Isu sama ada mahasiswa boleh berpolitik atau tidak kini kembali kedengaran. Ramai pihak mengemukakan pandangan masing-masing termasuk Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memastikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal oleh Parlimen.

Saya selalu berpendapat perbincangan mengenainya seringkali tidak lebih daripada usaha menampakkan bahawa ‘kerajaan sedang melakukan sesuatu’. Ini kerana saya belum melihat ada komitmen jelas daripada pihak kerajaan untuk membenarkan wacana politik di Malaysia dibuka seluas-luasnya. Memang kita tahu bahawa ada beban sejarah dipikul oleh generasi rakyat Malaysia pada hari ini untuk kerajaan menjustifikasikan tindakan yang dibuat. Namun, seringkali terlihat ia hanya satu cara untuk memanipulasi sistem demokrasi yang ada.

Saya berani mengatakan begitu kerana pengalaman peribadi mengharungi Pilihan Raya Kampus. Saya pernah menang dengan undi tertinggi dalam Pilihan Raya Kampus namun diberi kata dua oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang berbunyi “I’ll decide who will become the President”. Akhirnya, disebabkan permintan rakan-rakan yang dipilih bersama, saya ‘diaturkan’ menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (jawatan kedua tertinggi dalam MPP di universiti saya).

Bukan itu saja, ada pengalaman yang lebih menarik sepanjang percubaan saya untuk bertanding di bawah payung ‘pro-aspirasi’. Kami disaring oleh para pegawai Biro Tata Negara (BTN), bahkan hampir dua minggu saya dikunjungi oleh seorang polis cawangan khas untuk mendapatkan maklumat berkaitan Pilihan Raya Kampus. Kami dipertemukan dengan ‘orang MCA’ secara tertutup, dilindungi oleh para pegawai yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam banyak bentuk.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) pernah datang bertemu kami dengan bangga memakai tanda nama Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO yang pada hemat saya hanya sekadar mahu menunjukkan kedekatan beliau dengan parti pemerintah, atau dalam bahasa lain “aku berkuasa di kampus”.

Jangan terkejut, jika dulu kecoh adanya isu ‘baiah’ seorang mahasiswi kepada pihak tertentu yang dikatakan ‘elemen pembangkang’, dalam pro-aspirasi juga ada baiah dibuat siap bertandatangan dengan tujuan memastikan segala maklumat yang sebahagiannya saya tulis di sini tidak didedahkan.

Saya tahu bahawa memang ada mesyuarat penyelarasan dibuat dengan tokoh-tokoh UMNO tertentu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kampus. Saya sendiri punya pengalaman hadir ke rumah Dato’ Mustapha Mohamed sekali di mana dalam dialog bersama beliau pada waktu itu jelas sekali di depan mata dan telinga saya para pegawai universiti, kolej universiti dan matrikulasi bercakap tidak lebih daripada mesyuarat cawangan atau bahagian UMNO. Mereka sibuk menamakan kampus-kampus, atau kolej-kolej serta pusat matrikulasi yang dianggap ‘hitam’ kerana adanya tenaga pengajar dan pertubuhan pelajar yang dilihat kuat mendokong parti pembangkang di Parlimen, atau setidak-tidaknya tidak cenderung kepada kerajaan atas pelbagai faktor. Dalam fikiran mereka hanya ada persoalan “bagaimana pengaruh mereka ini dapat disekat” melalui pelbagai cara sama ada sekatan kelulusan atau peruntukan program di peringkat Hal Ehwal Pelajar, halangan untuk naik pangkat atau jika boleh ditukar atau ditamatkan kontrak.

Lebih malang lagi, para pegawai inilah yang kebanyakannya kemudian menjadi Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (sebuah badan yang bertindak sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus).

Bukan sahaja itu, di kalangan kakitangan akademik yang mahu naik ke peringkat pengurusan juga, mereka ada politik tersendiri. Kem-kem parti pemerintah ini juga boleh berbelah bahagi kerana setiap ahli akademik yang bercita-cita untuk naik ini mempunyai hubungan dengan tokoh politik tertentu dan berbeza. Menteri berkuasa meluluskan atau menolak cadangan Senat universiti untuk melantik mana-mana ahli akademik yang mereka fikir layak menjawat kedudukan-kedudukan penting di universiti. Bahkan, Menteri boleh menentukan siapa yang patut diangkat serta siapa yang boleh diturunkan. Maka, kampus saya bergegar ketika itu disebabkan pantun Naib Canselor kami yang sangat dikasihi, berbunyi “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi Menteri”.

Saya tahu pergolakan politik pejabat berlaku di kampus saya kerana wujud kem A yang memang telah sekian lama diketuai oleh seorang Profesor sebagai orang perhubungan UMNO di kampus tidak berpuas hati dengan lantikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang saya maksudkan di atas kerana dakwa mereka beliau tidak layak ke jawatan itu disebabkan masih baru dan menggunakan jaringan politik.

Di kampus saya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) mempunyai kuasa untuk menentukan lantikan para Pengetua Kolej Kediaman. Oleh kerana beliau naik melalui ‘jalan pintas’, para Pengetua Kolej Kediaman yang menjadi tulang belakang kem A tersebut cuba melancarkan satu protes dengan menggunakan mahasiswa. Mereka sedar, sebagai seorang kakitangan universiti, mereka tidak dapat membuat protes terbuka. Mujur rakan-rakan saya di kalangan pimpinan di Kolej Kediaman tidak cukup berani untuk itu.

Hasilnya, kedengaran sendiri di telinga saya bagaimana Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) ini mahu memastikan para Pengetua tersebut tidak disambung kontrak sebagai Pengetua Kolej Kediaman. Bahkan, beliau pernah mengatakan kepada saya bahawa Kolej-Kolej Kediaman yang didapati calon bukan ‘pro-aspirasi’ ramai datang dari sana akan diminta memberikan sebab sebelum mengalami nasib yang sama – tidak dipanjangkan kontrak.

Begitulah bagaimana sistem politik kawalan berlaku di kampus. Jijik!

Saya pasti ramai yang menonton ‘debat’ antara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah dan mantan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang disiarkan TV3 baru-baru ini. Ramai memuji sikap dan pendirian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersebut yang dilihat lebih profesional berbanding kenyataan mantan Naib Canselor UiTM yang mirip hujah Ketua Cawangan UMNO. Memang malang kerana akhirnya beliau berterus terang bahawa dengan kebebasan mahasiswa berpolitik, kerajaan yang ada kini akan dikalahkan kerana pada hemat beliau mahasiswa akan sentiasa mendokong pembangkang. ‘Debat’ mereka ini boleh ditonton di YouTube.

Saya menghargai sikap dan pendirian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersebut. Beliau memang terkenal sebagai pemimpin mahasiswa serta pemimpin belia yang menggagaskan aktivisme berasaskan aktiviti, bakti dan advokasi. Keberanian beliau untuk terus berpegang dengan pendirian serupa ketika beliau menjadi pemimpin mahasiswa serta belia itu tentulah suatu keunikan dalam realiti politik negara serta kerajaan yang kian sempit itu.

Dalam membicarakan AUKU, saya pernah dikisahkan hujah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan satu ketika dulu. Sebagai mantan pimpinan pelajar, tentulah persoalan AUKU sangat popular dihadapkan kepadanya. Saya difahamkan lebih kurang jawapan beliau: “Dulu ketika saya memimpin pergerakan pelajar, AUKU masih belum digubal secara menyeluruh namun saya tetap ditangkap. Jadi, aktivisme kita tidak harus disandarkan kepada AUKU, tetapi kepada sejauh mana kita yakin dengan perjuangan kita”.

Rakan-rakan sering menempelak saya dengan kata yang hampir sama, bahawa “mahasiswa di Indonesia jauh lebih hebat dibantai oleh pemerintah, namun mereka terus berjuang”. Saya tidak mahu menafikan itu tetapi apa warasnya pemerintah terus mengekalkan AUKU jika percaya bahawa mahasiswa boleh melangkaui AUKU sekiranya mereka percaya kepada perjuangan mereka?

Dalam satu wawancara oleh UmmahOnline.com (boleh diakses di jaringan berikut: http://www.ummahonline.com/?p=151), pernah saya tegaskan bahawa aktivisme mahasiswa itu perlu didefinisikan semula. Pada hari ini, ramai yang lekas menganggap mahasiswa lesu hanya semata-mata kerana tidak ada lagi demonstrasi yang kerap. Bahkan, Sudut Pidato yang cuba dihidupkan itu masih hambar bahkan cuba dibirokrasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Saya cuba membawa dimensi bahawa aktivisme mahasiswa itu pelbagai dan unik. Aktivisme dalam kerangka advokasi itu harus cuba mempengaruhi dasar-dasar yang mahu digubal kerajaan. Saya yakin, sudah tentu setiap bidang pengajian yang ada mempunyai kepentingannya tersendiri sebagai pertimbangan dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu, setiap rakyat mempunyai hak-hak asas yang jelas dijamin Perlembagaan untuk mereka terlibat dalam proses hidup bernegara.

Saya tahu dan yakin bahawa memang ada mahasiswa yang tidak minat berpolitik. Itu bukan menjadi soal. Mereka boleh berbuat apa yang mereka fikir baik untuk mereka. Tetapi, untuk menjustifikasikan mahasiswa tidak boleh berpolitik kerana ada mahasiswa yang tidak minat atau menolak politik, untuk saya itu adalah hujah cetek dan dangkal. Adakah nanti jika ada mahasiswa yang tidak suka sekumpulan mahasiswa membuat aktiviti kebudayaan, maka aktiviti itu akan dihalang?

Bagaimanapun, kebimbangan Tan Sri Ibrahim tentang bahaya pensyarah-pelajar yang mempunyai pendirian politik berbeza itu ada asasnya. Untuk saya, hujah ini hanya sekadar menunjukkan bahawa wujud pensyarah yang tidak profesional dalam urusan kerjanya.

Saya tidak ada masalah dengan pensyarah yang mempunyai pandangan politik tertentu, namun untuk ia dijadikan justifikasi bahawa pandangan lain ditolak atau salah hanya kerana berbeza dengan pegangannya, itu amatlah mendukacitakan. Saya tidak mempunyai masalah kerana keyakinan bahawa saya tidak mungkin tahu segalanya tentang sesuatu dan mungkin ada hal yang saya tahu tidak diketahui oleh beliau. Maka, tumpuan harus diberikan kepada proses sebagai pembudayaan ilmu. Saya yakin, selain daripada suapan maklumat yang diberikan kepada mahasiswa, pensyarah perlu lebih banyak menumpukan kepada proses berfikir tentang sesuatu isu kerana penyelesaian masalah dan hasil keputusan yang kreatif boleh dicapai melaluinya.

Saya yakin, untuk menjadi sebuah negara maju, kepercayaan tentang masyarakat yang bebas dan boleh menguruskan diri sendiri perlu diperluaskan. Berhentilah mengungkap kata “kebebasan itu ada batasannya” kerana dalam sistem demokrasi itu ada prinsip kedaulatan undang-undang yang seharusnya mendorong cita-cita keadilan dalam masyarakat dengan semangat kebebasan.

Sempena Kemerdekaan Malaysia yang ke-53, eloklah prinsip yang dilaungkan semasa Pemahsyuran Kemerdekaan – “dengan rahmat Allah subhanahu wata’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta kebebasan dan keadilan; dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa” – direnung, dihayati dan difahami oleh kita semua.

Sekurag-kurangnya, dengan memahami keluhuran Perlembagaan serta prinsip yang menjadi terasnya, kita dapat mengetahui bahawa sejumlah kongkongan yang ada di negara ini, termasuk AUKU, adalah cubaan sesetengah pihak kembali ke zaman gelap.

Amin Ahmad, 28 kini penuntut di madrasah Ramadhan.

Akta Universiti dan Kolej Universiti Amin Ahmad AUKU Biro Tata Negara BTN Dato’ Mustapha Mohamed Kampus Mahasiswa MCA Parlimen Tan Sri Ibrahim Abu Shah UMNO Universiti Universiti Teknologi MARA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan