Menggaris-luruskan Sejarah

Sejarah selalu bengkang-bengkok. Termasuk sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Atas kesedaran dan keinsafan ini, maka perlu dinyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa sejarah kemerdekaan Tanah Melayu bukan hanya bersisi “damai”. Kemerdekaan bangsa dan tanah air kita juga dengan korban jiwa.

Adalah dusta besar apabila sejarah kemerdekaan Malaysia hanya didominasi oleh parti-parti politik. Bertambah dusta apabila cuba digambarkan hanya oleh sebuah parti politik. Perjuangan, malah kesedaran tentang wujudnya kezaliman oleh pemerintah (penjajah) tercetus bahkan sebelum wujudnya parti-parti politik. Adalah mustahil kesedaran atau perjuangan parti mendahului perjuangan insan; sedangkan parti itu sendiri wujud (tertubuh) kerana kesedaran manusia.

Nama-nama seperti Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Indera dan ramai lagi tidak boleh dipandang sebagai di luar kegigihan menuntut kemerdekaan. Tanpa menolak tokoh-tokoh yang lahir selepas wujudnya parti politik; namun sangat mendukacitakan, sangat rugi dan tidak benar andai hanya tokoh atau nama tertentu sahaja dimuatkan sebagai pejuang kemerdekaan.

Samalah halnya apabila disemak soal parti yang berjuang untuk kemerdekaan.

Kaum muda dan generasi seterusnya selepas terbitnya Testamen ini harus sedar bahawa sekian organisasi dan pertubuhan telah sama-sama membentuk arus menuntut kemerdekaan. Bukan sahaja UMNO, tetapi jauh daripada itu, nama pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul-Muslimin dan banyak lagi organisasi yang tak disenangi oleh Inggeris terutamanya, juga sangat berperanan dan berjasa kalamana jejak perjuangan bangsa kita menuntut kemerdekaan.

Dalam masa yang sama, generasi muda juga harus menyedari betapa semangat nasionalis yang bangkit itu berangkai-rangkai. Bukan sahaja bangsa Melayu merasakan penindasan oleh penjajah. Bangsa-bangsa lain manusia juga. Di seluruh Asia Tenggara, semangat untuk membebaskan diri muncul banyak sekali. Baik di Semenanjung Tanah Melayu, di Singapura, di kepulauan Jawa, di Sumatera, sehingga di benua jauh mana sekali pun.

Keadaan dan fenomena ini membayangkan kesedaran untuk merdeka adalah kesedaran yang universal. Tidak dimonopoli oleh mana-mana bangsa. Dalam kata lain, tak akan satu bangsa pun boleh diizinkan menindas bangsa lain, sementara penindasan selama manapun, pasti akhirmya akan menerima penentangan. Kebebasan adalah hal paling asas untuk manusia menjadi manusia. Hari di mana berlakunya penjajahan, bererti perlawanan pun bermula.

Memang kata orang, malah kajian-kajian sejarah membuktikan bahawa kesedaran nasionalisme di Asia Tenggara wujud atau tercetus hanya sekitar 100 tahun lalu.

Pun begitu, “nasionalisme” itu hanya nama baru, atau nama lain kepada kesedaran bersama (kolektif) tentang kebebasan. Samalah seperti “kemerdekaan” itu adalah nama lain, juga bagi “kebebasan”. Pokok pangkal kebebasan itulah yang penting kerana selepas ini, pelbagai nama, pelbagai alasan akan diberikan, akan digunakan untuk menyekat kebebasan. Arakian sekali lagi apabila kebebasan itu dirampas, maka sebermulalah perlawanan.

Tidak lain, kebebasan itu perlu. Perlu kerana jaminan “kemuliaan insan”; martabat setiap manusia tak pernah wujud tanpa kebebasan. Sedangkan jaminan Tuhan jualah betapa setiap manusia itu dilahirkan beserta harga diri. Beserta maruah. Tiap-tiap manusia tak rendah, tak tercemar harga dirinya sehingga dia sendiri yang merendahkan, mencemarkan harga dirinya itu.

***

Asas Moral

Setiap gerak-geri politik tak terlepas—tak bisa terlepas daripada pertimbangan kemanusiaan. Iaitu, pelaku politik, atau disebut sebagai “ahli politik”, atau “orang politik” (politician) tak terlepas daripada pertimbangan tadi.

Bukannya kita tidak sedar bahawa politik sering dianggap sebagai “kotor”, “jijik”, dan “jelek”. Kekotoran atau persepsi yang sedemikian itu bermula daripada kelakuan pelakunya, iaitu orang politik itu sendiri. Gelanggang politik takkan semena-mena kotor, tanpa dikotori oleh kelakuan-kelakuan manusia. Hanya, gelanggang ini memang mudah menjadi kotor bilamana ia berkait dengan kuasa, atau kekuasaan.

Apakah kerana politik-itu-politik, kerana politik itu terkait dengan kekuasaan, maka apa sahaja bisa dibolehkan? Tentu tidak terlepas daripada apa yang dinyatakan sebagai kemanusiaan dan segala pertimbangan kemanusiaan. Maknanya, tetap ada ukuran moral di kalangan pelaku-pelakunya.

Kaum muda, ingatlah, kita wajib menyatakan sikap dan menolak permainan politik yang jelas-jelas cuba mengaibkan manusia. Lebih-lebih lagi, keaiban itu hanya merupakan fitnah dan direkayasa. Awas, bangsa kita tak akan menjadi bangsa yang besar dengan amalan fitnah. Tanpa dakwa-dakwi, bangsa kita akan hancur dengan kelakuan itu.

Dalam kata lain, kemanusiaan; kekuatan kita untuk menolak segala bentuk politik kotor, termasuk fitnah, apabila kaum muda dapat mengekalkan diri dengan idealisme dan prinsip-prinsip yang baik. Tak mudah, memang.

Sementara dunia sedari dahulu sampai sekarang meletakkan ujian pangkat dan kedudukan; di situlah lazimnya individu itu kalah dan keperibadiannya tercemar.

Tidak kurang dapat disaksikan ada di kalangan anak muda sendiri ‘melacur’ diri, mencemar idealisme dan prinsip. Mereka dengan mudah menjadi kalah dan tewas kepada kemilau kekayaan yang mahu diraih dengan jalan mudah pula.

Sementara kita juga sudah menyaksikan di dalam sekian banyak sejarah manusia betapa orang yang rakus menggadai diri untuk mendapat tempat dan kedudukan; yang mana tempat dan kedudukan itu untuk menjamin kekayaan dan nafsu serakah mereka; akhir merosak bangsa. Golongan seperti ini merosakkan diri sendiri dan orang lain juga—sementara mereka meniti tangga demi tangga ‘kejayaan’; tetap di atas sokongan ramai orang (rakyat).

Kita wajib menyimpan hasrat dan melatih diri agar tidak mudah tergelincir dengan pujuk rayu ketamakan. Tamak untuk berkuasa. Tamak untuk bermewah-mewah. Si tamak memang akan mencari jalan mudah; tetapi bak bidalan orang dulu-dulu; “orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang.”

***

Keberanian Dan Kesanggupan Berfikir

Kelemahan bangsa kita masih ketara meski jumlah graduan menara gading semakin bertambah. Berlipat kali ganda kalau hendak dibandingkan dengan period awal kemerdekaan dahulu. Malah universiti-universiti yang tumbuh dalam negeri juga bukan kepalang.

Memanglah, graduan yang dihasilkan untuk tujuan kerjaya tidaklah begitu mengecewakan. Hanya di dalam masa sama, sayang seribu kali sayang andai graduan yang seluruhnya anak-anak muda masuk-keluar sekolah, namun gagal memahami makna “belajar” dan pengertian “ilmu” itu sendiri.

Orang bijak pandai selalu mengungkapkan bahawa “mengetahui” sahaja tidak memadai. Tak kalah penting, bukan sahaja mengetahui, tetapi “menyadap” dan menerima sampai ke urat-urat merih sesuatu pengetahuan itu agar akhirnya dapat dibezakan antara yang jahat-dengan-baik; antara keadilan-dengan-kezaliman; antara hitam-dan-putih.

Memang jadi persoalan malah keanehan bagaimana golongan yang dilihat sebagai berpelajaran tetapi sering keliru apabila berhadapan dengan suasana kehidupan yang menuntut mereka memilih antara kebaikan-dengan-kebejatan. Lebih mendukacitakan apabila golongan terpelajar ini juga ada yang menjadi orang yang melakukan hal-hal yang binasa; binasa atas sebab kejahatan itu sendiri.

Terlihat seolah-olah ilmu-pengetahuan gagal membimbing manusia untuk jadi baik. Akhirnya apakah kita perlu ragu dengan ilmu?

Tentu tidak. Kegagalan golongan yang berpendidikan—walaupun setinggi mana tahap akademiknya—untuk menjadi manusia yang percaya dan mengamalkan kebaikan tak lain berpunca daripada niat yang keliru sejak awal-awal lagi tentang keperluan ilmu. Tentang keperluan untuk menjejak kaki ke menara gading, misalnya.

Masyarakat umumnya memang tak harus dikelirukan tentang kepentingan ilmu. Sifat pesimistik yang muncul rentetan suasana atau persoalan golongan terpelajar yang gagal atau curang terhadap kebaikan harus dibendung—dibendung dengan kesedaran bahawa manusia yang berpendidikan atau berilmu wajib menjadikan kebenaran sebagai matlamat tertinggi di dalam pengajian atau pencarian kita terhadap ilmu. Dalam kata mudah, kita harus benar-benar yakin bahawa hanya ilmu yang akan menyuluh jalan ke arah kebaikan, keadilan dan kebenaran.

Lantaran itu, bangsa kita wajar segera meletakkan derajat yang tinggi kepada golongan cendekiawan. Sesuatu keputusan bersama, wajar sahaja mempunyai dokongan hujah intelek. Bukan sahaja di kalangan kaum yang terpelajar atau terlatih di dalam lapangan atau bidang teknikal, tetapi juga di dalam bidang budaya dan falsafah.

Banyak sekali contoh yang boleh diketengah. Lihat sahaja bagaimana lemah dan bobroknya pelan pembangunan bandar dan kota-kota. Banyak sekali kawasan-kawasan di dalam bandar dan kota yang akhirnya bukan sahaja berselirat serabut dan tidak cantik, tetapi juga tidak manusiawi.

Pencerobohan dan meruntuhkan premis yang menyimpan nilai sejarah juga sukar dimengerti. Ada sekolah yang berusia puluhan atau ratusan tahun, dengan bangunan dan padang yang cantik dirobohkan untuk kemudiannya didirikan pusat beli belah komersial yang senibinanya, konsepnya tidaklah sehebat mana. Meruntuhkan dan menghapuskan premis bersejarah sedemikian samalah dengan sifat membakar buku-buku. Sifat ini bolehlah dikatakan sifat bangsa yang tidak bertamadun.

Oleh itu, kaum muda harus menentang sekeras-kerasnya kelakuan politik-kekuasan yang menghancur-binasakan segala bentuk rujukan sejarah dan pengetahuan bangsa kita—termasuk premis bangunan-bangunan lama yang bersejarah.

…bersambung.

*Tulisan di atas adalah petikan daripada “Testamen Politik Anak Muda Malaysia” (TESPOL) asalnya adalah terbitan Republik Anak Muda (RAM).

Angkatan Pemuda Insaf Angkatan Wanita Sedar Hasmi bin Hashim Hizbul-Muslimin Kesatuan Melayu Muda Testamen Politik Anak Muda

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan