Meor ketika membuat persembahan bersama seorang teman.

Saya adalah seorang busker, street musician, pengamen atau pemuzik jalanan. Banyak kawan-kawan bertanya kenapa saya pilih kerjaya seperti ini? Banyak mata sinis yang memandang namun semakin ramai yang mula menghargai. Negatif mahupun positif pandangan orang bagi saya OK saja, tak ada hal.

Seingat saya, 10 tahun saya simpan cita-cita nak jadi seorang busker, tapi mengenangkan perasaan malu yang sangat tebal, saya simpan cita-cita itu. Entah apa yang nak dimalukan sangat, saya pun tahu sebabnya. Mungkin sifat saya sejak dari kecil agak pasif dan terkebelakang dalam hal-hal kehidupan dan sosial.

Tahun 2000, saya beranikan diri untuk cuba bermain muzik dengan kawan-kawan di Pasar Seni. Busking ni bagi saya satu bentuk latihan yang sangat berkesan dan praktikal, maknanya kita tak perlu sistem amplifier mahupun mikrofon, melainkan tulang empat kerat sahaja. Untuk latihan vokal bagi saya ianya sangat bagus dan berkesan. Kalau di negara maju, busking adalah salah satu cabang kerjaya yang diiktiraf oleh pihak kerajaan, seperti di Eropah misalnya.

Ramai kawan-kawan yang mengajak saya ke luar negeri untuk mencuba nasib sebagai busker di sana  dan ramai kawan-kawan yang berkerjaya sebagai busker di sana dan bagi mereka lebih menarik dan mencabar. Tapi itulah, seperti yang selalu saya katakan, keadaan saya ini sepertimana dihadapi Nabi Isa dalam filem ‘Last Temptation of Christ’, dibayangkan tatkala dia sedang merana di palang salib, datanglah iblis memujuk, meminta Isa tinggalkan kesengsaraan, jadilah seperti manusia, beranak-pinak dan mengimpikan kehidupan materi sama seperti orang lain.

Saya tak punya banyak pilihan, sudah berkeluarga dan punya komitmen terhadap kehidupan berkeluarga. Biasanya peluang pula datang bila kita sudah melepasi tempoh yang telah kita tetapkan. Kalau masa bujang dulu tak ada pula peluang sebegitu yang datang.

Tapi walau apa pun saya tetap berpuas hati terhadap pencapaian saya sebagai seorang busker di Malaysia. Bayangkan kalau dulu kerjaya sebagai busker sering dilihat negatif oleh golongan masyarakat mahu pun penguasa, bahkan saya sendiri pernah dicekup dalam satu operasi oleh pegawai polis dari cawangan IPK, ketika sedang busking di Pasar Seni pada tahun 2005 dulu. Saya disuspek sebagai penagih dadah, terpaksa bermalam selama empat malam di lokap penjara Pudu. Setelah laporan air kencing saya dari hospital disahkan negatif, barulah saya dilepaskan. Bagaimana pun pandangan yang sebegitu semakin terhakis dari persepsi pandangan masyarakat.

Pihak kerajaan sepatutnya memberikan sokongan pada golongan busker, sokongan dari segi pemberian permit contohnya. Busker bukan pengemis. Mereka hanya memperdengarkan bakat muzik dan nyanyian mereka di jalanan. Ianya adalah salah satu cabang persembahan seni yang perlu masyarakat dan pihak kerajaan hargai. Malangnya masyarakat di sini, masih ditahap permulaan untuk belajar mengenal dan menghargai. Ianya mungkin kerana istilah atau kefahaman tentang seni dan hiburan itu sendiri yang sering disalah-faham sejak zaman Jalan Ampas lagi.

Berbalik pada cerita busking, saya pernah melalui tempoh sukar sebagai seorang yang mencari duit dengan hasil busking untuk menyara anak dan keluarga. Sekarang pun masih juga sukar, tapi tidaklah sesukar dulu, 6 tahun lalu. Sekarang saya telah disediakan tempat dan diberi permit untuk busking di KL Sentral oleh pihak KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad). Dulu  terpaksa mencongak nasib, ke Jalan Alor, ke Brickfield, ke Puduraya untuk busking. Kadang-kadang  terpaksa bermalam di kedai makan Uptown Damansara kerana bas terakhir sudah habis dan terpaksa menunggu pagi esoknya untuk pulang ke rumah. Sudahlah begitu, keluarga sendiri pun ingat kita ini penagih dadah.

Hari ini situasi sudah berubah sedikit, muzik dan karya-karya saya pun semakin diterima ramai. Ianya satu proses yang sangat panjang dan tak berpenghujung.

Apa yang menyeronokkan tentang busking ini ialah kita akan melalui pengalaman hidup yang berbeza setiap hari. Suatu survival di mana kita tidak akan pernah tahu berapa rezeki yang kita akan dapat pada hari itu. Umpama seorang pengail ikan, nelayan mahu pun penoreh getah. Dulu kalau hari hujan maknanya tak dapatlah nak busking, kerana kita busking di tempat yang terbuka.

Saya busking dengan tujuan untuk menghiburkan orang ramai dan diri sendiri. Dulu masa awal-awal busking, saya nyanyi lagu yang saya suka saja yang mana nilai komersialnya kurang, tapi bila sambutan kurang penonton akan beredar, kita pun tahu yang lagu yang kita nyanyikan gagal menarik minat penonton yang menonton persembahan kita, jadi saya pun layanlah selera ramai, barulah OK sikit.

Mengenai lagu-lagu saya sendiri, jika ada permintaan barulah saya nyanyikan lagu-lagu dari album saya.

Biasanya kalau dari segi pemilihan lagu oleh busker-busker terdahulu, secara tradisinya lagu Hotel California nyanyian Eagles, lagu Knockin on Heaven Door ( Bob Dylan) itu lagu wajib. Pun begitu saya agak teruja pada seorang busker di pertengahan 80-an dulu, pemilihan lagu-lagunya bagi saya sangat menarik dan mahal. Namanya Wahid, beliau ni memang saya salute, walaupun dia seorang penagih. Beliau akan menyanyikan lagu-lagu yang jarang dinyanyikan seperti lagu Sade, Beatles, Pink Floyd, Joe Cocker dan banyak lagi. Yang bagusnya beliau akan menyanyikan mengikut cara beliau sendiri.

Antara busker-busker terdahulu yang hebat di tahun 80-an bagi saya seperti Wahid, Adi Jagat dan Sidek. Adi Jagat pun hebat juga, dia ini banyak menyanyikan lagu-lagu kritik sosial dari penyanyi Iwan Fals. Sangat kreatif orangnya. Sidek pula seorang penghibur, dia pandai menarik penonton untuk layan persembahan dia. Dulu setiap kali Sidek memulakan persembahan, memang ramai yang menonton, macam orang jual ubat lagaknya.

Di tahun 90-an ada Sherry, Jimi, Ijam, Nan Blues dan kumpulan Busker. Sherry yang saya kenal agak rapat dulu, banyak mainkan lagu-lagu Rolling Stones, Van Morrison dan lagu Hendrix, Ijam pula lagu-lagu 60-an orang putih seperti lagu Beatles yang catchy. Manakala saya adalah dari generasi yang ke tiga rasanya, bersama kawan-kawan lain seperti Nikbinjidan, Nan Blues, Syed Amran dan beberapa nama yang mungkin saya  terlupa. Nan Blues masih bertahan sebagai antara busker terawal sejak awal 80-an lagi, di Wisma Yakin suatu masa dulu. Cuma Nan jadikan kerjaya busking ni sebagai kerjaya sampingan sahaja kerana dia punya kerja tetap di waktu siang. Walaupun sudah berusia 51 tahun, Nan masih gagah lagi bermuzik. Salute.

Kalau di KL Sentral, dari segi pemilihan lagu, saya akan nyanyikan kebanyakannya lagu Inggeris sebab penerimaan masyarakat berbilang bangsa itu sendiri. Ada orang putih, Cina, India, Kadazan, Punjabi, Melayu . Lagu-lagu pula variasi dari pop sampailah ke genre rock dan blues.

Bagi saya ini watak saya di dunia ini, seorang busker. Semua manusia ada watak masing-masing yang dijadikan Tuhan semesta alam. Saya pun tak kisah jika orang akan kenal saya sebagai seorang busker, bukan sebagai penulis atau pemuzik.

Meor Yusof Aziddin, seorang busker yang telah menghasilkan sejumlah album. Sekarang ini sedang menyiapkan album terbaru di samping menulis blog di www.pestajiwa.net.

Beatles Bob Dylan Busker Eagles Jimmy Hendrix Joe Cocker Meor Yusof Aziddin Musik Pink Floyd Rolling Stones Sade Van Morrison

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Mohon mencelah sikit kat sini yop.

    Busking ni macam Meor nyatakan di atas.Bukan kerja senang,bukan kerja gilamour (gila glamour).Bukan mengemis.Kalau zaman tok kadok dulu, ibarat macam kerja si pengail keluar dgn biduk kecil menyusur anak2 sungai dan lubok untok mencari rezeki.Itu saja.Hari ini,seorang busker keluar rumah berbekalkan semangat dan gitarnya..atau apa yg boleh di hayun jadi bunyi.Sama saja.Busker adalah orang yg berusaha untok hidup.
    Hari ini orangramai banyak sudah menerima kehadiran kami.Tapi, masih juga ada yg memandang sinis,tanpa mahu memahami.Tak apa,biarkan mereka.
    Satu hari nanti,buskers akan terus di terima di kalangan lapisan masyarakat.Cuma perlu,busker mesti berpenambilan positif dari segi sikap dan ‘image’ dan juga mesti berusaha menjadi saorang yg berpengetahuan.Kami berbangga (bukan berlagak) dgn apa kami buat kerana kami adalah generasi perintis jalan ini.Perintis memang memang melalui jalan sukar untok mereka yg bakal melalui jalan yg kami telah terokai.

    Mari kita jalan terus.