Lewat beberapa waktu ini hangat diperkatakan tentang Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Belum pernah sebelum ini sebuah parti politik pembangkang di Parlimen diberikan liputan hangat sebegini. Umumnya perhatian ini berkemungkinan besar terjadi kerana kejayaan Pakatan Rakyat (PR), satu bentuk kerjasama di kalangan parti-parti yang selama ini menjadi pembangkang di Dewan Rakyat, menafikan majoriti dua pertiga kerajaan pemerintah.

Pemilihan kali ini juga nampak berbeza. Ia dijalankan berdasarkan perlembagaan Keadilan yang telah dipinda dan diluluskan semasa Kongres Nasional Khas parti itu pada tahun 2009 sebelum kemudiannya oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada 28 April 2010. Pindaan ini mempunyai erti besar dalam usaha memperluaskan makna demokrasi untuk dirasai oleh pemilih, iaitu ahli Keadilan itu sendiri. Mereka sebagai ahli setiap seorang berpeluang untuk mengundi, berbeza dengan sistem perwakilan yang dipakai dulunya. Ini satu eksperimen menarik. Ia adalah satu cabaran pendemokrasian untuk mana-mana parti politik yang mahu memimpin di zaman lebih terbuka ini.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Keadilan untuk ini. Sekurang-kurangnya, ahli parti mempunyai ruang untuk menegaskan pilihan mereka sendiri sebagai individu. Ini mirip dengan kuasa setiap individu (mengikut kawasan masing-masing) untuk memilih Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa berlakunya Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil berlangsung. Ini penting kerana sekurang-kurangnya setiap wakil rakyat itu mendapatkan mandat daripada majoriti pemilih yang menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

Apa yang harus diingat ialah pendemokrasian (penyertaan ramai) ini bukanlah jaminan bahawa kehidupan akan sempurna. Apa yang cuba dijamin melalui proses ini hanyalah satu jaminan hak untuk mencari kesempurnaan hidup. Peringatan oleh Reinhold Neihbuhr dalam karyanya, The Children of Light and the Children of Darkness: keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi terjadi tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi perlu” perlulah dihayati. Ia bukanlah asing kerana ungkapan sama telah dimuatkan sebagai sebahagian peringkatan dalam Perisytiharan Permatang Pauh saat gelombang reformasi itu masih baru meledak.

Justeru, rakyat (dan ahli Keadilan dalam konteks parti) perlulah menyedari bahawa harapan tinggi untuk mengangkat martabat insan melalui penegakan keadilan serta jaminan kebebasan perlulah ditunjukkan melalui penyertaan bermakna dan bukan lagi superficial sebagaimana sering diulang oleh kebanyakan pemimpin yang mahu menjustifikasikan kediktatoran dengan dakwaan “negara kita adalah sebuah negara demokrasi kerana kita menjalankan proses Pilihan Raya”.

Bagaimanakah memastikan semua ini lancar? Tentulah sebagaimana banyak dakwaan oleh pembangkang serta pergerakan BERSIH, proses dan institusi yang menjalankannya mesti dilihat dan diyakini adil dan bebas. Sebagaimana penegasan Puan Nurul Izzah, Yang Berhormat bagi Parlimen Lembah Pantai, ‘bos’ dalam pengertian pertanggungjawaban mestilah kepada rakyat dan diimbangi oleh Perlembagaan. Prinsip ini adalah sama dengan pemilihan Keadilan di mana ahli serta Perlembagaan Parti wajiblah dijadikan sandaran. Justeru, peraturan pemilihan serta institusi dan penggeraknya perlulah dilihat dan diyakini bebas dan adil. Jika tidak, sekali lagi, kita hanya menonton satu lagi demokrasi yang superficial.

Kita tahu banyak isu boleh muncul menjelang pemilihan. Kita telah mendengar kisah-kisah biasa seperti serangan peribadi, peremehan idea serta perancangan strategi lawan dan pelbagai tuduhan lain. Memang selama ini juga umum maklum isu rasuah, politik naungan kepada kroni dan keluarga telah bersarang dalam politik negara.

Saya ingin memuji langkah membenarkan setiap ahli yang sah mempunyai suara secara langsung dalam pemilihan Keadilan. Ia sekurang-kurangnya membataskan peluang, jika ada, bagi mana-mana calon untuk membeli undi pemilih. Dengan ahli seramai sekitar setengah juta, hampir tidak munasabah untuk pembelian undi berlaku bagi memastikan kemenangan. Jika ada sekalipun, ia tidak mungkin dapat memenuhi ‘permintaan pasaran’, paling tidak separuh daripada ahli yang ada.

Dengan meningkatnya kuasa pemilih ini, mereka menentukan sama ada persepsi kronisme atau nepotisme itu absah, atau memang yang dinamakan kroni atau ahli keluarga itu mempunyai merit untuk menduduki jawatan tersebut atas kapasiti peribadi. Di sini, dinamika dan kreativiti individu atau kumpulan tertentu yang ingin mendapatkan jawatan tertuntut dengan sendirinya.

Saya juga amat tertarik dengan ‘Debat AMK’ yang dianjurkan oleh perkumpulan masyarakat sivil yang menggelarkan diri mereka Universiti Terbuka Perak (Ureka). Pertama, meskipun ia lebih berbentuk forum, sekurang-kurangnya telah membawa satu dimensi baru kepada corak pemilihan yang biasa. Kehadiran bakal calon serta kesediaan anak muda untuk bertukar fikiran dengan mereka menunjukkan satu daya baru kepada gerakan reformasi secara umumnya. Paling tidak, jika bukan pada isinya, bentuknya ada. Memang ia mirip forum siaran RTM yang membariskan saudara Khairy (YB), saudara Khir Toyo (YB) dan saudara Mukhriz (YB). Cumanya, ia datang daripada akar umbi dan dibuat bebas berbanding dokongan media massa.

Saya tidak pasti sama ada jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden nanti akan mendepankan proses yang serupa. Setakat ini, banyak ‘pertelingkahan’ berlaku di media. Seharusnya semangat format Debat Kepresidenan Amerika boleh dicontohi sebagai amalan parti dan tidak harus ada rasa gentar bahawa ia akan menjadi medan memberikan peluru kepada lawan. Sungguh, sekiranya ‘perebutan’ jawatan itu disandarkan kepada kekuatan idea dan peribadi yang mendorongnya, tidak ada asas ketakutan sebenar melainkan ianya terhalang oleh ‘ketakutan’ yang ditempa sendiri.

Memang, ini tahun pertama Keadilan melaksanakannya. Justeru, apa yang dilihat serta dipaparkan media sebagai kucar-kacir itu bukanlah satu perkara di luar jangkaan. Kita sudah biasa mendengar “perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama”.

Selepas menyambut Kemerdekaan ke-53 dan meraikan pembentukan Malaysia kali ke-47, kita tentu boleh berharap bahawa satu hari nanti rakyat sendiri boleh mengundi secara langsung memilih Perdana Menteri yang mereka yakini dan perwakilan di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri itu berkadar (proportionate representation) atau dalam kata lain, jumlah perwakilan mana-mana parti di Parlimen adalah cerminan jumlah undi yang diterima oleh parti-parti tersebut. Jika diteliti jumlah undi majoriti di Parlimen sejak dulu, kita akan menemukan satu corak pemilihan yang seimbang, iaitu parti pemerintah tidaklah mendapat undi lebih daripada dua pertiga pada setiap kali Pilihan Raya Umum. Pilihan Raya Ke-12 misalnya, jumlah undi Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah adalah sekitar 51% sementara jumlah undi PR pula adalah sekitar 49%. Namun, ini tidak nampak diterjemahkan dalam bilangan perwakilan di Parlimen. Jelas, pengaturan sistem sekarang (termasuk proses pembentukan kawasan pengundian melalui gerrymandering) tidak cukup mencerminkan nisbah tadi.

Demokrasi akan menjadi bermaruah jika kita dapat menerima hakikat bahawa kemenangan Pilihan Raya tidak beerti menang segalanya dan kekalahan Pilihan Raya tidak beerti kalah segalanya. Sesungguhnya, sandaran kemenangan dan kekalahan kepada pertanggungjawaban, ketelusan, kebebasan dan keadilan yang diterjemahkan melalui kepastian hukum dan jiwa besar ‘para pemain politik’ itulah yang akan membolehkan ruang demokrasi dibuka seluasnya, sekaligus memberikan tempat kepada mereka yang layak, atau paling tidak dilihat dan diyakini layak oleh para pemilih.

Amin Ahmad, 28 ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Beliau telah mengundi sebanyak 2 kali dalam Pilihan Raya Umum dan pernah ikut bertugas memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil di Ijok, Selangor pada tahun 2007.

Amin Ahmad BERSIH Khairy Jamaluddin Khir Toyo Mukhriz Mahathir Nurul Izzah Parti Keadilan Rakyat Pemilihan Pemilihan Terus Perisytiharan Permatang Pauh PKR politik Reinhold Neihbuhr The Children of Light and the Children of Darkness

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan