Buat @megreat @kalash_s dan @superredpatek*

Saya mengalami kesukaran untuk tidur pada minggu-minggu terakhir Ramadhan. Hanya Tuhan sajalah yang tahu sebabnya. Kesukaran  untuk beradu itu membolehkan saya meluangkan masa yang bukan sedikit di ruangan Twitter. Dan dari salah satu malam-malam yang sepi itu, “berkicaulah” beberapa sahabat muda dengan saya berhubung Pemilihan PKR 2010.

Mereka resah melihat perkembangan yang berlaku seputar Pemilihan itu sungguhpun mereka bukanlah ahli parti berkenaan. Mereka resah cita-cita PKR untuk membawa obor demokrasi di negara ini akan terpadam kerana kempen sempena pemilihan terus yang sedang rancak diadakan.

Maka malam yang selalunya dingin sepi bertukar hangat. Wacana berlangsung dan lontaran soalan bertalu-talu dihadapkan kepada saya. Mereka mempersoalkan “real politik” yang sedang berjalan. Mereka mahukan kempen yang beretika dan bersih. Mereka mahukan demokrasi berlangsung dan pada masa yang sama PKR mesti memastikan makna luhur dari amalan demokrasi tidak tercalar.

Mereka mahukan yang ideal kerana ternyata mereka idealis. Siapa boleh salahkan mereka? Mereka muda dan inilah masanya untuk bersikap idealis. Mereka gusar pemilihan terus yang sepatutnya merai dan mendakap semangat demokrasi, menjadi penyebab kepada ‘The Birth of Tragedy.’

Mereka gusar usaha memperkukuh demokrasi dimamah musnah anasir yang melampau sekaligus melenyapkan harapan mengwujudkan sebuah Malaysia yang baru. Malaysia yang bakal diwarisi mereka.

Pertanyaan yang dilontarkan harus diakui mampu merobek kesabaran sesetengah orang. Hanya bila merenung dengan tenang membolehkan kita melihat lapis kejujuran di sebalik soalan serta kritikan anak-anak muda itu. Keresahan mereka menzahirkan harapan dan rasa cemas.

Harapan, moga dengan pemilihan terus ini, menjadi pencetus kepada usaha pendemokrasian yang lebih bermakna.

Cemas, apabila demokrasi menampilkan sisi-sisi buruk yang mengerikan. Pemilihan terus PKR mendedahkan wajah sebenar demokrasi yang mulai bertatih menuju kematangan. Acara bersejarah ini ternyata bukan untuk mereka yang lemah semangat dan cepat putus asa. Ia menggugah keyakinan mereka yang mengaku beriltizam dengan perjuangan demokrasi.

Maka tidak salahlah anak-anak muda itu menghujani saya dengan pelbagai soalan dan pertanyaan. Mereka mahu tahu wajarkah pemilihan ini diteruskan. Mereka mahu tahu mengapa demokrasi yang seharusnya membawa khabar gembira, membawa cerita sebaliknya. Mereka mempersoalkan jika pemilihan ini berlangsung buruk, bukankah kisah demokrasi ini suatu tragedi?

Kerana itu kita harus berani bertanya jikalau jalan menuju demokrasi ini berliku dan membenihkan “tragedi,” tidakkah segala kebobrokan yang terjadi selama ini meyakinkan kita bahawa Malaysia sebenarnya diselubungi tragedi yang lebih besar. Tidakkah penahanan seorang kartunis kerana karikatur politikalnya itu suatu tragedi? Tidakkah ianya suatu tragedi apabila akhbar seperti Utusan masih berdegil dengan agenda perkauman sempitnya dan seorang diktator tua yang sepatutnya sudah bersara kian hari kian nyanyu menggugat kestabilan negara.

Mungkin ada yang mahu berhujah tidak, ianya sebenarnya komedi gelap, terselit dalam naratif kisah tragedi. Saya kira saya boleh menerima hujah sedemikian. Sememangnya tragedi mempunyai sisi komedi gelap. Telaah saja karya Shakespeare dan Sophocles, di saat anda serius menghayati, pasti ada babak yang menerbitkan ketawa. Misalnya dalam Julius Ceasar, kita tertawa bagaimana penduduk Rome akhirnya memilih untuk bersama Mark Antony dan Octavius selepas pembunuhan Ceasar oleh Brutus.

Ucapan belasungkawa Mark Antony buat Julius Ceasar bermula dengan, “Friends, Romans, countrymen, lend me your ears; I come to bury Caesar, not to praise him” akhirnya menyebabkan ramai dari penduduk Rome mula menjerit-jerit, “Revenge! About! Seek! Burn! Fire! Kill! Slay! Let not a traitor live!” Sekonyong-konyong mereka yang baru tadi meraikan kematian Ceasar kini mahu menuntut bela. Kita terkejut membacanya! namun perlahan-perlahan pasti tertawa.

Kita ketawa kerana apa yang dinukilkan Shakespeare, rupanya masih mengesankan. Babak itu mengingatkan kita betapa hebatnya kuasa persuasi dalam ruang politik. Demokrasi pastinya tidak terpisah dengan upaya persuasi. Setiap aktor berusaha sedaya upaya membujuk dan menyakinkan kita merekalah pilihan terbaik. Pastinya imajinasi Shakespeare tidak menjangkaui upaya persuasi yang berlaku sekarang. The Bard hanya menggunakan wadah retorika serta syarahan, manakala mutakhir ini kempen politik sudah mengambil bentuk yang begitu canggih dan tidak jarang menjengkelkan.

Akan tetapi itulah “real politik.” Ianya suatu pertembungan dan ianya memedihkan. Dan tidak bersalahanlah jika saya anggapnya merupakan suatu karya tragedi. Namun hakikatnya demokrasi dan politik memungkinkan suara ramai diambil kira dan dipedulikan. Politik adalah medan dan demokrasi merupakan suatu perjuangan yang tidak kunjung habis. Kerana itu medan politik dan perjuangan menuntut demokrasi bukan untuk mereka yang lekas berputus asa. Ianya untuk mereka yang berani dan idealistik.

Dan politik serta demokrasi juga medan mendedahkan betapa ramai badut yang wujud di luar sana. Mengingatkan kita kepada kisah tragedi dan sisi komedi gelapnya. Ini tidak bermakna kita harus memandang rendah badut-badut politik itu. Mereka juga mahir mengungkapkan fahaman serta anutan kepada khalayak. Sejarah memperlihatkan kepada kita begitu ramai badut mengalahkan idealis menggunakan medan politik dan ruang demokrasi. Bukankah selama 22 tahun para idealis tewas di tangan badut politik terulung dalam sejarah moden negara ini? Apa ini bukan bukti negara ini sekian lama dilanda tragedi?

Pastinya tulisan ini bukanlah bermaksud untuk mempertahankan kedangkalan serta kekalutan yang berlaku sepanjang Pemilihan PKR 2010. Malahan saya tidak mahu apologetik berkaitan itu. Saya berazam mahu mara terus dan berharap sepanjang perjalanan tersebut diberi kekuatan untuk mengalahkan seramai mungkin badut-badut politik yang berkeliaran di ruang demokrasi. Justeru itu menjadi kebanggaan buat saya, sungguhpun menyedari segala kelemahan serta mehnah yang bakal muncul, Keadilan mara terus dengan agenda satu ahli, satu undi. Jika pemilihan ini mencetuskan “tragedi,” yakinilah, negara kita berhadapan dengan “Tragedi” yang lebih besar dan “Badut” yang lebih menakutkan.

Persoalannya pilihan di tangan kita, mahukah kita kepada demokrasi. Permasalahannya, tidak cukupkah selama berdekad-dekad dengan politik feudal, perkauman sempit serta pembelotan, membuatkan kita sadar, hanya ada satu jalan! Hanya ada satu pilihan, iaitu jalan menuju sebuah negara dan masyarakat demokratik.

*ini adalah tweet handle young guns twitterjaya. Jangan follow mereka jika anda sakit jantung

Eekmal Ahmad, staf Dato’ Seri Anwar Ibrahim, masih menganggap majalah Monocle adalah majalah paling cool di planet bumi dan Coldplay selama-lamanya tidak akan lebih rockin dari Radiohead !

Eekmal Ahmad Julius Ceasar Parti Keadilan Rakyat Pemilihan PKR 2010 PKR politik Shakespeare

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. pemilihan sudah cukup mencerminkan kepincangan demokrasi di dalam pkr sendiri. Tidak perlu berhujah berjela-jela semata nata untuk menutup kelemahan.tidak perlu bercerita tentang badut jika anda sendiri juga seperti badut sarkas di dalam pentas politik parti yang tidak pernah mempinyai pendirian yang seimbang.