Ceritera Bayangan Mimpi
oleh Hafiz Hamzah
23 September, 2010 | kategori Buku | komen [0] | Cetak | kongsi Twit
Namaku Epal Kuning
Roslan Jomel
DBP
2010
Namaku Epal Kuning. Sebelum itu aku merupakan manusia seperti saudara juga. Sudah tentu saudara tertawa berhadapan imej hodohku ini berbanding ciptaan sempurna Tuhan. Di atas muka bumi, akulah spesis yang hidup tanpa otak. Jahiliah. Sudah tentu saudara menyindir gelang secular yang sentiasa tersangkut pada seluruh anggotaku. Tiada identiti kepercayaan sebagai pedoman hidup. – Roslan Jomel, Namaku Epal Kuning.
~
Dalam mimpi tidur malam, beratus-ratus watak boleh saja bangkit dan membangun cerita yang bermacam-macam. Kesedihan, kepiluan, kebencian, kenikmatan, cinta dan apa-apa lagi. Semua orang boleh menjelma untuk menjadi apa saja.
Dan mimpi, dengan sifatnya yang berseri dan menggerunkan, memang menemukan kita di antara yang nyata dan yang khayal. Ada orang menyebutnya sub-conscious, mungkin. Lima puluh – lima puluh. Kegilaan alam khayal yang tiba-tiba diperturunkan sekali dengan emosi yang pekat dan dalam. Memasukinya, atau memikirkannya semula selepas tersedar dari tidur akan mencampakkan orang ke ruang asing yang keliru. Tak ada penjelasan yang nyata untuk semua itu. Ia tak ada, tetapi ia tetap menunggu untuk menelan kita.
Di dalam sebuah mimpi, anggap saja seseorang datang, memandu sebuah kereta dan mengajak sama kita – sang pemimpi – untuk duduk di sebelah dan pergi meronda. Ke sebuah kota yang tak asing buat kita; katakan kota itu Kuala Lumpur.
Perjalanan itu bukan yang aneh-aneh. Kita memang sudah meramahi kota itu; setiap jalan, setiap lorong dan setiap celah, tak ada yang menghairankan. Semua tempat itu sudah terdaftar dalam memori nyata, katakan. Sang pemandu juga tidak membawa kita ke tempat-tempat baru, yang mungkin akan membuatkan orang ghairah – melihat lampu-lampu neon digital turun dari langit misalnya – dan berasa sangat-sangat kagum.
Tetapi, entah disebabkan apa, kita tetap menikmati tour berkenaan. Memang tak ada yang baru, tetapi pemandu tadi mengajak kita untuk melihat kota Kuala Lumpur dari sudut pandang dan perspektif lain – dalam sebuah kereta yang hamis dan hapak. Tiba-tiba, dalam mimpi itu, kerap kita menjadi tidak mengenali kota itu, termasuk diri kita sendiri.
Di dalam bayang-bayang yang ditunjukkan itu, ada perkara yang kita tak mahu lihat atau tahu tentangnya. Ada ketakutan yang dilahirkan ditengah-tengah kota; nanti akan sampai waktu di mana semua akan terbuang dan terdampar tanpa harapan. Disebabkan apa, entahlah. Mungkin oleh watak-watak egois yang sempit. Atau boleh saja disebabkan oleh kebebalan kita sendiri yang mana mata hati dan emosi sudah terpasung oleh apa yang kita yakini sebagai hal-hal yang nyata. Kerana di alam mimpi, kenyataan adalah lelucon semata.
Agaknya, di dalam pertembungan realiti dan khayal sebeginilah tempat di mana Roslan Jomel, penulis buku himpunan cerita-cerita ini kerap melemparkan dirinya. Namaku Epal Kuning, walaupun merupakan buku pertama karangannya yang diterbitkan, ia tetap memacu rasa dan pengalaman pembacaan yang tergelincir dari faham stereotaip dan konvensional, apa lagi ketika melihat pertembungannya dengan kebiasaan dan normaliti kebanyakan pengarang fiksyen Malaysia yang bernaung di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Tiga tahun menunggu untuk kerja-kerja ini diterjemahkan menjadi sebuah buku daripada sebuah draf manuskrip asal seperti membayar harga yang mahal. Mujur dia memilih untuk tidak sekapal dengan karangan-karangan lain yang selalu diterbitkan DBP, yang banyak daripadanya merupakan kerja-kerja sastera yang diulang dan usaha-usaha bunuh diri lainnya, yang kerap tanpa sedar menghumbankan diri mereka sendiri ke lombong untuk selepas itu dilupakan orang.
Tetapi perkara sebegitu tidak berlaku dengan judul ini. Ada sedikit harapan yang terselit di antara lembar-lembar kertasnya, yang mendorong untuk menghidupkan setiap watak-watak rekaan di dalamnya – yang pada kebanyakan waktu begitu komikal – untuk terus menjalani hidup mereka diruang khayal dan tetap melakukan bakti kepada yang membaca; menghiburkan, mengelirukan serta memalsukan pengalaman kehidupan di alam nyata.
Di dalamnya tersurat 18 cerita yang akan membuatkan kita tertanya-tanya. Mungkin juga tidak akan difahami apa sebetulnya yang mahu disampaikan. Ketika kita merasakan tulisan-tulisan itu sedang berbicara tentang realiti, sekejap itu juga norma-norma palsu akan menjelma untuk menjelaskan dirinya dan mengingatkan kita bahawa pengarangnya sedang mengikat antara kedua-dua itu dengan pesona.
Sebuah cerita, misalnya Jerusalam Baru, menemukan pembaca dengan kekalutan dunia fiksyen, dengan jumlah watak-watak yang minimal, tetapi berlingkar di dalam spektrum dan barangkali boleh saja disebutkan hadir dengan proses pemaknaan yang liar. Karangan itu bermula dan berakhir dengan satu perenggan yang sama. Dan, di antara dua pembuka dan penutup ini adalah penjelasan proses kreatif. Ini yang dicoretkan:
Saya diberi tempat tinggal di dalam tandas oleh Tuan Rumah yang baik hati. Hampir sebulan saya diperam tanpa pedoman dan sejalur cahaya. Kemudian, bertahun lamanya hingga sesaat berlalu di depan saya bagaikan beratus tahun. Di sinilah kewujudan saya. Dilarut udara busuk yang mencairkan urat saraf. Pemikiran saya membeku bagaikan ketulan ais. Pancaindera saya tercemar diapit dinding berlumut. Hanya ada sekeping cermin di singki yang juga kekaburan oleh wap yang terperangkap. Segala-galanya meniduri jiwa.
Melalui himpunan cerita-cerita ini, Roslan Jomel adalah watak pemandu di dalam mimpi di awal tadi. Dia menghidupkan enjin kereta, tetapi kemudiannya kereta itu tidak bergerak di aspal jalan, melainkan sedikit-sedikit mula terjungkit dan akhirnya kita bayangkan ia seperti terlepas dari pasakan graviti. Terapung meliar menunggu angin lalu untuk menentukan arah perjalanan. Awalnya, kita berasa gusar dan seram, kerana sebelum ini belum ada yang cuba membawa kita seperti dia. Takut kalau-kalau terhempas ke bumi dan patah riuk.
Odisi pencerekaan Roslan Jomel akhirnya membuatkan kita tersenyum dan melupakan dunia buat seketika. Kerana, dunia ciptaannya – yang bebas tempat dan detik masa – tidak memungkinkan sebuah imajinasi yang terapung dari kenyataan menjadi hambar. Ia meliar dan tak minta ditambat logika untuk menjadi candu baru.
Kemudian, bahasa berbicara dengan tenang, untuk kita terus berlegar di dalam mimpi itu tanpa rasa janggal. Kerap kali juga merasa terhibur dengan kekuatan imajinasi pengarangnya yang di luar lingkar kebiasaan. Tak kurang juga, ia membiarkan kita terperangkap dalam alam rekaan itu, untuk kita nanti akan mahu kembali dan menikmatinya lagi, walaupun yang dirasai itu mungkin tidak sama dengan apa yang sebetulnya mahu disampaikan.
Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.
Kiriman Berkaitan
- Empat Sajak Hafiz Hamzah Hafiz Hamzah
- Bunga Hati Sputnik Mekar Sekerat Hafiz Hamzah
- Recoleta Nirwan Dewanto
- Bersih 2.0: Di Balik Tirai Dirimu Ainis Azreen
- Sajak-sajak Wahyudi Yunus Wahyudi Yunus
- Hyapatia dan Agora Dr. Afif Bahardin
No related posts.