“Barangkali ada sesuatu tanpa nama yang mengarahkan kamu . . . Rusia tersembunyi.”

~ Paklin kepada Mashurina, Virgin Soil

Betapa luasnya empayar, ia masih terasa sebagai wilayah terpencil. Yang membalas keriuhan penduduknya hanya suatu kesunyian dahsyat. Rusia tidak menjawab. Tidak mendedahkan rancangannya kepada sesiapa, tidak memberi pertanda keadaan masa depan.

Seniman yang ingin menggambarkan Rusia harus mempunyai akal yang mulia dan daya khayalan yang bernyala. Ivan Turgenev, salah seorang pengarang terunggul di dunia yang berkarya pada kurun ke-19, mempunyai ciri-ciri tersebut serta suatu pemahaman yang amat mendalam terhadap hubungan manusia. Yang mengagumi karya Turgenev termasuklah Joseph Conrad, Gustave Flaubert, Henry James dan Virginia Woolf. Conrad menggelar Turgenev ‘seniman kemanusiaan yang tiada tandingnya’, dan pernah mengatakan tentang karyanya: “Segala ciptaan beliau, yang mujur dan yang malang, yang tertindas dan yang menindas, adalah manusia . . . layak hidup, layak bergelut, layak menang, layak kalah, dalam permainan harian yang berterusan dan memberangsangkan, mengejar masa depan yang semakin lenyap.”

Dalam novel terakhirnya, Virgin Soil, diterbit pada tahun 1877, Turgenev mencipta pelbagai watak menarik untuk mempersembahkan sandiwara tanahairnya. Watak utama, Alexey Nezhdanov, merupakan insan yang rumit; sahsiahnya lebih mendalam berbanding dengan Yevgevny Bazarov, ‘wira nihilis’ Fathers and Sons, novel Turgenev yang paling terkenal. Nezhdanov ialah anak haram seorang pegawai tentera kaya, terasing dari keselamatan keluarga dan kelas. ‘Kedudukan palsu’ kelahirannya telah menghasilkan akhlak yang gelisah dan selalu berubah-ubah. Giat dalam lingkungan pemuda radikal St. Petersburg, Nezhdanov membenci kehalusan nalurinya: “Bersikap bersih dan terlalu teliti, dia memaksakan diri menjadi sinis dan berbahasa kasar; seorang idealis semulajadi, ghairah dan sopan, berani dan segan pada ketika yang sama, dia berasa malu dengan kehalusan dan kemurniannya seolah-olah ianya suatu kejahatan, dan sering memperolokkan fikiran tinggi.”

Digelar ‘Hamlet Rusia’ oleh Paklin, sahabat karibnya, Nezhdanov bukan sahaja seorang pemberontak tetapi juga penyair, golongan seniman terpuji di Rusia. Pertembungan yang berlaku di antara dua kecenderungannya ini – revolusi dan seni – barangkali mencerminkan pergelutan Rusia dengan dirinya. Teragak-agak di antara kepastian teguh dan keraguan sentimental, Nezhdanov terasa bahawa dua aspek jiwanya tetap bertentangan dan tidak dapat disatukan. Suka merenung dan menyelidiki perasaan diri sendiri, dia menyedari bahawa dia tidak dapat menyerahkan hatinya kepada ‘matlamat revolusi’. Secara ironis, sikap tidak dapat berbohong kepada diri dan komradnya ini yang akhirnya memusnahkan Nezhdanov.

Turgenev ternama sebagai pakar dalam menggambarkan kemurnian dan kesusahan kasih. Namun beliau tidak pernah mencipta watak perempuan lebih menarik daripada Marianna, gadis yang dicintai Nezhdanov. Kehidupan Marianna tidak bahagia. Dia bergantung kepada rumahtangga Madam Sipyagin, ibu saudaranya dari golongan bangsawan. Ketidakbebasan ini menyebabkan Marianna memegang ‘matlamat’ dengan kukuh. Perasaan kasih terhadap Nezhdanov dan keputusan untuk melarikan diri bersamanya berakar dalam keyakinan Marianna bahawa mereka akan mengabdikan kehidupan mereka kepada tujuan tinggi itu. Benar, desakan kasih tidak jauh berbeza daripada semangat revolusi. Kedua-duanya merupakan ideal mulia yang mewajibkan seseorang supaya bertanggungjawab dan mengorbankan diri. Kedua-duanya membawa janji perubahan dan pembaharuan. Kasih dan revolusi sama terlahir daripada keperluan manusia untuk melibatkan diri dalam suatu perhubungan murni dan berkuasa.

Watak-watak Virgin Soil menjelajah suatu tema yang jelas terkesan dalam semua karya Turgenev – usaha manusia untuk mencapai kebahagiaan sejagat dan abadi di dunia yang terbatas oleh tempat dan zaman. Setiap insan bergelut untuk membebaskan diri daripada keadaan hariannya, tetapi tiada sesiapa yang dapat menewaskan bentuk jiwa diri sendiri. Peristiwa novel ini menjalar ke musim sejuk 1870, suatu zaman di Rusia yang ditandai oleh perubahan dalam hal pemilikan tanah, kemajuan teknologi, dan kebangkitan politik. Korupsi dan kemerosotan akhlak golongan bangsawan, serta kesedaran terhadap keadaan sosial pekerja dan proses penghasilan, menyebabkan fikiran bersifat revolusi tersebar luas di kalangan pemuda bandar.

Ramai cendekiawan muda tertarik dengan kemungkinan untuk mencetuskan revolusi sosialis tanpa mengalami masyarakat kapitalis terlebih dahulu. Mereka juga berkecenderungan menolak pengaruh Barat. Antara cendekiawan yang terpenting pada masa itu ialah Nikolai Chernyshevsky yang menulis ‘Apakah Harus Dibuat?’ (1861), sebuah esei yang berpengaruh luas sehingga Lenin meminjam tajuknya bagi karangan agungnya sendiri empat puluh tahun kemudian. Terlahirlah suatu trend ‘pergi ke rakyat’: pemuda dan pemudi Moscow dan St. Petersburg menuju ke kawasan desa dalam usaha menyeberangi jurang antara kelas sosial.

Virgin Soil mendedahkan ketidaksesuaian ideal revolusi dengan kenyataan sosialnya. Usaha Nezhdanov untuk ‘menuluskan diri’ sering berakhir dalam peristiwa yang memalukan. Kunjungan propaganda dan ucapan-ucapannya yang membara menerima balasan tawar daripada golongan petani yang ingin didesaknya. Semangat pemberontak yang terunggul telah dibentuk oleh pengalaman di luar ‘matlamat’ yang dinyatakan. Markelov yang ingkar telah menyerahkan jiwanya kepada tujuan revolusi selepas gagalnya mencapai kabahagian dalam kehidupan peribadinya. Solomin menjalankan tugasnya secara berhati-hati, menimbulkan rasa hormat dan setia daripada semua komradnya. Tetapi Nezhdanov mengerti bahawa lelaki yang bermaruah tinggi ini didorong oleh suatu kuasa yang lebih mendalam daripada ‘matlamat’ yang tidak dipercayainya sesungguh hati.

Walaupun memberi gambaran golongan pemberontak muda yang bersimpati dan mengagumi semangat dan keberanian mereka, Turgenev tidak menyembunyikan keraguannya terhadap revolusi. Barangkali beliau menyedari bahawa tanahairnya telah mula melepaskan batin seninya yang agung. Beliau juga percaya bahawa Rusia harus meneladani kemajuan teknologi dan seni Eropah Barat. Kehalusan perasaan penyair dan pemujaan terhadap kemuliaan semulajadi dianggap sebagai sikap boros oleh generasi muda yang menegaskan pentingnya menghadapi dan mengubah keadaan kebendaan negeri mereka. Menurut golongan radikal baru ini, apa yang diperlukan ialah tindakan segera dan kesetiaan teguh kepada ‘matlamat’, bukan renungan kesenian dan kerohanian, bukan juga kemajuan bergaya Barat. Namun Turgenev menghayati bahawa keagungan Rusia barangkali wujud di suatu alam di luar politik, masyarakat dan sejarah.

Di alam Turgenev, pergelutan untuk jiwa Rusia tidak membawa kejayaan. Yang melontarkan diri ‘ke rakyat’ tidak berjaya, tidak juga yang menahan institusi kaku golongan bangsawan. Namun, terdapat suatu kuasa tersembunyi yang sentiasa mendorong, tanpa mengira tujuan dan arah. Rusia tetap berdiam, mengamati dari jauh penduduk buminya menjejaki jalan merbahaya, menuju ke masa depan yang tidak diketahui.


Pauline Fan ialah seorang penterjemah. Antara karya terjemahannya dari Bahasa Jerman ke dalam Bahasa Melayu termasuk Liebesgedichte oleh Bertolt Brecht (Dendang Cinta, Kala Translation Series, 2006) dan Was ist Aufklärung? oleh Immanuel Kant (Apa itu Pencerahan?, Institut Kajian Dasar, 2006). Dia telah juga memperalihkan hasil tulisan seniman Malaysia, Ismail Zain ke dalam Bahasa Inggeris untuk Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics (Balai Seni Lukis Negara, 2007). Sejak 2002, dia berkhidmat dengan pertubuhan warisan budaya PUSAKA.