Pra – Sejarah

Tidak ada jalan keluar ketika sunyi. Sangat asing kala bersendiri. Bergerak hanya menurut kata hati. Dan akhir aku sampai di pinggir kota. Baru aku sedar.

Sudah lama aku terkotang kating. Bagai perahu tidak bertuan. Bagai insan tanpa pegangan. Bukan mudah memulakan hidup baru. Sama seperti dilahirkan. Bermula dengan belajar hendak berdiri. Kemudian merangkak. Barulah bertatih. Bukan sebab tidak ada pilihan. Tapi nekad hendak berubah. Menikmati hidup seperti orang lain.

Tidak lama lagi. Aku bakal mendirikan rumah tangga. Dia gadis pilihan hati. Tahun lalu kami bertemu di laman Facebook. Tempat semua orang bersosial. Di situ kisah kami tercipta. Mengenal, memahami, merencana. Bisek, rindu, kaseh. Sehingga tanpa disedari membibitkan cinta. Tetapi cinta tidak bakal berhasil tanpa keberanian. Berbalik kepada leluhur. Tentang masa depan kami serahkan pada orang tua. Nah hasilnya lumayan. Sudah merisek kami bertunang purnama lalu. Purnama depan, kami bakal diijabqabulkan.

Sejarah : babak pertama

Sebetulnya aku bukan mahu menulis catatan tentang cinta. Selalunya aku menulis pokok perbincangan berkaitan dengan kemampuanku. Apa lagi kalau bukan filem dan puisi. Tapi semuanya ada kaitan. Bagai satu perjalanan hidup. Sebab dan kejadian semuanya berkai-kait. Hari Selasa lalu aku membaca di sebuah berita. Selalunya aku tidak gemar membaca surat khabar. Zaman media baru aku lebih suka melayari internet.

Tetapi ada satu perkara. Disebabkan sejarah aku menjadi begini nelangsa. Dalam Sinar Harian pada tarikh sepuluh hari bulan Ogos tahun dua ribu sepuluh diberitakan dalam ruangan hiburan: Mariam seniwati filem Melayu lima puluh-an meninggal dunia. Sudah lima belas tahun aku jadi orang filem. Sudah lebih sepuluh filem pendek aku bikin. Sudah empat kali aku menang anugerah. Entah berapa kali dah masuk festival dalam dan luar negara. Ingat semua aku dah kuasai. Rupanya masih ada yang tertinggal. Masakan tidak! Aku masih belum tahu siapa Mariam ini.

Mariam. Allahyarhamah. Dia ibu kepada penyanyi terkenal Rahimah Rahim. Juga kakak kepada seorang lagi primadona filem Melayu. Allahyarhamah Datin Saadiah. Pada tahun seribu sembilan ratus lima puluh dua bersama Allahyarham P Ramlee dia menjadi pemain dalam sebuah filem Melayu klasik arahan BS Rajhans berjudul Anjuran Nasib. Banyak lagi riwayat Allahyarhamah Mariam atau lebih dikenali Mariam Tahi Lalat boleh diceritakan. Mukaddimah ini barangkali cukup untuk membuka kembali lembaran sebuah cerita klasik yang sudah lama ditutup.

Sejarah : babak dua

Mengapa hidup ini begitu kelam. Tidak tercapai akal aku memikirkan. Tetapi fikrah rusuhku sering tidak pernah aman. Banyak khilaf tentang letak duduk (sebut: mise en scene) sesuatu perkara. Sekarang kita jarang ambil pusing tentang sejarah filem Melayu lagi. Boleh jadi sebab merasakan diri terlalu pandai. Atau sebenarnya tersangatlah jahel. Jadi aku mengambil keputusan pergi belajar.

Entah kenapa jiwa memberontak. Belum dapat aku taksir. Tentang mengenal diri sendiri pun kabur. Sepatutnya aku meneruskan hasrat orang tua meneruskan pengajian agamaku ke Madinah. Terpengaruh dengan sesuatu perkara baru lazim bagi semua remaja. Tak terkecuali aku. Hanya dengan semangat pada tahun seribu sembilan ratus sembilan puluh tujuh aku nekad mengambil jalan sendiri, kelana mencari ilmu buat pelita hidup. Tapi jangan salah baca, mengambil jalan sendiri bukan lari dari sejarah. Abah, Haji Muhd Rivai Batubara orang perjuangan. Padanya aku mengenal dunia. Mak, Hajah Khalilah Syeikh Juned banyak mengasuh kata: harum bau syurga di telapak kaki ibu.

Aku masih ingat. Sebelum itu, pada tahun seribu sembilan ratus sembilan puluh lima aku masih di tingkatan enam. Sebuah filem Melayu sedang main di panggung Capitol. Di pekan kecil Kuala Kangsar pada hujung minggu panggung wayang adalah tempat anak muda hingar. Masa itu mana ada lagi siber kafe. Kalau bukan gambar Melayu, mereka ke sini menonton filem orang putih atau hindustan. Aku rasa generasi terdahulu lagi bertuah. Aku pernah mendengar cerita dari Nasir Jani. Pada tahun seribu sembilan ratus enam puluh sembilan dia pergi menonton filem Woodstock. Kalau tak salah main di panggung Rex dekat pekan Alor Gajah. Sekarang mana ada lagi filem rare main dekat cinema. Semua filem Hollywood yang blockbuster saja.

Cikgu sejarah suruh pergi tengok filem? Pasti dia sendiri sudah pergi menonton. Perempuan, Isteri & Jalang dah pecah panggung. Kata orang sebab scene nasi kangkang. Panas! Ini filem pertama sutradara U-Wei Haji Saari sekembali dia ke tanahair. Dekat lima belas tahun U-Wei mengaji filem di kota New York. Semua orang tunggu sentuhan dia. Pada poster filem Sasterawan Negara Bapak A Samad Said dipetik berkata: filem yang penuh bara. Daring habis. Aku tak pasti sama ada aku arif makna tersiratnya. Maklumlah baru nak belajar. Tapi ini filem Melayu pertama buat aku berfikir, mengapa orang membuat filem? Pergi tonton filem ini bukan macam selalu. Ada ulangkaji masa balek ke kelas. Kata cikgu filem ada kaitan dengan sejarah. Di dalam filem semua lembaran hidup kita diselak.

Beberapa tahun kemudian. Aku di Akademi Filem Malaysia. Sekolah filem di Studio Merdeka. Baru tahu pengalaman aku hampir serupa dengan maestro cinema Mohsen Makhmalbaf. Semangat jadi kuat. Dia dibesarkan dari keluarga Islami. Dalam persekitaran masa itu menonton filem di panggung wayang sangat dilarang keras. Setelah revolusi, banyak perubahan di Iran. Tentang cinema – tentu Islam ada sarana dalam hal ini. Bagi Mohsen Makhmalbaf dia buat filem eksperimen. Semua pengarah filem agung ada signature. Hitchcockian, Kubrickian, Scorsesean, Tarantinosque dan banyak lagi. Namun, meneliti cara Mohsen Makmalbaf membuat filem kita belajar tentang Islamique. Baca (maksud: tonton) Salaam Cinema dan Kandahar.

Untuk tahu tidak ada jalan pintas. Pelajaran sepenting ini aku pungut di kaki lima. Berdiskusi tepi jalan. Minum kopi setelah menonton filem. Di universiti dan akademi gerhana. Membuat filem berdasarkan ilmu itu apa? Hal ini sangat serius. Bagaikan membedah filem agung yang berat. Apabila kita ada asas kukuh tentang sejarah dan teori filem barulah kita terhindar dari khilaf. Sebabnya begini.

Sejarah : babak tiga

Ada tersalah pandangan. Mereka mengatakan eksperimen itu filem pendek. Tidak semestinya begitu. Sama seperti hasrat sebuah filem diterbitkan. Filem eksperimen tidak ada ukuran pendek atau panjang. Dokumentari atau animasi. Filem eksperimen itu ialah membuat filem berdasarkan ilmu. Masih ingat Jhonny? Sehingga hari ini Jhonny Bikin Filem masih belum ditayangkan. Pelik, apa hal Jhonny tidak masuk panggung. Selalunya karya terbaik suka dibiarkan terperuk. Semacam tidak ada usaha untuk ditunjukkan kepada umum. Jhonny adalah contoh sebuah filem eksperimen.

Macam aku katakan tadi. Seribu sembilan ratus sembilan puluh tujuh tahun muram. Aku diberitahu sewaktu mengaji di Akademi Filem Malaysia. Dekat Hulu Kelang sana. Jhonny hanya boleh dilihat di Filem Negara. Jhonny masih disunting. Aku difahamkan durasi Jhonny terlalu panjang, khabarnya lebih enam jam. Mana ada filem macam ini dibuat di Malaysia. Ini sudah tentu lain. Belum ada filem Melayu dibuat mendalam berdasarkan ilmu. Diberitahu Jhonny berkisar cerita di lorong gelap. Pada masa itu filem Melayu mula bangkit di Singapura sekitar tahun empat puluh. P Ramlee baru menjadi pelakon dan belum menjadi sutradara. Adalah di situ kelibat Mariam Tahi Lalat, Kasma Booty, S Shamsuddin, Osman Gumanti dan ramai lagi. Jhonny sebuah filem noir. Naratif luar biasa dan sangat berpengaruh. Sayang- sebuah filem belum sempurna selagi ia tidak ditayangkan. Sejak itu aku meneliti dari mana filem eksperimen berakar – mengapa ia menjadi ikutan dan semacam kemestian bagi setiap karyawan baru mencuba.

(Sebelum meneliti jawapan itu. Ada sedikit lagi. Masih tentang Jhonny. Filem ini adalah hasil sutradara dan juga seorang professor di bidang perfileman bernama Dr. Anuar Nor Arai. Dia sudah meninggal dunia. Filem ini dibuat semasa dia menjadi ketua Jabatan Media dan diterbitkan oleh Universiti Malaya. Jhonny dimainkan antara lain oleh Erma Fatima, Jalaluddin Hassan dan seniman M Amin. Selain mereka pemain utama bukan seorang bintang. Dalam mempelajari seni filem eksperimen hampir kita tidak punya contoh. Banyak rujukan kita masih dari luar. Tetapi Jhonny adalah salah satu contoh untuk memahami filem eksperimen dari naskhah tempatan. Nasib baik- fragmen dari filem ini pernah dipentaskan di Istana Budaya dengan judul Ronggeng Rokiah. Aku bertuah kerana Hassan Muthalib menjemput aku melihat Jhonny semasa teater itu sedang dry run. Hassan Muthalib adalah seorang pengkaji filem dan sutradara filem animasi. Patutnya dialah bicarakan Jhonny lebih dalam. Aku masih belajar).

Mustahak bagi kita berkongsi pengetahuan. Hanya dengan cara ini tradisi eksperimen dalam pembikinan filem dapat diteruskan. Penggiat dan peminat filem genre eksperimen di Malaysia masih kecil (belajarlah dari filem Sanjuro arahan sutradara Akira Kurosawa tentang bagaimana kumpulan kecil dapat memperdaya kekuasaan, apabila kita berjiwa besar) dan terhad di sekolah-sekolah perfileman. Jauh sebelum Jhonny dibikin di Malaysia, tradisi filem eksperimen telah lama diterokai. Pasti bermula pada tahun seribu sembilan ratus empat puluh satu. Apabila Citizen Kane dibuat oleh Orson Welles dan diterbitkan oleh RKO Pictures. Bagi setiap pelajar atau pengkaji perfileman Citizen Kane adalah filem wajib tonton. Sehingga hari ini pencapaian Citizen Kane masih belum ditandingi oleh semua filem. Sama ada dibuat sebelum atau sesudahnya. Penilaian dari Institut Perfileman di Amerika Syarikat masih letak Citizen Kane di ranking pertama. Jika tidak ranking nombor dua dalam senarai seratus filem terbaik dunia sepanjang zaman. Citizen Kane seperti tidak pernah tua. Setiap kali menonton dan membaca kita merasa berada di satu situasi baru. Acapkali menonton dan membaca kita barangkali dapat membikin sebuah filem agung sepertinya.

Mengapa Citizen Kane sangat luar biasa. Sebab filem tidaklah begitu payah ditukangi lagi. Sekarang ini teknologi sudah memungkinkan semua benda mustahil kelihatan nyata. Bacalah filem Avatar berkali-kali. Anda bakal faham maksud aku, filem dalam definisi tinggi (HD) menjadi gaya baru dalam pembuatan filem terkini. Jadi tak ada lagi yang tak boleh kan? Tetapi jujur dua puluh empat frame sesaat itu mustahil. Akira Kurosawa sendiri kata. Dia bilang, yang jujur dalam filem aku hanya sepuluh atau lima belas minit sahaja. Selebihnya adalah extravaganza. Nyata- Citizen Kane amat berbeda. Sebab Citizen Kane membuat kita sentiasa meneliti momen dalam kehidupan. Belum ada kebenaran mutlak dapat mewajarkan kehidupan yang serba rancu. Barangkali- falsafah dan mesej inilah yang mahu diketengahkan Orson Welles. Dalam bidang seni dia memulakan karier sebagai juruhebah radio dan pelakon teater sebelum menjadi pengarah filem – mencari kebenaran adalah tugas seorang pembuat filem. Dunia ini penuh rahsia dan masih banyak benda belum disingkap atau diselak. Seperti Citizen Kane – semua orang gila menyelak rahsia hitam dari sisi tabir rosebud.

Charles Foster Kane atau Kane. Dia adalah tokoh utama di dalam Citizen Kane. Empunya xanadu dan taikun media ini ditemui mati – setelah hubungannya dengan seorang penyanyi opera malap bernama Susan Alexander berakhir tragis. Tidak ada luar biasa apa dengan kematian Kane. Barangkali dia mati sebab badan pun sudah gemuk disebabkan obesiti meracau. Biasalah kalau sudah tidak segak – banyaklah yang dia kecewa dengan hidup. Tetapi rosebud sebagai kalimah terakhir pacul dari mulutnya benar-benar membuatkan dunia media kembali gawat. Seperti kecenderungan media menyebarkan berita dan manusia masih gilakan spekulasi – rosebud-lah bikin punca semua cerita tentang Kane sehingga ke bilik tidur diselak kembali dengan penuh sensasi. Benarlah seperti pengumuman yang diwartakan dalam News On The March. Sebagai pemilik media, Kane sendiri adalah punca berita.

Sebenarnya apa rosebud ini. Menyelak cerita dalam orang bukanlah kerja hakiki pencari berita. Disebabkan sensasi- tak dapat tidak berahi seorang wartawan newsreel bernama Jerry Thompson adalah punca rosebud menjadi buah mulut orang. Dia pergi menemui beberapa orang yang dekat dengan Kane untuk siasat. Semuanya ada empat orang- iaitu Susan Alexander, Walter Parks Tatcher, Mr. Bernstein dan Jed Leland. Semua orang ini ada kaitan langsung dengan Kane. Sama ada dari sudut peribadi atau dari segi kepentingan perniagaan. Sukar bagi kesemua mereka duduk di garis tidak berpihak atau tidak berkepentingan. Jadi kita dapati cerita tentang Kane dari empat versi berlainan. Malangnya setiap cerita tidak ada hubungan. Sebab Kane diriwayatkan secara imbasan dalam pembabakan tidak tersusun. Sebagai penonton- kita kena membaca cerita ini semula secara kronologi dalam menentukan versi paling tepat dan apakah mereka bercakap benar. Kalau aku tidak ada pun versi tepat. Sama macam empat versi tentang kasus pembunuhan dalam filem Rashomon. Seperti diceritakan oleh sutradara Akira Kurosawa. Pasti- dalam hidup ini paling sukar soal ketelusan. Jadi bagaimana sebenarnya. Begini- menyatakan kejujuran adalah dengan menyemak apa itu kejujuran. Inilah buat Citizen Kane istimewa. Bicarakan jujur itu apa kalau nak berlaku jujur.

Menarik- filem eksperimen dibuat sampai betul-betul masak. Menilai naratif merupakan punca dalam mencari kebenaran. Ada mengatakan rekronstruksi adalah penilaian semula tentang hidup ini bagaimana. Anda sudah pun menonton filem Quentin Tarantino berjudul Pulp Fiction. Dari filem itu dia mengatakan jalur kehidupan sudah linglung dalam dunia pasca moden. Secara analogi dia mencadangkan kita supaya makan dahulu kemudian baru basuh tangan. Sudah tentu ia bercanggah dengan aqidah kita. Pada hakikat kita basuh tangan sebelum dan sesudah makan.

Tetapi kalau kita fikir cakap dia boleh pakai dalam konteks lain. Betapa hidup hari ini sudah weng. Sebab itu semuanya harus disusun semula. Supaya berbalik kepada titik permulaan. Di sini apa yang penting dalam sebuah lakonlayar adalah berlaku adil. Lakonlayar adalah perjalanan hidup- dikarang bukan hanya untuk pelakon mengingati line dalam dialog semata. Cerita hebat boleh buat semua benda nampak sama penting- baru digital.

Balik kepada Citizen Kane – selain Orson Welles filem klasik ini mendapat sentuhan mahal dari sinematografer Gregg Toland. Dikatakan dalam sejarah perfileman dunia- imajan Citizen Kane adalah perintis kepada deep photography atau kehalusan bercerita. Baru kita dapat tengok semua orang bercakap dan bergerak. Barulah tak ada pak pacak. Tak adalah filem itu bosan macam kayu.

Citizen Kane kena kaji banyak kali. Sebagai rujukan filem eksperimen. Pelajar filem diasuh baca sampai muntah. Filem eksperimen bukan nak buat cerita sahaja. Kita membuat filem dengan segala teknik dan rahsianya. Seni filem itu banyak misteri. Di dalam filem ada sejarah dan macam-macam. Sejarah filem berkait dengan teori filem bisu- disusun lebih awal oleh Sergei Eisenstein dalam The Battleship Potemkin yang masyhur. Dalam teori montaj kita diberi panduan berkenaan hukum suntingan gambar dan hubungan jukstaposisi – iaitu kaedah menjalin syot syot dramatik. Pembuatan filem adalah benar-benar mahu meniru kehidupan nyata seperti mana mata kita melihat. Selagi tak capai klimaks kita tidak bakal merasa puas. Dalam hubungan ini jalinan di antara fiksi (cerita) dan realiti (dokumentari) bukan lagi misteri. Citizen Kane menggunakan teknik newsreel pada awal cerita sebab nak kata cerita ini ada asas- ada latar belakang atau background dia apa. Latar dia dunia media moghul. (Newsreel adalah ranting atau jenis-jenis filem dokumentari – turut disebut film truth atau cinema verite). Apa pula cerita?

Citizen Kane berasaskan cerita benar. Diangkat dari riwayat hidup William Randolph Hearst. Seorang media moghul yang sangat berpengaruh di Amerika Syarikat. Di mana kematiannya penuh kontroversi dan menjadi berita yang kerap diulang-ulang. Tidak sekadar itu- inspirasi Citizen Kane turut berdasarkan kisah hidup Welles sendiri sebagai seorang tokoh yang penuh kontradiksi. Pada alasan inilah sebuah filem eksperimen mustahak dijadikan kayu ukur terhadap penghasilan sesebuah filem tulus. Filem eksperimen membuat kita berbalik kepada niat sebenar sebuah filem itu dicipta. Sebuah filem dicipta untuk melahirkan perkara paling dekat dengan kehidupan kita sendiri.

Menerusi Citizen Kane – Orson Welles mengingatkan kita betapa spekulasi itu bagaikan barang dagangan dalam dunia sensasi dan glamour. Banyak andaian bukan-bukan tentang rosebud. Terutama apabila ia dikaitkan dengan susuk seorang perempuan seperti Susan Alexander – dia berakhir menjadi seorang kaki mabuk setelah gagal menjadi penyanyi opera. Mungkin Orson Welles hendak biarkan rosebud terus menjadi rahsia. Sebab itulah filem ini dibuat- agar misteri- agar para pengkaji berminat membedah.

Di penghujung kisah kita diberitahu rosebud adalah sepotong kalimah yang terdapat di belakang peluncur ais milik Kane semasa dia masih kecil. Charles Foster Kane dibesarkan di sebuah rumah asuhan dan kehidupan masa lalunya sepi. Bagaikan salju putih yang dingin dan tebal- kesejukan yang menggigit adalah punca Kane memberontak. Dia mahu bebas dari semua kongkongan yang membelenggu. Kala kehidupan seperti akan berakhir- barangkali- dunia ini sudah dalam genggaman. Sebab semuanya bakal ditinggalkan. Selamanya.

Pasca – Sejarah

Tiga belas tahun lamanya aku dedikasikan hidup ini untuk cinema. Campur dua tahun berangan. Semuanya lima belas tahun. Baru-baru ini aku menonton kembali Sanjuro. Hanya itu cd filem aku yang tinggal. Yang lain entah ke mana. Ada dipinjam orang sampai tak balik ke aku semula. Ada yang aku beri saja. Banyak yang hilang. Entah dah berapa kali aku pindah. Hidup ini macam celaka- berantakan.

Cukuplah. Usia aku pun sudah tiga puluh empat tahun. Bagilah aku retrospektif diri balik. Jangan ingat semua samurai itu ganas- macam Sanjuro. Dia selalu diingatkan supaya jangan menggunakan kekerasan untuk menumpaskan musuh. Terhadap kejahatan pun harus ada kemanusiaan. Apalagi dalam berbuat kebaikan. Bila dia marah- selalu dipesan gunalah akal. Bertindaklah dengan cara bijak- bagaikan selembut bayu. Selepas ini- jangan lagi kata aku tidak romantis. Aku baru mengenal tentang Kamelia putih.

Satu lagi. Sekarang aku nak bicara tentang cinta. Nama bakal isteri aku Sofia. Nama penuhnya Sofia Izzati. Nama itu diberi oleh paktua aku – Dato’ Asri Muda. Sofia memanggilnya abah. Sebab masa kecil dia lebih dekat dengan paktua kami. Sebenarnya kami sepupu yang telah lama terpisah. Setelah kembali mengenali- kami terlalu banyak persamaan- persis saudara kembar. Atau dalam konteks perkahwinan – maksudnya  kami sekufu. Sofia – namamu bagaikan sekuntum bunga kamelia putih di tepi kali yang airnya jernih berkaca. Aku sudah katakan jangan ingat aku tidak romantis.

Terima kaseh Tushiro Mifune. Aku baru belajar dari Subaki nickname Sanjuro  bermaksud Kamelia dari kamu. Akhir sekali – filem memberi aku segala-galanya – termasuk cinta. Selamat tinggal alam bujang. Selamat datang alam rumah tangga!

Ipoh
Sabtu. 14 Ogos 2010 – jam 2:12 pagi

Abror Rivai dilahirkan pada 10 mei 1976 di Institut Harapan Taiping. sedang menulis sebuah lakon layar baru, hasrat utk menjadi filem panjang pertama : CINTA, ISLAMIQUE & FILEM DIGITAL.