjadi public figure, hero atau antagonis di samping insiden tertentu dalam sosial dan politik masyarakat ketiga-tiga benua itu.

Dua filem pertama yang saya sebutkan, cukup untuk menceritakan takrifan dan fungsi ‘footage’ dalam filem itu. Sebagai contoh, filem Milk atau Jacques Mesrine adalah contoh terbaik mengenai tokoh protagonis dan antagonis dalam masyarakat di Amerika mahupun di Perancis. Harvey Milk, lakonan Sean Penn – seperti tulisan saya sebelum ini – adalah tokoh jalanan yang menjadi ahli majlis ‘gay’ yang mencadangkan supaya pengamal cara hidup gay boleh hidup bebas yang berpusat di Castro Street di San Francisco. Pelbagai tentangan yang dihadapinya sepanjang usaha beliau untuk bertanding sebagai ahli majlis di bandar itu, di samping memperjuangkan keberadaan dan hak pengamalan ‘gay’ di negeri tersebut sebelum dibunuh oleh rakan sejawatnya yang cemburu dengan kepopularan Milk yang semakin menyinar.

Banyak ‘footage’ tentang sepanjang kempen beliau dimasukkan dalam filem tersebut termasuk perarakan puluhan ribu rakyat San Francisco yang meratapi kematiannya selepas ditembak oleh Dan Brown, lakonan Josh Brolin. Footage yang dimasukkan membantu penceritaan dalam filem tersebut – yang diarahkan oleh pengarah Gus Van Sant – yang akhirnya memenangi dua anugerah Akademi iaitu pelakon terbaik dan skrip terbaik pada 2009.

Selain itu, salah satu lagi fungsi ‘footage’ dalam filem adalah menjelaskan latar filem tentang kisah benar atau cerita dalam filem itu. Maksudnya ia menjadi latar belakang dan menceritakan tentang keadaan sosial dan lanskap politik masyarakat. Sebagai contoh filem Rozyzcka (2010) dari Poland, adalah kisah sepasang kekasih yang bercinta dengan latar tunjuk perasaan meletus di Russia. Kisah seorang lelaki Roman Rozek sebagai seorang polis menghasut kekasihnya Kamila Sakowicz menjadi agen perisik untuk mendampingi seorang profesor berketurunan Yahudi, Adam Warczewski di sebuah universiti di negara itu. Tugasnya menjadi mata dan telinga dengan mencatat apa yang diucapkan olehnya. Pada era tersebut intelektual adalah antara yang berperanan meniupkan semangat revolusi dalam syarahan atau tulisan mereka.Dalam filem tersebut, turut ditunjukkan sedutan siri demontrasi pada tahun 1960-an sebagai latar kewujudan watak yang hadir, yang membawa kepada revolusi tersebut.

Begitu juga dengan filem ‘Summer Palace’ arahan pengarah filem generasi keenam China, Lou Ye. Dalam filem tersebut, Lou menyelitkan ‘footage’ demonstrasi pelajar di Dataran Tiananmen di Beijing, sebagai memprotes sekaligus menyalahkan pengaruh sistem komunisme dalam politik dan sosial di China. Beliau juga memasukan ‘footage’ bagaimana rakyat Jerman meruntuhkan tembok Berlin, pengumuman Mikhail Gorbachev mengenai ‘keruntuhan’ blok komunis di Russia dan sambutan rakyat negara itu terhadap perlantikan Boris Yeltsin sebagai presiden ‘demokrasi’ Russia yang baru. Insiden tersebut – yang digerakkan oleh pelajar dan intelektual negara itu – berlaku pada tahun 1989 sempena kejatuhan Soviet Union.

Saya percaya trend dan teknik baru ini sedang menjadi aliran baru apatah lagi pelbagai peristiwa dan insiden penting berlaku dalam masyarakat. Bagaimanapun di Malaysia, penggunaan teknik ini masih lagi kurang, walaupun pelbagai peristiwa menarik dan bersejarah berlaku di sekeliling kita. Di tambah lagi, pengarah-pengarah filem di Malaysia lebih selesa mengarahkan filem yang bersifat “ringan-ringan” seperti cinta, kisah mistik dan cerita hantu-hantu dan kisah orang kaya-kaya. Sebahagian masyarakat mungkin muak dengan pengulangan filem genre sebegitu. Mereka mahukan filem yang pintar, memerlukan kekuatan fikiran dan mengajak rakyat berfikir dengan kreatif dan kritis bagi mentafsirkan jalan cerita sesuatu filem.

Mungkin di sana, ada sekumpulan masyarakat mahu insiden kisah penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peristiwa Reformasi 1998 diangkat menjadi filem, atau kejayaan demonstrasi BERSIH 2007 yang menyebabkan kejatuhan lima buah negeri dalam pilihan raya umum 2008 atau kejayaan demonstrasi anti PPSMI. Semua peristiwa ini boleh dimasukkan dalam filem yang dihasilkan – sekurang-kurangnya sebagai latar penceritaan – untuk menjadikan jalan cerita menarik.
Cuma, pengarah dan penerbit filem di Malaysia memerlukan sentuhan lebih kreatif, keberanian dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata.

Semua filem di atas menggunakan teknik ‘footage’, telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Pengarah filem di Malaysia, bila lagi?

A.Sabri, 30, penulis dan penggemar filem Eropah dan Amerika Latin. Menulis karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas, artikel dan rebiu filem.

A. Sabri Balibo Battle In Seattle Che Datuk Seri Anwar Ibrahim Farmosa Betrayal Filem Harvey Milk Jacques Mesrine Lou Ye Mikhail Gorbachev Paranoid Park Reformasi 1998 Rozyzcka Summer Palace The Front Line Vincere

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan