Overture: Ini sebuah fragmen!

Di eksterior sebuah rumah kayu berdekatan bukit.

LOKASI: Loteng
MASA: Malam – jauh malam
WATAK: Cinta/Rindu.

Mereka adalah sepasang kekaseh. Baru bermain cinta. Adegan ini terjadi setelah mereka sama-sama menyanyikan lagu Engkau Laksana Bulan. Seperti dipetik dari sebuah filem melayu klasik berjudul Penarek Becha (1955). Arahan P. Ramlee.

Cinta: Rindu, Rindu apa makna cinta?
Rindu: Cinta umpama bulan. Putih dan bergetah!
Cinta: Benarkah? Itukan hanya khayalan si pemuja.
Rindu: Cinta kurang percaya? Lihat bulan sudah penuh. Terang, meskipun sangat jauh.
Cinta: Tapi orang yang sudah sampai ke bulan mengatakan sebaliknya.
Rindu: Benarkah ada orang boleh sampai nun jauh di atas?
Cinta: Oh, bulan berada di mana?
Rindu: Pelukis bilang bulan berada di atas kayangan. Kita tak mungkin sampai ke situ.
Cinta: Bayangan bulan nampak jahat bila dilihat dari dekat – begitukah ?
Rindu: Tak usahlah Cinta hiraukan. Kalau benar, masakan pungguk rindukan bulan!
Cinta: Sebaiknya kita mimpikan yang indah-indah sahaja kan…

Opening: Ini adalah naratif!

Sejak kecil, aku suka punya mimpi. Padaku mimpi adalah rahsia dalam kehidupan. Namun, sering juga aku ditakut-takutkan. Selalu disuruh basuh kaki dan membaca doa. Kata orang dulu, mimpi itu mainan tidur. Pendek kata, gangguan. Tapi, aku tidak rasakan begitu. Aku bahkan senang dengan mimpi. Sama ada mimpi indah atau ngeri. Mimpi adalah pengalaman yang sangat berharga. Mimpi tak mungkin diulang. Tak ubah macam menonton sebuah filem.

Begitulah fahaman aku kemudian hari. Mimpi telah banyak menjadi realiti. Sama ada mimpi yang berupa saintifik dan artifisial – kedua duanya telah mengilhamkan terciptanya pesona seindah Eyes Wide Shut atau Dreams. Anda barangkali tidak asing dengan apa yang aku sebut. Eyes Wide Shut merupakan filem terakhir karya Stanley Kubrick. Pengarah filem tersohor di dunia yang terkenal dengan kegilaannya mengkaji rahsia satah. Dan Dreams pula merupakan kompilasi filem-filem pendek karya Akira Kurosawa. Pengarah filem Asia tersohor sehingga mempengaruhi kebanyakan pengarah filem terhandal di Amerika Syarikat tahun tujuh puluhan yang lalu. Banyak yang nak dibicarakan. Tapi aku menyentuh hanya satu.

Dalam salah satu filem pendek yang terdapat dalam Dreams. Aku kira, Crows menarik untuk dibincangkan. Crows menceritakan kekaguman Akira Kurosawa kepada Vincent van Gogh (dimainkan oleh Martin Scorsese). Van Gogh pelukis impressionist yang telah menemui kebenaran dalam seni menerusi penghayatannya kepada alam semulajadi. Seringkali menemui kebenaran itu disamakan dengan kegilaan. Justru menemukan kebenaran itu menuntut kita melakukan pengasingan atau bersuluk.

Aku kira, filem itu sendiri sangat mengagumi seni lukisan dalam mencapai kebenarannya. Dalam Crows, pada satu sudut, Akira Kurosawa meletakkan lukisan itu telah berada di atas kebenaran. Justifikasi yang jelas menunjukkan betapa penghayatan seniman terhadap persekitarannya sangatlah mustahak. Aku kira sekali lagi, hal inilah yang hilang dalam seni perfileman kini– kontang personafikasi.

(Akira Kurosawa sangat cermat membuat filem – seiring dengan latar belakang dan asas pengajiannya dalam bidang seni halus – sentuhan sinematiknya sangat teliti umpama percikan warna dalam lukisan-lukisan avant-garde. Hal ini terlukis indah dan menggigit habis sejak filem warna pertamanya tahun tujuh puluh berjudul Dodeskaden).

Dramaturgy: Ini konfrantasi!

Aku, sejak sedar, lebih menggemari pengarah filem Asia ketimbang US atau Eropah. Mahu pun mana-mana benua yang lain di dunia. Aku dengar filem dari negara-negara di Selatan Rusia menggigit. Tapi, aku belum dapat semak. Jadi aku tekun meneliti pengarah-pengarah filem tersohor dari Asia macam Abbas Kiarostami, Li Han Siang, Lino Brocka dan ramai lagi. Dalam melukis pemandangan (scenery) agar sinematik, aku kira, Abbas Kiarostami menyambung kegemaran Akira Kurosawa. Sama macam Kurosawa, Kiarostami juga mengagumi seni lukis dalam cinema. Bedanya pendekatan Akira Kurosawa seiring dengan gaya naratif klasik. Sedangkan Abbas Kiarostami agak ke hadapan dengan gaya penceritaan yg poetic. Meskipun terdapat perbedaan, persamaan yang ketara antara Kiarostami dan Kurosawa adalah perlukisan scenary yang banyak dipengaruhi aliran impressionis dalam seni halus. Terkadang kita bagaikan berada di galeri/muzium seni menikmati lukisan-lukisan kehidupan (lihat Where is My Friend’s Home oleh Kiarostami dan Dodeskaden oleh Kurosawa). Tidak hairanlah jika Akira Kurosawa pernah bilang, dia kagum dengan Satyajit Ray dan selepas itu tak ada lagi sehinggalah datang Abbas Kiarostami.

Berbalik kepada apa yang aku perhatikan, seni perfileman kini sedang letih. Lebih-lebih lagi aku rujuk kepada senario yang berlaku di persada filem negara. Aku nampak banyak filem dibuat sembarang tanpa penghayatan. Ini sangat mendukacitakan! Aku tidak faham mengapa ia terjadi begitu menjolok? Sebab itu aku sering sarankan cinema hendaklah berbalik kepada pengertian sebenar. Yakni, memerhati garis-garis besar artifisial yang telah ditunjukkan lebih awal oleh para guru dan sifu seni halus. Dalam banyak rujukan aku memilih untuk memerhatikan Andy Warhol – sang cermin yang jujur dengan persekitarannya (di mana seniman-seniman lain tak lebih sekadar karyawan yang terbina dari refleksinya). Tak perlu dibebelkan lebih panjang tentang siapa Warhol. Cukup menyebut inilah insan yang mengilhamkan terjadinya arus/gerakan Pop Art.

Dalam waktu kemuncaknya sebagai artist/seniman, Warhol tanpa diduga meninggalkan lukisan. Dia bilang, aku dah tak melukis, aku lemas dalam setahun yang lalu (lebih kurang) dan duk bikin filem saja sekarang. Boleh saja aku nak buat dua kerja dalam satu masa (melukis-membikin filem) tapi bikin filem yang lebih tebal dalam perasaan aku. Padaku, selaku pengarah filem Warhol biasa-biasa sahaja. Tapi, sebagai tukang eksperimen tentang pengertian cinema, itu aku sangat kagum. Sudah jarang benar aku lihat filem mencipta penghayatan sebegitu sunyi seperti Empire oleh Andy Warhol. Empire menyajikan sebuah cerita lonjong sepanjang lapan jam – melihat tanpa berfikir – memaparkan bangunan The Empire State terpacak mencakar langit. Jadah apa hendak tengok lama-lama sambil kameranya hanya duduk tak bergerak? Semua barang jadi senang dalam sentuhan Andy Warhol. Sudah memang begitulah setiap hari. Dia menunjukkan sesuatu yang gundah. Dari sejak dibina sampai sekarang mana pernah bangunan itu berubah – inilah kenyataaan yang membosankan!

Warhol hayati semua perkara yang objektif dalam dunia ini tanpa payah pecah kepala (kecualilah perkara yang abstrak macam manusia). Dia bilang manusia ini abstrak atau sukar dimengerti. Kerana itu adalah penting untuk kita berfikir. Ya, selain dari penghayatan Warhol menusukkan pemikiran. Sebab itu cinema Warhol aneh, seperti tidak perlu berfikir tetapi ada pengajaran.

Secara sinematik, menggarap fikrah yang abstrak sangat menarik. Biasanya Warhol perhatikan perkara yang dikira remeh tanpa berselindung. Dalam sebuah filemnya berjudul Sleep (1964) memaparkan kisah seorang lelaki yang tidur selama enam jam setengah. Apa sebenarnya yang diceritakan? Ianya menceritakan perihal kita dan tentang tidur seorang lelaki. Sebab kita ini apa? Sudah disebut manusia ini sukar dimengerti – fantastik! Selain daripada diri kita, apalagi yang perlu kita perhatikan – lu fikirlah sendiri! Satu lagi filem dia berjudul Eat (1963). Dalam filem ini Warhol projeksi Robert Indiana makan selama empat puluh lima minit. Lain pula dalam Henry Geldzahler (1965) iaitu kisah seratus minit Henry Geldzahler menghisap cigar. Bila kita tengok filem Henry Geldzahler ini bagaikan lukisan potret.

Jadi apa sebenarnya pesanan/mesej yang dihantarkan oleh Warhol? Aku kira inilah hal yang sudah hilang dari karya-karya cinema mutakhir. Filem sudah jarang menghantar makna yang mendalam. Banyak filem-filem blockbuster Hollywood bersifat cuplikan. Mentah macam daging hanyir.

Kita harus ada lontaran idea yang munasabah. Sebab hebat sebuah filem bukan pada mekanisme, sebaliknya idea. Macam aku kata, yang mustahak bukanlah sangat filemnya sebab Andy Warhol ada tafsiran yang lebih jauh dari itu – (tapi jangan tanya dekat dia sebab dia takkan jawab, sebaliknya fikirlah sendiri!) iaitu bukan tentang cerita sahaja melainkan hubungan kita dengan manusia. Dia membawa pengertian dan nilai dan dari nilai-nilai yang dipupuk, Warhol menghantar komentar-komentar yang puitis habis! Dalam 13 Most Beautiful Women (1965) Warhol paparkan wajah tiga belas orang wanita yang cun bergetah. Mereka memandang kamera – kita memandang mereka. Adakah mereka lawa, yang paling lawa? (Betullah sangat!) Tapi mereka hanya di situ dalam tiga belas macam jenis lawa yang berbeda-beda. Tiga belas rupa manusia. Satu tangisan.

Maknanya, di sini ada saranan yang mendalam. Di mana banyak lagi contoh-contoh yang boleh disorot dari filem Andy Warhol. Lagi pula, benarlah filem Andy Warhol ditukangi dengan baik dan secara teknikalnya disulami keindahan. Dan pula dia ada ramai orang suka tolong dia dengan melahirkan pencahayaan kamera seperti Ronald Tavel yang kerap mengambil scenery yang ada motivasi dan makna mendalam. Setengah penganalisa membahagikan filem Andy Warhol kepada beberapa period. Yakni period di mana filem-filem yang dihasilkannya berdasarkan syot panjang (long takes) – ini termasuk Eat, Empire dan Harlot. Juga period di mana filem-filem yang dihasilkannya berdasarkan situasi-situasi dan drama-drama dari lakonlayar yang kebanyakannya ditulis Ronald Tavel – ia seperti Vinyl (1965), Horse or The Life of Juanita Castro dan lain-lain.

Ending: Ini adalah resolusi!

Setakat ini nampak sangat kita masih ketinggalan jauh. Anda boleh cakap benarlah aku bermimpi. Banyak benda yang aku sebut dari contoh-contoh karya underground – tak pijak di bumi nyata. Barangkali, keterlaluan – hakikat sebaliknya. Sebab aku sangat realistik berdasarkan kenyataan. Dari sebilangan banyak filem yang dihasilkan Warhol, satu yang menjadi pemangkin (catalyst) antara yang underground dan yang overground ialah Chelsea Girls (1966). Aku kata catalyst sebab filem ini menggunakan segala hukum baru – terpilih dari rangsangan cinema verite. Yakni, bahasa dari sebuah drama dan bahasa dari sebuah cinema baru yang disingkap secara bijak.

Chelsea Girls berhubung dengan cerita manusia. Dan ia berlanjutan dari satu manusia ke satu manusia lain. Tidak segila filem lain (atau setengah orang bilang ini kerja merapu), panjang ceritanya cuma tiga jam setengah. Cerita berkisar pengembaraan yang dipaparkan dari split screen – menelusuri sebuah syurga dan neraka yang kontemporer. Kejadian berlaku dalam beberapa bilik di dalam Hotel Chelsea dekat New York. Dan filem ini memaparkan semua sudut tentang manusia yang rumit dan sebaliknya. Aku rasa Chelsea Girls melengkapi pemahaman kita tentang penghayatan, pemikiran dan kedalaman yang harus ada pada setiap filem. Dia sangat berkesan. Untuk lebih menghayati. Bukan ada jalan pintas. Lu bacalah sendiri!

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Pernah menemuramah Pierre Rissient – lelaki Perancis yang terawal menonton filem-filem agung dari Asia dan merupakan wakil Festival Filem Cannes bagi Asia Pasifik – pada tahun 2004 di Carcosa Seri Negara. Lagi satu, dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir, new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: CINTA, ISLAMIQUE & FILEM DIGITAL.

27 Ogos 2010.