The Man Who Left Too Soon:
The Biography of Stieg Larsson
Barry Forshaw
John Blake Publishing Ltd
2010

~ Buat Stieg Larsson (yang sedang berjalan di dunia lain),

Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan waktu itu ialah Christopher Hitchens, tentu saja melalui tulisannya tentang kamu di dalam Vanity Fair edisi Disember 2009. Mungkin, dengan tulisan sama, ramai lagi orang dari seluruh pelosok dunia yang terserempak dengan namamu, tetapi saya meragui bahawa akan ada ramai orang yang bersedia untuk mengenali kamu dengan lebih tekun – sekurang-kurangnya dari dunia sebelah sini, tempat di mana saya menulis surat ini kepada kamu. Itu termasuk diri saya sendiri.

Maaf kerana awalnya saya tidak memberi banyak perhatian kepada rencana itu. Tetapi kemudiannya, entah kuasa apa yang ada pada kamu, saya mula mencari dan membaca tentang kamu. Hubungan itu berterusan dalam kaedah yang paling aneh. Kepada saya, kamu bercerita tentang hidup kamu dari dalam kubur. Kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup yang getir, kamu menyangkutkan nyawamu. Setiap tona suara dari baris-baris ayat itu hadir sama intensiti yang mengasyikkan.

Saya tidak berasa janggal untuk duduk di depan baris-baris ayat yang bercerita tentang kamu. Walaupun kamu di Sweden dahulu, merakam segala macam kepincangan dan kegoyahan idealisme dunia, jarak itu dijambatani oleh satu getar naluri yang tetap membuatkan saya setia sejak itu untuk terus mendengar (atau membaca).

Bagaimana kamu diugut dan diancam untuk dibunuh, hanya disebabkan tulisan-tulisan dan peran majalah yang kamu pimpin, Expo, yang menghenyak tanpa belas segala macam bentuk rasisme, tentu sekali meninggalkan banyak tompok-tompok kontradiksi nilai yang tegang. Sesungguhnya, bukan kamu saja yang merasakan itu semua. Moraliti tidak menangguhkan apa-apa di dalam perjalanan dunia yang kasar.

Di tengah ancaman dan rutin kerja yang membunuh, di antara senja dan dini hari, kamu menekuni pula komputer riba, menulis draf-draf sebuah cerita fiksyen yang amat panjang, diselangi perdebatan manja bersama teman wanitamu yang setia selepas puluhan tahun berhubungan; Eva Gabrielsson.

Kamu menulis tanpa lelah. Tanpa apa-apa matlamat lain. Kamu tidak melaungkan harapan untuk memartabatkan sastera Sweden atau apa saja retorik separuh masak tentang tulisan yang mahu dihasilkan. Kamu hanya berdiam, berfikir dan terus-terusan mencatat. Fiksyen itu tentu saja dengan latarmu yang keras, tentang Sweden yang masih belum terpecah prejudisnya terhadap perkauman dan anutan segelintirnya terhadap fahaman Nazi-Hitler. Dan kini, tulisan-tulisanmu dengan sendirinya bangkit dan merampas perhatian dunia.

Tetapi, sebelum sempat kamu menyaksikan kuasa kata-katamu merebak ke pelbagai benua, kamu mati dan meninggalkan masalah. Memang hartamu tidak banyak ditinggalkan. Tetapi ‘harta’ yang ditinggalkan dalam bentuk tulisan itulah yang paling rakus diintai sehingga menjadi perbalahan antara orang-orang terdekat denganmu. Eva juga tidak berminat dengan benda-benda lain. Dia cuma membawa lari komputer riba kamu – yang di dalamnya dikatakan terdapat sebuah lagi manuskrip novel siri keempat yang sempat kamu habiskan. Eva hanya mahukan hak terhadap hasil kerja tulisan-tulisan kamu, tak lebih dari itu.

Bapa dan abangmu pula, setelah beberapa lama tidak berhubung dengan kamu, juga menuntut perkara yang sama. Dan mereka sedang bergocoh, dibawa hingga ke mahkamah untuk diputuskan. Itu pasti akan berlarutan, Stieg. Mengapa kamu terlupa untuk menulis wasiat untuk semua itu? Sedangkan untuk sekian lama kamu tahu kamu akan mati, sama ada dibunuh oleh musuh-musuh politik kamu atau pun mati mengejut.

Enam kotak rokok sehari, ketagihan kopi kronik dan sebagainya, apa yang kamu fikirkan? Atau kamu memang sengaja mahu mencuba bermain dipinggiran kematian, mencuba-cuba melihat ke dasar lembah itu untuk mencari idea menulis lagi? Kamu mati ketika usia 50 tahun pada 2004 dan meninggalkan kerja-kerja besar yang kemudiannya meledakkan kesedaran dan kenikmatan yang luar biasa kepada ramai dan juga banyak sampah untuk dibersihkan, terutamanya oleh Eva.

Kamu tak sempat melihat tiga manuskrip yang disiapkan itu diterbitkan. Mulanya hanya di dalam bahasa Sweden, kemudian diterjemah ke dalam Inggeris dan lain-lain. The Girl With The Dragon Tattoo, The Girl Who Played With Fire dan The Girl Who Kicked The Hornet’s Nest semuanya direbut orang dari rak buku di toko-toko. Dan, Eva mungkin memberi harapan kepada manuskrip keempat yang sedang disimpannya.

Kata orang, bukan kamu yang menulis semua kisah ini, tetapi Eva yang sebenarnya menulis dan menerbitkannya menggunakan nama kamu. Eva menyangkal. Dan orang sebetulnya tak lagi menghiraukan siapa penulis sebenarnya kerana itu tak penting. Yang penting adalah novel-novel itu amat perlu dinikmati segera. Hasrat kamu untuk menulis 10 siri novel ini juga tidak kesampaian. Hanya tiga yang sudah dibukukan, dan yang keempat jika bernasib baik dan tidak ditunda oleh perbalahan antara Eva dan keluargamu, akan menemui sinar penerbitan juga nanti.

Tetapi, saya tidak bersetuju tentang beberapa perkara tentang buku autobiografi kamu yang ditulis Barry Forshaw. Pertama, judulnya. Kamu tidak pergi terlalu awal sebagai penulis, kerana kamu mati pada usia 50. Sebahagian besar dari usia itu memang kamu habiskan untuk menulis sebagai seorang jurnalis. Cuma kamu mungkin pergi terlalu awal sebagai seorang novelis. Itu pun separuh benar, kerana dalam tempoh singkat selepas kematian, tiga novel itu meloloskan diri dari jasad atau abu kamu untuk terpacul ditengah-tengah masyarakat dunia dan menggugah banyak rasa.

Kedua, sebahagian besar tulisannya dalam buku berkenaan adalah ulasan dan pandangannya terhadap tiga novel kamu itu. Saya fikir, orang tidak memerlukan lagi siapa-siapa selain kamu untuk menjadi komentator kepada kerja-kerja fiksyen kamu. Apa lagi buku itu disebutkan sebagai sebuah autobiografi, siapa kisah dengan apa yang Barry fikirkan tentang novel-novel kamu? Semua novel itu akan berbicara dengan sendirinya bagi pihak kamu kepada pembaca yang sudah atau akan membacanya. Mungkin, tulisan autobiografi terpenting kamu nanti adalah daripada Eva, yang kini sedang menyiapkan catatan perjalanan hidup peribadinya bersama kamu, sejak perkenalan kamu berdua dalam usia belasan tahun lagi sehinggalah kamu mati.

Baiklah Stieg, kecanduan menulis surat ini membuatkan saya terlupa untuk bertanya, apa khabar kamu sekarang di sana? Tempatnya indah-indah? Tentang novel-novelmu di sini tak perlu dirisaukan. Eva tentunya akan mempertahankan hak kamu.

Dan paling penting, melalui novel-novel itu dan kisah-kisah tragik hidup kamu, nama Stieg Larsson kini diletak orang pada tempat yang tinggi, paling tidak bagi kelompok penulis fiksyen untuk genre thriller. Dengan hanya tiga novel, kamu sudah mengalahkan Agatha Christie dengan kisah-kisah detektifnya. Begitu juga dengan penulis satu negara denganmu, Henning Mankell yang sebelum ini mempelopori jalan sama yang baru sahaja kamu pintas beberapa tahun kebelakangan ini.

Sampai di sini sahaja waktu ini, Stieg. Bayangmu akan berkepanjangan berada di dalam benak. Walaupun saya belum menekuni novel-novel kamu, imej-imej kasar wataknya akan sentiasa ada menemani, terutama sekali Lisbeth Salander, seperti yang difilemkan dengan judul sama dari novelmu yang pertama.

~ Dengan ingatan daripada sebahagian umat manusia dari dunia lain,

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

Barry Forshaw Christopher Hitchens Hafiz Hamzah Stieg Larsson The Girl Who Kicked The Hornet’s Nest The Girl Who Played With Fire The Girl With The Dragon Tattoo

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan