Benigno "Noynoy" Aquino III dari Parti Liberal ketika berkempen di bandar Maramag. © Froilan Gallardo

Noynoy yang baik,

Anda sekarang diselubungi dengan pelbagai cadangan dan nasihat, tapi sama saja, saya berharap anda akan punya waktu untuk membaca apa yang seorang oktogenarian ini ingin katakan.

Kau bukan pilihan saya di pilihanraya baru-baru ini tetapi kerana rakyat kita telah berbicara, kita sekarang harus menyokong anda dan berdoa agar kau berjaya. Tapi pertama, aku harus mengingatkan kau akan hakikat yang pahit yang diabaikan oleh para penyokongmu: bahawa kamu mewarisi legasi mulia daripada leluhurmu. Sekarang adalah kerja yang sukar untuk mencipta suatu legasi bagi diri sendiri dalam enam tahun mendatang di mana kamu menjadi manusia tunggal yang paling berkuasa di Filipina. Enam tahun adalah waktu yang terlalu pendek–pengalaman di bahagian dunia kita adalah diperlukan sekurang-kurangnya satu generasi–25 tahun –bagi satu bangsa yang sakit untuk pulih dan makmur. Tapi anda harus memulakan proses penyembuhan itu.

Ingat bahawa masa lalu sangat berat bagi kita semua kerana banyak kontradiksi di dalamnya yang kita tidak diselesaikan, penyelesaian atas hal tersebut yang akan menguatkan kita sebagai satu bangsa. Masa lalu adalah beban anda sekarang ini. Mari kita mulai dengan fakta bahawa datuk anda berkolaborasi dengan Jepun. Ayahmu sangat menyedari hal ini, akan stigmanya, segala kemungkinannya. Dia tidak meninggalkan apa-apa legasi kerana ia tidak menjadi presiden. Dia adalah ahli politik yang cerdas dan berani. Dia adalah seorang wartawan yang giat; ia punya teman-teman di dalam kewartawanan yang boleh membuktikan visinya yang gemilang. Mereka ini tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada persahabatan itu, di antaranya Nestor Mata, Gregorio Brillantes–anda boleh meminta nasihat dengan mereka. Aku tidak boleh mengatakan bahawa aku tidak mendapat sebarang untung–beliau membeli banyak buku dari kedaiku dan ketika dia berada di penjara Marcos, ibu anda membawa buku-buku dari kedai saya kepadanya.

Maafkan saya kerana memberikan kepadamu nasihat yang tidak dipinta. Pertama, waspadalah terhadap kesombongan, anda dikelilingi oleh pengampu yang akan memberi tahu anda apa yang bagus untuk didengar. Anda harus selalu rendah hati dan mengendahkan hati nurani anda. Ketika Caesar diarak di Rome kuno di kalangan orang ramai yang bersorak-sorai, selalu akan ada orang yang berteriak di belakangnya: “Ingat, anda seorang manusia yang fana.”

Aku berkata kepadamu, ingatlah orang-orang miskin–sebahagian daripada mereka tinggal di kawasan anda sendiri–akan menjadi hakim tertinggi ke atas kamu.

Dari kediaman anda yang nyaman dan istimewa, anda hanya tahu sedikit tentang negara kita dan rakyatnya. Carilah bantuan daripada mereka yang terbaik–dan yang terbaik biasanya tidak mahu bekerja dengan kerajaan dan tidak akan mereka mendekati anda. Anda perlu mencari mereka.

Jadilah seorang revolusioner seperti yang ingin ayah kamu jadi dan jangan takut atau bimbang terhadap kata “revolusi” Ia tidak perlu sentiasa berdarah. EDSA I* tidak sedemikian. Ayahmu ingin menghancurkan hambatan terbesar bagi kemajuan kita–oligarki yang anda dan keluarga anda berasal. Untuk berjaya, anda perlu mengkhianati kelas anda sendiri. Jika anda tidak dapat menghancurkan oligarki, paling tidak berusaha untuk mendapatkan kekayaan mereka untuk membangunkan negara ini, dengan mereka mengembalikan berbillion yang mereka simpan di luar negeri. Anda tidak boleh melakukan ini dalam enam tahun, tetapi anda boleh memulakannya.

Hakimi para penjahat. Hal ini sulit, menyusahkan dan bahkan berbahaya untuk melaksanakannya. Ibumu tidak melakukannya–dia tidak memenjara Imelda yang merupakan subahat dalam kediktatoran suami-isteri yang menjarah negara ini. Perhatikanlah anak-anaknya–mereka terlalu muda untuk turut serta dalam penjarahan itu, tetapi mereka adalah ahli waris kepada berbillion yang disimpan orang tua mereka di luar negeri. Sekarang ahli keluarga Marcos berada di jalan yang pasti untuk berkuasa, bermegah-megah, mengejek-ejek akan kita yang mudah percaya dan mudah melupakan.

Kau tahu penjahat yang terbesar di dalam dan luar kerajaan adalah para penyeludup yang berkuasa, pencuri, penipu cukai–apa yang anda perlukan adalah keberanian untuk menewaskan mereka. Ayahmu punya keberanian itu–saya berharap dia menurunkan kepada anda sebahagian besar sifat itu.

Dan yang terpenting, sekarang anda mempunyai kemampuan untuk melakukannya, carilah pembunuh ayahmu. Darah dan tanggungjawab memaksa anda untuk melakukannya. Cory satu-satunya isterinya dan anda adalah satu-satunya putera dan warisnya. Pemerintahan anda akan diukur dengan bagaimana anda menyelesaikan kejahatan yang paling mencolok yang telah merampas daripada kita seorang pemimpin sejati.

Dan akhir sekali, ibumu. Kita mencintainya–ia menyatukan kita untuk mengusir seorang diktator yang keji. Tetapi beliau juga tidak meninggalkan legasi yang gemilang kerana menjadinya ia presiden adalah suatu kegagalan. Beliau mengumumkan kerajaan revolusioner tetapi tidak melakukan apa-apa yang revolusionari. Dia berjanji untuk melakukan reformasi tanah, tetapi tidak melakukannya. Dan yang paling menyedihkan dari semua itu–ia mengubah revolusi EDSA I menjadi satu pemulihan oligarki.

Dia menjadi presiden hanya kerana suaminya dibunuh dan anda menjadi presiden terpilih hanya kerana ibumu meninggal. Namun, anda adalah anak ayah anda dan mungkin anda sekarang–untuk kebaikan negara ini dan rakyatnya—cuba mencapai ketinggian di mana beliau dan ibumu tidak pernah tercapai.

Aku berumur 85 tahun dan betapa kecewanya aku akan bagaimana tiga generasi pemimpin kita gagal! Sebelum aku pergi, tolonglah berikan aku untuk melihat negeri yang menyedihkan ini menjadi tempat yang lebih baik daripada sebuah tempat pembuangan sampah yang dibuat oleh pemimpin kita dan rakyat. Anda boleh menjadi seorang Messiah yang telah lama dinantikan tetapi hanya jika anda cukup berani dan cukup bijaksana untuk menebus janji yang tidak tertunai oleh ayahmu.

Dengan penuh harapan,

F. Sionil Jose

F. Sionil Jose adalah seorang novelis dan wartawan terkemuka Filipina.

Artikel ini diterjemah oleh Ammar Gazali daripada kolum F. Sionil Jose di akhbar The Philippine Star.

* EDSA I, merujuk kepada fasa pertama revolusi kuasa rakyat di Filipina yang berlangsung daripada 22 hingga 25 Februari 1986 dalam menjatuhkan pemerintahan Marcos. EDSA adalah singkatan kepada Epifanio de los Santos Avenue, kawasan di mana berlakunya demonstrasi seramai 2 juta orang rakyat terhadap kediktatoran Marcos.

Benigno "Noynoy" Aquino III Caesar Corazon Aquino EDSA F. Sionil Jose Ferdinand Marcos Filipina Gregorio Brillantes Nestor Mata Ninoy Aquino

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan