Pada 19 April 2010 Bernama melaporkan Sultan Perak bertitah:

“Sultan adalah batang tubuh yang diamanahkan oleh Ilahi untuk memenuhi tanggungjawab tertentu dan yang penting dipertahankan adalah institusi pemerintahan di bumi ini yang telah diwarisi sejak zaman berzaman, yang mempunyai akar sejarah lalu menentukan rupa bentuk dan wajah kepada budaya berkerajaan dan bernegara dengan berpaksikan prinsip rakyat beraja, negeri bersultan.Seseorang Raja Pemerintah itu di samping memenuhi peranan tersurat sebagai payung naungan dan lambang perpaduan kepada warga pelbagai kaum, turut mempunyai peranan secara tersirat yang perlu dilaksanakan dengan sabar lagi tabah, penuh berhikmah lagi bijaksana.

Apabila negeri dilanda krisis, kearifan Raja Pemerintah sebagai penimbang tara sangat kritikal. Baginda perlu mengimbangkan secara saksama keperluan pelbagai kumpulan warga. Ia menjadi lebih rumit dalam sebuah negeri yang warganya terdiri dari pelbagai agama, keturunan dan budaya dengan tahap pencapaian sosial dan ekonomi yang masih mempunyai jurang yang ketara.”

Apabila pemikiran politik seperti ini diungkapkan di abad ke-21 maka Karangan John Locke perlu dibaca, dibedah dan diwacanakan secara serius. Kita melihat saki baki pemikiran Sir Robert Filmer (1588-1653) diangkat kembali. Filmer menulis Patriarcha, or the Natural Power of Kings yang mengemukakan raja mempunyai kuasa mutlak yang dianugerahkan oleh Tuhan. Maka mereka yang derhaka kepada raja adalah melawan Tuhan. Pemikiran seperti ini tentunya tidak akan membawa kemajuan kepada pemikiran politik dan demokrasi.

Two Treatises of Government (Dua Karangan tentang Kerajaan) yang ditulis oleh John Locke (1632-1704) merupa satu karya agong dunia yang meletakan pemikiran politik moden di atas landasan yang baru. Karangan pertama merupakan sanggahan kepada Robert Filmer dan pengikut-pengikutnya yang menggunakan ayat-ayat dan kisah-kisah dalam kitab Perjanjian Lama untuk membina teori raja mempunyai kuasa mutlak yang dianugerah oleh Tuhan. Locke menamakan Karangan pertama sebagai Prinsip-prinsip dan Asas Palsu Sir Robert Filmer serta Pengikutnya Dikesan dan Ditumpaskan. Karangan pertama bersifat destruktif, Locke melakukan dekonstruksi terhadap hujah mereka yang berlindung di sebalik agama untuk mempertahankan kekuasaan. Karangan kedua bersifat positif dan konstruktif di mana Locke membina asas-asas sebenar kerajaan. Bermula dari manusia dalam keadaan tabi’e yang memiliki kebebasan dan persamaan Locke membangunkan teori permulaan hak pemilikan peribadi dan pembentukan masyarakat politik sebagai satu kontrak. Seterusnya filasuf itu mengungkapkan matlamat masyarakat politik, tentang perhambaan, kezaliman dan hak rakyat untuk bangun menentang kezaliman tersebut.

Apa yang dibentangkan kepada pembaca hanyalah Karangan kedua yang diterjemahkan sebagai Suatu Karangan berkenaan Bidang Asal & Sebenar serta Matlamat Kerajaan Madani kerana ianya lebih mendesak untuk membantu pembangunan semula pemikiran politik dan demokrasi di Malaysia. Demokrasi di Malaysia terbantut kerana ketiadaan wacana mendalam terhadap asas-asas kebebasan, persamaan dan matlamat sebenar kerajaan.

Locke adalah pemikir pertama yang meletakkan kebebasan, persamaan dan pemilikan peribadi sebagai asas masyarakat politik dan mengungkapkan hak rakyat untuk bangun menentang pemerintahan yang zalim. Tentunya telah berlaku pelbagai pemberontakan melawan kezaliman di merata dunia sebelum kehadiran Locke tetapi pemberontakan tersebut tidak didorong atau menghasilkan satu teori politik yang baru. Maka yang berlaku hanyalah pertukaran dinasti. Tetapi teori Locke meletakkan asas baru pemerintahan dan pemerintahan tersebut adalah terbatas.

Malaysia kini berada di satu persimpangan demokrasi. Apakah kita akan maju kepada tahap demokrasi yang matang, demokrasi yang tidak memiliki undang-undang yang menyekat hak kebebasan asasi, demokrasi yang akan merangsang kreativiti manusia atau mahu terus kekal sebagai demokrasi otoritarian, demokrasi yang tidak menghargai akal manusia? Mereka yang mempunyai kepentingan dalam demokrasi otoritarian kelihatan menggunakan hujah-hujah yang menyentuh sentimen kaum dan agama.

Sememangnya agama sering digunakan sebagai topeng kepentingan. Inilah yang dilakukan oleh Robert Filmer dalam Patriarcha. Tetapi agama juga boleh menjadi ilham kepada pembebasan dan inilah yang dilakukan oleh John Locke ketika menyanggah Robert Filmer. Pertembungan ini berlaku sekarang di kalangan umat Islam di Malaysia. Maka kami bercadang untuk menterjemahkan juga Karangan pertama John Locke untuk melihat dan mempelajari pergelutan dua tafsiran agama, satu tafsiran untuk meneruskan kekuasan otoritarian yang sedia ada dan satu lagi tafsiran pembebasan.

Menuju kepada demokrasi matang memerlukan komitmen agama dengan menghayati tafsiran pembebasan. Peranan akal dalam tafsiran ini sememangnya amat penting justeru itu dalam tafsiran pembebasan akal adalah rakan kepada wahyu. Dalam Karangan ini kita melihat Locke menggunakan kuasa akalnya untuk membentangkan usaha manusia untuk mencipta masyarakat politik, membentuk kerajaan untuk menjaga kebebasannya dan bagaimana akad atau kontrak tersebut gugur dan manusia berhak bangun menentangan kerajaan yang zalim. Sebaliknya dalam tafsiran regresif, mereka yang menggunakan agama untuk menjaga kepentingan kekuasaan akan mencurigai, bahkan kadang kala menyerang peranan akal. Wahyu dilihat sebagai bertentangan dengan akal. Akal digantikan dengan retorika, atau retorika seperti ungkapan “batang tubuh yang diamanahkan oleh Ilahi” digunakan untuk menidurkan akal.

Dengan itu perjuangan untuk mencapai demokrasi matang juga satu projek intelektual, usaha untuk menggilap akal agar sentiasa sedar terhadap segala ungkapan muluk-muluk yang memperlekehkan darjat kemuliaan insan.

Tulisan ini adalah merupakan kata pengantar kepada terjemahan karangan kedua karya John Locke, Two Treatises of Government yang bertajuk An Essay concerning The True Original, Extent, and End of Civil-Government. Terjemahan yang bertajuk Suatu Karangan Berkenaan Bidang Asal & Sebenar Serta Matlamat Kerajaan Madani itu merupakan karya terbaru terbitan Institut Kajian Dasar.