Kuasa Sifar

oleh
17 Ogos, 2010 | kategori Esei | komen [0] | Cetak | kongsi  

World Trade Center masih berasap ketika CIA mendapati bahawa Osama bin Laden baru saja beberapa hari sebelum serangan ke atas pusat dagang itu bertemu secara rahsia seorang saintis nuklear Pakistan untuk mendapatkan bantuan bagi membina sebuah bom nuklear. Sekonyong-konyong terorisme nuklear menduduki tingkat teratas dalam senarai ancaman terhadap dunia yang bertamadun. Kerja rahsia saya sebagai seorang pengintip CIA tidak lagi bertumpu kepada usaha mengurangkan jumlah nuklear, sebaliknya lebih bertumpu kepada usaha mencegah 9/11 nuklear. Kita sedar bahawa jika sebuah bom nuklear diledakkan di salah satu kota utama, kesannya akan mengkerdilkan apa jua bencana yang pernah menimpa negara kita—jumlah kematiannya pasti sebesar ratusan ribu, manakala kesan buruk dari segi ekonomi dan sosial pula pasti mendadak dan parah.

Sembilan tahun kemudian, siapa memenangi persaingan kehendak di antara dunia yang beradab dengan kumpulan-kumpulan pengganas yang cuba membeli, membina, atau mencuri bom nuklear? Saya ingin percaya bahawa orang jahat sedang kalah, tetapi pada hakikatnya masa memihak kepada mereka jika bahan-bahan dan senjata-senjata kelas bom nuklear terus wujud di dunia ini. Sejauh ini usaha bersungguh-sungguh CIA dan sekutu-sekutunya di seluruh dunia telah berjaya mencegah serangan nuklear. Tetapi pengalaman dalam usaha tersebut mengajar saya bahawa satu-satunya cara untuk melenyapkan bahaya ini ialah dengan menutup semua laluan kepada bahan nuklear dan menghapuskan senjata-senjata nuklear di semua negara.

Saya kini mengabdikan diri untuk mencapai matlamat mustahak ini sebagai pemimpin gerakan Global Zero bagi membersihkan dunia dari senjata nuklear. Untuk membantu menyedarkan orang ramai dan para perumus dasar, baru-baru ini saya ikut serta dalam sebuah dokumentari menggerunkan yang sedang ditayang di panggung-panggung kala ini, Countdown to Zero, diterbitkan oleh Lawrence Bender dan Participant Media—kumpulan yang sama telah menghasilkan An Inconvenient Truth. Filem luar biasa ini menjelaskan kenapa dunia yang berisi senjata dan bahan nuklear bukan pilihan yang baik. Satu-satunya harapan untuk meneruskan kelangsungan hidup kita ialah dengan menghapuskan mengeringkan takungan nuklear secepat mungkin. Pilihan lain ialah membiarkan senjata nuklear tersebar ke seluruh dunia hingga, pada suatu ketika yang dekat atau jauh, para pengganas akan menghanguskan sebuah kota dunia.

Menurut International Atomic Agency, terdapat sekurang-kurangnya 25 insiden kehilangan atau pencurian bahan letupan nuklear. Jika kita menganggarkan bahawa jumlah yang ditemui semula hanya mewakili 10 hingga 30 peratus dari jumlah keseluruhan yang telah terlepas ke pasar gelap sejak beberapa tahun lalu, bererti bahan yang hilang itu cukup untuk membina 2 hingga lima senjata nuklear. CIA cuba untuk memastikan tidak ada senjata berkenaan jatuh ke tangan pengganas, tetapi kerja ini amat payah jika kebocoran bahan nuklear ini terus berlaku.

Kita tidak dapat mengetahui secara tepat skala penyeludupan bahan-bahan “fissile” (bahan yang boleh dijadikan bom nuklear), tetapi kita tahu bahawa ada manusia-manusia tidak bermoral sedang memperdagang teknologi nuklear di pasar gelap. Bapa nuklear Pakistan A. Q. Khan telah memperdagang pengetahuannya selama beberapa tahun sebelum akhirnya pasukan saya di CIA dapat menangkapnya dan menamatkan perniagaan menjual bom nuklear kepada Libya di akhir tahun 2003.

Jika para pengganas berjaya mendapat uranium yang diperkaya (cukup jika jumlahnya hanya sebesar buah oren), mereka mampu menyeludupnya ke kota sasaran dan meletupkannya di sana. Seratus paun uranium yang diperkaya dapat dimuatkan dalam satu kotak kasut—dan setiap hari 100,000 kontena perkapalan masuk ke Amerika Syarikat. Pengimbas-pengimbas radiasi yang sedia dipakai ketika ini di pelabuhan-pelabuhan mempunyai peluang rendah untuk mengesan uranium: pengimbas yang ada tidak mencukupi, manakala uranium yang diperkaya pula mudah untuk disembunyikan di celah bahan-bahan yang biasanya memancarkan tanda seperti radioaktif, contohnya bekas najis kucing. Cara membuat bom pula bukan lagi rahsia yang dikawal rapi. Para pelajar peringkat sarjana di makmal-makmal sains AS telah terbiasa mencipta senjata-senjata nuklear (tanpa bahan fissile) dengan menggunakan perkakasan yang boleh dibeli di pasaran umum.

Countdown to Zero juga menjenguk bahaya-bahaya nuklear lain selain terorisme. Ternyata banyak yang ditemui. Paling merisaukan ialah tersebarnya bom berkenaan ke lebih banyak negara. Sekiranya Iran meraih kemampuan senjata nuklear, para pesaingnya di rantau berkenaan juga amat mungkin akan segera menuruti langkah negara tersebut, meningkatkan kemungkinan terjadinya bencana nuklear yang disebabkan oleh ketidaksengajaan, salah hitung, atau kegilaan. Seperti ditunjukkan oleh dokumentari berkenaan, tentera AS yang cukup berdisiplin dan profesional sendiri telah membuat beberapa kesilapan dalam menangani senjata nuklear. Negara-negara kuasa besar dunia yang memiliki nuklear—yang kekal dalam keadaan siaga untuk melancarkan nuklear hingga ke hari ini—telah beberapa kali hampir memulakan perang nuklear secara tidak sengaja. Kapal-kapal pengebom dan kapal-kapal selam AS dan Soviet yang membawa senjata nuklear telah berlanggar atau tenggelam.

Setelah menghabiskan beberapa tahun dalam dunia tersembunyi nuklear, terlibat dalam usaha mencegah senjata dan bahan nuklear dari tersebar ke tangan negara-negara dunia atau kumpulan pengganas, saya percaya bahawa kita berada di pihak yang sedang mula kalah dan bahawa tindakan nekad harus diambil. Satu-satunya cara untuk mengelakkan bencana ialah dengan meletakkan kesemua bahan-bahan kelas bom nuklear dan senjata-senjata nuklear di semua negara di bawah kawalan ketat sesegera mungkin (seperti diserukan Presiden Obama pada Nuclear Security Summit di awal tahun ini), dan setelah itu menghapuskan timbunan stok yang ada sepenuhnya. Perkara ini tidak dapat dilakukan dalam tempoh singkat dan secara sehala. Ia menuntut kerja keras selama bertahun-tahun. Amerika Syarikan dan Russia—yang kedua-duanya memiliki 95% dari jumlah keseluruhan senjata nuklear di dunia—wajib mengurangkan stok senjata nuklear yang terkumpul sewaktu Perang Dingin. Setelah itu, beserta negara kuasa dunia yang lain, termasuk China, mereka harus mengepalai usaha antarabangsa untuk mengurangkan senjata nuklear di seluruh dunia dan menjadikan pemusnahan senjata nuklear sebagai kemestian sejagat, tanpa mengecualikan satu negara pun, tidak kira Iran atau Israel.

Kita harus menguatkan pemantauan kegiatan nuklear untuk memastikan kepatuhan dan melenyapkan sebarang urus-niaga nuklear di pasaran gelap. Para pemeriksa nuklear antarabangsa wajib dibenarkan untuk menyiasat sebarang prasarana di dunia tanpa sekatan. Terdapat rekod lampau yang dapat dijadikan sandaran—sejak 1945 tidak ada negara dapat menghasilkan bahan nuklear mencukupi untuk menghasilkan bom tanpa dapat dikesan oleh agensi-agensi perisikan asing.

Tugas mencapai titik sifar adalah payah, tetapi ia dapat dilakukan. Banyak kalangan yang mendukung penghasilan senjata nuklear sebagai usaha pencegahan sewaktu Perang Dingin sekarang mengakui bahawa ancaman hari ini bukan lagi perang nuklear dengan Russia atau China, sebaliknya penyebaran dan risiko terorisme nuklear. Usaha menghapuskan ancaman hari ini lebih penting dari sebarang manfaat yang mungkin dapat kita raih dari pengekalan senjata nuklear.

Jumlah stok nuklear dunia telah pun dikurangkan lebih dari setengah sejak 20 tahun lalu—jumlah 70,000 senjata nuklear pada kemuncak Perang Dingin telah dikurangkan ke 23,000 hari ini. Kesepakatan politik semakin meningkat dalam mendukung penghapusan saki-baki senjata tersebut. Presiden Obama dan Medvedev telah bersama-sama menyatakan komitmen untuk menuju matlamat titik sifar sejagat dan telah mengambil langkah awal ke arah matlamat itu dengan merundingkan perjanjian baru Strategic Arms Reduction Treaty—persetujuan penting pertama dalam soal mengurangkan senjata nuklear yang tercapai setelah beberapa dekad. Majlis Keselamatan PBB telah mengisytiharkan sokongan sebulat-suaranya terhadap matlamat tersebut.

Di kurun lalu, Amerika telah memimpin dunia dan menentukan zaman—mengalahkan Hitler, membina semula Eropah menerusi Marshall Plan, mempromosi hak-hak madani untuk semua bangsa, menghantar manusia ke bulan. Sekarang masanya Amerika harus memimpin dunia untuk menakluk ancaman terbesar bagi kurun yang baru ini—iaitu terorisme nuklear.

Valerie Plame Wilson terlibat dalam usaha mencegah penyebaran senjata pemusnah besar-besaran sewaktu menjadi pegawai operasi sulit CIA. Dia adalah pengarang Fair Game: My Life as a Spy, My Betrayal by the White House, buku yang diadaptasi menjadi filem yang bakal dibintangi Naomi Watts dan Sean Penn.


Tags: CIA, Global Zero, Osama bin Laden, Pakistan, Valerie Plame Wilson, World Trade Center
 

 

Tinggalkan Komen